Puteri Saadong

PUTERI SAADONG (LAGENDA KELANTAN) MAD PI

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semua dalam keadaan baik-baik sahaja. Aku Mad Pi. Sebagaimana yang sedia maklum, sebelum ini aku biasanya menulis mengenai pengalaman seram aku sendiri dan juga orang yang disekitar aku. Tidak ketinggalan, aku ada buat beberapa kisah fiksyen seram.

Tapi kali ini, aku cuba mencabar diri aku bercerita mengenai sejarah seorang tokoh lagenda dari negeri Kelantan Darul Naim. Negeri kelahiranku sendiri. Tidak lain tidak bukan, yang aku maksudkan adalah Puteri Saadong yang sangat terkenal dengan rupawan dan sifat kasih pada rakyat serta setia pada suami.

Rata-rata rakyat negeri Kelantan dan sekitar, pasti tahu serba sedikit mengenai sejarah Puteri Saadong ini. Hakikat sebenarnya, ia adalah salah satu sejarah negeri Kelantan tetapi dipengaruhi dengan unsur-unsur bombastik dan hiperbola apabila diceritakan dari mulut ke mulut. Tetapi kalau nak dikirakan, memanglah kita tidak boleh nak samakan ilmu orang sekarang dengan ilmu orang dulu-dulu. Puteri Saadong ada ‘daulat’ nya sendiri dan juga yang disebut ‘tulah’. Tidak ketinggalan ilmu-ilmu kebatinan dan juga yang berkait rapat dengan mistik.

Aku cuba mencari serba sedikit maklumat tentang sejarah Puteri Saadong ini daripada teks Hikayat Puteri Saadong dan juga teks Hikayat Sri Kelantan untuk aku sampaikan sedikit pencerahan dan pendedahan tentang kisah mengenai tokoh ini. ********** Ramai yang salah faham dengan nama Puteri Saadong. Puteri Saadong itu bukanlah nama yang yang tepat sebenarnya bagi individu tersebut, tetapi ‘Saadong’ itu secara tepatnya adalah satu gelaran.

Berdasarkan bacaan aku, ia dianugerahkan pada isteri raja di atas sumbangannya, kesetiaannya pada suami dan juga kasih sayangnya pada rakyat. Sebagai contoh kalau pada zaman sekarang mungkin gelaran itu lebih kurang ‘srikandi’ . Mengikut teks hikayat yang aku baca, ‘Puteri Saadong’ sebenarnya ada tiga orang. Puteri saadong yang pertama, nama asalnya Dewi Sri Jayanaga (667-692 Masihi). Baginda dianugerahkan gelaran ‘Saadong’ kerana kesetiaannya pada suaminya. Menemani suaminya di medan perang. Dewi Jayanaga ini ada pendampingnya iaitu Awang Selamat. Yang sudah sedia maklum mengenai kisah Puteri Saadong akan tahu mengenai tentang siapa Awang Selamat ini dan kisah-kisahnya. \

************* Puteri Saadong kedua bernama Siti Zubaidah, isteri kepada Raja Zainal Abidin dan juga dikenali sebagai Raja Merah. Baginda mendapat gelaran tersebut apabila keluar dari istana utuk menyelamatkan suaminya, daripada ditawan pihak tentera China. Kisahnya agak tragis kerana ketika itu baginda sedang sarat mengandung dan melahirkan di dalam hutan. Baginda mempunyai seorang pendamping yang bernama Rokiah. Rokiah seorang yang cantik rupawan dan mempunyai kelebihan iaitu kemampuan bertukar wajah menjadi seorang lelaki yang tampan. Lalu berjaya memperdaya tujuh orang puteri China dan Siti Zubaidah berjaya menyelamatkan suaminya itu dengan bantuannya.

************ Puteri Saadong ketiga dan yang terakhir bernama Siti Maryam(Kurun ke-17).Setelah orang tuanya, Raja Loyor mangkat, baginda telah dibawa ke Taman Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong dan dijaga oleh ibu angkatnya, Cik Siti Wan Kembang iaitu raja perempuan pertama di negeri Kelantan. Lokasi tersebut masih wujud sekarang ini dan terletak di sekitar daerah Ketereh. Setelah baginda meningkat dewasa, baginda telah ditabalkan sebagai raja perempuan yang kedua selepas ibu angkatnya, lalu dinikahkan dengan sepupunya, Raja Abdullah. Lalu membuka penempatan baru di sekitar Danau Tok Uban, Pasir Mas.

Untuk pengetahuan semua, Puteri Saadong ketiga inilah yang meniti bibir kita selama ini. Kisah nya terkenal kerana tragis dan terdapat unsur-unsur mistik. Siti Maryam terkenal dengan rupanya yang rupawan sehingga tersebar luas ke merata negeri. Hal itu sampai pada pengetahuan raja kerajaan Siam ketika itu lalu behasrat untuk memilikinya. Namun hasratnya itu ditolak oleh Siti Maryam oleh kerana baginda sudah mempunyai suami. Lantaran tidak puas hati, Raja Siam menitahkan tenteranya menyerang kerajaan Siti Maryam. Siti Maryam berundur bersama suami ke lokasi lain, akan tetapi berjaya dikesan oleh Raja Siam dengan bantuan Ketua Sami Buddha.

Peperangan kedua tercetus. Rakyat hidup sengsara, d*****h, dan mengalami kebuluran yang teruk. Demi kasih sayangnya pada rakyat, Siti Maryam menyerah diri pada Raja Siam. Sebelum itu baginda telah berjanji dia akan pulang ke pangkuan suaminya lalu Raja Abdullah akur dan telah memberi keizinan. Ketika berada di sana, Raja Siam cuba membuat sesuatu yang tidak baik pada Siti Maryam lalu diludahnya Raja Siam itu. Raja Siam jatuh sakit dan dipercayai terkena penyakit kulit. Semakin hari semakin parah sehingga bernanah. Menurut Ketua Sami Buddha, Raja Siam telah terkena ‘tulah’ Siti Maryam dan hanya baginda yang mampu mengubatinya. Raja Siam merayu pada Siti Maryam supaya mengubatinya lalu baginda telah meletakkan syarat. Jika baginda berjaya merawatnya, Raja Siam perlu membebaskan baginda dan menghantar kembali pada kerajaannya.

Lalu Raja Siam akur dan telah bersepakat dengan Siti Maryam. Dengan ludahan air sirih Siti Maryam, akhirnya Raja Siam sembuh lalu mengotakan janjinya. Namun telah diletakkan syarat pada Raja Siam, yang mengiringi Siti Maryam bukanlah tentera akan tetapi tujuh orang yang beragama islam. Lalu berangkatlah mereka, tetapi hanya seorang sahaja yang pulang kembali ke Siam dengan selamat. Selebihnya telah meninggal dunia. Nama-nama mereka yang meninggal itu, diletakkan sebagai nama kampung dimana lokasi masing-masing meninggal dan nama kampung tersebut masih kekal sehingga kini.

*********** Setibanya Siti Maryam di istana, alangkah terkejutnya baginda apabila suaminya telah berkahwin lain. Betapa hancur hatinya pengorbanannya dibalas sedemikian rupa. Mereka bertengkar. Raja Abdullah menuduhnya curang lalu Raja Abdullah telah m******h Siti Maryam. Dipancung sehingga bercerai kepala dari badan. Dayang-dayang istana telah diugut supaya merahsiakan hal itu. Tetapi salah seorang dayang, bernama Dayang Bongsu telah teringat akan satu pesanan daripada Siti Maryam suatu ketika dahulu.

Dayang Bongsu ini boleh dikatakan sebagai pengasuh Siti Maryam sejak kecil lagi. Siti Maryam pernah berpesan padanya, jika terjadi sesuatu yang buruk padanya, ambil cucuk sanggul kepunyaannya. Di dalam cucuk sanggul ada tersimpan air mawar yang diberi oleh Cik Siti Wan Kembang, Lalu dititiskanlah air mawar itu pada jasad Siti Maryam. Mengikut hikayat, jasadnya ditutup kain putih selama tiga hari. Setibanya hari ketiga, tiba-tiba terdengar suara Siti Maryam bersin. Dayang Bongsu terkejut bercampur gembira. Kepala Siti Maryam bercantum kembali dengan badan. Baginda telah hidup kembali. Siti Maryam telah membalas dendam pada suaminya itu.

Raja Abdullah mangkat setelah ditikam oleh Siti Maryam dengan cucuk sanggulnya .Siti Maryam begitu sedih dengan apa yang berlaku. Dikhianati oleh suami sendiri sedangkan mereka telah berjanji untuk setia. Lalu membawa diri ke Bukit Marak. Tidak berapa lama kemudian adinda Raja Abdullah, Raja ibrahim datang mengadap Siti Maryam. Dikira datang untuk menuntut bela di atas kematian kekandanya tetapi sangkaan itu meleset.

Kedatangannya mengadap Siti Maryam untuk meminta daulat daripada baginda untuk memerintah dua buah kerajaan yang tidak beraja setelah kemangkatan Raja Abdullah. Siti Maryam memperkenankan permintaan Raja Ibrahim itu.Tidak beberapa lama kemudian Siti Maryam mendengar aduan daripada rakyat, yang Raja Ibrahim seorang yang zalim. Sering menindas rakyatnya. Sifat kasih sayang pada rakyat yang sedia ada pada Siti Maryam, baginda telah menemui Raja Ibrahim lalu tercetus pertengkaran.

Siti Maryam telah menyumpah Raja Ibrahim tidak akan berketurunan dan sejak itu Siti Maryam menghilang. Daripada sifatnya Siti Maryam yang kasih pada rakyat, kesetiaan pada suami, dan kepimpinannya itulah baginda mendapat gelaran Puteri Saadong. Sejak itu, hilangnya tidak dapat dijejaki, tanpa khabar berita namun dipercayai masih hidup sehingga kini.

************ Kisah ini ada berbagai versi, siapa jua kita untuk menidakkan. Salah satu versi lagi ketika setibanya Siti Maryam dari Siam, Raja Abdullah menyambutnya dengan sukacita lalu isteri keduanya cemburu lalu m******h suaminya. Isteri kedua itu lalu menuduh Siti Maryam yang m******h lalu baginda membawa diri. Mendekatkan diri dengan tuhan lalu menjadi wali.

************ Kolam Puteri Saadong masih wujud sehingga kini di Taman Serendah Sekebun Bunga. Berbagai pengalaman yang aku dengar hasil perkongsian orang ramai. Pernah penjaga di situ melihat seorang wanita tua yang tidak dikenali sedang mengambil wuduk di kolam tersebut berserta dengan kehadiran bau bunga melur yang sangat wangi. Namun dengan tiba-tiba wanita tua itu menghilang.

Ada juga kepercayaan bila sesiapa mandi di kolam itu, akan terbuka hatinya. Akan nampak susur galur hidup seseorang tersebut. Jika selepas mandi dia terbayangkan Bukit Panau, maka ia daripada susur galur pendekar. Kalau terbayangkan Bukit Marak, susur galurnya raja-raja. Andai terbayangkan Tumpat/Tok Selehor, dia dari susur galur para wali.

Wallahua’lam. *********** Puteri Saadong bukanlah mitos tetapi ia sebuah sejarah. Mengisahkan tentang kasih sayang seorang raja pada rakyatnya, kesetiaan seorang suami pada isterinya,’tulah’ atau kedaulatan raja serta ilmu kebatinan. Siapa jua kita untuk menafikan. Terpulang pada batas kepercayaan masing-masing. Ilmu sekarang tidak boleh disamakan dengan ilmu orang dahulu. Ia mengikut kesesuaian zaman masing-masing. Akidah dan syariat yang menjadi batasan, jika terjatuh pada syirik dan khurafat ,maka jauhilah ia..Wallahua’lam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mad Pi
Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.