Rumah Arwah Atuk

Assalamualaikum Admin, Aku Zie, ni kali kedua aku hantar cerita aku kat FS ni. Yang sebelum ni Pengalaman Hiking. Kali ni aku ingin bercerita tentang rumah arwah Atuk aku yang telah lama meninggal dunia, kira-kira 20 tahun yang lepas. Al-fatihah..

Sebelum aku memulakan cerita, biarlah aku ceritakan serba sedikit tentang Arwah Atuk aku ni. Aku tak berapa kenal sangat sebab masa dia meninggal tu aku berumur 6 atau 7 tahun. Kebanyakkan cerita tentang arwah Atuk ni diceritakan oleh ayah ataupun saudara belah ayah aku. Menurut mereka, arwah Atuk seorang yang baik dan suka tolong orang. Dia pandai mengubati orang apalagi yang berkaitan dengan sihir dan gangguan. Bakat dan Ilmu yang diberikan oleh Allah kepadanya dipergunakan untuk menolong orang-orang yang sakit tanpa meminta bayaran. Sebab tu ramai yang kenal arwah sehingga ada pesakit dari luar negara juga turut mendapatkan perkhidmatannya. Tapi itulah, kalau dah pandai, ada sahaja yang datang menguji dan menganggu. Ada yang buang peliharaan mereka di rumah tu sebelum sempat arwah atuk mengusirnya. Sebab itulah mengapa lepas sahaja arwah meninggal tu, rumah arwah masih diganggu sehingga kini.

Kisah 1 : Siapa tu?
Ini diceritakan oleh Mak Cik Minah ,kakak ayah aku, yang mendiami rumah tersebut dari lepas arwah meninggal hingga ke hari ini. Petang tu ialah petang hari Jumaat. Mak Cik Minah pergi ke halaman rumah bersama dengan dua orang bapa saudara aku (adik ayah aku), Pakcik Dollah dan Pakcik Samad untuk membersihkan halaman dan memotong rumput yang sudah panjang serta memotong sepohon pokok besar di tepi pagar halaman belakang. Sedang seronok membakar rumput dan daun-daun kering, Mak Cik Minah ditepuk oleh seseorang dari belakang. Dia pun menoleh tetapi tidak ada seorang pun dibelakang. Matanya mencari di mana adiknya dua orang tu berada. Seorang tengah memesin rumput, dan seorang lagi tengah membersihkan longkang di halaman depan rumah. Mungkin cuma khayalan, dia pun sambung membuat kerjanya. TIdak lama lepas itu,
“ Minah, tengah buat apa tu?” Mak Cik Minah tersentak dan jantungnya berdegup laju. Kenal benar dia dengan suara ini dan mustahil orang yang empunya suara itu menyerpanya. Dia menoleh ke belakang dan nampak seorang perempuan berbaju hitam tengah duduk sambal tersengih di tepi tunggul pokok kayu yang mereka p****g tadi. Tanpa berfikir panjang, mak Minah berlari laju menuju masuk ke dalam rumah. Pakcik Dollah dan Pak cik Samad kehairanan. Mereka pun masuk ke dalam untuk bertanya.
“Kenapa Kak? Masuk macam Nampak hantu.” Tanya Pak Samad.
“Aku dengar suara Si Senah tadi. Dia tegur aku tengah buat apa. Aku kenal sangat suara tu dan bila aku toleh, dia tengah duduk kat tunggul kayu tu ha.” Jawab Makcik Minah masih dalam ketakutan. Pakcik Samad dan Pakcik Dollah mengerutkan dahi.
“Senah mana lagi ni? Senah kan dah lama meninggal dunia. “Tanya Pak cik Dollah pula.
“Senah tu lah. Senah mana lagi? Dah dah. Tutup jelah pintu tu. Ni dah masuk waktu maghrib.” Suruh Makcik Minah. Tangannya masih mengigil ketakutan. Senah, teman baiknya telah lebih 2 tahun meninggal dunia. Persoalannya, siapa perempuan tadi?

Kisah 2: Semalam tu siapa?
Ini pula kisah yang diceritakan oleh pak saudara aku, Pak Usu, adik bongsu ayah. Pak Usu menumpang tidur semalam di rumah arwah atuk sebab dia kena pergi kerja awal keesokan paginya. Tempat kerja dia tu selang satu jam je dari rumah arwah atuk. Pak Usu sampai rumah kira-kira pukul 10 malam. Keadaan di rumah gelap gelita dengan lampu tak pasang. Mungkin akak keluar kot. Detik hatinya. Sampai di muka pintu, baru sahaja dia hendak memasukkan kunci di tombol pintu, tombol pintu berpusing dan pintu terbuka. Kedengaran suara Mak Cik Minah menyapa,
“ Pintu tak kunci. Masuklah Usop” Usop nama Pak Usu aku. Pak Usu pun masuk tapi dia hairan, suara Mak Cik Minah ada tapi kelibatnya tidak ada. Untuk sedapkan hati, dia berfikir mungkin Mak Cik Minah dah masuk ke bilik.
“Kenapa gelap ni kak? Kalau ye pun bukak lah lampu.” Pak Usu membebel sambil matanya tajam memandang pintu bilik Mak Cik Minah tetapi dia tidak menerima jawapan apapun dari Mak Cik Minah. Pak Usu pergi ke suis lampu dan memasangnya. Kerana badan letih dan mata mengantuk disebabkan perjalanan jauh, dia masuk ke biliknya. Bilik ni asal memang bilik dia tapi selalunya kosong sebab Pak Usu tidak lagi tinggal di sana. Dia terus menghumbankan badannya ke tilam dan beberapa minit sahaja dia pun tertidur.
“crack..crackk…crack..” Bunyi cakaran di dinding berulang kali, makin lama makin kuat membangunkan Pak Usu dari tidur. Dengan mata separuh terbuka, dia mengamati bunyi tersebut.
“Buk Buk Buk!” Dentuman dinding di bawah jendela bilik mengejutkan Pak Usu. Bunyi seperti diterjang oleh sesuatu yang kuat. Dengan perlahan, Pak Usu pergi ke tingkap dan membukanya. Memang hati kering betul Pak Usu ni. Matanya meliar ke bawah tetapi tidak ada apapun yang kelihatan. Setelah puas mencari, dia menutup jendela kembali dan baring semula.

Tidak lama kemudian,
“Crackkkk………..!” Satu cakaran panjang kedengaran dari pintu bilik. Sejurus selepas itu, bunyi dengusan kuat kedengaran seperti bunyi harimau. Pak Usu bangun dan tunduk melihat di celah bawah pintu. Kelihatan seperti kaki seekor kucing berwarna putih tetapi lebar dan besar. Benda itu kelihatan sedang mundar mandir di depan pintu bilik. Pak Usu yang pada awalnya berani, menjadi takut. Dia terus mengambil selimut dan menutup badannya kerana ketakutan. Sepanjang malam, Pak Usu tak dapat tidur kerana bunyi cakaran, dengusan dan hilaian kuat dari luar pintu bilik dan luar rumah. Entah pukul berapa dia akhirnya terlelap. Suara Mak Cik Minah membangunkan dia dari tidur. Cahaya matahari menerangi bilik tidur. Sudah siang rupanya. Dia menghembus nafas lega dan membuka pintu.
“Haa Usop. Tak pergi kerja lagi? Dah lewat ni. Maaf, akak tak balik semalam sebab anak Si Leha kawin. Penat tolong memasak dan hari pun dah lewat, Leha ajak tidur rumah dia semalam.” Terang Mak Cik Leha. Pak Usu cuak.
“Eh, semalam akak yang tolong buka pintu. Jangan main-main kak. “ Pak Usu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Takut diganggu semalaman masih belum hilang lagi.
“Kau jangan. AKk baru balik pagi ni, tu Leha dengan suaminya ada kat luar tu.” Muka Mak Cik Minah berubah. Dia menyamar jadi aku pula kali ni. Bentak hati Mak Cik Minah.
Pagi itu Pak Usu pergi kerja dengan pertanyaan, semalam tu siapa?

Kisah 3: Jiran sebelah
Rumah arwah atuk ni berjiran dengan rumah arwah adik atuk, Nek Mah. Rumah Nek Mah ni rumah kayu dua tingkat dan sejak Nek Mah meninggal dunia, rumah ini dibiarkan kosong sebab anak-anak Nek Mah semua dah ada rumah sendiri. Rumah Nek Mah ni lebih dashyat gangguannya mungkin sebab tu juga mengapa anak-anak Nek Mah tidak mahu tinggal di situ. Dengarnya Nek Mah ada membela dan benda peliharaannya tidak ada yang mahu mewarisi. Sebab tu benda tu tinggal di rumah tu.

Ada satu malam tu, aku dan keluarga bertandang ke rumah arwah atuk ni. Niat hanya untuk bertandang dan bertanya khabar Mak Cik Minah sebab lama tak jumpa. Aku dan adik pergi buat minuman di dapur. Dapur ini bersebelahan dengan dapur rumah Nek Mah. Kiranya jarak dari jendela dapur rumah Atuk dengan rumah Nek Mah tidak sampai satu meter. Kalau bercakap di sini, di sana memang dengar tapi tidaklah jelas. Sedang bancuh air, telinga aku terdengar perbualan dua orang. Yang peliknya suara itu datang dari rumah Nek Mah. Dan lebih pelik lagi, suara itu sebijik dengan suara arwah Nek Mah. Dan tiba-tiba terdengar lagu dari radio sebelah,
“Malam bulan di pagar bintang ~~”
“Lin, berhenti jap. Cuba dengar baik-baik.” Aku mengarahkan Lina, adik aku. Lin pun berhenti dan berdiri tegak mendengar apa yang aku maksudkan.
“Suara macam dari rumah Nek Mah. Macam suara Nek Mah lah. Lagu tu..” Lin membalas. Aku dan Lin saling berpandangan dan mula rasa takut. Sedang khusyuk mendengar, tiba-tiba jendela dapur Nek Mah terbuka luas dan keluar seekor beruk besar bermata merah saga. Badan berbulu, besar dan bertaring panjang. Di belakang beruk tu ternampak kelibat Arwah Nek Mah. Betul-betul serupa, cuma rambut putih beruban dibiarkan mengerbang.
“Malam bulan di pagar bintang~” Nyanyi Nek Mah kemudian ketawa mengilai.
Kami tanpa fikir panjang terus langkah seribu masuk ke bilik tamu. Lin dah menangis ketakutan. Aku menceritakan apa yang kami lihat dan dengar kepada semua. Ayah mengambil air putih dan membacakan ayat-ayat lazim sebelum memberikan kami minum. Ayah dan abang pergi ke dapur dan mereka tidak Nampak apa-apa pun. Jendela rumah Nek Mah juga tertutup rapat.
Setelah tenang, Mak Cik Minah mengatakan bahawa jelmaan itu memang sering dia lihat apalagi waktu bulan mengambang. Ia kadang menyerupai muka arwah Nek Mah dan arwah Atuk. Ada satu malam, TV dan radio di rumah Nek Mah terbuka dengan sendirinya. Pernah juga Mak CIk Minah mendengar suara riuh di dalam rumah itu seperti ada orang walaupun kenyataannya rumah itu kosong tidak berpenghuni. Kadang-kadang, seorang tua berbaju hitam bertongkat dan berambut panjang menutupi muka akan datang mengetuk pintu rumah. Pada mulanya Mak Cik Minah takut juga apalagi tinggal berseorangan, tetpai lama kelamaan dia pun sudah lali dengan gangguan penunggu rumah sebelah itu. Entah macamana Mak CIk Minah boleh bertahan tinggal di sana. Apabila kami menyuarakan hasrat untuk membawanya tinggal bersama, tetap ditolak sebab Mak CIk cakap ini sahaja kenangannya dengan arwah Atuk. InsyaAllah akan dijaga semampunya.

Sekian dulu cerita aku kali ini. InsyaAllah kalau ada masa dan cerita ini dipublish, aku akan menghantar lagi entri lain.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submbit

Zie

2 thoughts on “Rumah Arwah Atuk”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.