Rawatan Islam di Miri – Dendam Kekasih Lama

Malam itu, jam di dinding sudah pun pukul 12 lalu.
Ini minggu kedua semenjak sudah berpindah ke Miri. Dentumann mercun bingit berterusan. Mata mengantuk berat. Tapi, hati masih kuat menonton Alice in Borderland. Baru masuk episod dua.

Kemudian, aku terjaga. Rupanya terlelap beberapa minit. Aksi Arisu di skrin televisyen sudah tidak menarik minat aku untuk meneruskan tontonan. Lantas aku padam televisyen dan tidur. Baru beberapa saat melelapkan mata, tiba-tiba…

Deringan telefon masuk. Ah, Apek! Sempat melirik jam di telefon sebelum menjawab panggilan. Jam sudah pukul 1 pagi.

“Fiq, jum pergi merawat. Ada satu kes berat!”

Aku menolak ringan, mataku mengantuk. Rasanya tidak mampu untuk aku pergi membantu Apek. Aku letakkan telefon disisi dan kembali tidur.

Namun, mata sudah merajuk. Hati pula hauskan rawatan semenjak 2 minggu berpindah di Miri.

“Pek! Tunggu..aku kemas kejap,” aku menelefon Apek kembali.

20 minit kemudian…

Aku sampai dirumah yang boleh aku katakan cantik, besar dan selesa. Ramai orang didalam rumah. Aku beranggapan mungkin sambutan Malam Tahun Baru.

“Hahahah..kawan kau dah datang aaa..”

Perempuan yang berusia awal 30an kerasukan. Apek sudah pun sampai awal.

“Berjanggut..yang belakang sepet.hahahah,” si pesakit merujuk janggut pada aku. Sepet? Merujuk pada Apek. Haha.

Aku bertanya serba ringkas. Nama pesakit aku namakan Zita. Di sampingnya adalah suami yang berasal dari Johor.

Aku dan Apek memulakan rawatan.

Apek kumat-kamit membaca doa dibelakang Zita. Shah, suami Zita bertahlil sepanjang berada di sisi si isteri.

“Bising laa you..janganlah berzikir youuu..pleaseee ..stop..”

Shah tunduk. Tidak melayan kerenah jin yang merasuki isterinya. Apek masih fokus dengan bacaan. Suasana hening sangat. Famili mereka yang aku kira hampir belasan orang semuanya menumpukan perhatian pada rawatan.

Aku memulakan pertanyaan.

“Apa maksud kau mengganggu hamba Allah ini?”

“Hahahahah..sapa suruh dia pilih Zita…kan? You nak sangat kat dia kan sayang? Ujar Zita kepada suaminya sambil merangkuk manja.

Shah geleng kepala. Setelah menemubual jin yang aku kira penipu. Hasil siasatan aku dan Apek, sihir dari cinta lama Zita. Cinta mereka terhalang disebabkan orang tua Zita tidak bersetuju kerana mereka masih menuntut ilmu. Akhirnya, Zita bernikah dengan Shah ketika sudah pun ada pekerjaan.

Setelah 10 minit Zita merapu dan bermain-main. Mataku tepat memandang Apek. Apek seakan faham dan mengangguk. Aku lantas menekan lutut Zita perlahan.

“Arghhhh..sakittt!! Stopppp..jangan seksa aku!”

Zita meraung kuat dan menangis. Aku lantas menoleh ke arah keluarganya dan menjelaskan picitan aku adalah sangat perlahan. Mereka faham dan memberi izin.

“Pek, aku bukak perut..kau tolak..boleh? Tanyaku. Apek setuju.

Kedua tangan aku suakan menuju ke perut Zita, seolah merobek lubang perutnya.

“Aaaahhhhh ..sakittttt!!”

Apek khusyuk menolak semua ilmu dan bisa yang ada dari belakang menuju ke perut Zita. Aku membantu usaha Apek dengan menarik dorongan dari Apek melalui perut.

Zita kesakitan. Sesi dorongan dan tarikan dari kami berlangsung untuk beberapa ketika.

“Bomoh! Hadir!”

Aku menghadirkan bomoh yang aku kira dari Siam.

“Pak!” Aku menepuk lantai. Bomohku belasah lunyai.

“Habissslah bomoh aku..adohhh,”

Setelah setengah jam, aku dan Apek kembali diam. Kami mencari punca lain.

Kami berdua jumpa minyak, kain dan beberapa barang.

Rupanya, ada tiga bomoh yang dipakai. Siam, Indonesia dan bomoh tempatan,Sarawak.

Aku sedarkan Zita. Dia masih dikuasai jin.

“Boleh kamek(saya) berik Zita mandik?” tanyaku kepada keluarga.

Mereka pelik. Aku lantas menyambung.

“.. dengan dia bertudung dan berbaju lengkap.. untuk sedarkannya.” Barulah keluarganya faham dan setuju.

Kaum lelaki berkumpul di depan luar rumah. Aku mengisi air di dalam baldi. Aku bacakan doa dan zikir pada air.

Zita diheret suami dan ayahnya. Zita sempat merapu panjang. Dia enggan diberi mandi.

Aku merantai kedua kaki Zita. Dia kaku. Apek menekan tengkuk Zita. Lantas Zita terduduk dilantai.

“Doa Zita aa..di dalam ati..saat kamek(saya) siram air..terus doa untuk kesembuhan.”

Aku langsung menyiram air di kepala Zita yang bertudung hitam.

Zita tersedar. Usai mandi ringkas. Aku arahkan Zita untuk salin baju sebelum menerusakan rawatan.

Setelah beberapa minit, Shah keluar memeluk tangan Zita. Zita kepenatan dan sukar berjalan dengan stabil.

“Ok Zita, pejam mata!” Tegasku.

Zita memejamkan matanya. Apek duduk setia ditepi aku.

“Pergi ke rumah kitak(awak) di Johor! Berdiri di depan pintu!”

Aku mengarahkan Zita untuk memanggil mereka yang berhajat.

Satu-persatu datang melutut. Yang pertama datang, lelaki kurus tinggi. Orang yang berhajat besar terhadap Zita. Datang lagi 3 orang lelaki lain, bomoh Siam, bomoh Indonesia dan bomoh Sarawak.

“Suroh semua bomoh ambik barang sihir yang ada pada kitak(awak)!” Perintahku.

Zita kesakitan tatkala para bomoh menarik semua sakit yang ada pada Zita.

“Pandei buat, pandei ambik!” Sambung Apek. Benar. Itu prinsip kami. Bomoh yang menyihir sepatutnya mengambil bisa tersebut kembali.

Zita kesakitan teruk. Dia menjerit kesakitan dan tidak mampu duduk diam. Zita berhempas pulak mengeluarkan sihir pada perutnya. Aku melihat keluarganya menangis. Zita seperti seorang ibu yang kesakitan melahirkan anak!

Proses menarik kembali sihir berterusan selama hampir sejam. Aku dan Apek mulai bosan. Pada bahagian perut Zita saja sudah makan 30 minit.

Zita kejang. Zita menangis teruk. Perutnya sakit. Pedih. Zita terbaring longlai. Namun, setiap beberapa saat, tubuhnya bergerak dek kerana sakit yang melampau di perut.

Aku dan Apek menghampiri Zita. Apek menarik bisa racun pada perut Zita. Kali ini aku pula yang menolak dari bawah pinggang Zita. Tujuannya untuk membantu Zita mengeluarkan sihir.

Sudah lama aku tidak melihat seorang pesakit sihir kesakitan yang melampau seperti ini.

Ketiga-tiga bomoh sudah ditanam. Ilmu mereka sudah kami tarik. Zita sudah pun penat. Azan Subuh berkumandang.

Aku dan Apek beranggapan Zita sudah jauh baik keadaannya berbanding beberapa jam yang lepas.

“Malam kelak kita sambung lagik ok? Rest..” pesanku.

Kami Subuh berjemaah di rumah Zita sekluarga. InsyaAllah, saya akan sambung cerita ini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment