Pengalaman Ira: Diuji dengan Sihir Pemisah dan Sihir Pelet
Saya Ira, seorang isteri dan ibu kepada dua anak yang kini masih bersekolah menengah. Sudah 18 tahun saya mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Imran. Perkahwinan kami pada awalnya penuh bahagia, disinari kasih sayang dan rezeki anak lelaki dan perempuan. Namun, beberapa tahun lalu, hidup kami mula diuji dengan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan secara logik.
Segalanya bermula apabila saya mula kehilangan rasa cinta dan nafsu terhadap suami. Setiap kali kami bersama secara intim, saya dihantui rasa bersalah dan berdosa kerana tidak lagi memiliki keinginan untuk bersama. Saya berdoa saban hari agar Allah SWT membuka hijab dan menjelaskan mengapa saya berubah begitu.
Dalam masa yang sama, suami sering mengalami demam dan sakit kepala setiap kali kami bersama. Hal-hal kecil menjadi punca pertengkaran, dan saya mula membenci suami malah suara dan kehadirannya pun membuat saya marah.
Keadaan menjadi semakin teruk. Imran semakin lemah, sering tidur, mengadu sakit badan dan kepala, serta hilang semangat. Saya pula mengalami gangguan emosi yang teruk, tubuh terasa berat dan tidak mampu bekerja selama berbulan-bulan. Dalam mimpi, saya sering melihat suami bersama wanita lain, ular berambut masuk ke tubuh suami, rumah kami dipenuhi aura panas dan bunyi burung gagak siang dan malam.
Tergerak hati saya untuk menghubungi seorang perawat dari negara seberang. Beliau memberitahu saya terkena sihir pemisah yang tidak jelas. Setelah berubat, saya mula sembuh, tetapi perawat merasakan masih ada energi negatif dalam rumahtangga kami terutama pada suami. Malangnya, suami enggan percaya. Tidak lama kemudian, suami menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku mengenalinya sejak sekolah rendah.
Dalam masa seminggu, suami berubah drastik asyik melayan wanita itu, memujinya siang malam, air mata keluar tanpa sebab, hilang selera makan dan berat badan susut hampir 10 kilogram. Tidurnya terganggu dan dia sering menyebut nama wanita itu dan marah apabila ditegur.
Apabila saya minta suami memutuskan hubungan dengan wanita itu, dia melenting dan menuduh saya mengongkong. Pertengkaran menjadi rutin harian. Saya kembali menghubungi perawat dan menghantar gambar suami. Hasil ‘pemeriksaan’, suami disahkan terkena sihir pengasih yang dihantar melalui telefon.
Lebih mengejutkan, perawat mendakwa suami telah ‘dinikahkan secara batin’ dengan wanita itu melalui ilmu hitam. Gambar mereka dibungkus dalam patung pocong kecil, diikat dengan benang dan ditanam di kuburan.
Setelah beberapa bulan menjalani rawatan, suami akhirnya mula sedar. Dia mengaku seolah-olah dipukau dan tidak tahu mengapa dia begitu terikat dengan wanita itu. Kami mula memperbaiki hubungan, perlahan-lahan membina semula kepercayaan dan kasih sayang yang hilang.
Kepada pasangan yang diuji seperti kami, pesanan saya, jangan mudah menyerah. Sokong satu sama lain, pastikan saling bersentuhan dan elakkan mengucapkan perkataan cerai. Istiqamahlah dalam taubat dan amalan. Hadiahkan al-Fatihah kepada pasangan setiap hari mengikut bilangan umur pasangan. Redhalah dengan ujian dan jangan menyimpan dendam, kerana dendam dan amarah adalah makanan sihir pelet. Tenangkan jiwa dan perbaiki diri.
Untuk para isteri, tingkatkan aura kecantikan dalaman dan luaran agar terus disayangi suami. Untuk para suami, jangan sesekali skrol fb, tik tok, instagram atau menghubungi kembali wanita itu kerana sihir menggunakan gelombang telefon itu nyata. Perlu istiqamah untuk tidak mengingat lagi kisah lepas dan jaga ibadah.
Jika anda sedang diuji, ketahuilah bahawa setiap ujian ada hikmahnya. Jangan putus asa. Carilah pertolongan dengan sabar, doa dan usaha. Semoga kisah saya menjadi iktibar dan kekuatan buat yang lain.