ORANG-ORANG BELAKANG RUMAH

Hai, assalamualaikum. Aku Hana dan semua ini terjadi ketika aku berusia 15 tahun.

Membesar di dalam kampung yang hampir semua penduduknya merupakan petani yang mengusahakan sawah padi membuatkan hampir setiap rumah di dalam kampung, terdapat sawah padi di belakangnya, termasuklah di belakang rumah keluarga aku.Tetapi apa yang aku mahu ceritakan bukanlah tentang sawah padi yang menghijau tapi tentang sebuah patung yang dipacakkan berhampiran perenggan atau batas yang bertujuan untuk menghalau burung. Ya, ianya sebuah patung orang-orang…

Bentuk fizikal orang-orang yang dibuat itu,tidaklah begitu menakutkan walaupun bersaiz besar kerana keadaannya yang dipakaikan topi jerami dan kemeja biru bercorak kotak-kotak,cuma,ianya boleh dikatakan mempunyai aura seramnya yang tersendiri.Tambahan pula, ada yang melukis wajah pada kepala orang-orang membuatkan, apabila ada manusia yang lalu berdekatan dengan kawasan patung orang-orang itu, anak mata patung tersebut seperti bergerak arah untuk melihat gerak-geri orang itu. Bukan aku sorang yang perasan,tapi ramai yang lalu di tempat orang-orang tersebut berada, mengatakan hal yang sama, malah ada yang kata, bahawa nama mereka turut dipanggil walaupun pada ketika itu hanya mereka seorang yang berada di situ.

Ceritanya bermula apabila keluarga aku makan di bawah sebuah pondok kecil yang dibina abah berhampiran dengan kawasan sawah padi. Kerana cuaca petang itu agak baik dan berangin,aku dan abang aku berpakat untuk bermain dan berjalan-jalan di atas batas. Macam biasa,bila bermain,memang tak ingat dunia.Ketawa tak habis-habis sehinggalah perjalanan kami terhenti betul-betul di hadapan patung orang-orang yang badannya betul-betul menghadap ke arah kami.

” Tengok patung ni, steady jer pandang kita.” Ujar abang aku, bersahaja.

” Dia pandang Ana, sebab Ana lawa.” Aku melawak sambil ketawa.

” Beranilah kau cakap macam tu, dia datang kat kau malam ni baru tahu.” Abang aku cuba menakutkan aku.

” Takpalah, dia mampu tengok jer, nak dekat tak boleh.Takda kaki. HAHAHAHAHA. ”

” Tak payah kaki,biar abang usung jer bagi kat kau. ” Tanpa berfikir panjang, abang aku mencabut keluar patung orang-orang itu daripada tanah dan mengejar aku sambil mengusung patung orang-orang itu.

Apa lagi, menjerit-jeritlah aku sambil berlari sehingga kami berdua sampai ke pondok yang sudah kosong.
Abah dan mak mungkin sudah masuk ke rumah memandangkan hari pun sudah hampir senja. Jadi, yang ada di pondok itu hanya aku, abang dan patung orang-orang yang dicabut abang tadi.

Aku memandang patung orang-orang itu lama. Perasaan tidak enak mula timbul di dalam hati kerana semakin lama aku memandang,aku dapat lihat mata orang-orang itu seakan-akan memandang ke arah aku yang berada di sisi kanannya.Ya, matanya berubah walaupun pada hakikatnya,anak mata patung itu dilukis menghadap ke arah hadapan.

” Weh,bang.Hantar la balik patung ni.Yang kau pergi cabut kenapa?” Aku bersuara mula tak sedap hati. Sudahlah waktu sudah hampir senja.

” Saja, nak buat artifak dekat rumah.Kesian dia hadap padi jer, bagi dia hadap kau pulak malam ni.” Bersahaja abang aku menjawab (baka!).

” Tak payah la!Cepatlah hantar balik.” Aku merengus geram.

” Biarlah. Letak jer dulu dekat tepi pintu, Esok baru hantar balik.” Menonong abang aku berjalan masuk ke rumah. Patung orang-orang tadi, disandarkan di tepi pintu rumah..

Aku pandang patung orang-orang itu lama sebelum meluru masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu dengan cermat sebelum berjalan ke bilik.

Malam itu, macam biasa, aku tengah layan cerita korea dekat tv di ruang tamu.Kebetulan pula malam tu mak dan abah aku keluar beli barang, jadi dekat rumah, memang tinggal aku dan abang aku saja.

Tengah seronok melayan cerita, tiba-tiba abang aku yang dari tadi terperuk dalam bilik,keluar dari biliknya dalam keadaan kelam-kabut dan meluru ke arah aku.

” Weh, WEHH Ana!!! Cepat-cepattt!!!!”

Dengan nada cemas, abang aku menarik tangan aku menuju ke pintu utama rumah.

” Abang kenapa?! Nak pergi mana ni?!Ya Allah.”

Soalan aku tak dijawab malah abang aku kelam kabut mengheret aku keluar dari rumah menuju ke rumah Pak Cik Din yang terletak di sebelah rumah sambil berlari.

” ASSALAMUALAIKUM.. ASSALAMUALAIKUM!!! ”

Seperti hendak dirobohkan saja pintu rumah jiran aku apabila diketuk abang sehinggalah pintu tersebut dibuka dari dalam.

Belum sempat Pak Cik Din menjawab habis salam, abang aku sudah mengheret aku masuk ke dalam rumah Pak Cik Din sebelum menutup pintu rapat.

” Eh eh kau ni Man. Dah kenapa datang sini malam-malam?”

” Tolong..” termengah-mengah abang aku hendak bercakap.Aku dapat lihat dadanya turun naik. Mungkin kepenatan ketika berlari tadi.

” Tolong apa Man?Cuba cakap elok-elok.Mak ayah kamu mana?” Soal Pak Cik Din bingung.

“Abah dengan Mak keluar beli barang.Ana pun tak tahu kenapa abang ajak datang sini.Tiba-tiba keluar dari bilik dia lepas tu tarik tangan Ana.” Ujar aku jujur.

Keadaan jeda sebentar sebelum abang aku membuka mulutnya untuk bercerita setelah hampir beberapa minit menenangkan diri.

” Tadi,Waktu saya dalam bilik, saya dengar orang panggil nama saya dan nama Ana tiga kali. Mula-mula ingat imaginasi jer.Saya buat tak tahu jer la. Tiba-tiba ada bunyi orang ketuk tingkap. Ingatkan kawan saya yang ketuk, tapi bila bukak jer tingkap, nampak terus patung orang-orang tu tengah berdiri tegak tengok saya.Nak kata ada orang yang pacak patung tu, lantai konkrit, Pak Din. Tapi memang dia berdiri tegak gitu jer! Bersandar pun tidak!Apalagi terus saya keluar bawak Ana datang sini. ” Cerita abang aku. Riak mukanya jelas menunjukkan dia tidak menipu.

Pak cik Din dan aku terdiam seketika sebelum Pak Cik Din bersuara,

” Kamu yakin ker apa yang kamu nampak ni Man?”

Abang aku mengangguk laju,” Kalau Pak Din tak percaya,pergi la tengok.”

Pak Cik Din berfikir seketika sebelum mengangguk setuju. Dia menyarungkan baju dan melangkah keluar rumah menuju ke rumah kami. Aku dan abang mengekori dari belakang.

Sampai sahaja di depan rumah, perasaan tidak sedap mula menyelubungi kami tambahan pula aku dapat lihat pintu rumah yang terbuka setengah dan aku dapat lihat keadaan kerusi meja yang sudah tunggang langgang. Karpet yang tadinya terletak elok sudah terlipat-lipat seperti ditolak-ditolak.

” Lupa kunci pintu pulak dah.!” Abang aku menepuk dahi.
Ini kalau mak tahu, mahu mengamuk seharian.

” Man, Ana, baca ayat kursi banyak-banyak, jangan berhenti.” Ujar Pak Cik Din sebelum menadah tangannya membaca doa.

Mujurlah, Pak Cik Din memang pandai dalam hal-hal sebegini. Kuranglah sedikit kerisauan kami berdua.

Hampir beberapa minit begitu, kereta Abah memasuki perkarangan rumah membuatkan aku dan abang saling berpandangan dan meneguk liur. Mahu tak mahu, telinga mesti ditadah juga.

” Haa tu la.. Bawak lagi barang sebarangan balik rumah!Tengok apa dah jadi?!” Begitulah antara leteran Mak dan Abah setelah mendengar cerita aku dan abang.Sempat juga telinga abang dipulas dan aku diberikan cubitan bertaraf Malika daripada Mak.

” Man, ikut Pak Din masuk dalam. Yang lain tunggu sini.” Arah Pak Din sebelum berjalan masuk ke dalam rumah.

Abang aku hanya mengekori dari belakang.

Lama kami menunggu di luar bertemankan nyamuk-nyamuk yang kian menggila, tambahan pula pada ketika itu musim hujan, membuatkan aku bertepuk tampar selang beberapa saat.

Setelah beberapa ketika, abang aku keluar bersama-sama Pak Cik Din yang mengusung patung orang-orang yang dibawa abang petang tadi.

” Alhamdulillah, dah ok sekarang. Patung ni pun dah takda apa-apa dah.Esok pagi, ikutlah nak buang ker, nak pacak balik kat bendang ker.” Ujar Pak Cik Din seusai mereka sampai dihadapan kami.

” Memang tak la, esok-esok, bakar jer terus.” Ujar abang aku pantas.

” Apa yang jadi sebenarnya, Din?” Soal Abah.

” Tak ada apa pun sebenarnya. Budak-budak ni main, lepas tu kacau patung ni. Patung ni pulak tempat dia,lepas tu si Man ni pandai pulak pergi cabut bawak balik rumah. Benda tu pulak nak berkawan dengan budak-budak ni, itu yang habis dikacau satu rumah tu.” Cerita Pak Cik Din.

Dalam pada abah, Mak dan Pak Cik Din rancak bersembang, aku mendekati abang aku.

” Weh bang, kau buat apa tadi kat dalam?”

” Tak ada apa,main monopoly jer.”

Jawapan abang membuatkan aku memukul perutnya kuat sehingga dia menunduk menahan senak.

“Jawablah elok-elok!”

” Haih..Benda tu,dia nak kau.”

Dahi aku jadi berkerut, ” Hah?”

” Benda yang dekat patung orang-orang tu,dia nak dekat kau, tapi Pak Din dah buang dia dah Tadi Pak Din sembang dengan benda tu, benda tu ada cuba nak pergi dekat kau,tapi tak dapat, itu yang dia kacau aku tu. Kau pula jenis tak jaga mulut, memang berapi benda tu.Sebab tu habis berterabur barang dalam rumah ni.” Cerita abang aku.

Aku terdiam seketika.

” Lepas tu apa jadi?dah halau ker benda tu?” Soal aku lagi.

” Dah, dekat patung tu dah tak ada apa-apa dah.Kau nak jadikan bantal peluk pun ok jer.Tapi Pak Din pesan jangan bawa benda bukan-bukan balik rumah tambah-tambah barang antik, batu, benda-benda lawa ker. ”

” Abang la bawak balik patung tu. Ana dah kata dah pergi hantar balik.” Herdik aku.

” Yer la.Yang pasti, pinggan,mangkuk,cawan banyak pecah dekat dapur, nak cakap apa dekat mak ni?” Abang aku tiba-tiba bersuara rendah.

” Kita redha.” Ujar aku pendek.

Keesokan paginya, abang aku bakar saja patung orang-orang tersebut setelah mendapat kebenaran Tuan sawah.oohhh, masa bawak balik rumah, tak mintak kebenaran pulak?

Patung orang-orang, kami buat yang baru untuk menggantikan yang lama, namun fizikalnya kami ubah sedikit agar tidak menyerupai manusia 100%.Muka orang-orang tersebut kami biarkan tanpa wajah.

Mujurlah mak sudah tidak marah dengan pinggan mangkuk yang pecah, tapi dapatlah juga kami merasa makan nasi di atas daun pisang untuk beberapa ketika. Biar merasa susah orang lama katanya.

Sejak kejadian ini, aku dan abang jadi tak berani untuk mengambil apa-apa yang bukan milik kami. Ya, barulah kami tahu kenapa wujudnya pantang larang dan syariat dalam Islam yang tak dibolehkan mengambil apa-apa sesuka hati dan menjaga kata-kata. Semua yang berlaku memberikan hikmah untuk kami menjadi lebih berhati-hati.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hana

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 33 Average: 4.7]

2 thoughts on “ORANG-ORANG BELAKANG RUMAH”

  1. Seram… tp klu aku jd abg man, xde la aku nk buka tingkap jenguk luar tu ada apa.. cukup la pengalaman aku 2 hari berturut tingkap bilik kena ketuk pukul 4am.. tu pun aku rasa mcm d***h dh kering dlm badan tahan perasaan seram tu.. 😂😂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.