Penyewa luar negara

Assalamualaikum, saya nak bercerita pengalaman saya tinggal bersama dengan pelajar luar negara. Pada 2011, saya baru sahaja menamatkan pengajian diperingkat master. Sejurus tamat belajar, saya merantau ke negeri Pulau Pinang dan bekerja di sebuah universiti di situ. Disebabkan saya masih baru disitu dan tidak mengenali sesiapa, saya berkawan dengan semua orang di jabatan saya bekerja, tanpa mengira jantina, usia dan kaum.

Setelah bekerja hampir setahun, saya berkenalan dgn seorang pelajar daripada Thailand, saya namakan Mae (bukan nama sebenar). Mae baru mendaftar sebagai pelajar phd dan baru memeluk agama islam. Saya teruja dapat kawan mualaf dan kami agak rapat. Sering kali saya membawa dia ke masjid untuk belajar agama, namun dia agak liat untuk belajar. Katanya terlalu banyak ilmu agama yang perlu dihadamkan. Saya diamkan sahaja, namun saya kerap mengajak di bersolat jemaah bersama, walaupun dia kurang mengemari solat lima waktu. Lama kelamaan, Mae ajak saya tinggal dgn dia dan kebetulan saya memang mencari rumah yang berdekatan dengan universiti. Dalam masa yang sama, bolehla saya mengajak beliau belajar agama bersama-sama.

Setelah beberapa hari mencari rumah, kami berjumpa rumah yang sesuai, rumah teres 2 tingkat dan boleh memuatkan 2 buah kereta. Rumah tersebut 4 bilik, 3 bilik ditingkat atas dan 1 bilik ditingkat bawah. Saya menyewa 2 bilik kecil (1 utk baju dan barang-barang lain, dan 1 lagi untuk tidur) dan Mae menyewa bilik tidur utama (bilik tersebut besar dan lengkap dengan almari pasang siap). Memandangkan cuma kami berdua menyewa, kami bercadang untuk mencari seorang lagi rakan serumah bagi mengibap bilik tingkat bawah. Walaupun Mae adalah pelajar sepenuh masa, Beliau selalu pulang ke Thailand (Bangkok). Menurutnya, dia ada perniagaan disana, dan saya tidak pernah bertanya lanjut mengenai halnya disana. Jadi, kebanyakkan urusan rumah diserahkan kepada saya termasuk bil utiliti dan sewa. Saya juga yang menguruskan hal-hal berkaitan dengan penyewa baru.

Malangnya, penyewa bilik bawah selalu tidak lama, kadang seminggu cuma seminggu menyewa dan masuk minggu kedua, mereka mula meminta kebenaran untuk berpindah, dengan alasan nak tinggal dengan kawan lain. Ada yang memberi alasan susah nak berkomunikasi dalam bahasa inggeris dgn Mae (Mae tidak tahu berbahasa Melayu), dan perbagai lagi alasan yang diberi. Saya terpaksa terima sahaja alasan mereka, kerana tiada kontrak dan saya juga tidak mengenakan deposit.

Hinggalah saya berkenalan dengan berkenalan pelajar di pusat islam yang sedang mencari rumah sewa. Saya namakan beliau sebagai Xue (bukan nama sebenar). Seperti Mae, Xue juga merupakan phd, tetapi beliau adalah rakyat tempatan. Saya memperlawa beliau untuk menyewa dirumah kami dan dia bersetuju. Menurut Xue, dia jarang berada dirumah kerana kajian dia kebanyakkan dilakukan dalam makmal. Jadi, dia akan balik tak tentu masa dan keluar berhari-hari. Saya tiada masalah dengan hal tersebut, lagipun saya cuma tinggal dirumah sewa ada hari bekerja dan pulang ke kampung pada hujung minggu.

Memandangkan Mae selalu pulang ke Bangkok dan Xue menghabiskan masa di makmal, saya selalu bersendirian didalam bilik. Kalau saya pulang daripada tempat kerja, saya jarang keluar bilik dan turun ketingkat bawah kerana saya mempunyai kelengkapan seperti televisyen dan peti sejuk mini didalam bilik. Namun kadang-kadang saya perasan, barang dalam bilik saya selalu teralih. Kadang-kadang saya terjumpa barang saya di dapur, bilik Xue dan ruang tamu. Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka mungkin Xue masuk bilik dan meminjam barang-barang saya. Perkara tersebut belarutan sehingga ada rakan sekerja baru dipejabat bernama Ika dan saya kerap melepak dirumah beliau.

Suatu hari saya mengajak Ika datang bermalam dirumah saya. Kebetulan Mae ada dirumah dan saya memperkenalkan Ika dgn Mae. Tetapi Ika kelihatan tidak selesa apabila berjumpa Mae. Bila tinggal kami berdua, Ika kata Mae seperti ada sesuatu. Bila saya tanya, sesuatu yang bagaimana? Dia tidak dapat menjelaskan secara terperinci, hanya rasa tidak selesa bila berbual dengan Mae.

Suatu hari, selepas waktu kerja, saya mengajak Xue makan-makan diluar dan dia OK. Mae tak ada dirumah, katanya ada hal di Alor Setar. Ketika saya makan dgn Xue, dia mula bercerita, dia bertanya kepada saya, tak rasa panas ke rumah kita? Sy menafikan soalan Xue. Namun menurut Xue, dia sering berasa seram ketika berada di rumah sewa kami, kadang-kadang bila waktu malam, dia dengar ada bunyi orang main guli di tangga. Kadang-kadang ternampak kelibat budak berlari. Saya pun teringat perihal barang-barang saya yang selalu teralih lalu bertanya kepada Xue, dia ke yang selalu masuk bilik bilik untuk meminjam barang? Dia kata dia tidak pernah naik atas kalau saya tiada.

Menurutnya, dia berasa seram-sejuk apabila lalu depan bilik Mae (bilik Mae bertentangan dengan bilik saya, tapi sentiasa berkunci). Saya nasihatkan Xue supaya abaikan sahaja perasaan takut itu dan memperbanyakkan membaca al-quran dan beribadat. Lagipun saya tak pernah dengar atau nampak perkara pelik kecuali barang teralih (hijab saya tertutup sepenuhnya).

Suatu Jumaat, saya tidur dirumah Ika, dan hujung minggunya saya terus balik ke Kedah. Xue ketika itu memang ada dirumah dan Mae pulang ke Bangkok. Pada hari Isnin selepas waktu kerja, saya pulang kerumah sewa. Kebetulan Xue ada dirumah dan bertanya kepada saya, kenapa tidak keluar dari bilik hujung minggu lepas. Saya kehairanan dan saya memberitahu saya memang tiada dibilik kerana pulang ke kampung seperti biasa, dan Xue terkejut. Menurut Xue, dia terdengar bunyi dibilik saya seperti ada seseorang diatas dan dia yakin itu adalah saya. Siap dengar saya bercakap dan melakukan tutin harian seperti mandi, membasuh, mengemas dan menonton. Dia ada memanggil saya untuk makan bersama, namun saya cuma menjawab dari dalam bilik, tidak mahu keluar. Terus saya cuak untuk masuk kebilik sendiri. Sebaik masuk kedalam bilik, terkejutnya saya bila didapati bilik saya berselerak dan peti sejuk terbuka luas. Kesannya malam itu, saya paksa Xue supaya tidak pergi ke makmal dan teman saya tidur. Lampu bilik dan bilik air saya biarkan terbuka. Bila kejadian seperti ini kerap berulang, saya dan Xue mengesyaki bahawa rumah kami berhantu.

Untuk berpindah dan mencari rumah sewa, ianya agak sukar, kerana Mae jarang berada dirumah dan rumah sewa lain agak jauh daripada universiti. Kami tiada pilihan lain selain memperbanyakkan ibadah. Hinggalah suatu hari, Mae pulang daripada Bangkok, menangis dan menceritakan hal berkaitan dirinya kepada saya dan Xue. Rupanya, dia mualaf bukan kerana dia berminat masuk islam, tapi dia kahwin senyap-senyap dan jadi isteri kedua kepada lelaki melayu yang tinggal di Alor Setar.

Suaminya itulah yang memberi modal untuk dia berniaga di Bangkok. Yang lebih memeningkan Mae sebenarnya adalah isteri orang lain ketika itu, dan suaminya ada di Thailand. Disebabkan dia takut isteri lelaki melayu dan suami Thailand mengetahui hal ini, dia berjumpa dengan bomoh siam di Thailand dan menanam pelindung didepan rumah kami. Dan dia juga amalkan mantera siam di rumah sewa kami. Tujuannya untuk memastikan suami melayu itu, angau dan ikut telunjuk dia. Selain itu, dia ada juga amalkan ilmu pengasih (sebab itu dia boleh buka perniagaan di Bangkok). Bila bermacam-macam ilmu sesat yang diamalkan, tidak hairanlah makhluk halus mengikut dia. Kerana itulah kami (terutama Xue) mengalami peristiwa yang pelik.

Tapi disebabkan kami makin kerap beribadah dirumah tu, makhluk yang mengikut dia mula tidak tenteram dan menghantui dia semula. Kesannya suami Mae di Thailand dan isteri ketua suami melayunya tahu perbuatannya dan mula menyerang Mae. Rupanya-rupanya rumah sewa yang selama ini kami ingatkan berhantu, bukanlah disebabkan ada penunggu, tetapi hantu luar yang dijemput oleh Mae disebabkan pemujaan dan amalan sesat dia. Patutlah penyewa sebelum tidak dapat bertahan, seminggu dua menetap sudah lari. Saya dan Xue ternganga mendengar cerita Mae. Nak minta Mae buang pun tidak tahu caranya, kami cuma mampu pasrah sahaja.

Selepas daripada hari tersebut, Xue semakin kerap menghabiskan masa di makmal dan saya menumpang dirumah Ika. Hubungan kami dengan Mae makin lama makin renggang dan pada 2015, saya mendapat tawaran berkerja di negeri lain. Selepas saya keluar rumah tersebut, Mae turut menyusul namun saya kurang pasti kemana dia pergi. Xue tinggal seorang kerana pengajiannya hampir tamat. Xue ada menceri penyewa baru, namun semua tidak bertahan lama, paling lama 2 bulan.

Pada tahun 2016, Xue tamat belajar dan bekerja di KL. Ada kawan lain memberitahu bahawa Mae tamat belajar, namun agak lewat dan Kembali ke Thailand. Tapi disebabkan saya dan Xue dah hilang kepercayaan terhadap Mae, kami terus putuskan hubungan dengan dia. Status Mae dengan suami-suaminya juga tidak diketahui, begitu juga dengan status agamanya…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ita
Rating Pembaca
[Total: 64 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.