Panahan Petir di Halaman Rumah

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera buat warga FS. Terima kasih yang tidak terhingga buat admin FS sebab approve cerita ni ya.. 

Ni kisah benar ketiga aku dalam FS. Macam cerita sebelum ni jugak (darussyifa & belangkas), aku bukannya direct terserempak atau berdepan dengan makhluk halus pun, tapi inshaAllah ada relatenya. Seperti biasa, nama di dalam cerita ni akan diubah kepada bukan nama sebenar.

Ok..
Aku Hafiz, seorang lelaki, dah berkahwin & tinggal di utara semenanjung Malaysia iaitu Pulau Pinang..

Seingat aku, kejadian berlaku pada tahun 2012, lebih kurang 8 tahun lepas. Lokasi kejadian di rumah orang tua aku sendiri yang terletak di kawasan kampung. Kebanyakkan rumah di sini dibina sebijik-sebijik. Design rumah pun kebanyakkan hampir sama iaitu jenis banglo 2 tingkat kos rendah, bawah batu atas papan. Bumbung zink, rangka bumbung pun masih kayu lagi. Ada jugak rumah yang dinding dapur pun masih pakai zink lagi, jenis pattern berlubang & bertampung merata tempat. Jarak antara rumah jiran dengan jiran pulak lebih kurang 5 ke 10 meter. Halaman rumah mak ayah aku agak luas, tanah pun jenis halus-halus macam pasir laut tu, kira budak-budak berlari tak berdebu sangat la.  

Kat rumah tu mak dengan ayah aku saja yang duduk. Cuma kakak sulung kerap jugak la balik sebab anak lelaki dia, Mat diasuh oleh mak ayah aku. Masa tu umur Mat baru nak masuk 2 tahun. Sebenarnya mak ayah aku yang request sendiri nak mengasuh Mat, mungkin sebab nak bagi hilang rasa sunyi kot. Cucu-cucu yang lain semua hantar nursery ja, termasuklah anak aku. Kalu tak, nak harap weekend dengan cuti sekolah ja la nak riuh-rendah rumah ni pun.

Anak sedara aku Mat ni seorang budak yang comel, normal, aktif & sihat, alhamdulillah. Cuma kebanyakan fasa budak-budak yang nak masuk 2 tahun ni, nak makan cukup susah, qeja dok main ja memanjang. Sampai kadang-kadang tu Mat jadi cepat letih & tak bertenaga. Dok harap minum susu ja tak jadi. Mungkin sebab tu sama kot mak ayah aku sukarela nak mengasuh Mat. 

MALAM KEJADIAN…. 

Hujan…tak lebat & tak renyai, orang Penang kata hujan kasaq. Cuti sekolah mid sem masa tu, kebetulan pulak semua balik. Bila ramai berkumpul macam ni, selalunya akan ada orang yang open table. Malam tu kakak nombor 2 open KFC, beli yang set family bucket tu. Seperti kebiasaan, ada yang ratah ayam saja & ada yang makan dengan nasik. Ayah aku jugak yang special, ayam 2 ketul, burger zinger pun dia sapu. Big Boss request memang tak boleh nak komplen apa-apa. Ketika ni semua kaum ibu & bapak dok buat port kat depan TV dapur, hampar tikar buluh tu & berkelah ramai-ramai. Area dapur ni malam-malam memang best, sejuk & nyaman ja, tambah pulak masa hujan. Tapi kalau tengahhari, dia punya rasa bahang tu memang tak boleh bawak bincang.

Budak-budak? Semua dok melompat riuh-rendah kat ruang tamu. Habis barang-barang berselerak. TV kat ruang tamu ni pun memang dah default channel astro ceria, bukan suka-suka boleh tukar. Padahal mata bukan nak tengok TV sangat pun, yang penting TV kena on 24 jam astro ceria. Aku sampai kadang-kadang nak layan bola pun susah. Ketika ni aku pun turut berada di atas sofa kayu di ruang tamu, lebih kepada tugasan lifeguard. Kot ada yang jatuh meja ka, bergaduh ka, bertumbuk ka, pak sedara ataupun pakteh ni la yang akan pi buat settle. 

Pooommmmmmmmm!!!……..

Takdak angin takdak ribut, tiba-tiba kilat menyambar. Kuat sungguh bunyi guruh. At least selalunya akan ada jugak hint beberapa kali dengar bunyi guruh samar-samar dulu, baru sekali dua dia akan bunyi kuat. Cahaya kilat pun cerah bukan main, sampai terpejam mata dibuatnya. Memang cerah sungguh, macam flash kemera DSLR yang betul-betul dihadap depan muka. Tapi yang pasti & sahih, kilat tu betul-betul menyambar depan halaman rumah. Masa guruh tu, on the spot 1 rumah jadi blackout. Yang aku perasan kat area dapur siap ada api spark lagi, aku kira mungkin dari lampu kalimantan kot.

‘Allahuakbar..’ mak aku terkejut gamaknya.

‘Umi….abah…mama…ibu….tok…..tokwan….pakteh….’  suara budak-budak jugak kedengaran. Ada yang menangis & ada yang menjerit. Ketika ni aku rasa volume masing-masing dah mencapai tahap yang paling maksimum, sampai naik bingit telinga.

‘Hafiz, hang tengok sat lepa tu…aku nak pi cari lilin sat..’ kuat sungguh mak tempik kat aku. Mak ni jenis suara lantang, cakap biasa pun memang dengar kuat, tambah kalau dia jerit kuat-kuat. 

‘Hampa (korang) semua dok situ diam-diam, jangan dok takut, pakteh dok ada ni..’ pujuk aku kepada budak-budak sambil dok suluh menggunakan lampu HP.

Setelah cahaya lilin dah menerangi setiap pelusuk rumah, aku nampak ayah bangun sambil dok kais-kais benda di atas badan. Rupanya memang lampu kalimantan pecah. Kebetulan lokasi lampu tu betul-betul dok ada atas port ayah dok landing, habis berderai kaca atas kepala & badan, dah la tak pakai baju. Tapi alhamdulillah, tiada kecederaan dilaporkan.

‘Hampa semua dok diam-diam kat situ sat, pakteh dok ada..jangan dok mai kat dapoq lagi, banyak lagi kaca atas lantai ni..’ pesan tokwan kepada cucu-cucunya sambil membuang sisa-sisa kaca di atas kepala.

Usai urusan mengemas di dapur & tugasan menjaga budak-budak pun sudah diambil alih oleh mak masing-masing,

‘Jom Hafiz kita pi tengok kat luaq, jangan lupa bawak toslek (torchlight) skali, gelap tak nampak apa-apa kat luaq nuu….’ ayah mengajak aku.

Keadaan di luar agak tenang ketika itu, masih lagi hujan renyai-renyai. Jiran tetangga pun dah ada 2-3 orang yang datang. Keadaan sekeliling nampak normal, tiada apa-apa yang mencurigakan, kecuali kabel TNB yang menyambungkan dari tiang ke rumah aku dah jatuh tersadai di tanah.

‘Hampa jangan dok pijak ikut dan (sesuka hati) wayar tu, takut karen dok ada lagi kat situ..kena naya..’ gentle reminder kepada orang sekeliling. Dalam masa sama aku turut menghubungi pihak TNB untuk tindakan selanjutnya.

‘Rumah hampa (korang) ok nuu..ada karen..kira rumah kami ja la yang kena tadi..’ ayah menyampuk. Kelihatan hanya rumah kami yang terkena tempias kilat tadi, rumah jiran tetangga yang lain ok.

‘Haa..betui Paklong, tu yang kami mai tengok ni..pasai tadi kami pun terkejut bukan main bunyi guruh tu..kuat nak mampuih..saya siap azan lagi Paklong, punya takut..’ Manap, jiran aku membalas ayah. Ayah dah biasa dengan panggilan Paklong oleh masyarakat setempat, mungkin sebab orang lama kat situ kot.

Seketika, lori 3tan milik TNB pun tiba di halaman rumah. Ketika ini budak-budak, kaum-kaum ibu termasuk mak aku dok mengendap ja dari dalam rumah melalui tingkap nako. Ketara sangat nampak macam wayang kulit. Mungkin sebab cahaya lilin merata cerok dalam rumah kot.

‘Ok pakcik, kami dah buat..mesti kuat kena tadi ni pakcik, sampai terjatuh kabel..selalu kalau kabel jatuh ni sebab angin ribut ja, jarang jatuh sebab kena kilat..sebab kabel ni memang dah ikat kuat kat ataih tiang nuu….’ penerangan seorang juruteknik TNB kepada ayah aku.

‘ Tu la nu…takpala, benda dah nak jadi..haa ni sebelum hampa balik mai minum-minum apa dulu, aku suruh makcik buat ayaq..dah la hampa susah payah mai malam-malam ni..’ ayah mempelawa warga TNB tadi. Ada lebih kurang 4-5 orang kesemuanya.

‘Eh..takpa pakcik..kami takdan (tak sempat) dah ni, nak kena pi ke lain pulak..apa-apa nanti pakcik call ja hotline TNB tu na…’ juruteknik TNB menolak dengan sopan.

Ketika itu rumah mak ayah aku kembali cerah seperti sediakala. Ketika itu jugak kedengaran suara budak-budak kembali riuh, masing-masing berebut nak tiup lilin. Siap kedengaran lagu happy birthday lagi. Stress mak aku.

‘Haa..terima kasih la naa hmpa mai…esok lusa hampa senang hampa mai minum teh rumah aku..Hafiz, hang masuk rumah p check sat apa-apa benda yang rosak..’ ayah menghargai jasa jiran tetangga yang hadir, sambil memberi arahan kepada aku seperti bos besar. 

Yang pasti lampu kalimantan kat dapur pecah, aircond dalam bilik mak ayah tak boleh on, 2 unit kipas berdiri kat atas rumah pun tak boleh on jugak, & yang paling best, TV flat screen 32 inci astro ceria kat ruang tamu turut menjadi mangsa. Haa..padan muka budak-budak, tak boleh layan kartun dah..hahahaha..Tapi tula, teruk jugak penangan kilat tadi, sampai habis rosak semua barang. Tapi yang penting semua orang selamat, alhamdulillah.

KEESOKKAN PAGI….

‘Hafiz, lepas makan satgi hang mai masuk bilik sat, mak nak bagitau benda…’ pesan mak kepada aku. Ketika tu aku sedang bersarapan bersama menu nasi goreng cili kering ditumbuk bersama bawang. Tengok mak goreng macam cincai ja, tapi sedap tu boleh tambah sampai 3 pinggan. Dalam masa sama tahap curiousity aku turut meningkat, apa benda mak nak bagtau ni. Boleh ja kalau nak sembang kat meja ni.

‘Awat mak?..’ usai sarapan aku terus ke bilik. Ketika tu di dalam bilik hanya ada mak, kakak sulung & Mat yang sedang leka melayari rancangan suprise eggs di youtube kids.

‘Tutup pintu tu dulu, ayah hang dengaq satgi, habis semua pakat kena…’ mak memberi amaran kepada aku. Ayah ni jenis cool & relaks orangnya, cuma jangan bagi dia marah & naik angin ja. Sekali dia mengamuk, hantu & jin pun boleh lari.

‘Ni haa..satgi hang pi buang sat benda ni kat dalam parit (tali air/ sungai) belakang rumah..pi buang diam-diam, jangan bagi ayah hang nampak..’ sambil mak menghulurkan seutas tali berwarna hitam, seperti diikat macam tangkal bomoh-bomoh dok guna tu.

‘Haa sudah…benda apa pulak ni mak..mana dapat benda-benda merapu ni…’ aku dengan tegas menyoal mak. Kakak ketika ini hanya buat-buat tak endah ja sambil dok tengok HP.

‘ Kak hang la..mak dah tak bagi, tapi dia ketegaq (degil)..’ mak dengan tegas menjawab, sambil jelingan tajam diberikan ke arah kakak.

‘ Aku pun dok serba salah jugak dik..aku tau benda ni salah, tapi aku kesian kat Mat nuu…susah sangat nak makan..’ ketika ini di kelopak mata kakak jelas terpancar linangan air mata. Kakak kelihatan resah seperti tak senang duduk, mungkin dah betul-betul rasa bersalah kot.

Menurut penjelasan mak, kemarin  tangkal tu diberi oleh seorang nenek tua yang hadir ke rumah jiran, Minah atas sebab yang tak dapat dipastikan. Kebetulan kakak aku berada di luar pulak ketika tu.

‘ Haa Nurul, haritu bukan mak hang kata Mat susah nak ada selera makan ka? Haa ni tumpang makcik ni dok ada (nenek tua), hang boleh suruh dia tengok-tengok Mat sat..’ si jiran Minah menyapa kakak. Ternampak juga kelibat seorang nenek tua free hair sedang keluar dari pintu depan rumah Minah.

‘Takpa aih Mak Minah, biasa la budak-budak..lepa memang susah nak makan sikit, qeja nak main ja…’ kakak menolak pelawaan Minah dengan sopan. Mungkin masa sesi mesyuarat tingkap sebelum ni, mak ada tercerita pasal Mat kot, sebab tu Minah boleh tahu. Tapi cara kakak tengok nenek tu pun dah macam tak berapa berkenan, jelas nampak mencurigakan. Tak macam perubatan Islam yang lain.

‘Ishh hang ni..makcik ni dah mai jauh-jauh ni, alang-alang berubat la skali Mat tu…lepas ni bukan senang dia nak mai dah…Mat…oo Mat…mai sat keluaq..Mat…’ Minah dengan slamber panggil Mat keluar. Aku kira ketika ni kakak pun dah jadi serba salah kot, kalau menolak, nanti kurang pulak seorang ahli mesyuarat mak aku sebulan dua ni. Ketika itu nenek tua tu pun masih setia menunggu Mat di depan rumah.

‘Haa awat (kenapa)…’ Mat sudah di luar, keluar melalui pintu dapur.

‘Comelnya cucu nenek..mai nenek nak tengok Mat sat naa..sat ja…’ nenek tua itu terus menghampiri Mat. Mengikut cerita kakak, nenek tu berasal dari utara semenanjung jugak melalui dialek percakapannya.

‘Ohh..ni takdak apa aih…ada benda suka kat dia ni..sebab tu dia jadi tak berapa nak ada selera..dia nak mai berkawan kot ni…’ nenek tua dengan confidentnya memberi penjelasan dengan detail kepada kakak sambil senyum sinis. Ketika ini reaksi Minah si jiran agak kelihatan sedikit bangga, kembang kempis hidung dibuatnya.

‘Haa tu la Nurul, aku dah kata, nasib baik ada makcik ni tolong tengok..’ Minah menyampuk.

‘Haa nah, ambik ni..lepaih hang bagi mandi Mat satgi, hang ikat kt pinggang dia elok-elok..kalau takdak aral melintang esok-esok ok la tu…’ nenek tua tu menjelaskan pada kakak sambil tangannya mengulurkan sesuatu seakan-akan tangkal.

‘Untuk Mat aku sedekah la, tak payah bayaq apa-apa..’ nenek tua berjalan ke arah kereta sambil memberi sepatah dua kata pada kakak. Minah, yang masih dalam keadaan bangga turut mengescort nenek tu ke kereta Proton Gen2 1st modelnya, mungkin urusan transportation pergi balik nenek tu ditanggung sepenuhnya oleh Minah.

‘Mak dah pesan kat kakak hang banyak kali suruh buang benda tu, tapi dia dok kata nak try jugak sampai ke sudah..mujoq takdak apa terjadi kat cucu aku..’ dengan tegas mak memberitahu aku.

‘Mak rasa kilat semalam tu ada kena mengena dengan benda ni kot..mak dok rasa tak sedap hati dari awai dah..bukan apa, dah berpuluh tahun kita dok sini, mana besa (pernah) jadi lagi kilat lagu (macam) semalam ni..takut mak aih…’ mak menambah penjelasan.

‘Hang tolong la pi buang sat..’ kakak menyampuk dengan penuh harapan.

Tangkal hitam dalam keadaan bergulung-gulung tu sudah berada dalam tangan aku. Entah apa yang ada dalam bungkusan kecik tu pun tak tahu, nak try buka tak berani. Bermain-main jugak di fikiran aku, macamna keadaan kalau kilat tu menyambar si pemakai ataupun Mat, dengan Minah dengan nenek tu aku balun.

‘Haa nak pi buang la ni..tumpang ayah dok ada kat masjid lagi ni..line clear sikit..’ aku menjawab. Ayah ketika itu salah sorang AJK masjid jamek di kawasan tu. Seperti kebiasaannya, ada saja aktiviti masjid masa weekend-weekend ni.

Dipendekkan cerita, tangkal sudah pun dibungkus & dibuang ke dalam sungai kecil belakang rumah yang mengalir. Sehingga ke hari ini, alhamdulillah tiada apa-apa perkara yang tak diingini berlaku. Mat pun dah dibawa berjumpa pakar kanak-kanak. Setelah diberi makan vitamin & beberapa jenis suppliment lain, alhamdulillah Mat is getting better, cuma kena ambik masa sikit la. Tak heran la badan Mat ketika berumur 9-10 tahun ni pun agak kurus kedekiang berbanding sepupu-sepupu yang lain.

Sebulan selepas peristiwa tu, kebetulan aku ada berjumpa abang ipar aku, yakni seorang ustaz yang agak dikenali di negeri kedah atas sifat tawadduk & alimnya. Soalan tentang kilat & tangkal tu aku straight away tanya tanpa segan silu. Aku cuma nak kepastian adakah bersangkut paut kilat tu turun disebabkan oleh tangkal tu. 

Aku menceritakan se-detail yang mungkin kepada abang ipar aku, maka jawapan simple yang dijawab oleh beliau adalah ‘ya’…Disamping dengan beberapa dalil Al-Quran dan hadis sohih, juga beserta dengan beberapa kisah yang terjadi pada zaman nabi dahulu. Sedap dengar beliau menjelaskan, patut la selalu ceramah atau kuliah beliau dihadiri oleh ramai orang. Tetapi oleh kerana background aku masa tu adalah seorang peminat tegar bolasepak & bukan seorang yang suka mendalami ilmu agama, maka segala yang disampaikan oleh abang ipar aku pada haritu sudah dilupai dengan jayanya. Masuk telinga kiri, keluaq telinga kanan. Cuma yang aku masih ingat dengan jelas sampai sekarang, abang ipar aku ada menyebut dalil Al-Quran yang jelas tentang perkara ni dalam Surah Al-Mulk, ayat kelima. Maka setelah disemak,

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

(Surah al-Mulk: 5)

Korang boleh check dalam website MuftiWP, memang ada penerangan tentang perkara ni. Link adalah seperti di bawah :

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4215-al-kafi-1624-apakah-maksud-bintang-bintang-dijadikan-alat-rejaman-terhadap-syaitan-syaitan-dalam-ayat-5-surah-al-mulk?_sm_byp=iVV46DqQRNQrLnr7

Kesimpulannya, moral of the story, jauhi bomoh, untuk kesejahteraan hidup bersama.

Pirlo Utara

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pirlo Utara

2 thoughts on “Panahan Petir di Halaman Rumah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.