Pengalaman Ketika Memancing

Assalamualaikum dan salam sejahtera… Ucapan ribuan terima kasih kepada admin yang telah publishkan cerita aku ( Gangguan Di Tempat Kerja ) yang sebelum ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada yang telah baca dan yang telah komen dengan kisah sebelum ini. Terasa nak kongsi pula cerita-cerita seram yang aku lalui. Sebenarnya memang banyak kisah seram yang aku lalui walaupun dalam keadaan usia masih muda. Mungkin ini satu dugaan dan ujian dalam hidup aku. Kepada yang belum mengenali aku, nama aku Ridhwan, berumur 26 tahun.

Sebelum itu aku ingin menjawab sedikit kenapa aku berhenti bekerja tempoh hari dengan serta merta, sedangkan tempat tinggal dah disediakan dan boss pula baik hati.. Salah satu sebab aku berhenti bekerja tempoh hari kerana gangguan seakan berterusan dari hari pertama hingga hari kedua. Dan satu sebab juga aku berhenti bekerja, aku telah menelepon ahli keluarga yang aku ada nampak makhluk tu. Jadi keluarga aku pun suruh cari tempat kerja lain. Lagi pula tempat aku kerja tu sangat jauh dari tempat tinggal keluargaku. Sampai disini saja mengenai ini, sebab bukan ini yang nak aku ceritakan… Hahahaha..

Kali ini aku akan kongsikan cerita seram aku ketika memancing. Mungkin cerita ini kurang seram bagi sesetengah pembaca. Cerita ini bermula pada tahun 2017, bulan dah tak ingat bila dalam bulan 3 atau 4, tapi yang pastinya kisah ini berlaku selepas aku berhenti bekerja.

Pada hujung minggu, kami bertiga iaitu aku, Hakim dan Azri telah bercadang untuk memancing petang di satu tempat yang dikatakan banyak ikan. Persiapan alat memancing sudah tersedia semuanya dan hanya menunggu kawan lagi seorang iaitu Azri. Dalam jam 3 tu kami telah pun bersepakat untuk bergerak. Tapi disebabkan Azri masa tu sakit perut, terpaksa lah juga kena tunggu. Tak lama lah juga nak kena tunggu, dalam 10 minit begitu Azri selesai dengan Hajat yang telah dilepaskan. Kami mula bergerak dalam jam 4 disebabkan ada hal sedikit yang Azri buat selepas di buang hajat tu.

Dalam perjalanan tu aku bertanya kepada Azri dan Hakim

Aku : Kita dah lambat ni, apa kata esok pagi je kita gerak pi memancing ?

Hakim dan Azri terus menjawab soalan yang aku soalkan ?

Hakim : Alah kau ni Wan ( ini nama samaran aku dekat kampung dan di rumah, masa dekat kerja bengkel tu nama aku pendek) dah alang-alang menyeluk pekasam biarla sampai ke pangkal lengan. Dah alang-alang mandi tu biar sampai basah.

Azri : Betul tu, dah kita separuh jalan ni kan, lagi pun dah tak lama sampai dah pun tempat yang kita tuju ni.

Aku hanya mampu berdiam dan berkata yala.. dengan mereka berdua.

Paaaappppppppp !!!!! Bunyi dari bawa kereta kedengaran. Aku terus berhentikan kereta ke bahu jalan selepas dari jalan selekoh. Sebab takut ada kenderaan lain dari arah belakang aku berhenti jauh di jalan yang lurus.

Hakim dan Azri bertanya kepada ku.. Apa tu Wan? Dan aku menjawab tak tahu. Sebab aku sendiri pun tak tahu bunyi apa sebenarnya masa tu. Aku, Azri dan Hakim lantas turun dari kereta dan melihat bawa kereta jika ada apa-apa kerosakan dari kereta dan apa yang telah dilanggar. Disebabkan selekoh kami tak dapat lihat apa yang telah dilanggar.

Hakim : Alaaaa.. mungkin batu kot kau langgar tu Wan..

Aku : Mungkin juga lah…

Kami terus masuk kedalam kereta dan meneruskan perjalanan tanpa memikirkan apa yang berlaku…

Tidak lama begitu kami sudah pun sampai ke destinasi yang di tuju dalam jam 5. Aku letak kereta tidak jauh dari kawasan kami memancing. Tempat yang indah dan nyaman iaitu sebuah sungai yang jarang orang pergi sana, memang sangat bersih tempat tu. Lihat sekeliling, dah macam tempat terjaga pula. Aku bermonolog “memang luas tempat ni, tapi rasa menyeramkan pun ada.

Kami mulakan pemancingan dari tempat yang berbeza. Aku berada di posisi tengah dan Hakim sebelah kanan serta Azri pula disebelah kiri ku. Jarak kami tidak jauh dalam 5 6 langkah. Kami rasa sangat seronok masa memancing tu, bercerita tanpa melihat masa yang tetap akan berjalan. Kelihatan di hujung pokok-pokok warna keemasan dari langit telah pun berkilauan dan itu menandakan yang malam bakal tiba.

Perasaan aku ketika itu bercampur baur dengan keseronokan dan ketakutan. Apa tak takutnya, dah tempat jauh lepas tu takda orang pula dekat situ. Aku cuba mengajak Hakim dan juga Azri untuk segera pulang sebab dah terlalu lewat dah. Lagi pula pendapatan ikan yang kami dapat cukup sekadar kami bertiga untuk makan. Dah kira boleh dah, asal dah dapat memancing bolehlah.

Hakim meminta dalam 30 minit lagi untuk pulang, sebab dia rasa belum puas dengan tarikan ikan yang mengena jorannya. Dalam waktu menunggu tu, Hari semakin kelihatan dah nak gelap. Hati aku masa tu memang tak senang dah. Rasa nak balik sendirian dah masa tu.

Dalam masa menunggu Hakim habis memancing. Tiba-tiba kedengaran kicauan burung-burung bertebangan di kawasan tu. Mata aku berkali kali melihat sekeliling kawasan yang penuh dengan pokok-pokok besar. Aku cuba memerhati di setiap sudut dan hujung-hujung pokok, sebab masa tu aku dan Azri dah memang selesai tinggal nak gerak balik dah, cuma menunggu Hakim yang masih belum selesai. Tiba-tiba terlihat dihujung pokok satu bayangan hitam seakan berlari dengan laju dan berhenti di celah-celah pokok. Aku tersentak seketika, dan cuba memerhati dengan betul, apakah betul yang aku lihat itu benar atau sekadar imaginasi aku ketika itu. Yaa memang benar apa yang aku telah lihat dengan kedua biji mata ku benar-benar terlihat satu lembaga hitam yang sangat besar di celah-celah pokok yang besar. Aku lantas berpaling wajah dan beristigfar serta berdoa agar tiada apa yang berlaku.

Dengan serta merta aku mengajak Hakim dan Azri untuk pulang. Sebab hari pun dah nak gelap. Alhamdulillah, Hakim akur untuk balik. Aku mengemas semua barang ke dalam kereta dan terus balik ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan nak balik tu, aku tidak menceritakan dengan apa yang telah aku lihat. Aku lihat Hakim dan Azri masing-masing kelihatan letih. Kami berborak borak kosong sepanjang perjalanan balik.

Keesokan hari, aku demam dan merasa badan sangat lemah. Mak aku bawa aku ke hospital dan hanya diberikan ubat tahan sakit dan juga ubat demam. Dalam keadaan badan sangat lemah aku hanya mampu berbaring dan duduk saja ketika itu. Malam pada hari tu juga, satu bisikan suara yang sangat halus kedengaran dari sudut telinga kiri ku…. “Kenapa kau biarkan aku…” kenapa kau biarkan aku? Kenapa !!!!!? “. Aku terus teriak arghhhhh… dan terus memanggil mak ku.

Malam itu juga aku menceritakan mengenai bisikan yang aku dengar kepada mak ku. Mak terus menelepon pakcik aku untuk datang tengokkan aku, dan dalam masa yang sama mak aku cuba tenangkan aku masa tu. Tidak lama kemudian, pakcik aku datang sebab rumah pakcik aku tidaklah jauh sangat dengan rumah kami. Pakcik melihat aku dengan tersenyum dan mengelengkan kepala, seakan sudah tahu apa yang kena dengan aku. Untuk pengetahuan, pakcik aku ni kira pandai jugalah dalam perubatan islam ni.

Pakcik aku lantas membacakan ayat-ayat yang mana aku sendiri juga tidak tahu sebab masa tu keadaan aku memang lemah. Pakcik mengatakan yang aku terkena teguran dari makhluk lain. Selesai sesi mengubat tu, pakcik aku memberikan segelas air untuk diminum bagi menenangkan lagi keadaan ku ketika itu.

Alhamdulillah, dalam dua hari aku kembali sembuh dan suara yang sering kedengaran ditelinggaku itu telah pun tiada. Mungkin teguran dari masa kami memancing ataupun benda yang kami langgar tapi itu tidak pasti, sebab kami bertiga tidak tahu apa yang telah kami langgar pada masa tu. Aku tanya Hakim dan Azri jika mereka sakit atau ada apa-apa yang mengganggu. Alhamdulillah mereka berdua tidak sakit dan tiada yang mengganggu.

Semoga kita semua dijauhkan dari makhluk-makhluk yang menyesatkan dan mengganggu hidup. Pengalaman ketika memancing itu memang tidak dapat dilupakan. Harap maaf kepada semua pembaca fiksyen shasha jika cerita kali ini kurang menyeramkan… sekian..

hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 1.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.