Perkhemahan : Seru Namanya

Berdasarkan kisah sebenar yang aku olah sedikit, dan inilah cerita aku.

Setiap tahun aku akan ikut serta dalam Perkhemahan Peringkat Kebangsaan. Tahun itu, lokasi kami adalah di Kem Kem Sri Ledang, Tangkak, Johor. Kem Sri Ledang waktu itu sebuah kawasan pedalaman yang jauh dari hiruk pikuk bandar, dikelilingi hutan paya dan tasik yang membisu. Kata cikgu, tempat itu penuh lagenda dan sejarah kelam; pernah menjadi markas tentera Jepun sewaktu penjajahan. Ada kisah-kisah yang tak pernah diceritakan secara rasmi dan sekadar berbisik antara generasi ke generasi.

Malam Pertama
Kontinjen kami tiba agak lewat, hampir melepasi waktu Maghrib. Kontinjen lain sudah selesai daftar masuk, ada yang mula berkumpul di dewan dan surau.

“HOI! HEGEH-HEGEH APA TU? LAPOR DIRI! MANDI! SOLAT! MAKAN MALAM”

Suara ketua komander kem bergema, kasar dan nyaring seolah menembus senyap malam seperti berdas-das tembakan.

Kami berlari lintang-pukang ke balai lapor diri dan wakil kontijen mewakili kami untuk lapor diri. Walaupun jasad kami bergerak laju, namun hati aku terasa berat. Ada sesuatu seolah olah ada yang berbisik, tapi aku abaikan. Usai solat, kami diberi kelonggaran untuk makan dan mandi seterusnya melakukan aktiviti pertama pada malma itu. Aku memilih untuk mandi dahulu kerana badan terasa amat berat, seakan ada sesuatu menekan di tengkuk, manakala kawan-kawan lain memilih untuk ke kantin mengisi perut.

Ketika aku melintasi lorong sunyi berhampiran tasik, langkahku terhenti sendiri. Ada bangku kayu tua, dilitupi akar yang menjalar dari bawah tanah. Kabus nipis menyelubungi permukaan tasik walaupun jam baru 8.30 malam.

Dan di situ, jelas aku nampak seseorang.

Dia berdiri di atas air. Tidak bergerak. Hanya melambai perlahan. Seolah-olah memanggil.

Tanpa sedar, kaki aku melangkah sendiri. Otak menjerit “Jangan”, tapi tubuh tak menurut. Bau hanyir tiba-tiba memenuhi hidung cukup menyesakkan dada, pekat dan menyengat. Aku hampir ke gigi tasik.

TAP!

Seseorang menepuk bahuku dari belakang. Nafasku kembali. Peluh memercik seluruh tubuh.

“Kau… nak ke mana tu?”

Suara lelaki itu tenang, tapi matanya tajam menembus jiwa. Lantas dia membacakan sesuatu. Tangan hangatnya meraup wajahku. Tubuhku terasa seperti ditarik keluar dari dasar kegelapan.

“Saya Ustaz Masri. Ketua bahagian kerohanian kem ni. Kau tak apa-apa?”

Aku hanya mampu angguk.

“Kau penat. Cepat bersiap dan lepas ni terus ke kantin, atau ke surau. Jangan lambat malam ni. Nanti kesemua kontijen kau kena denda”

Aku mengangguk lagi walaupun dalam hati, masih terasa bayang lambaian itu mengekori.

Hari Kedua
Hari kedua bermula seperti biasa. Kawad pagi dan seterusnya “Explorace” pada tengahari. Matahari terik membakar tengkuk dan baju kami lencun. Sedang dalam kemeriahan aktiviti, tiba tiba satu jeritan menjerkah langit..

“HUARRGHHHHHH!!! SERUUUUUU NAMAAA AKUUUUUU!!!”

Jeritan itu datang dari seorang peserta lelaki, dari kontinjen Johor. Tubuhnya menggigil, matanya terbalik ke atas. Suaranya bertukar menjadi suara perempuan tua, serak dan berdengung.

Keadaan yang tadi meriah bertukar panik. Ada yang menjerit, ada yang pengsan. Yang lain berdiri kaku, tak mampu bergerak.

Dalam ketegangan itu, aku terpandang ke arah tasik. Perempuan malam tadi yang masih berdiri di atas air. Kali ini, dia menuding jari ke arah aku sambil tersenyum. Senyumannya… sejuk, tapi mencucuk.

Ustaz Masri dan ketua komander datang bergegas, begitu juga beberapa fasilator mengikut dari belakang dan segera mengasingkan peserta yang terjejas. Aktiviti “Explorace” dan beberapa aktiviti petang dibatalkan serta-merta.

Peserta yang dirasuk dan pengsan dipindahkan ke surau. Yang lain diarahkan ke kantin atau kekal di dorm. Hanya sebilangan kami dipanggil ke surau dan diarahkan membaca Yassin.

Malam itu masing- masing tidur lebih awal, masing-masing tidak mengambil pusing kepada peserta yang diletakkan di surau, tapi aku? Malam itu entah kenapa aku tidak dapat melelapkan mata. Bila aku melihat sekeliling, semua kawan tidur dengan tingkap dorm terbuka. Dari kejauhan terlihat perempuan malam tadi yang duduk di tepi tasik. Tangannya pegang kepala. Tapi kepala siapa?

Misteri yang tak pernah terjawab…

Hari ketiga.
Pagi esoknya, kami dikejutkan sesuatu yang mengganggu jiwa kami semua. Peserta yang kerasukan hilang.

“Dia lari waktu Subuh,” kata salah seorang staf kem. Mukanya cemas. “Kami syak dia ke arah tasik itu.” Kata seorang fasilator, wajahnya jelas cemas.

Sekali lagi… tasik. Nama itu semakin kerap disebut. Semakin dekat di hati. Suara malam tadi… aku masih ingat lambaiannya. Seperti menyeru.

Kami diarahkan teruskan aktiviti. Sementara itu, pasukan fasilator mula menyisir kawasan sekitar tasik.

Beberapa jam kemudian dan ketika itu kami di surau, fasilatator menjerit kuat,

“Dah jumpa! Dekat pokok besar belakang tasik!”

Kami berlari, tapi dihalang di satu jarak. Dari jauh, kami nampak peserta lelaki, dari kontinjen Johor itu duduk bersila di pangkal pokok besar, bajunya kotor dengan lumpur, matanya kosong, jelas seperti terpinga-pinga seperti orang baru lahir dari mimpi ngeri.

Ustaz Masri membaca doa sambil memayunginya. Wajahnya tegang.

Lewat petang itu, aku dipanggil Ustaz Masri ke surau.

“Kamu tahu tak apa yang dia cerita tadi?”

Aku hanya mampu menggeleng, meski hatiku menduga sesuatu.

“Malam tu… dia dengar suara perempuan menangis di luar surau. Suara merayu-rayu… panggil nama dia. Dia ikut. Dia nampak perempuan yang kamu ceritakan. Berdiri di tepi tasik, melambai.”

Sambung ustaz lagi..

“Tapi dia tak ke tasik. Dia ikut suara tu ke satu pokok besar. Di situ… ada lima atau enam ‘perempuan’ lain, berpakaian lusuh. Duduk bersila dalam bulatan. Wajah mereka kabur. Salah seorang bangun… dan mula baca sesuatu dalam bahasa aneh.”

Ustaz berhenti seketika, menarik nafas.

“Mereka tak ganggu. Tapi mereka cuba gunakan dia… sebagai pemanggil.”

Aku terdiam sejuta bahasa. Bulu roma aku mula meremang. Ligat otak aku berfikir dan mencuba faham apa maksud ustaz. Tapi semakin aku fikir, semakin aku ingat satu perkara yang aku hampir lupa pada malam pertama itu aku pun hampir ke tasik. Aku juga hampir ikut lambaian itu. Tapi aku diselamatkan oleh Ustaz Masri. Kalau tak… mungkinkah aku yang duduk di bawah pokok besar itu pagi ini?

Sebelum bersurai, Ustaz Masri berkata..

“Perempuan tu bukan hantu biasa. Dia bukan nak kacau. Dia nak dikenang. Tapi… dia tak boleh pergi tanpa orang yang ‘mengingatkan’ dia.”

Menurut lagenda, “Tasik itu… pernah jadi tempat pembuangan mayat semasa penjajahan Jepun. Perempuan yang kau nampak tu… antara mangsa. Mungkin dia menunggu giliran untuk ‘diseru’ keluar dari situ.

Malam Terakhir
Aktiviti terakhir diteruskan dengan pengawasan rapi. Malam itu, kem kembali sunyi dan kesemua tidur awal memandangkan kesemua aktiviti bermula dari pagi membawa sampai malam.

Aku cuba lena. Tapi jam 2.46 pagi, aku terdengar bunyi ranting patah — betul-betul di luar dorm.

Sunyi.

Kemudian…

Diikuti satu suara… sayup. Serak. Tapi cukup membuatkan jantung berdebar.

“Tolong aku… aku terseksa…”

Hari Terakhir
Aku akhirnya terlelap jua tapi entah pukul berapa. Aku terjaga bila muazin melaungkan azan Subuh dari surau.
Serta-merta, suasana sunyi dalam dorm bertukar cergas. Kami semua bergegas ke surau untuk menunaikan fardu wajib. Seolah-olah malam yang panjang itu akhirnya terlerai..

Pagi itu, kem diteruskan dengan majlis penutup. Anugerah disampaikan kepada pemenang-pemenang aktiviti sepanjang perkhemahan. Kawad kaki dinobatkan sebagai juara bagi kontinjen kami.

Semua bersorak, ketawa, dan bergambar, tapi dalam ramai itu, aku rasa seolah-olah sedang diperhatikan. Senyuman aku… dibuat-buat. Ada rasa dalam dada yang tak padam sejak malam pertama.

Dalam perjalanan pulang menaiki bas, aku duduk di tepi tingkap. Mata merenung jauh ke luar, ke arah kawasan sekitar kem.

Tiba-tiba… bayangan seseorang berdiri di bawah pokok besar. Sekejap sangat tapi cukup untuk buat jantung aku tersentak. Rambutnya panjang. Bajunya lusuh. Tangannya terangkat… melambai perlahan.
Aku pejam mata rapat-rapat. Bila aku buka semula, pokok itu sudah hilang dari pandangan. Tapi… rasa diperhatikan itu masih tinggal.

Beberapa minggu selepas balik dari kem, aku masih terjaga pada waktu-waktu ganjil. Kadang-kadang, terdengar seperti suara sayup memanggil dari luar tingkap bilik. Sama seperti malam itu di tasik.
Kadang-kadang pula… bila aku berdiri di hadapan cermin, aku dapat lihat kabus nipis di belakang. Seolah-olah… dia cuba berkomunikasi.

Atau mungkin, dia belum selesai.

Atau mungkin… aku yang sebenarnya dah ‘membuka jalan’… untuk dia.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali” – Al-Baqarah (155-156)

Langkah Sufi
15 Julai 2025 (Selasa)

Langkah Sufi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.