Selamat Hari Raya Eidul Fitri diucapkan kepada semua Die Hard Fan FS, mohon ampun maaf zahir dan batin. Maaflah kalau cerpen saya berbelit-belit tambah lagi dihiasi akar rotan. Saya orang hulu, adat menumpang ditepi bahasa. Ditolak jatuh kali, dikelik tidak berguna. Ok continue cerpan tanpa flower-flower, Sihir Siam; asal geruh tidak berbau.
“ Mat Amin wake up, wake up” gerutu Sudin Komando mencebik muka. Sudah Subuh. Beduk dipalu berselang-seli memecah keheningan pagi. Sejuknya menikam sum-sum tulang-temulang. Aku menghayun kaki lantas mencapai siwak diatas para. Bersugi. Siap mandi di kali, aku berlari anak menuju ke surau menunaikan amanat dan amanah sebagai mukmin.
Ayah, Pak Long dan Sudin Komando di saf hadapan. Suasana berjemaah Subuh seperti di kampung. Bauan kasturi dan bunga kesidang betul-betul menyegarkan. Usai Subuh, kami dihidangkan secangkir kopi oleh imam surau tanda berkenalan dengan tetamu baru bertandang. Panjang juga perbualan mereka dan banyak berkisar hal kejadian semalam. Tok Imam mengatakan seisi kampung terkejut dengan bunyi kilat sahut menyahut, namun tidak pula hujan.
Tetapi riak muka wajah imam seperti air tenang di kali, dia mesti sudah terduga namun berahsia ditepian bibir..cewahh..
“Amin mari sekejap” ayah memanggilku di kaki serambi. Lalu perlahan-lahan aku bersimpuh menyantuni ayah. Pak Long masih lagi di surau. Hanya kami bertiga sahaja pulang ke rumah untuk bersiap-siap ke Utara Yala. “Ini” ayah menunjukkan sebungkus kain hitam diikat rapi, dililit pula benang kuning.
Menakutkan tetapi perasaan ingin tahu lebih memuncak. “Keris ini, 7 lok tanpa pendok, pendoknya bersama Pak Long hang” ujar ayah menjulang hujung janggut keris mencacah awan. “Peninggalan atok hang kepada ayah dan Pak Long, begitu juga cincin aked batu biru ini, ada jantan dan betina” ayah menunjukkan cincinnya di jari manis. Aku tidak berapa minat cincin yang ditunjukkan namun mataku lebih terarah pada pamor keris. Bercorak mayang, tersusun cantik dan berseni. Hulunya bertahtah batu aked retak seribu.
Aku betul-betul tertarik. “Kegunaannya untuk tujuan baik dan diwaktu kecemasan sahaja, mungkin selepas ini ayah dan hang pun tidak dapat melihatnya lagi” ujar ayah membungkus kembali keris 7 loknya cermat. Ehemmm..Pak Long berdehem, tercegat di belakang ayah. “Tak payah tunjukkan pada budak-budak, nanti difikirkan bukan-bukan kita ni” ujar Pak Long menaiki anak tangga.
Sebelum matahari naik segalah, kami tiba di Utara Yala menaiki mobil. Keadaan hiruk-pikuk dengan manusia menguruskan pekerjaan masing-masing. Ada yang bergandar ada yang menghilir sudah cukup menggamatkan suasana Pekan Yala. Aku terhibur dengan gelagat manusia di sini.
Ayah dan Pak Long hanya bertindak mendiamkan diri didalam mobil. Diperhatikan setiap inci selok-belok bangunan Pekan Yala. Sudin Komando hanya mengikut arahan ayah. Kiranya arahan ayah belok ke kanan, maka beloklah mobil ke kanan, andai katanya belok ke kiri jadi beloklah mobil ke kiri.
Sehinggalah kami berhenti betul-betul di hadapan rumah agam 2 tingkat. Rumah yang dipagari pepohon Teja membelakang matahari. Ayah menghela nafas panjang tanda sudah hampir ke matlamat. Dengan langkah kanan, kami beristighfar dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan doa Nabi Yunus as. Tokk..tokk..tokk… ketukan kami berselang-seli menunggu disambut. Kali kedua kami memberi salam membelakangi pintu rumah resam tetamu, entah diundang entah tidak. Akhirnya salam kami dibalas. Alhamdulillah, betapa girangnya Pak Long melihat adik saudaranya muncul di muka pintu.
Ayah hampir saja menitiskan air mata. Kami dijemput masuk. Cik Noi tersenyum indah melihat aku dan Sudin Komando lalu berpaling mengekori ayah dan Pak Long. Aku sedar lirikan matanya ada geruh di hujung kelopak menanti. Kami berbual-bual sambil Cik Noi hidangkan teh O suam nipis dan sejenis biskut di atas meja kayu medang.
Di dinding rumah pula, tersergam gambar perkahwinan Cik Noi dan suaminya di watt. Ayah pandang endah tidak endah. Dihujung dapur aku dapat melihat kepulan asap nipis dan bauan setanggi. Sangkaan aku ialah kemungkinan Cik Noi tengah bersembahyang sewaktu kami mengetuk pintu rumahnya. Sehinggalah ayah meminta izin untuk kami mendirikan solat Zohor dirumahnya, barulah wajah Cik Noi berubah kelat. Di bilik tingkat atas, Cik Noi membentangkan kami permaidani merah bercorak batik, lalu meninggalkan kami menunaikan kewajipan. “Huh dibentangnya kita melawan kiblat” bukannya aku bodoh ujar Pak Long. Lantas, Pak Long membetulkan kembali permaidani mengikut arah kiblat.
Hazihi jahannamullati kun tum tu adunn..Braapp brapppp bunyi hentakan kuat dari aras bawah usai sahaja Pak Long membaca doa dan ayat suci Al-Quran Nur Karim. Kami bergegas tambah pula diselang pekikan kuat Cik Noi di balkoni rumah agamnya. Cik Noi kelihatan terbaring, mulut mogelnya berbuih-buih hijau. Sudin Komando kelihatan kelam-kabut, semuanya serba tak kena. Perlahan-lahan Pak Long meminta Sudin Komando bertenang.
Lalu, ayah dan aku memapah Cik Noi ke atas sofa berukir corak bunga rotan dan dibersihkan muntahnya. Terdapat kesan air liur membasahi hujung bahuku, baunya betul-betul meloyakan diselit bau hancing yang kuat. Seketika, Cik Noi mulai sedar namun masih kebinggungan. Buah percakapannya juga tidak tahu hujung pangkal. Kami membiarkan Cik Noi berehat dan tidur sementara menunggu suaminya pulang dari kantor.
Sehinggalah Maghrib muncul diteman kuntum-kuntum senja yang gugur. Tiada kedengan suara bilal mengalunkan azan seperti biasa. Namun tidak bagi kami. Rukun Islam yang kedua tetap dipegang erat. Selesai wudhuk, kedengaran bunyi deruman mobil dari bawah disertai esakkan dan tangisan. Pak Long memulakan solat Maghrib dengan Al-Fatihah berselang Ayatul Kursi dan Surah Al- Hasyr “lau anzalna hazal quran a’la jabalin la raaitahu khosyian mutasaddian min khasyatillah..” diiringi tempikan dari bawah.
Selesai berjemaah, ayah dan Pak Long tenang menuruni anak tangga, manakala aku dan Sudin Komando memerhati dari atas tangga tak ubah seperti biawak menghendap ayam. Anak mataku berlari-lari di setiap ceruk sudut rumah. Namun pandanganku terhenti. Hatiku gementar. Melihat satu bilik dialangnya dihiasi kain kuning bersama karangan kuntum melur. “Lihat” Sudin Komando mematikan pandanganku. Berlaku pergeseran dan pertengkaran diantara Pak Long dan seorang lelaki. “Tak patut hampa dua buat macam ni” suara Pak Long meninggi.” Ini semuanya melanggar syariat, hampa dah murtad, hampa semua dah menyimpang jauh” Pak Long mendengus marah. “Hampa dua orang ikut kami balik kampung, jangan ditunggu lagi. Rumah ini tak aman, “ kedengaran suara ayah bernada memujuk. “ Tapi bagaimana? Tak kan saya nak tinggal semua ini, bagaimana dengan tanah dan rumah-rumah? Apa kata keluarga saya di sini?,” suara lelaki yang aku duga suami Cik Noi mencelah. “Hang anak jantan, tapi hang penakut, depa permainkan hang, tapi hang tak sedar. “Aku tau, sebab arwah ayah hang dah beritahu semuanya kat aku,”bentak Pak Long. “Harta, tanah dan rumah ni tetap milik hang, ada orang yang mau mengambil kesempatan kat hang,” gerutu Pak Long. Namun seketika, Alhamdulillah, keadaan semakin reda dan tenang.
“Jemputlah makan semua” suami Cik Noi menghulurkan segelas air sejuk kepadaku. Gembiranya hati, santak pagi aku belum pun menjamah sebutir nasi. Namun dalam diam, Pak Long mencuit pangkal lututku. Digeleng kepalanya agar aku menjauhi hidangan berpinggan hijau. Mungkin non-halal food kot. Alhamdulillah, selesai menjamu selera, ayah dan Pak Long berbual panjang bersama suami Cik Noi di balkoni ala kolonial gitu. Aku turut serta, manakala Sudin Komando bersandar menghisap rokok Lucky Strike soft pack di dinding bangsal. Pak Long mengusap bahu suami Cik Noi seraya “ Kalaulah Pak hang masih hidup, tak mungkin semua ini boleh terjadi, tapi semua kehendakNya untuk ujian kepada kita”. “Biarkan kami tolong hang dan Cik Noi, sebelum melarat,” ujar ayah. “Bagaimana dengan mak tiri saya?, nanti diapa-apakan kami. Kasihanilah Cik Noi,” ujarnya lembut mengalihkan pandangan kearah Cik Noi bertambah walang. Aku mengimbas kembali cerita nenek, katanya, ayah suami Cik Noi orang berdagang dari Surathani, orangnya kaya sehinggakan membeli beberapa keping tanah di kawasan kampungku. Isterinya yang tua berasal kampung kami manakala isteri mudanya dari Yala.
Namun, umur tak panjang,pasangan meninggal sewaktu berlaku pertempuran perebutan wilayah disempadan, meninggalkan suami Cik Noi yang ketika itu belajar di High School bersama isteri mudanya di Yala. Kesemua harta sepencarian termasuklah syarikat perniagaan diserahkan kepada suami Cik Noi malah beberapa keping tanah di kampungku. Ketika itulah Cik Noi dan suaminya berkenalan, tambahan, memang Cik Noi menguruskan perniagaan kain dan alat kemas disempadan. Maka, tidak hairanlah mereka menjalinkan hubungan sehingga ke jinjang pelamin. “ Baiklah Long, baiklah Ngah,apa nak jadi, jadilah kali ini. Tidak tertanggung lagi saya dan Cik Noi” katanya mengesat kelopak mata yang berair.
Kami menunaikan solat Isyak berjemaah di bawah rumah bersama-sama.
Namun, sebelum itu kesemua gambar-gambar wedding yang tersergam diturunkan, hiasan sanggul bunga melor dikumpulkan manakala beberapa rajah dipadamkan diseluruh rumah agam kecuali bilik tingkat atas dibiarkan tidak berusik. Kasihan aku melihat suami Cik Noi, kelihatan gugup dan sasau mengambil wudhuk dengan sempurna. Asyik terlupa which one step mengambil wudhuk.
Aku ketawa kecil namun ditegur Sudin Komando. Wahhhh…cantik sekali bila aku terpandang wajah Cik Noi memakai anak telekung berdiri membelakangi bidai, persis Sri Dewi dalam movie Naagin. Hahaha..Ayah memulakan qamat dan Pak Long mengimani kami semua. Tersedu-sedan suami Cik Noi apabila Pak Long memulakan bacaan Al-Fatihah dan Surah Al- Ikhlaas pada rakaat pertama, Qul hu-wal-la-hu a-had; Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”, sehinggalah habis bacaan. Usai solat jemaah Isyak, Cik Noi menangis bagai budak kecil kehilangan ibu. Mungkin meratapi hidupnya yang terumbang-ambing patah kemudi. Tapi telahan aku meleset sama sekali…Prangg..prangg..krekkkkk..
burrrrr… bunyi deruman angin ribut berpusu-pusu dari luar. Masya Allah..masyaAllah ucapku beberapa kali sambil memegang bidai langsir rumah yang bergetar. Dentuman jendela kaca silih berganti menunggu retak berderai dipalu deruan angin ribut. Apakah geruh yang dicari sudah bertamu?
Ribut. Kali ini betul-betul diluar dugaanku.Deruannya bagai membelah pepehon Teja di hadapan rumah. Semuanya hampir tersujud di laman tak tertahan. Ada yang sudah terbongkah banir akar dibadai bertalu-talu. Ayah pula bergegas menaiki anak tangga di tingkat atas. Diselang-seli deruman badai terdengar bunyi anak loceng dan juraian manik berlaga sama sendiri. Ayah dengan baju layangnya melompat dari tangga bongsu. “Buka pintu tu!” jerkah ayah sambil membuka kuda-kuda menggenggam keris bertahta aked biru. Lemah lutut aku dibuatnya.
Terketar-ketar jari jemari Sudin Komando membuka pintu. Cik Noi pula terkulai rebah di adang Pak Long dan suaminya. Aku? Aku dibelakang sofa kayu meranti. Terdengar bunyi wirid berlapis-lapis di udara seperti kejadian semalam. Butir-butir wiridnya seakan dialek Siam membaca mantera berulang-ulang.”Auzubika limatillahi tammati minsyarima Kholaq” Pak Long membacakan sepotong ayat suci sambil berdiri disisi suami Cik Noi. Langsung tidak berganjak bagai bersatu dengan lantai. Mulutnya terkumat-kamit tidak berhenti.
Bammmmmm….bammmmmm..terperosok Sudin Komando ke celah gerobok apabila pintu terkuak sendiri bagai dirempuh sekawan gajah naik minyak memasuki rumah. Terkulai sisi pintu. Tak tertahan deras deruan ribut merobek isi rumah.
“qola musa maji’ tum bihis sihru in nallaha sayub thiluhu, innallaha la yushiluhu ‘amalal mufsidin” Pak Long mengulang-ulang sebaris ayat suci sambil mengisar tapak tangan. Matanya merenung puing-puing yang tertahan bagai dihadang tembok besar. “Alam taro kaifa fa-ala robbuka bi a
sh-haabil fiil” Pak Long menghabiskan bacaan ayat suci sambil melepaskan buah tinju di kepala angin. Bunyik tempikan gajah memecah ruang tamu bagai gajah dilibas cemeti. Bau hancing gajah menusuk hidung.
Ayah daripada membuka kuda-kuda,kini bersila kemas. Bibir ayah yang dilindungi misai hitam terkumat-kamit. Matanya dipejam rapat. Digenggam kejap hulu keris 7 lok bergading menikam lantai. Berjurai keringat membasahi baju layang bertulang merah yang dipakainya. Haahhhhhhhhhh…”melayanglah hang pada muasal!!!” bentak ayah melepaskan kerisnya tak bertangguh melayang bagai putus tali . Bergetar rusuk bahu ayah membendung amarahnya bukan kepalang. Ayah melompat membuka kuda-kuda sambil tangan kiri memegang tempurung lutut.
Pelepah kanannya mencacah awan seakan menghunus keris. Sudin Komando serba tidak kena. Tidak tahu apa yang patut dibuat dalam keadaan kelam-kabut sebegitu. Pak Long masih lagi berdiri mendepang tangan di hadapan Cik Noi dan suaminya yang turut rebah. “Huwallazi yurikumul barqa khaufa watama ‘anw wayunsyi us-sahabas thiqala..”bentak ayah melepaskan bayang Gayung bunga garuda . “Bangunlah hang muasal kejadian, tunjukkan rupamu dihadapanku” merah padam muka ayah ketika itu. “Jangan berdalih lagi didepan aku, lepaskan segala ikatan, putuskan segala perjanjian, atau disini hang binasa” bentak ayah menahan kemarahan yang meluap-luap.. “ Nahhh!!! Hang rasakan ni” tempik ayah menghunus telapak tangannya di hadapan beberapa kali. Deruan ribut menerpa ke setiap sisi rumah, malah disambut tempikan sekawan gajah dari tingkat atas. Bagai menikam sesuatu yang tidak dapat dilihat. Allah hu Akhbar…Allah hu akhbar..Pak Long mengalunkan azan berdiri menghadap bucu kiblat. Bagai huruf Alif tegak berpasak. “Alam Tara Kayfa Fa-Ala Rabbukka Bi-As-Haabil-Fil..” Pak Long berdiri menghabiskan bacaan Surat Al-Fill. Alunan bacaannya bagai sinar merobek awan gelap. Bergenang air mata dikelopakku tidak dapat dibendung. Bauan belerang menyelubungi pelusuk rumah agam diikuti hanyir darah pekat datang dari mana. Deruman ribut mula berkurangan meninggal puing-puing berkejaran. “Pulanglah ke ganggang, urusan aku disini sudah selesai” bisik ayah menghela nafas di telapak kanannya yang rapuh.
“ Marilah kita ke atas, tinggalkan Dik Noi dan suaminya dahulu” ujar Pak Long memegang bahuku. Sudin Komando bagai hilang tempurung kaki. Lemah-longlai menaiki anak tangga. Tercuit hatiku melihat telatah Sudin Komando. “Bukakan aku pintu ini” pinta ayah. “Jangan khuatir, semuanya sudah selesai, tiada apa yang perlu dirisaukan” sambil ayah merenung mataku yang dibayangi ketakutan. “Ini lah tumbalnya” ujar Pak Long apabila pintu dibukakan. Tersergam patung gajah berkepala dua retak seribu menyembah lantai bilik. Bauan belerang menusuk hidungku. “Esok kita ikhtiar untuk hanyutkan tumbal ini” kata Pak Long sambil menutup kembali pintu agar bauan belerang tidak merebak.
Ayah mendapati Cik Noi dan suaminya seperti nyawa-nyawa ikan. Diusap lembut raut wajah mereka sambil tersenyum tanda segalanya sudah berakhir. Seketika, suami Cik Noi membuka kelopak mata bingkas menangis memeluk ayah. Katanya, dia bermimpi dihambat sekawan gajah yang ditunggangi oleh seorang sami bersama Cik Noi. Amat marah sami berkenaan apabila kawanannya dihujani batu panas dari udara sehingga tiada tempat berlindung. Muncul pula kelibat yang menunggangi kuda putih sepantas kilat merebut Cik Noi daripada sami berkenaan. Dipalu kepala sami sehingga tak tersisa pedihnya.
Akhirnya sami berkenaan terkulai disambar petir dan dihimpit gunung bersama kawanan gajahnya. “Usah diceritakan lagi, bersyukurlah pada Allah swt kamu semua sudah selamat” ucap Pak Long menyimpulkan keadaan. Cik Noi perlahan-lahan membuka mata terpinga-pinga kebingungan.
Melihat seisi rumah agamnya berselerakan bagai dirempuh gajah. Namun ditenangkan suaminya perlahan. Aku berdiri lantas menghayun kaki keluar balkoni menemani Sudin Komando merenung bulan bersarang awan hitam. “Alhamdulillah bang, esok bolehlah kita balik ya. Aku belum siap homework,” ujarku perlahan. Sudin Komando hanya mengangguk, tersenyum memandangku sambil menghembus kepulan asap rokok. Dari luar, kedengaran deringan telefon dan juga suara tangisan suami Cik Noi. “Dengki khianat orang selagi bersarang bagai sungguh kawad yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang”.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Citer best 7/10
10/10 bahasa yang indah.
Nama x boleh panjang lagi ke?? 😂
Alaaa..nak lagiiiiiii
Sila sambung secepat mungkin
Cerita best. Gaya bahasa yang menarik.. Teruskan menulis lagi ya .
aq dh bce part 1 hari tu..pastu mcm alamak..sambung la plak..mesti amik masa ni nak timbul balik2..bila bukak2 page ni..tbe2 nampak smbungan, trus “yes!”..haha..thanks penulis.
memang terbaik penulis. harap ada cerita lain lagi lepas ni ye. terima kasih
asal ada b.inggeris b.melayu adoiii
manis bahasa melayu dulu kala
Wahh ada sambungan lagi??!!
akhir nye sambungan part 2 .. d=)
Yer setuju sambung cepat yer
Wassalam..alhamdulillah.terima kasih semua..asal muasal sireh djunjung
Aral melintang ditolak jangan
Adat hamba dayang senandung
Acuh kawan adat berkawan
Penggunaan bahasa yg mantap.. Cerita macamni lah yg kami mahu.. 👍
thanks utk penulis . tnanti2 aku dibuatnya tnggu cerita ni.. 100/10. perfecttt .
Wehh ada sambungan lagi ke? Sedap gila baca..
manehnya bahasa hang duhai penulih mat tepuih
Cerita mcm ni teringat aku baca kisah tamar jalis
Wahhh best arr …Penulisan yg amat baik dan senang nak faham. 10 bintang utk penulis
Berdebar2 baca cerita ni mcm real blku dpn mata.. Mntaplh!