Sebulan sekali aku akan mengambil satu hari untuk aku habiskan masa duduk dalam ‘perpustakaan mini’ atau bilik bacaan aku. Mengemas sedikit, menulis sedikit dan membaca sedikit. Jujur aku katakan, buku kategori ‘To Be Read’ lebih banyak daripada ‘Done Read’.
Minggu lepas, hari khamis, aku cuti tiga hari. Khamis, jumaat dan sabtu. Aku menghantar anakku, Hadeeja ke rumah pengasuhnya selepas sarapan pagi itu. Aku beritahu Kak Asma, bahawa hari jumaat dan sabtu dia tidak perlu menjaga Hadeeja. Isteri aku sudah pergi kerja, shift pagi.
Tanpa buang masa, aku pun masuk ke bilik bacaan aku. Buku buku agak bersepah, perlu disusun. Aku memunggah beberapa buku minggu lepas untuk dijual.Biasalah, ada kalanya kita membeli, kebiasaanya kita menjual semula. Aku mula menyusun buku buku tersebut mengikut kategori. Ada seram, biografi, komik, politik, agama dan lain lain.
Sedang aku menyusun, aku terpandang satu buku catatan lama aku semasa belajar di Ipoh di zaman remaja. Aku tertarik untuk membacanya. Aku selak satu per satu mukasurat buku catatan aku itu. Sehingga pada tajuk;
Rumah Roy
Ini cerita lama, masa tu aku rapat dengan seorang senior aku di sebuah kolej swasta Ipoh bernama Azrul. Aku panggil dia Roy, budak Ipoh. Dia tua beberapa tahun dari aku. Roy tinggal di rumah keluarganya di Manjoi. Kami memanggilnya Roy kerana dia membawa motor RXZ catalizer warna merah, tambahan pula ketika itu demam ‘Gila Gila Remaja’ sedang memuncak dengan kehadiran filem KL Menjerit. Pernah sekali RXZ nya dicuri pada bulan puasa, aku menemaninya ke Balai Polis untuk membuat report. Seminggu selepas itu, bapa Roy membelikannya motor baru. RXZ juga dengan warna yang sama.
Kami sering keluar malam, ada masanya dia menemani aku ke gig gig band indie yang berlangsung di sekitar Ipoh. Dan aku juga akan selalu menemaninya ke kafe siber untuk dia muat turun komik yang famous ketika itu, ‘Naruto’. Persahabatan antara seorang ‘mat rempit’ dan seorang ‘kutu grunge’ yang pelik tapi akrab.
Satu malam, setelah Roy selesai muat turun satu episod terbaru komik naruto, kami pulang ke rumahnya. Roy mengajak aku lepak di biliknya. Dia terus membuka komputernya dan membaca komik. Aku pula baring di atas katil, mengadap tingkap bilik.
Ketika itu aku agak mamai, mengantuk kerana waktu sudah dua atau tiga pagi. Aku hanya memandang Roy yang khusyuk membaca komik di komputernya. Aku tercium bau busuk, seperti bau bangkai binatang.
”Roy, lu ada bau apa apa tak?”
Roy memalingkan wajahnya ke arahku, mengangguk. Dia mengatakan bahawa bau yang kami cium itu bau binatang mati yang mungkin mati diluar rumahnya. Aku terfikir, tak mungkin ada binatang boleh mati tiba tiba kerana ketika itu sunyi sahaja. Tak ada pula bunyi binatang dari luar rumah. Kerana mengantuk, aku mengiyakan sahaja pendapat Roy itu.
Roy menyambung bacaannya. Aku baru mahu melelapkan mata namun terpandang sesuatu di luar tingkap bilik Roy, satu bayangan putih. Bayangan putih itu menyerupai mayat berkain kafan dari sisi tepi, jadi aku tak nampak wajah bayangan itu. Aku tak pasti kenapa aku tak bersuara pada masa itu. Mungkin kerana terlalu mengantuk, aku terus memerhatikan bayangan itu yang bergerak perlahan dari kanan tingkap ke kiri. Pergerakannya perlahan sahaja, aku melihatnya sehingga bayangan itu hilang setelah melepasi kiri tingkap.
Selepas itu aku seperti tersedar. Bau busuk tadi hilang tiba tiba. Aku tertanya sendiri, apa sebenarnya yang aku nampak tadi. Banyangan putih, kalau pocong akan melompat atau bergolek. Bayangan tadi seperti terawang awang sahaja. Dari baring, aku duduk dan merangkak menuju kearah Roy. Aku menepuk bahunya.
”Roy, gua macam nampak bendalah tadi kat luar bilik lu ni.”
Roy terkejut, aku terus menceritakan apa yang berlaku. Dia menutup komputernya dan kami tidur. Dan Roy mengatakan bahawa dia akan periksa di luar biliknya bila siang nanti. Aku diminta untuk tidur di katilnya manakala dia tidur di karpet bawah.
Pagi itu, kami bangun bersiap dan bersarapan sebelum ke kolej. Ibu Roy, Makcik Mariam menyiapkan nasi goreng buat kami.
”Am, Roy bagitahu Makcik yang Am ada nampak benda putih kat luar rumah. Betul ke?” tanya ibu Roy, aku tersengih. Rupanya Roy dah menceritakan apa yang aku nampak itu kepada ibu dan bapanya. Serba salah pula aku nak menjawab soalan itu.
”Ya Makcik, tapi mungkin juga perasaan saya sahaja sebab saya dah mengantuk sangat masa itu.” jawabku berdalih.
Makcik Mariam pun membuka cerita, rupanya keluarga mereka sudah satu minggu diganggu. Ada masanya air paip sinki didapur terbuka sendiri barang beralih sendiri dan Remi, adik Roy juga sering terlihat kelibat hitam di dapur.
Semuanya bermula apabila bapa Roy, Pakcik Zarai jatuh sakit. Sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tapi doktor mengatakan bahawa keadaan Pakcik Zarai normal sahaja. Ada kenalan keluarga mereka mengesyorkan agar berjumpa dengan perawat alternatif kerana risau sekiranya sakit yang bapa Roy alami dan gangguan yang berlaku adalah disebabkan sihir.
”Kalau gua cerita, nanti lu tak nak lepak kat rumah gua lagi.” kata Roy, dia meminta maaf kerana menyembunyikan perkara tersebut daripadaku.
”No hal brother, eh jom kita tengok sekitar rumah ni sekejap sebelum gerak ke kolej.” ujarku. Aku berkongsi petua yang pernah diberitahu bapa saudaraku, Pak Tam padaku kepada Makcik Mariam supaya mencari pokok yang berduri agar ditanam di luar rumah. Aku mencadangkan pokok bidara berduri.
Semasa aku dan Roy mengelilingi rumahnya, aku menceritakan kisah Tok Ayah, datukku yang juga pernah disihir orang. Tok Ayah aku orang berilmu, belajar sampai di Mekkah. Juga seorang hafiz, namun ketika sedar dirinya terkena buatan orang, segera dicari bomoh tempatan. Seorang bomoh dikampung mencadangkan Tok Ayah berjumpa seorang bomoh di Kedah.
Semasa tempoh rawatan, berlaku beberapa kejadian pelik dan mistik. Aku pernah mendengar atap rumah Tok Ayah seperti ditabur pasir pada waktu malam dan bunyi dinding yang dicakar. Satu malam Tok Ayah tersedar dari tidur, dia bermimpi kawasan luar hadapan rumah penuh api. Tok Ayah terus menelefon bomoh tersebut, bomoh itu menjawab panggilan dari Tok Ayah.
”Dah nak habis tu Ayah, Ayah baca Yasin pada satu baldi air. Lepastu siram kawasan yang dalam mimpi tu.”
Tok Ayah mengikut arahan bomoh. Ajaibnya semasa menyiram kawasan luar rumah, Tok Ayah melihat kepulan asap putih keluar dari tanah kawasan yang disiram dan kedengaran bunyi seperti kayu api yang disiram. Tok Ayah menyiram habis satu baldi.
Kisah ini diceritakan kepada ku sendiri oleh Tok Ayah. Tok Ayah bebas dari gangguan sihir selama beberapa tahun dan kemudiannya meninggal dunia kerana sakit tua.
Aku memberi idea kepada Roy supaya kami bacakan surah Yasin pada air seperti yang disuruh bomoh Kedah pada Arwah Tok Ayah, dan siram di luar bilik ibu bapa dan biliknya. Roy setuju untuk melakukannya pada malam hari itu. Aku merasa bulu romaku naik dan seram sejuk ketika melalui luar bilik ibu bapa Roy. Ada pasu pasu pokok bunga yang ditanam ibu Roy, aku rasa ada sesuatu di situ. Perlahan aku membaca Ayat Kursi dan meniup kearah pasu pasu tersebut.
”Nanti malam kita siram sini dulu.” pintaku sebelum kami bertolak ke kolej. Roy mengangguk perlahan.
Malam itu selepas solat maghrib, aku, Roy, ibu serta adik lelakinya, Remi membaca Surah Yasin. Pakcik Zarai masih terbaring di dalam bilik. Malam itu juga, kenalan keluarga mereka akan datang bersama perawat selepas isyak.
Semasa menunggu kenalan itu sampai, Roy mengajak aku untuk menyiram air baldi yang telah kami bacakan Yasin itu di sekitar rumahnya terlebih dahulu. Kami mula siram di kawasan pasu bunga dibelakang bilik ibu bapa Roy, dan seterusnya mengelilingi rumah.
Tak ada apa yang terjadi. Tak ada asap tebal dan bunyi seperti kayu api yang disiram seperti yang arwah Tok Ayah ceritakan.
”Mungkin sihirnya tak sama.” kata Roy pendek.
Tak lama selepas solat isyak. Kenalan keluarga Roy, Pakcik Samad bersama perawat Ustaz Man tiba dan kami bersalaman. Mereka minta supaya bapa Roy dibawa dan baringkan di ruang tamu. Aku membantu Roy memapah bapanya keluar.
Selepas meminta izin dari Makcik Mariam, Ustaz Man mulakan rawatannya. Beberapa ayat suci Al Quran dibacakan dengan jelas dan kuat. Ustaz Man membacakan Surah Al Fatihah, Surah An Nas, dan Ayat Kursi. Kami hanya memerhatikan sahaja Ustaz Man melakukan rawatan.
Bau busuk seperti bangkai binatang tiba tiba menusuk hidung. Busuknya sehingga Makcik Mariam bangun dan terus kedapur untuk muntah. Aku, Roy, Remi dan Pakcik Samad menutup hidung dengan baju masing masing.
”Ada yang cuba cabar dia ye tadi?” tanya Ustaz Man. Aku dan Roy menganggukkan kepala.
Ustaz Man senyum sambil menunjukkan isyarat ibu jari tangan. Dia kemudiannya menepuk tangannya pada tapak kaki Pakcik Zarai yang terbaring.
Pakcik Zarai tiba tiba bergerak meronta ronta dengan amat payah seperti tubuhnya diikat. Tangannya rapat disisi manakala matanya terbuka. Mulutnya tertutup rapat tapi seperti mahu berkata kata.
Ustaz Man meminta dibawakan baldi, dan Remi terus ke dapur mengambil baldi. Dia meminta Pakcik Samad membantu dudukkan Pakcik Zarai. Baldi diletakkan dihadapannya.
Dibacanya Ayat Kursi sambil tangannya menepuk belakang badan Pakcik Zarai berkali kali. Pakcik Zarai muntah, bau cairan muntah itu sama seperti bau busuk bangkai yang menguasai ruang tamu itu.
Seperti ada sesuatu yang nak dimuntahkan lagi, tapi seperti tersekat di kerongkong. Ustaz Man memakai sarung tangan lalu menarik sesuatu dari dalam mulut Pakcik Zarai. Dia berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang sudah bercampur dengan cairan muntah dan mencampakkanya didalam baldi.
Ustaz Man kemudiannya menyuruh kami membungkuskan isi baldi itu kedalam plastik. Dia dan Pakcik Samad membaringkan semula Pakcik Zarai.
”Baldi tu buang sahaja, kalau nak guna lagi, kena basuh banyak kali.” pesan Ustaz Man, Roy dan Remi membawa baldi itu keluar. Bau busuk bangkai beransur ansur hilang.
Seterusnya Ustaz Man mengajak kami keluar rumah. Aku sudah dapat mengagak, bahawa dia akan ke kawasan pasu bunga di belakang bilik ibu bapa Roy. Ustaz Man mengangkat keluar satu pasu yang pokoknya sudah mati lalu ditarik batang pokok itu.
Ada satu bungkusan kecil berwarna hitam keluar bersama batang pokok yang ditarik itu. Roy ingin mengambilnya, tapi ditahan oleh Pakcik Samad.
”Bahaya.” tegur Pakcik Samad.
Bungkusan kecil itu dibungkus bersama muntah. Ustaz Man meminta Pakcik Samad membuangnya kedalam parit atau longkang besar yang airnya sudah kotor.
Rawatan Ustaz Man selesai, dia minta supaya Pakcik Zarai dibiarkan berehat dan diberi makan minum yang cukup. Katanya Pakcik Zarai akan sembuh beberapa hari lagi.
Aku sempat bertanya, bayangan apa yang aku lihat pada malam sebelumnya kepada Ustaz Man. Menurutnya, mungkin itu adalah syaitan yang dihantar untuk mengganggu keluarga Roy. Dia mengucapkan terima kasih kepada kami kerana berusaha berikhtiar awal dengan menyiram kawasan sekitar rumah dengan air Yasin. Cara itu telah membuatkan sihir itu lemah.
”Jahat sangat, entah apa yang didendamkan sampai sanggup menyihir.” kata Makcik Mariam, sedih.
”Biasalah orang kita. Bukan boleh tengok kita lebih sikit.” jawab Pakcik Samad, kami yang mendengar menganggukkan kepala bersetuju dengan kata katanya.
”Jangan tinggal solat.” pesan Ustaz Man sebelum dia dan Pakcik Man bergerak pulang. Seminggu selepas itu, seoerti yang dikatakan Ustaz Man, Pakcik Zarai kembali sihat.
Aku menutup halaman buku catatanku dan meletakkan ia di atas rak supaya senang nampak. Ada beberapa kisah lagi didalamnya yang akan aku baca semula. Ada yang aku sendiri lupa.
Aku dan Roy juga dah lama tak berjumpa. Selepas aku main muzik bersama band lama aku, kami sudah jarang berjumpa dan terus ‘lost contact’. Aku harap dia dan keluarganya sihat dan dirahmati Tuhan.
Aku menyambung mengemas buku semula. Bila teringat kembali saat aku terpandang bayangan putih itu, aku tersenyum.
”Nasib baik dia tak tunjuk muka!”
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit