Pendamping

Salam sejahtera semua,
Dalam tulisan ini, saya bukan hendak menceritakan tentang pengalaman seram yang dilalui tetapi lebih kepada pengalaman hidup kerana didampingi oleh makhluk ghaib.

Semenjak remaja, saya sering mengalami sekilas pengalaman bersama entiti-entiti halus ini. Sewaktu melanjutkan pelajaran kesekolah menengah, saya ditempatkan di sebuah asrama perempuan. Hal ini kerana jarak antara rumah dengan sekolah sangat jauh. Maklumlah keluarga tinggal di kawasan pedalaman, tetapi saya bersekolah di kawasan bandar. Jadi pilihan terbaik pada ketika itu ialah tinggal di asrama. Maka, di sinilah bermulanya episod dipertemukan dengan entiti halus.

Seingat saya, ia bermula sewaktu sedang berehat pada waktu siang di katil asrama. Dalam keadaan baru hendak terlena, tiba-tiba muncul seekor makhluk datang menerpa dan dengan pantas cuba menikam perut dengan serpihan kayu yang tajam. Wajahnya memang mengerikan namun berbanding wajah, matanya adalah lebih ngeri dan lebih menakutkan.

Makhluk tersebut berwarna kehijauan, kepala botak, matanya merah manakala separuh badannya lagi kelihatan hanya seperti ekor. Setelah kejadian itu, gangguan ditindih kerap berlaku.

Ketika berada dalam keadaan antara sedar dan separuh sedar itu, hanya mata yang dapat dibuka sedangkan badan seakan kaku tidak dapat bergerak. Bila mata dibuka, bermacam-macam bentuk makhluk yang mengerikan mula muncul. Pada saat itu, perasaan takut yang teramat sangat menyelubungi diri.

Bayangkan sekiranya anda pertama kali menemui makhluk-makhluk sedemikian rupa. Ingin lari tetapi tidak dapat lari, ingin jerit tetapi suara tidak terkeluar. Anda seolah-olah ‘dikunci’ dalam dunia mereka. Dalam ketakutan, hati mula membaca al-Fatihah, Kursi, al-Ikhlas dsbnya; kadangkala berkesan kadangkala tidak.

Sewaktu di universiti, saya tinggal di hostel luar kampus untuk tiga tahun. Sepanjang tempoh tersebut, saya jarang mengalami situasi ditindih. Kehidupan saya pada ketika itu sangat baik kerana dikelilingi oleh orang-orang yang menyenangkan.

Namun pada tahun akhir, saya terpaksa keluar dan tinggal di luar kampus; menyewa bersama-sama rakan. Malam pertama masuk ke rumah tersebut, segala-galanya berjalan lancar. Namun pada malam kedua, ketika sedang mengemas pakaian di bilik berseorangan, tidak semena-mena muncul kabus halus betul-betul di hadapan mata.

Terawang-awang seketika dan kemudian hilang begitu sahaja. Kejadian ini merupakan kejadian pertama saya bertemu entiti ghaib dalam keadaan betul-betul sedar. Perasaan saya? Takut dan terkejut lalu perlahan-lahan keluar dari bilik tersebut dan kemudian berlari ke ruang tamu. Seorang rakan serumah menegur, “Baru ternampak hantu ker?”. Setelah agak lama, saya baru tahu, selain saya terdapat juga seorang penghuni rumah yang pernah bertemu dengan benda tersebut.

Menurutnya, benda tersebut akan muncul pada bila-bila masa, tetapi hanya di bilik itu sahaja. Bagi mengelak diganggu, jangan halangi kawasan jalan mereka jika tidak kita akan berasa resah serta tidak dapat melelapkan mata.

Selepas tamat belajar dan mula bekerja, saya ditakdirkan bertemu dengan makhluk yang lain pula. Selepas penat bekerja dan hendak melelapkan mata, tiba-tiba mata saya tertumpu ke arah pintu bilik yang terbuka. Antara percaya dengan tidak, saya terlihat seorang ‘kakak’ sedang berdiri di sebalik daun pintu bilik.

Saya pernah melihat puntianak, tetapi hanya di dalam TV dan bukan di alam nyata seperti yang berlaku pada hari tersebut. Jadi berdasarkan pengalaman berjumpa dengan ‘makhluk’ ini secara langsung, apa yang saya dapat gambarkan, fizikalnya memang tidak jauh berbeza dengan imej yang pernah dilihat di dalam TV.

Rambut lurus, licin dan kelihatan lebih cantik berbanding rambut model syampu, panjang rambut mencecah hingga paras betis, baju berwarna putih kusam yang labuh, muka pucat namun tidak terlihat taring. Meskipun sebahagian rambut menutupi sedikit wajahnya, namun jelas terlihat yang dia menyeringai; seribu kali ganda baik daripada melihat dan mendengar dia menggilai. Setelah bertentang mata buat seketika, dia pun lenyap begitu sahaja. Saya pula bangkit perlahan-lahan, angkat tilam dan tidur di ruang tamu.

Selepas berkahwin dan berpindah ke rumah baharu, gangguan berlaku lagi. Saya yakin rumah baharu ini ada jin atau makhluk-makhluk ghaib lain yang menumpang, tapi saya tidak pernah menyatakan hal ini pada Encik suami sebab tiada cara untuk buktikan hal itu, cuma perasaan saya sahaja.

Sekilas pandang, terasa seperti ada kelibat hitam, dua kali pandang, kelibat akan hilang. Kadangkala, ketika sedang khusyuk membuat kerja-kerja rumah, akan muncul perasaan seperti ada seseorang yang sedang memerhati. Bila mengadu pada Encik Suami, katanya itu cuma bayangan perasaan saya sahaja.

Bila berseorangan di rumah, saya akan berasa resah dan takut. Kadang kala perasaan takut itu sudah tidak boleh dibendung lagi hingga saya akan paksa Encik suami untuk menemani meskipun hanya untuk naik ke tingkat atas rumah.

Suatu malam, saya bermimpi berjumpa dengan makhluk yang sangat besar dan tinggi, badannya sasa, kepalanya pula seperti ayam/burung dan mempunyai kuku (seperti kuku ayam/burung) yang besar, hitam dan panjang. ‘Dia’ kelihatan sangat marah lalu mencakar badan saya menggunakan kukunya yang besar dan tajam itu. Bila terjaga, lengan bahu terasa pedih dan rupa-rupanya memang ada cakaran tadi di badan. Jadi, adakah itu mimpi atau nyata?

Kadangkala saya tertanya-tanya, mengapakah saya perlu melalui semua ini? Bila mengadu pada kawan-kawan, mereka membuat andaian mungkin disebabkan hijab pandangan saya telah dibuka. Oleh itu, saya dapat melihat ‘makhluk-makhluk’ tersebut. Hahaha…hijab konon. Akhirnya pengalaman hidup dengan ‘makhluk-makhluk’ ghaib ini menemui noktah jua secara tidak sengaja. Alhamdulillah.

Ceritanya begini. Setelah mempunyai anak, seorang pak cik (kini arwah) mencadangkan supaya kami pergi menemui seorang Ustaz di Senawang yang juga merupakan kenalan beliau. Pada mulanya, tujuan kami ke sana hanya untuk mengubati anak.

Tapi yang berlaku adalah sebaliknya; menurut Ustaz, anak saya tidak sakit, tetapi yang sakit dan perlu dirawat ialah saya kerana ada benda ‘lain’ yang mengikuti saya untuk sekian lama.

Meskipun telah lama, tetapi masih boleh diubati. Memang sangat mengejutkan ketika mendengar kata-kata Ustaz tersebut tetapi dalam masa yang sama, seram dan lega pun ada juga. Berasa seram apabila membayangkan selama ini, rupa-rupanya ada makhluk lain yang mendampingi tanpa disedari dan berasa lega kerana akhirnya makhluk ini dapat diusir daripada hidup saya buat selamanya.

Setelah itu, saya seperti mendapat jawapan tentang segala pengalaman yang saya alami selama ini. Saya dapat melihat entiti ghaib ini bukan disebabkan oleh hijab pandangan yang terbuka tetapi kerana ada benda lain yang menumpang yang secara tidak langsung turut membenarkan saya melihat ‘dunia’ mereka.

Jadi kepada sesiapa di luar sana yang mengalami pengalaman seperti saya, segeralah mendapatkan rawatan demi kesejahteraan hidup anda.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Zara
FOLLOW FB KAMI.

5 comments

  1. Semoga penulis kekal sihat dan sentiasa dilindungi Allah S.W.T.
    Jalan cerita penulis lebih kepada straight to the point. Lebih untuk berkongsi pengalaman terus kepada pembaca. Apa2 pun, jalan cerita senang difahami dan lebih bersahaja.
    6/10.

  2. keadaan kita lebih kurang… hny allah yg tahu perasaannya.. x minta utk melihat benda2 mcm ni… sbb x cntik pn.. kalau mcm ct nurhaliza mungkin sanggup… hahaha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.