Penunggu Asrama SMK part 2
Dah macam vitamin pulak FS ni.. Bila baca terus rasa menghiburkan..oppsss…hihi bersua lagi ..salam semua.
Pada kali ini aku sambungkan bahagian kedua Penunggu Asrama SMK. Terima kasih kepada yang sudi membaca dan komen.
Seterusnya aku ingin mengimbau kembali kejadian pabila main Spirit of the coin.
Pada malam tu, kami berlima iaitu aku, Lina, Misah, Isniah dan Nida mengalami malam yang sangat menakutkan apabila mencuba permainan Spirit of the Coin yang kononnya dapat berhubung dengan roh menggunakan duit syiling.
Pada mulanya kami diberitahu oleh seniour bahawa mereka pernah main permainan tersebut dan dapat merasai pengalaman berinteraksi dengan roh seorang. Setelah dicabar, kami yang kononnya berani, cuba untuk memulakan permainan tersebut apabila jam hampir ke pukul 11 malam. Setelah memastikan semua orang tidur kami memulakan langkah dalam permainan Spirit of the Coin .
Kertas ‘Spirit of the Coin’ yang diisi lengkap dengan huruf A-Z, nombor 0-9, ditulis dengan perkataan ‘Yes’, ‘No’, ‘Home’ dan ‘Good Bye, terbentang di hadapan kami. Kami saling berpandangan dan memulakan permainan. Lina selaku wakil meletakkan jari tangannya ke atas duit syiling. Kami berlima duduk dalam satu bulatan dan memulakan mantera untuk memanggil roh ‘Spirit of the Coin’ berbunyi begini, “Spirit, spirit of the coin. Spirit, spirit of the coin. Spirit, spirit of the coin. “Please come and play with us”. Lebih kurang macamtu laa ayatnya.
Pada mulanya suasana yang sunyi bertukar menjadi seram sejuk. Seolah-olah angin menghembus ke arah kami berlima memberi isyarat kedatangan entiti yang tidak diketahui asal usul. Soalan demi soalan kami tanya, duit syiling itu bergerak ke kiri dan ke kanan ke arah huruf-huruf dan membentuk satu ejaan bagi menjawab setiap soalan yang kami ajukan. Tahu laa kami bahawa kami telah berinteraksi dengan satu roh perempuan yang telah m**i dibun*h.
Roh tersebut menyatakan bahawa namanya Mawar dan dia telah dibun*h oleh askar Jepun dengan d*******l kepala sehingga terpisah dari badan. Apa yang paling menakutkan kami ialah Alice memberitahu bahawa jasadnya telah ditanam betul-betul di bawah tapak bangunan asrama yang kami duduki itu. Meremang bulu romaku bila mendengarnya.
Situasi bertukar tegang apabila roh Mawar enggan pulang ke tempat asalnya sejurus selepas kami ingin menamatkan permainan itu. Ye, sepatutnya selesai bermain, roh itu perlu dihantar balik. Tetapi roh Mawar bertegas dia mahu salah seorang dari kami mengikutnya balik. Pujukan kami tidak menjadi kerana roh Mawar bertegas tidak mahu balik selagi salah seorang dari kami tidak mengikutnya.
Tiba-tiba Lina menjerit nyaring sambil merenung kami dengan matanya yang merah. Lina bangun dan terus berjalan meluru ke pintu dorm. Keadaan sudah menjadi hinggar binggar kerana sudah ramai yang terkejut lalu terjaga dari tidur apabila mendengar jeritan Lina tadi.
Ustaz datang, kami pun taktau sapa yang panggil tapi yang pastinya kami sangat bersyukur melihat kelibat ustaz di saat itu. Ustaz menyuruh kami membaca Yassin beramai-ramai di dalam asrama. Manakala ustaz dan beberapa lagi cikgu termasuk warden asrama berupaya untuk mencari Lina yang telah hilang dalam kepekatan malam. Kata ustaz walau apa pun terjadi jangan sesiapa keluar dari bilik asrama sebab ustaz cuba elakkan kejadian histeria.
Pencarian Lina berhasil apabila sesudah azan subuh, Lina dijumpai bersandar di batang pokok Jati sebesar pemeluk di hadapan asrama kami. Syukur Lina telah sedar dan dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku.
Sekian dulu buat kali ini. Nantikan sambungan misteri pokok Jati di asrama sekolah SMK kerana pokok tersebut juga mempunyai kisahnya yang tersendiri.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit