Rumah di tepi masjid

Rumah di tepi masjid

Salam perkenalan buat semua pembaca Fiksyen Shasha. Aku Suha, bukan nama sebenar. Aku terpanggil untuk menceritakan kisah kami sewaktu membesar di sebuah rumah di tepi masjid di pinggir kampung. Kisah ni kejadiannya semasa awal tahun 1990-an dahulu sewaktu aku di sekolah rendah. Sedikit pengenalan tentang keluargaku. Aku anak ke-5 daripada 9 orang adik beradik. Aku ada seorang abang, 3 orang kakak dan 4 orang adik lelaki. Kami berasal daripada keluarga yang susah, ayahku hanya mengambil upah bekebun, dan ibuku suri rumah. Pendek kata kalau hidup zaman sekarang confirm dapat PPRT atau pun BSH. Boleh dikatakan, keluarga kami agak ‘famous’ di kampung kecil kami. Pertama, famous kerana kesusahan hidup. Kedua, ‘famous’ sebab ayah aku dulu pernah menyandang jawatan Tok Siak masjid di kampung kami. Sebab kedua nilah yang ada kaitan dengan cerita aku hari ni.

Disebabkan ayah aku dilantik menjadi Tok Siak masjid yang bertanggungjawab membersihkan, mengemas dan menjaga persekitaran masjid, kami ditumpangkan sebuah rumah kayu 2 tingkat yang terletak betul-betul di tepi masjid. Kiranya, 8 langkah dah sampai ke masjid dari rumah. Oh ya, sebelum itu, masjid kampung kami ni, adalah masjid kayu lama yang masih mengekalkan ukiran-ukiran kayu berunsurkan Jawa kerana majoriti penduduk di sini adalah berbangsa Jawa.

Kalau tak silap aku, masjid ini sudah pun berusia lebih 100 tahun ketika ini. Tetapi apa yang lebih menarik, selain rumah kami terletak sangat dekat dengan masjid, terdapat tanah perkuburan yang jaraknya cuma lebih 20 langkah sahaja dari rumah kami. Jeng jeng, jeng.. Oleh sebab itulah, hidup kami semasa kecil tak sunyi daripada benda-benda tak nampak ni. Haish, geram pulak bila ingat balik, dahla hidup kami susah, disusahkan pulak dengan puak-puak hantu jin ni.. huhuhu.

Salah satu peristiwa yang paling aku ingat terjadi pada aku dan 3 orang adik lelakiku, Abu, Ali dan Adi (nama samaran). Disebabkan abang dan 3 orang kakakku sudah bersekolah di asrama, jadi kiranya akula kakak yang paling besar diharap untuk menjaga adik adikku. Seingat aku umurku baru 10 tahun, Abu 7 tahun, Ali, 5 tahun dan Adi 2 tahun. Pada malam kejadian, lebih kurang selepas isya’ ayah dan ibuku pergi ke rumah ibu saudaraku yang terletak dalam kampung yang sama, tapi jaraknya agak jauh, lebih kurang 10 minit menunggang motosikal. Ketika itu, memang mereka selalu pergi ke sana kerana menjenguk nenekku yang sudah sakit tua. Disebabkan hanya motosikal yang ada, maka memang kami semua tak dapatla ikut, lebih-lebih lagi hari sudah malam. Maka ibu pun berpesanla supaya aku menjaga adik adikku sementara mereka keluar, dan disuruh masuk tidur awal. Maka aku pun membentang toto betul-betul di depan pintu rumah kerana takut tidak tersedar jika ibu bapaku sudah pulang. Lagi satu, aku takkan tidur di tingkat atas rumah jika ayah dan ibuku tidak ada kerana terasa seram lain macam.

Tak lama selepas ayah dan ibu keluar, maka kami pun tertidur, tapi rupa-rupanya malam itu kami tidak akan tidur lena. Seingat aku, tidurku dikejutkan dengan bunyi tangisan adik adikku yang sudah berpelukan dan bunyi lolongan yang agak kuat dari luar pintu rumah. Rupa rupanya bila diamati ia adalah bunyi anjing sedang menyalak dengan kuat betul2 di depan pintu rumah tempat kami tidur. Pintu rumah ketika itu bergegar-gegar ibarat mahu tercabut. Sudahla pintu itu, cuma ada selak kayu sahaja. Ya Allah, keadaan sangat bingit ketika itu, aku cuma mampu memeluk adik- adikku sedangkan aku juga ketakutan.

Pada ketika itu Adi, adikku yang paling kecil memandang tepat ke tangga rumah untuk naik ke tingkat atas sambil menutup muka dengan tapak tangan dan menangis. Aku berdoa di dalam hati janganla sampai anjing-anjing ni berjaya masuk ke dalam rumah. Aku nekad lari ke atas rumah kalau terpaksa. Dalam beberapa minit salakan anjing tak berhenti, aku terdengar bunyi motor memasuki halaman rumah. Allahuakbar nasib baik ayah ibuku sudah pulang. Aku terdengar ayah cuba menghalau anjing anjing itu dari pintu rumah. Setelah yakin anjing anjing itu sudah tiada, barula aku berani membuka pintu rumah dan hanya menangis bercerita dekat ayah dan ibuku.

Ayah dan ibu memujuk kami, mengatakan anjing-anjing itu menyalak kerana ada arnab belaan kakakku di dalam sangkar di sebelah kanan pintu rumah. Tetapi aku merasa agak pelik kerana anjing2 itu bukan menyalak di kanan rumah, tapi betul-betul di depan pintu rumah kami, sambil mencakar-cakar pintu. Tapi aku diamkan sahaja, sehinggalah baru- baru ini aku tahu kemungkinan sebenar di sebalik peristiwa itu. Fuh, ambil masa 20 tahun baru terbongkar.. gahaha. Ceritanya baru-baru ni kami adik beradik bercerita pengalaman sewaktu kami kecil termasukla cerita disakat hantu. Antara cerita yang keluar adalah cerita bagaimana kami ‘diserang anjing’ malam-malam. Adi, adikku baru membuka cerita bahawa sewaktu bunyi anjing bertalu-talu di pintu rumah dan menyebabkan dia terjaga, matanya telah terpandang lembaga hitam bertongkat sedang turun perlahan-lahan dari tingkat atas rumah kami.

Pada masa itu dia masih belum boleh bercakap dengan jelas lagi, jadi dia hanya mampu tutup muka dan menangis sahaja. Sepanjang bunyi anjing itu, lembaga itu memang ada di tangga rumah. Jadi bak kata Adi, sebenarnya anjing-anjing tu nak bagitahu yang hantu tongkat dah berjaya masuk rumah..;P Aduh, aku bersyukur yang mase tu, aku tak nampak benda tu.. hahaha, sian Adi, nasibla kau yang terpilih..dan aku lagi bersyukur kerana aku tak ambik keputusan untuk lari ke tingkat atas rumah… huu.

Selain itu, ade lagi beberapa peristiwa kami disakat hantu di rumah masjid ni. Nantilah kalau admin approved cerita aku ni, aku sambung lain kali ye. Banyak kenangan kami membesar di rumah ni, walaupun susah, tapi tetap seronok. Kami duduk di rumah tepi masjid tu selama 9 tahun. Selepas keluarga ayahku, Tok Siak yang dilantik adalah pakcik berumur yang anak-anaknya sudah besar panjang. Masa tu aku terfikir, tak syokla hantu-hantu tu nak kacau, dah takde budak-budak dekat rumah tu.. hehehe.

Aku yang terkenang;
SUHA

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Suha

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

4 thoughts on “Rumah di tepi masjid”

  1. Best cite ni tapi Adi boleh ingat walau masa tu umur dia baru 2 tahun? Really?? Kalau aku kenangan boleh ingat bila umur dah 5 tahun. Muda drpd tu mmg x teringat apa² walau ada gambar ketika usia 2 tahun😊

    Reply
  2. Assaalamualaikum. Mula-mula saya pun terfikir, bagaimana Adi masih boleh ingat tentang hantu tu sedangkan dia baru berumur 2 tahun? tapi bila difikirkan mungkin kerana dia terlalu takut/trauma, sebab itulah dia boleh ingat walaupun baru berumur 2 tahun.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.