Rumah Baru Ayah

“Jom, pergi berkelah” ajak ayah.

“Yay! Yay! Berkelah!” jerit aku dan adik-adikku. Seronok benar kami apabila ayah ajak berkelah. Bukan selalu ayah ada di rumah. Ayah sibuk mengurus perniagaannya sendiri.

Ibu tersenyum di dapur. Cepat-cepat ibu mengisi makanan dan minuman ke dalam raga sebagai bekal kami semua nanti. Ayah mengusung tikar masuk ke dalam kereta. Lantas, menjerit memanggil kami supaya segera memasuki kereta. Berlari-lari kami umpama anak ayam dikejar musang menuju ke kereta.

“Nak duduk tepi tingkap”

“Nak duduk tepi tingkap jugak”

Ish, budak-budak ni. Malas aku melayan kerenah adik-adikku. Lantak kamulah. “Kemana agaknya ayah nak bawa kami berkelah? Dahlah cuaca panas terik ni” bisik hatiku.

Aku melemparkan pandangan ke luar kereta. Aneh. Ini laluan ke sekolahku. Maksudnya, kami menghala ke bandar. Bertambah hairan aku akan destinasi perkelahan kami hari ini. Aku diam sahaja. Adikku juga diam sahaja memandang ke luar tingkap.

Ayah membelok di suatu simpang, memasuki satu lorong kecil bersebelahan parit. Terdapat beberapa rumah kampung di sepanjang parit itu. Namun, semakin ke dalam semakin kurang bilangan rumah. Lembu-lembu kelihatan tenang meragut rumput di tebing parit. Cantik kawasan ni pada pandangan mataku. Pohon-pohon hijau merimbun di kiri dan kanan parit.

Kemudian, ayah membelok kiri, memasuki kawasan berpagar dan memberhentikan kereta di situ. “Eh, kata nak berkelah?” tanya kami.

“Ha, sinilah tempat kita nak berkelah hari ni” jawab ayah sambil tersenyum. Ayah nampak gembira. Kami masih keliru. Ibu keluar daripada kereta dan mula membentangkan tikar. Ibu menyusun satu-satu bekal makanan dan minuman yang dibawa.

Ayah membawa kami ke satu bidang tanah kosong berkeluasan dalam setengah ekar. Cantik. Tanahnya diselaputi pasir putih dan ditumbuhi banyak pokok kelapa. Disebabkan banyaknya pokok kelapa ini, kawasan sekitar menjadi teduh walaupun cuaca panas terik. Di sebelah tanah ini, ada sebuah rumah. Di seberang parit ada sebuah. Di belakang tanah ini, terdapat tanah yang lebih rendah dan masih tiada rumah. Tanahnya rata dan diliputi rumput yang tebal menghijau dan disekelilinginya dipenuhi pokok getah. Redup. Sejuk. Aku suka pemandangan sebegini. Mendamaikan.

Adik-adikku, tanpa menghiraukan apa pun, berlari ke sana ke mari. Bergurau senda sesama mereka. Berguling-guling di atas pasir. Ayahku masih tersenyum dan berjalan bersama ibuku mengelilingi kawasan tanah ini.

Dan, ayah tiba-tiba bersuara “Ayah nak buat rumah kat sini. Di hujung tu rumah kita nanti.”

Bulat mataku mendengar kata ayah. “Wah, nanti kita ada rumah sendiri!” teruja aku mendengarnya. Selama ini, kami berpindah daripada satu rumah sewa ke rumah sewa yang lain mengikut ke mana sahaja ibuku ditugaskan. Ini bermaksud, kami mungkin akan kekal di sini selepas ini. Tidak perlu lagi berpindah-randah.

Aku tidak suka berpindah. Sebabnya mudah, penat dan barang mainanku selalu sahaja hilang di dalam perjalanan. Atau, tertinggal di mana-mana.

Ayah tunjukkan bakal tapak rumah baru kami semua nanti. Ayah ceritakan bentuk rumah kami nanti begitu dan begini. Kami juga akan mempunyai bilik sendiri. Alangkah seronoknya mendengar ayah membayangkan rumah baru kami.

Maka, setelah beberapa lama, kerja-kerja pembinaan dimulakan. Tapak rumah telah kelihatan. Tiang-tiang akan mula dinaikkan.

Dan, pada suatu hari, ayahku membawa pekerjanya untuk membantunya membersihkan kawasan itu. Terutamanya, di luar pagar bahagian belakang tanah itu. Kiranya, kami perlu keluar daripada pagar tanah ini, dan memasuki tanah milik orang. Pagar ini telah wujud sejak tanah ini dibeli. Aku kenal abang-abang pekerja ayah ni. Kurus keding aje mereka, tetapi gagah perkasa apabila terpaksa memikul peralatan kerja yang berat.

Kami (ayah dan pekerjanya, aku dan adik lelakiku) ke sana selepas Zuhur, sewaktu cuaca lebih redup dan tidak terlalu panas terik. Sementara ayah berbincang dengan tukang rumah, aku dan adikku mengekori abang-abang menebas semak samun di belakang tanah itu. Sedang aku bergelak ketawa bermain dengan adikku, tiba-tiba aku terpandang ke sebelah kiriku. Aku terkaget. Adikku sudah entah kemana.

Ada seorang lelaki sedang memerhatikan kami. Nak kata jauh, tidaklah jauh. Nak kata dekat, tidaklah dekat. Namun, dapat aku perhatikan raut wajahnya yang garang. Berpakaian lagak pendekar lama, berbaju dan berseluar senteng berwarna hitam. Lengkap bertanjak, juga berwarna hitam. Dan, tali pinggang berwarna merah diikat kemas. Rambutnya panjang. Berkaki ayam sahaja. Tangannya disilangkan. Tegak sahaja berdiri, tidak bergerak. Tidak rendah, tidak terlalu tinggi orangnya. Tegap badannya.

Disekelilingnya, yang ada hanyalah tanah merah yang gersang. Seperti cuaca di sekeliling lelaki itu sangat panas terik sehingga terbitnya logamaya. Mataku juga berasa perit melihatnya.

Lama aku perhatikan. Lama juga dia memerhatikan kami.

Hanya apabila aku teringat bahawasanya semasa aku turun ke sini tadi, seluruh kawasan ini hijau diliputi rumput dan terdapat pokok-pokok getah mengelilingi, gementar badanku serta merta, kerana aku tahu itu bukan manusia. Aku diam dan aku memegang hujung baju salah seorang abang yang sedang tekun menebas lalang. Walaupun masih kanak-kanak, aku tetap menjaga batas di antara lelaki dan perempuan. Dia membiarkan sahaja aku. Tetapi, aku masih berasa takut. Aku bergerak perlahan-lahan, aku naik kembali ke kawasan tanah kami. Aku mencari ayahku dan memegang bajunya pula. “Kenapa” tanya ayahku. Pelik melihatku begitu. “Tak ada apa” balasku. Aku terus mengekori ayahku. Aku hanya mencari kekuatan. Sehingga semangatku pulih kembali.

Teringat adikku masih disana, aku segera berlari ke sana lagi sekali. Namun, aku turun secara perlahan-lahan. Aku menyorok di sebalik pokok dan aku mengintai terlebih dahulu. Aku ingin mencari kepastian, apakah yang aku lihat tadi masih di situ?

Adikku menyergah. “Woi, tengok apa tu kak? Ada apa-apa ke?” Aku senyum sahaja dan lari meninggalkan adikku di belakang. Ya, lelaki itu telah tiada. Rumput dan pokok kembali seperti sedia kala. Aku tidak mengatakan apa-apa kepada adikku. Lebih baik dia tidak tahu sahaja.

Aku diamkan sahaja hal itu.

Manakala, di dalam perjalanan pulang, ayahku melalui jalan lain pula. Tiba di suatu kawasan, aku ternampak satu perkampungan kecil yang sangat cantik di tepi jalan. Hampir kesemua rumah yang ada berwarna kebiruan, daripada atap sehinggalah ke dinding rumah. Cantik. Aku masih ingat aku ceritakan hal ini kepada kawan-kawan di sekolah. Mereka ketawakan sahaja aku. Kata mereka, mana ada kampung sebegitu di situ. Aku bingung. Namun, mereka mungkin betul kerana mereka juga tinggal berhampiran. Aku tetap percayakan apa yang aku nampak dan nekad akan mencari kawasan itu lagi. Ya, beberapa kali aku cuba mencari apabila melalui jalan yang sama, memang tiada perkampungan itu. Memang tidak dapat dilihat mata kasar rupanya. Siapalah gerangan penduduk kampung itu? Buniankah? Kini, aku pasti mereka telah berpindah kerana kawasan itu telah dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram. Manusia. Pentingkan diri.

Beberapa tahun berlalu selepas itu, rumah kami akhirnya siap tanpa sebarang halangan. Ibu ayah mengadakan kenduri kesyukuran. Adik-beradik ibu ayah semua hadir membantu. Sangat meriah. Dan, salah seorang bapa saudaraku sekeluarga akan tidur di rumah kami memandangkan mereka datang daripada jauh.

Selesai kenduri, mereka bergotong royong membersihkan periuk belanga dan pinggan mangkuk. Semuanya ditelangkupkan sahaja di luar rumah termasuklah pisau dan kapak.

Aku tidak ingat, kenapa dan mengapa, namun, kesemua lelaki dewasa yang ada di dalam rumah memutuskan untuk keluar sekejap dan meninggalkan ibu-ibu dan anak-anak sahaja di rumah. Kami dipesan untuk mengunci pintu dan tingkap memandangkan kawasan itu masih tidak ramai penduduk. Maka, bergembiralah kami semuanya sepupu-sepapat bermain tanpa kehadiran ayah-ayah yang garang. Ibu-ibu juga enak bersembang di dapur. Dan, siang bertukar malam.

Dalam asyik kami bermain, kami terdengar ketukan yang sangat kuat di pintu utama. Bertalu-talu. Adik perempuanku berhenti bermain dan berlari-lari anak untuk membuka pintu. Kami fikir, ayah-ayah sudah balik. Hampir sahaja tangannya menolak selak kunci. Namun, dia tidak teruskan. Berhenti tiba-tiba. Dia bergerak sedikit ke belakang, menjauhi pintu.

Dalam sesaat sahaja, pintu belakang rumah pula diketuk dengan sangat kuat. Gayanya seperti marah kerana adikku tidak terus membuka pintu

Gedegang! Dung! Dang!

“Eh! Siapa tu?” Kami terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku. Terkejut.

Dan, silih berganti pintu depan dan belakang diketuk. Sekali-sekala pintu ditendang sehingga bergegar rasanya. Hanya sekeping pintu kayu cengal itu sahajalah yang memisahkan kami di dalam dan apa sahaja yang ada di luar rumah ketika itu. Kekisi pintu dan tingkap masih belum dipasang.

Ibu-ibu mula kerisauan dan ketakutan. Namun, aku pasti pada masa itu mereka sedaya upaya menahan perasaan sendiri memandangkan kami semua masih kanak-kanak.

Dan, kami sesunguhnya berada dalam ketakutan yang amat sangat.

Ibu saudaraku mengambil keputusan untuk membuat panggilan kecemasan. Kami semua diminta untuk tidak membuka pintu dan tingkap sehingga polis sampai. Ibu-ibu menyuruh semua anak-anak berkumpul di dalam satu bilik.

Tiba-tiba semua ketukan dan tendangan di pintu depan dan belakang berhenti, dan kami terdengar seperti ada orang mengelilingi rumah sambil bercakap. Kami memberanikan diri mengintai di celahan tingkap. “Oh, polis dah sampai”

Tidak berapa lama, ayah-ayah juga kembali. Mereka juga terkejut melihat polis berada di pekarangan rumah. Berebut-rebut kami bercerita hal yang terjadi.

Polis tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan. Katanya, kalau orang jahat, pasti kapak dan pisau ini diambil mereka untuk mengumpil pintu. Tetapi, semuanya tidak terusik. Elok sahaja kedudukannya seperti mana siang tadi. Lantas, kami dinasihatkan untuk menyimpan kembali semua peralatan memasak di dalam rumah. Tiada satu pun barang yang hilang selepas diperiksa ibu.

Yang menjadi persoalan bagi kami, kenapa adikku tidak terus membuka pintu? Adik berkata “Entah. Memang nak buka. Tapi perasan cara ketuk tu tak sama dengan cara ketuk ayah. Ayah tak akan ketuk kuat-kuat macam tu. Ayah akan guna hujung kunci untuk mengetuk pintu” Logik. Memang begitu tabiat ayahku. Alhamdulillah, Allah pelihara keselamatan kami.

Polis juga tidak menjumpai kesan-kesan manusia menceroboh. Mereka kemudiannya meninggalkan kami setelah berpuas hati dengan siasatan mereka.

Kami juga masih tertanya-tanya, andai seorang sahaja yang mengetuk pintu, bagaimana dia mampu bergerak ke pintu depan dan belakang dengan sangat laju? Kami anggap sahaja mungkin lebih daripada seorang, andai kata itu adalah manusia. Namun, tiada kesan mencurigakan ditemui polis. Malah polis juga tidak terserempak dengan sesiapa sewaktu memasuki lorong rumah ini.

Itulah kisahku hampir 25 tahun yang lepas.

Adakah gangguan itu berhenti di situ sahaja? Entah. Sekali sekala, ada yang datang mengetuk tingkap tatkala kami bersendirian di dalam bilik. Kadang-kala, seperti ada yang berbisik. Namun, kami abaikan sahaja. Kami sekadar cepat-cepat lari keluar bilik. Tetapi, ada juga bunyi di tingkap disebabkan manusia bergelar pencuri. Habis dikaitnya melalui tingkap harta benda kami yang mampu dicapai.

Cuma, dalam beberapa tahun yang lepas, apabila terdapat sedikit gangguan, ibu ayah ada memanggil perawat Islam untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi. Katanya, ada beberapa makhluk mendiami sekitar rumah. Di dalam dan di luar. Di antara makhluk yang diterangkan, termasuklah lelaki pendekar yang aku temui lama dahulu sewaktu rumah ini dibina. Tetapi, dia tetap di kawasannya sahaja. Nampaknya, kewujudan dia pada masa itu bukanlah bayanganku semata-mata. Dia tetap di situ.

Pernah juga ada tetamu yang tinggal lama di rumah kami, meninggalkan sekeping kertas di pintu. Aku balik dan bertanya kepada ibu “Siapa yang tulis tangan ayatul kursi, lepas tu tampal kat pintu tu?”

“Oh, ada kan hari tu orang tu duduk bilik tu. Dia kata setiap malam ada budak berlari-lari dan bergelak ketawa di dalam bilik tu. Dia takut sangat sehinggakan dia salin ayatul kursi dan tampal di pintu” balas ibu.

“Oh, tak pernah pulak kakak nampak sepanjang duduk bilik tu” kataku kehairanan. Memang benar tidak pernah aku alami hal itu.

Sekian.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 19 Average: 4.4]