Pondok

Malam tu hujan turun dengan lebat sekali. Aku sempat berteduh di satu pondok usang yang aku sendiri tak tahu kat mana. Nak teruskan perjalanan tak boleh. Dengan keadaan tayar motor hampir botak, mengundang bahaya jika aku teruskan perjalanan.

Jam di tangan menunjukkan sudah hampir pukul 11 malam, keadaan yang semakin sejuk tidak menandakan hujan akan berhenti sekejap lagi

Sesekali guruh berdentum dan kilat saling sambar menyambar seolah – olah ada peperangan di atas langit.

Setelah hampir 1 jam aku tunggu disitu, tiba – tiba aku perasan di arah aku datang tadi ada seorang perempuan berlari anak ke arah pondok yang aku duduk.

Satu perasaan seram bila memikirkan adakah ini perempuan betul atau bukan. Jika dilihat kaki nya jejak ke tanah dan pakaian tidak seperti kisah – kisah hantu dimana dia memakai seluar jeans dan t-shirt kuning berlengan panjang serta bertudung.

Sampai sahaja disitu dia terus menegur

“Tumpang kejap ye bang. Tadi tak hujan, tiba – tiba pulak hujan lebat macam ni.”

“Tadi?” aku mula pelik, setahu aku hujan dah dekat sejam dia cakap tadi tu macam sekejap je.

Perasaan aku mula tak sedap, tanpa fikir panjang aku bangun untuk beredar dari situ. Belum sempat melanngkah kedepan, perempuan tu membuka mulut.

“Abang tahu apa apa pasal kereta tak?”

Aku hanya menoleh ke arah dia.

“Macam ni bang, kereta saya dekat belakang sana tu rosak, tiba – tiba m**i. Minyak ada lagi, bila on kunci tak ada yang menyala.”

“Abang boleh tolong tengokkan?” perempuan tu bertanya lagi.

“Er, nama kau apa?” teragak – agak aku menyoal.

“Eh, lupa pulak. Saya Putri Qaseh, panggil je Putri.”

“Kereta apa kau pakai?” aku menyoal lagi untuk kepastian, mana tahu dia kata kereta kuda pula, aku terus angkat kaki dari sini.

“Kereta axia je bang. Kenapa?” Putri menjawab.

“Tak ada apa, saja tanya. Kot – kot kereta pelik – pelik ke yang aku tak tahu.” lega aku dengar bukan jawapan yang merepek.

“Jadi boleh tolong tak ni?” Putri menyoal.

“Haa, boleh – boleh. Kau naik belakang, gerak sekali. Tak jauh kan?” tanya aku sambil naik keatas motor.

Aku mula hidupkan motor dan bawa kearah kereta yang Putri cakap rosak. Bila dah jauh sikit dari pondok tu, baru aku perasan belakang pondok tu kubur. Dekat pula jarak dengan pondok tu, meremang bulu tengkok aku.

Sampai di kawasan kereta Putri aku jadi pelik. Tadi hujan bukan main lebat sekarang keadaan kering. Jalan pun tak basah. Sedangkan jarak kereta ni dengan pondok kira – kira 400 hingga 500 meter sahaja. Dan lagi pelik adalah dari arah kereta ni boleh nampak pondok tu, tak hujan pun kelihatan dari arah sini.

Bila aku dekat pondok tadi tak nampak pula kereta ni, gelap semacam dan satu lampu pun tak ada. Dekat sini elok je lampu jalan semua berfungsi. Seolah – olah dalam dimensi yang lain.

Putri terpinga – pinga melihat aku.

“Kenapa bang?” Putri bertanya.

“Kau nampak pondok tu?” tanya aku.

“Nampak. Sebab tu saya pergi dekat abang. Kereta saya saya tak rosak pun, tapi saya tengok ada benda belakang abang tadi. Saya rasa ada nak yang main – main dengan abang dekat sini.” Jawab Putri sambil menghidupkan enjin keretanya.

“Termenung apa bang? Nak terus atau patah balik? Atau abang nak tunggu dia datang sini je?” tanya Putri sambil ketawa.

Aku pun terus hidupkan enjin motor, sebelum bergerak Putri mengajak aku lepak mamak di bandar berhampiran, katanya tak elok terus balik bila baru lepas kena gangguan macam ni.

Aku pun tanpa banyak soal terus setuju dengan ajakan Putri. Sekurangnya aku terlepas dari gangguan syaitan laknatullah ni.

– TAMAT –

Penulis: Syamsyidee

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 49 Average: 4.6]

1 thought on “Pondok”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.