Penanggal Di Basement Dua.

‎”Kejam doh orang sekarang.”

‎Hilang sunyi pejabat housekeeping ni bila Abam, si koordinator tiba tiba bersuara. Entah apa yang dibuatnya, dari tadi diam. Selalunya bila dia bekerja, dia akan sengaja menekan papan keyboard komputer tu dengan kuat untuk menunjukkan yang dia sedang sibuk. Aku pula berada di pejabat petang itu kerana perlu menyiapkan beberapa laporan tugasan bertulis. Ketika itu hanya kami berdua sahaja didalam pejabat.

‎”Apa yang kejam tu Abam?” aku bertanya inginkan kepastian. Abam ni nama sebenarnya Hadilah, dia yang meminta kami memanggilnya dengan gelaran itu sejak dari awal bekerja dulu. Kami sama sama first batch pekerja di hotel ni.

‎”Kau tengok ni.” Abam menunjuk skrin komputer di meja koordinator. Aku bangun dari meja supervisor dan pergi kearahnya. Aku membaca portal berita di skrin komputer, tertera tajuk:

‎”MAYAT DITEMUI TANPA KEPALA, ORGAN DALAMAN TURUT HILANG!”

‎”Kena makan binatang liar kot.” kataku lalu kembali ke meja supervisor. Aku perlu menyiapkan laporan petang itu juga. Aku tak mahu terlalu lama di pejabat, nanti dikata orang mencuri tulang pula.

‎”Kau rasa binatang apa yang makan kepala dengan organ dalaman sahaja Am?” tanya Abam lagi.

‎”Entah, binatang liar ni kalau dia nak makan, dia makan sahaja.” jawab aku, terdetik juga di fikiranku saat itu, binatang apa yang makan hanya kepala dan organ dalaman sahaja lalu membiarkan tubuh mangsa seperti tidak terusik.

‎”Atau mungkin…binatang jadian?” tambahku pendek. Aku menoleh kearah meja koordinator, Abam memandangku sambil tersengih.

‎”Binatang jadian macam werewolf tu? macam si tora harimau jadian? waris jari hantu? ada ke binatang jadian tu semua Am?”  tanya Abam menunjukkan minat.

‎Aku beritahu dia bahawa aku belum pernah nampak dengan mata kasar aku sendiri. Namun, aku ceritakan juga tentang kisah Abah yang terserempak dengan seorang pemuda yang berubah menjadi harimau di hutan seberang sungai sewaktu zaman kecilnya.

‎”Werewolf tu serigala jadian, selalu dengar kat negara orang putih sahaja. Tk masuk ke sini. Kalau kat nusantara ni, popular harimau jadian sahaja dan…” belum sempat aku menghabiskan ayat, Abam mencelah.

‎”Ada lagilah Am, selain harimau jadian.” katanya serius.

‎”Apa dia?” tanyaku.

‎”Ikan Pari jadian akibat derhaka cakap mak.” jawab Abam sambil ketawa berdekah dekah. Aku tersenyum dengan lawak hambar Abam, kepala aku membayangkan video yang dimaksudkan Abam itu. Klip video 3gp yang tular dan pernah menggemparkan negara beberapa tahun dahulu. Bila teringat semula video tu, aku mengaku yang dulu aku juga percaya pada cerita itu. Bertambah kuat Abam ketawa selepas mendengar pengakuanku itu.

‎Telefon koordinator berdering dan Abam segera menjawabnya, ada panggilan masuk dari Saiful, rakan sekerjaku. Abam meminta aku menjawabnya. Aku hairan, biasanya mereka cuma menghantar mesej jika ada apa apa perkara berlaku.

‎”Hello Boss, datang carpark sekejap.” kata Saiful. Aku bertanya lokasi yang lebih tepat kerana tempat letak kenderaan ada tiga tingkat, basement satu, dua dan tiga. Katanya di basement dua. Aku mengemas sedikit meja kerja dan terus keluar dari pejabat.

‎”Ahh kau, dah buka cerita seram, harimau jadian bagai lepas tu tinggal aku sorang sorang!” jerit Abam dari mejanya.

‎”Kau yang buka cerita tu gila!” balas aku lalu meneruskan langkah menuju ke basement dua.

‎Pintu lif terbuka, aku sudah sampai di basement dua. Hati aku tiba tiba rasa macam berat dan tak best. Aku melihat sekeliling, tak banyak kereta parking di situ. Pengunjung hotel tempat kami bekerja biasanya dari luar negara, jadi tempat parking jarang akan penuh. Kalau penuh, bermakna ada event pada hari itu.

‎Aku meronda mencari Saiful. Aku lihat dia di satu sudut tersorok, mencangkung. Ada asap berkepul dari arahnya.

‎”Hoi! hisap rokok! kalau kantoi, dengan aku sekali kena!” jeritku, Saiful terkejut. Dia tersengih sahaja sambil memadamkan rokoknya. Aku mendekatinya, aku lihat ada satu bungkusan plastik berwarna hitam dihadapannya.

‎”Busuk la benda ni Boss, hanyir. Sebab tu saya bakar rokok tadi.” kata Saiful, masih tersengih. Aku mengangguk, memang ada bau hanyir seperti darah yang kuat disekitar kawasan itu.

‎”Yang peliknya Boss, benda ni kejap kejap bergerak.” bisik Saiful perlahan di telingaku. Aku segera memerhatikan bungkusan itu, benar kata Saiful.
‎Memang bungkusan ini bergerak gerak sedikit. Mungkin kucing atau ada binatang lain didalamnya. Siapa pula yang begitu kejam buat begitu dan siapa pula yang rajin datang buang disitu.

‎Melihat Saiful yang memang memakai sarung tangan, aku terus memintanya membuka bungkusan itu. Lagipun, dari semua rakan sekerja Public Area, dia yang paling berani. Beberapa minggu sebelum itu, ada biawak besar di nursery, dia juga yang menangkapnya.

‎Saiful kelihatan berat hati bila diminta membuka bungkusan itu, aku hairan kerana biasanya dia berani. Tanpa membuang masa aku meminta sarung tangan darinya.

‎Aku membuka ikatan bungkusan plastik hitam itu dengan perlahan. Risau sekiranya didalamnya ada binatang berbisa atau berbahaya. Rupanya terdapat lagi satu bungkusan, bungkusan itu bergerak gerak. Bau hanyir darah makin kuat, kami hanya mampu menahan nafas.

‎Tiba tiba, bungkusan yang kedua itu terbuka sendiri dan kelihatan satu kepala manusia, dengan rambut panjang yang kusut serta nampak jelas bebepa organ bersambung dengannya. Mulutnya ternganga.

‎”Allahuakbar!” jeritku dengan kuat.

‎”Penanggal.” kata Saiful, menerpa lalu menekan kepala itu. Kepala itu seperti meronta dengan kuat untuk melepaskan dirinya. Tekanan tangan Saiful juga makin kuat.

‎Saiful meminta aku untuk membungkuskan semula kepala itu. Mulutku membaca surah An Nas berulang ulang kali sambil membungkus kepala itu semula dengan plastik hitam dengan pantas.

‎Aku bacakan juga Ayat Kursi kearah bungkusan kepala itu. Pergerakannya menjadi semakin perlahan seperti sebelum dibuka tadi.

‎Aku mengarahkan Saiful untuk membuang bungkusan kepala penanggal itu di kawasan belukar di belakang hotel. Kawasan belukar itu terbiar dan tiada yang menjaganya.

‎Saiful mengelak untuk berbuat begitu. Dia memberi alasan untuk mencuci kawasan sekitar itu dengan mop dan sabun pencuci supaya bau hanyir darah itu hilang.  Aku setuju dan terus membawa bungkusan kepala itu keluar dari situ. Aku mengikut laluan kereta, dan tidak menggunakan lif. Takut bau hanyir darah melekat didalam lif dan risau jika terserempak dengan para pekerja lain. Sebelum berlaku kejadian lain, aku mengambil langkah selamat.

‎Sampai di kawasan belukar itu, dengan cepat aku meleraikan ikatan dan mencampakkan bungkusan itu. Kepala penanggal meronta ronta seketika sebelum terbang naik ke atas. Aku lihat dia berlegar legar di sekitar belukar dan kemudiannya menghilang.

‎”Dengan izin Tuhan, semoga kau pergi dan tidak mengganggu di tempat kami mencari rezeki ini.” kataku perlahan, memerhati kawasan belukar itu. Risau jika kepala penanggal itu kembali.

‎Teringat aku pada kisah yang Pak Tam, bapa saudaraku yang gemar berkongsi kisah mistik, menceritakan padaku semasa kecil bahawa;

‎”Hantu Penanggal tu manusia yang menuntut ilmu salah sebab nak kejar dunia. Makanan kesukaan dia uri bayi yang baru lahir. Dia perlu makan untuk mengekalkan ilmu sihirnya.”

‎Aku tertanya tanya, dari mana datangnya penanggal yang aku dan Saiful temui itu. Takkanlah ada pengunjung hotel yang bawa masuk dan meninggalkannya di kawasan parking kereta. Pasti terseksa badan asal yang dibiar kosong tanpa kepala dan organ lain. Aku bergerak meninggalkan kawasan belukar dan menuju ke pejabat, masih ada kerja yang perlu aku selesaikan.

‎Sampai di pejabat, Abam bertanya aku kemana. Katanya Saiful mencari aku untuk menandatangani borang cuti. Aku menceritakan tentang kejadian yang baru sahaja dialami aku dan Saiful.

‎”Eh, dia dengan aku tadi. Tak ada pula dia cakap pasal cuti.” kata aku.

‎”Biar betul Am, Saiful cakap dia cover area lobi dari tadi. Tak jumpa kau pun.” balas Abam sambil menghulurkan borang cuti Saiful.

‎Aku mengambil borang itu. Macamana aku boleh tak perasan Saiful yang bersamaku tadi bukan Saiful yang sebenar.

‎”Saiful yang mana pula dengan aku tadi?”



‎Pintu pejabat dibuka dan Saiful masuk. Dia tersengih bila melihat borang cutinya ditangan aku. Aku mengambil pen dan terus menuliskan tandatanganku diatas borang itu.

‎Aku mengajaknya menemani aku ke basement dua. Sekali lagi Abam memarahiku kerana meninggalkannya di pejabat setelah menceritakan ‘kisah seram’, Saiful pula kehairanan melihat reaksi Abam. Dalam perjalanan ke basement dua, aku menceritakan tentang kejadian tadi kepada Saiful yang mendengar penuh minat.

‎”Dia nak minta tolong kat Boss kot.” Saiful berseloroh sambil ketawa kecil.

‎Sampai di basement dua, kami ke tempat dimana aku menjumpai ‘Saiful’ dan bungkusan kepala penanggal. Ada kesan lantai yang telahpun dimop dengan bau sabun yang kuat. Bau hanyir darah tadi sudah hilang.

‎Aku kehairanan, manakala Saiful pula menggaru garu kepala yang tidak gatal. Dia mengatakan bahawa dia tidak mengemop lagi kawasan itu.

‎”Tak mengapalah geng, mungkin betul ‘dia’ minta tolong aku buang benda tu.”

Wallahua’lam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit


A.R Qaseh

2 thoughts on “Penanggal Di Basement Dua.”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.