PELITA MALAM DI RUMAH LAUT

Pulau Mxxxx xxxxx , sebuah pulau terpencil di Sabah yang jarang disebut orang, menjadi destinasi aku selepas mendapat tugasan fotografi untuk sebuah majalah pelancongan. Pulau ini dihuni oleh hanya beberapa keluarga nelayan, dan aksesnya cuma dengan bot kecil. Kata orang, pulau ni cantik waktu siang, tapi selepas malam, ia jadi tempat yang ‘hidup’ dengan cara yang tak dapat dijelaskan.

Aku disambut oleh seorang lelaki tua bernama Pak Dali bukan nama sebenar, penjaga rumah penginapan kecil atas laut. Rumah ini berdiri di atas tiang-tiang kayu, bersambung dengan beberapa rumah lain melalui pelantar panjang. Di malam hari, hanya ada pelita minyak tanah sebagai cahaya. Tak ada elektrik, tak ada lampu moden.

Pak Dali pesan pada aku sebelum malam menjelang:

“Kalau malam nanti, jangan padamkan pelita. Jangan buka pintu, jangan tengok keluar bila dengar bunyi pelik. Dan paling penting, jangan tegur kalau nampak cahaya lain di laut.”

Aku angguk, cuba ambil serius walaupun dalam hati rasa lucu. Bagi aku, itu sekadar cerita lama untuk takutkan pendatang.

Malam pertama, aku duduk di beranda rumah laut sambil menikmati bayu laut. Pelita di ruang tengah berkelip perlahan, cahayanya memantul di permukaan air yang tenang. Jauh di tengah laut, aku nampak satu cahaya kecil bergerak-gerak. Macam pelita juga, tapi lebih redup. Aku teringat pesan Pak Dali, jangan tegur, jangan pandang lama.

Tapi rasa ingin tahu aku lebih kuat. Aku ambil kamera, cuba zoom. Saat aku fokus, aku nampak sesuatu di bawah cahaya itu. Bukan bot, bukan orang, tapi seakan kepala manusia terapung, rambut panjang menjuntai ke air, matanya merah menyala. Aku terus jatuhkan kamera, jantung berdegup laju.

Pelita dalam rumah tiba-tiba berkelip lebih kencang, seolah-olah mahu padam. Aku cepat-cepat tambah minyak, takut ia terpadam. Pak Dali muncul tiba-tiba, wajahnya serius.

“Kau dah nampak, kan? Jangan pandang lagi, masuk tidur sekarang.”

Malam kedua, aku cuba ikut arahan. Tapi sekitar jam 2 pagi, aku dengar bunyi pelik. Bunyi orang ketawa perlahan bercampur dengan bunyi percikan air di bawah rumah. Aku cuba intai dari celah lantai kayu, dan aku nampak bayang putih berenang-renang di bawah, bergerak pantas. Bau hanyir menyengat hidung, macam bau darah bercampur air laut.

Tak lama kemudian, bunyi ketukan lembut di pintu. Tok… tok… tok…
Aku kaku.
Suara perempuan berbisik, “Tumpangkan aku, sekejap saja…”

Aku hampir buka pintu, tapi aku ingat pesan Pak Dali. Aku mundur, duduk di sebelah pelita. Saat itu, bayang putih di bawah rumah mula timbul perlahan-lahan, cuba masuk dari celah-celah lantai. Aku nampak tangan pucat panjang dengan kuku hitam, mencakar kayu. Pelita tiba-tiba hampir terpadam. Aku tiup sumbu, bagi ia menyala terang. Bayang itu terus hilang, tenggelam semula.

Esoknya aku cerita pada Pak Dali. Dia cuma menggeleng.

“Itu penghuni lama laut sini. Orang dulu-dulu kata, dia gadis kampung yang mati ditenggelamkan di tengah laut sebab dituduh bawa sial. Roh dia tak tenang. Dia datang setiap malam cari ‘rumah baru’. Sebab tu pelita kena nyala, supaya dia tak masuk.”

Aku mula rasa seram nak teruskan tugasan. Tapi aku tak boleh balik sebelum cukup gambar.

Malam ketiga, hujan turun deras, angin ribut menggoncang rumah laut. Pelita bergoyang, hampir jatuh. Aku peluk kuat kamera, cuba tenangkan diri. Dalam deras hujan, aku nampak cahaya pelita lain datang dari tengah laut, makin dekat, makin terang. Dari celah hujan, aku nampak susuk perempuan berdiri di atas permukaan air, membawa pelita. Rambutnya terbang melawan angin, matanya merah, senyumnya panjang.

Dia berhenti betul-betul di depan rumah aku, berdiri di atas air. Suaranya bergema di tengah ribut:

“Matikan pelita itu… bagi aku masuk.”

Aku menjerit, tiup sumbu pelita supaya ia menyala lebih kuat. Pak Dali muncul dari bilik, baca ayat-ayat suci dengan lantang. Perempuan itu menjerit nyaring, suaranya bercampur dengan bunyi ribut. Ombak besar menghentam tiang rumah, hampir menggoncang kami jatuh. Tiba-tiba, cahaya pelita itu meletup kecil, dan sosok perempuan itu hilang ditelan ombak.

Keesokan paginya, laut kembali tenang. Tapi banyak tiang rumah patah, dan di pelantar, kami jumpa bekas kaki basah yang menuju ke pintu rumah aku. Pak Dali kata itu tandanya roh itu cuba masuk, tapi gagal.

“Kau selamat sebab kau ikut pesan. Kalau kau padam pelita malam tadi, tak ada siapa akan jumpa kau pagi ni.”

Aku tinggalkan Pulau Mxxxx xxxxx keesokan harinya. Tugasan aku tak lengkap, tapi nyawa aku lebih penting. Sampai sekarang, bila aku lihat laut malam, aku teringat bisikan itu.

1 thought on “PELITA MALAM DI RUMAH LAUT”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.