Pusak- Tragedi Gunung Santubong

Sambungan dari Pusak-Alam Yang Terhijab

……….

“Aok..ibu tok nak”
(Ya..ibu ni nak)
Kucing yang bertukar menjadi wanita tersebut bercakap.

Zakir memeluk ibunya. Wajah ibunya tak berubah sepertimana di dalam foto yang ada dirumahnya, tak berusia sikitpun. Zakir nangis teresak-esak. Keadaan yang asalnya tenang menjadi lebih sayu melihat Zakir memeluk ibunya. Ya! Ibunya yang disangkanya hilang entah ke mana ada di pelukannya.

“Ibuuuuu..bujang rindu ibu” Zakir meluahkan perasaan.

Ibunya hanya senyum tatkala menangis kerana ibunya juga rindu anaknya yang telah lama ditinggalkan sejak kecil. Berlinangan matanya mengenang anaknya Zakir sudah dewasa, malah kacak dan sihat. Alhamdulillah, hatinya tak henti-henti mengucap kesyukuran kepada Hadrat Ilahi.

“Bujangg..sihat nak?” Tanya ibunya.

Zakir mengangguk sambil menyeka air matanya yang membasahi pipi. Zakir takmampu bercakap kerana tangisan akan mengatasi butir-butir kata dari bibirnya.

“Bujang..lan kita makan..lapar nak?”
(Bujang..jum kita gi makan..lapar nak?)

Zakir senyum dan mengangguk tanda perutnya minta di isi dengan sesuatu. Lantas para pengawal membuka jalan ke arah dewan makan. Jejaka yang menyelamatnya tadi juga turut ikut serta. Setia mengikut permaisuri mereka dan Zakir di belakang.

Pintu dewan makan hanya bertiraikan kain langsir dari suasa dan sutera. Ajaib. Terbuka sendiri! Malah automatik diiikat tanpa ada sesiapa pun yang mengikatnya. Di atas dewan ada lukisan yang menunjukkan tamadun bangsa yang mendiami alam itu. Salah satunya kucing. Namun saiz mereka agak besar berbanding kucing seperti Oren.

Kain alas warna kuning keemasan terbang dari mana entah langsung pergi ke tengah ruang makan menyiapkan dirinya agar terhidang makanan sebentar lagi. Para pelayan yang cantik dan kacak berbaju putih semuanya menghidangkan makanan di atas kain alas yang kita gelar saprah.

“Fuh..sunnah betol sidak tok..sikda pake meja..bersila ngan pake saprah eh”
(Fuh..sunnah betul la diorang ni..takde pakai meja..bersila dan pakai saprah la) Bisik Zakir perlahan.

Ibunya senyum melihat Zakir yang gelagatnya kelihatan agak lucu. Mana taknya, alam ini tak dapat diulas dengan logik kebenarannya. Para pelayan sudah pun selesai menghidangkan makanan untuk Zakir dan ibunya. Rupanya alam ini juga makan nasi cuma nasinya lebih wangi, lembut dan panjang sikit berbanding apa yang Zakir selalu santap. Hatta ada yang dihidangkan seperti ayam cuma besar dan sedap sangat. Semuanya nampak luarbiasa dan menyelerakan. Tapi yang menghairankan, banyaknya ikan yang terhidang.

Zakir berselera dan makan apa yang sudah terhidang. Ibunya tak makan banyak, sekadar mengalas perut dan hanya makan ikan.

“Kamekorang suka makan ikan nak” kata ibunya yang merujukkan ‘kamekorang’ kepada golongan kaum ibunya.

“Bu..apa yang berlaku sebenarnya? Sapa kamek? Sapa kitak?”
(Bu..apa yang berlaku sebenarnya? Sapa saya? Sapa ibu?) Tanya Zakir yang masih makan puding.

Ibunya tersenyum melihat sifat ingin tahu anaknya yang berkobar-kobar. Jejaka muda yang menyelamatkan Zakir hanya berdiri di samping ibunya. Diam membisu. Zakir yang duduk di sebelah kanannya menunggu setia.

“Ceritanya camtok nak..”
(Ceritanya begini nak..) Sambil ibunya memegang dada Zakir. Zakir pelik. Tiba-tiba..

TAHUN 1997, GUNUNG SANTUBONG, KUCHING SARAWAK

Zapppp!! Terkejut Zakir!

Anak panah tepat memanah pokok di Gunung Santubong. Zakir berdiri di tepi pokok besar tersebut. Burung-burung berterbangan lari menyelamatkan diri kesan dari panahan tersebut.
Haiwan-haiwan sekeliling juga bergerak menyelamatkan diri. Zakir kaget. Di mana dia sekarang? Ah! Rupanya di sebelahnya ada orang. Zakir kenal sangat orang itu. Ibunya!

Ibunya,Puteri Santun Puteh cemas. Hampir saja anak panah membusur mengenainya. Namun kelebihan bangsanya yang peka dan telinga mereka yang tajam membantu mereka agar lebih bersedia dengan keadaan sekeliling.

“HAHAHAHAHA..menyerah saja kau pusak sial!” Suara jantan lantang kedengaran memecah keheningan hutan gunung tersebut.

Para pengawal Puteri Santun Puteh melindungi puteri. Semua siap dengan kekuda ‘pusak’ mereka. Mata mereka menjadi tajam seperti mata kucing. Kuku mereka memanjang tajam. Semua mendengus seperti kucing yang ingin bergaduh.

“Ibu! Ibu!” Panggil Zakir. Tapi tiada respon dari Puteri Santun Puteh.

DUM! ….DUM! ..….DUM!

Kedengaran langkah kaki dari sesuatu yang besar dan berat menghampiri puak Pusak. Bunyi langkah tersebut di iringi bunyi segerombolan mahkluk berlari.

BAMMM!

Pokok jatuh ke tanah. Satu persatu pokok yang menghalang laluan menuju ke arah kaki gunung Santubong di tebang.

“Taring Besi! ” Jerit Puteri Santun Puteh.

“Tuan puteri..kamek sitok!”
(Tuan puteri..saya sini!)

Pemuda bersemutar kuning dan tak berbaju memegang parangnya menoleh ke belakang. Matanya juga jadi biru tajam seperti Pusak yang lain.
Taring kaum itu menyeringai tanda bersedia.

Tiba-tiba..

Meluncur terbang pokok besar ke arah golongan Pusak!

Tanpa menunggu lama,Taring Besi melompat memberi putaran dan tumbukan hebat.

PRAKKK!

Pecah pokok besar tersebut ke beberapa bahagian! Sebelum bahagian-bahagian pokok jatuh menyembah bumi. Taring Besi yang masih di awangan menendang satu persatu pokok yang sudahpun pecah ke arah mereka yang melontar pokok tadi.

Masuk balik ke dalam hutan ke arah musuh yang belum kelihatan.

BAMMM! BAMM!

Pokok yang di tendang dari bunyinya sudah mendarat ke tanah. Entah kena atau tak musuhnya. Wallahualam.Keadaan sunyi beberapa saat tanda musuh berhenti. Taring Besi tunduk beberapa meter dihadapan para pengawal dan Puteri Santun Puteh.

“HUARGHH!!”

Bergema teriakan jantan. Pokok-pokok yang ada tercabut dan terpelanting jauh! Pokok-pokok yang memisahkan pihak musuh dan kaum Pusak sudahpun tiada. Hanya tanah datar. Kosong.

Kelibat musuh jelas terpampang di hadapan mereka.

“Raja Jembalang! Apa tujuan kau?!” Tanya Taring Besi tegas.

Rupanya si Kerbau! Ya, si Kerbau itu Raja Jembalang! Raja Jembalang memang besar saiznya. Hampir 2 kali tinggi Taring Besi. Zakir berlari di belakang para pengawal dan berdiri di sebelah ibunya. Zakir sedar bahawa Zakir berada di masa lampau ibunya.

Berada bersama Raja Jembalang adalah puluhan askar yang berupa primat. Ya, mereka berupa monyet bermata merah ,berbulu hitam dan bertanduk kecil di dahi. Mereka ganas dan laju, licik akalnya.

“Pelesit semua!!”.

Para pelesit melompat-lompat dan menjerit seolah menyahut panggilan raja mereka. Hutan di kaki Gunung Santubong bingit dengan sorakan pelesit.

“SERANG!!” Jerit Raja Jembalang.

Agak-agak bilangan pelesit dalam lingkungan 30 ekor. Semuanya menerpa ke arah kaum Pusak. Taring Besi berlari ke belakang menuju ke arah puteri mereka.

“Tuan Puteri, apa patut kita polah?”
(Tuan Puteri, apa patut kita buat?)Tanya Taring Besi.

“Taring Besi, kita pergi masuk dalam Gua Ular..jum!’

Taring Besi mengangguk. Rupanya di sebalik lumut dan daun yang melindungi kaki gunung wujudnya Gua Ular. Di cantasnya segala daun dan akar yang melindungi pintu gua.

Seakan-akan ular yang sedang menganga mulutnya. Stalaktit dan stalagmit yang terhasil umpama gigi gua tersebut. Semua mereka mengikuti puteri masuk ke dalam gua. Mereka di serang Raja Jembalang ketika dalam perjalanan mencari Gua Ular yang dikatakan hanya muncul satu hari setiap 10 tahun. Tanda-tanda gua tersebut muncul adalah sebulan sebelum pintu gua dibuka ular-ular yang ada akan menggulung dirinya dan bertapa menghormati gua tersebut selama mana pintu gua terbuka.

Raja Jembalang dan batalionnya sudah hampir! Zakir dan Kaum Pusak sudah berada di dalam mulut gua. Saat saja musuh cuba masuk, pintu gua ditutup sendirinya! Gua Ular menutup mulutnya. Raja Jembalang menghentak tukulnya ke pintu gua. Para Pelesit juga memukul gua tersebut. Tiada hasil!

‘Sejuk gua tok’
(Sejuk gua ni) bisik Zakir.

Keadaan dalam gua tak ubah seperti di dalam badan ular gergasi. Sejuk dan lembap. Gua gelap akibat pintu gua yang sudahpun tertutup.

Tiba-tiba cahaya terang entah dari mana menyinari seluruh gua tersebut. Keadaan gua yang luas menjadi sebuah bilik yang kecil cukup hanya bilangan mereka yang ada di dalamnya.

Di tengah bilik wujudnya bekas kaca segi empat yang di dalamnya ada cincin. Cincin Sang Naga!

Si Taring Besi cuba membuka bekas kaca namun di larang Puteri Santun Puteh.

“Ada ayat untuk bukaknya” Kata puteri.

Para pengawal hanya diam melihat puteri mereka mendekati bekas kaca tersebut. Taring Besi mengundur diri seraya memberi laluan kepada tuan puterinya.

Wahai Naga Si Jantan Lena,
Lena Terjaga Sepuluh Juga,
Di Jantung Ia Ada Saktinya,
Sakti Berupa Perak Cincinnya!

Zassss!

Terbuka bekas kaca tersebut!

Cincin tersebut bersinar. Terapung dan pergi ke arah si pemanggil, Puteri Santun Puteh. Ada ukiran naga membaluti batu cincin merah yang rupanya seperti jantung. Dikatakan itulah jantung naga. Degupan cincin juga jelas kedengaran.

Cincin itu segera menyarung dirinya ke telunjuk Puteri. Puteri rebah kepeningan!

Para pengawal cuba membangunkan puteri namun dilarang puteri dengan mengangkat tangan kanan signal untuk tidak mendekatinya. Zakir terpana melihat cincin tersebut. Tidak hairan jika pemakai cincin tersebut mengalami pening kerana kuasa yang ada pada cincin terlampau kuat dan mengambil masa untuk si pemakai menyesuaikan diri dengannya.

Saat saja tersarung cincin tersebut. Cincin itu seolah berkomunikasi dari hati ke hati dengan pemiliknya.

‘Wahai tuanku, aku berkhidmat untukmu. Semua haiwan akan tunduk termasuk Sang Sisik Saka.’

‘Sang Sisik Saka?’

“Tuan puteri” Taring Besi mengejutkan puteri yang termenung seketika. Puteri Santun Puteh langsung terkejut dari lamunan serta melihat satu persaru pengikutnya.

“Lepastok, semua binatang akan memihak pada kita! Insyaallah adanya cincin tok, semua sidak patuh ngan kamek!”
(Lepasni, semua binatang akan memihak pada kita! InsyaAllah adanya cincin ni, semua mereka patuh pada saya!) Lantang Puteri Santun Puteh berkata pada kaum Pusaknya.

Pengikut Puteri angguk dan menaruh harapan tinggi setelah perjalanan mereka ke gua diserang Raja Jembalang dan pelesit-pelesitnya. Keadaan gua kembali gelap, memanjang dan lembap seperti asalnya. Taring Besi mencari pintu keluar dengan deria hidu Pusaknya. Keadaan yang gelap tidak langsung membingungkan mereka kaum Pusak.

Hujung gua dijumpai selepas 10 minit perjalanan.
Mereka melihat cahaya yang sungguh terang. Putih. Silau. Membutakan mata untuk beberapa saat.
Akhirnya! Mereka di sebelah kaki Gunung Santubong.

“Hihihihi”

Kedengaran suara ketawa yang seakan mengilai sinis. Para pengawal langsung mengerumuni Puteri untuk berjaga-jaga dari pihak musuh. Mereka melihat sekeliling.

Siapa pulak kalini? Zakir geram melihat pihak musuh yang tak putus asa.

Hutan tiba-tiba gelap!

Sihir! Bisik hati Zakir.

“Hihihihihh..hahahahha”

Seekor demi seekor pontianak menjenguk dari pokok-pokok yang ada. Mereka terdiri dari jantan juga. Yang betina seperti biasa, baju putih koyak rabak dan berambut panjang manakala jantan tidak berbaju dan hanya berseluar putih juga berambut panjang.

Bising bunyi hilaian mereka. Bingit dan boleh sakit telinga dibuatnya.

“Serahkan cincin itu..hihihi”

Zakir menoleh belakang. Munculnya perempuan pontianak muka separuh cantik separuh hodoh terbang perlahan. Ya, Zakir kenal pontianak itu.

“Langsuir! Aku sikda urusan dengan kau!”
“Langsuir! Aku tiada urusan dengan kau!) Jerit Tuan Puteri Santun Puteh.

Langsuir adalah ketua bagi puak Pontianak dimana kekuatannya 10 kali hebat dari pontianak biasa. Sangkaan Zakir bahawa itu pontianak ternyata salah. Beza fizikal mereka adalah wajah mereka yang sepenuhnya hodoh.

“MATI KAMU SEMUA!”

Para Pontianak menerpa terbang laju ke arah para Pusak. Berlaku pergaduhan besar antara mereka.
Taring Besi juga turut serta disamping melihat keselamatan Puteri Santun Puteh. Seekor pontianak dicantasnya kepala.! Bergolek kepala tersebut!

Pengawal yang lain menjadi separa kucing dengan mata mereka yang tajam kebiruan dan kuku mereka yang tajam. Sengit! Tak sorang pun mahu mengalah di antara kedua-dua pihak!

Langsuir mengambil peluang untuk merampas cincin! Dia menyelusup di antara pergelutan dan menerkam Taring Besi. Di cakarnya Taring Besi dan terjatuh Taring Besi akibat perbuatan Langsuir.

“Lari Puteri!” Jerit Taring Besi.

“Lari bu!” Jerit Zakir waima dia pasti ibunya tidak mampu mendengar jeritannya.

Puteri Santun Puteh ketakutan dan berpaling langsung lari menyelamatkan dirinya. Langsuir terbang laju mengikuti jejak Puteri. Puteri berubah menjadi kucing. Pantas! Namun, Langsuir yang terbang laju lebih pantas dan mencakar tangannya! Puteri jatuh dan menahan tangannya yang luka. Puteri hanya mampu menangis dan berserah.

Langit tiba-tiba cerah! Keadaan sekeliling berubah rasa dan suasana! Langsuir terbang dan duduk di atas badan Puteri Santun Puteh. Dia cuba menerobos tengkuk Puteri Santun Puteh dengan kukunya. Zakir geram tapi apakan daya, yang ditontonnya hanya wayang masa silam.

Namun..

Bang! Bang!

Tembakan tepat ke arah Langsuir membuatnya terpelanting jauh. Langsuir marah dan melihat ada seorang lelaki berpakaian putih dan berseluar hitam membawa senapang. Bidikan itu pasti dari lelaki tersebut.

Puteri yang terbaring mulai tidak stabil. Penglihatannya kabur. Kelihatan lelaki tersebut semakin dekat dan..gelap pandangannya!

Bersambung..

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

9 thoughts on “Pusak- Tragedi Gunung Santubong”

Leave a Comment