RUMAH TAMAN

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIIM.

Assalamualaikum,

Lama benar saya tidak mengirim kisah di sini. Insya Allah, selepas ini, saya akan hantar lagi kisah saya di page tersohor ini.

Semasa Yunus pulang kerana bercuti, selain daripada hendak makan makanan yang telah lama diidamkannya, Yunus gemar menghubungi kawan-kawan kami yang telah lama berpisah jasad. Itulah Yunus, jernih hatinya, bersih kalbunya.

Sudah tentu rumah Tok DarR dan rumah tok Ngah akan dijengah Yunus. Walaupun kedua-dua datuk dan neneknya yang sudah dianggap ibu bapanya telah tiada, Yunus akan tetap menyantuni datuk-datuk, nenek-nenek, bapa-bapa dan ibu-ibu saudaranya di Kedah. Sepupu-sepunya waktu itu, ramai yang telah meninggalkan kampung Tok Darr yang indah kerana urusan dunia. Ada yang menyambung ilmu, ada yang telah berjodoh dengan orang jauh, dan ada yang telah berpindah kerana tuntutan kerja.

Salah seorang rakan sekolah kami, Azam Namanya, telah bernikah dan bekerja di Lumut. Kenalah mereka berdua, bekerja dengan pakaian seragam. Azam baru sahaja mendapat jodoh dan tinggal di kawasan perumahan yang disewanya, yang hanya beberapa minit dari tempat kerjanya.

Kerana cutinya panjang (Yunus jarang bercuti panjang), Yunus berhajat hendak membawa keluarganya (anak isteri, mentua dan pak ngah dan Omakngah) bercuti ke Pulau Pangkor. Van yang disewa Yunus dengan rakan sepasukannya yang telah berpindah ke Semenanjung, cukup untuk membawa mereka semua. Tetapi tok ngah dan Omakngah menolak, kerana padi akan dituai dan siapa yang hendak menjaga lembu kambing mereka nanti. Mujib telah berada di Mesir, bekerja sebagai ustaz fedah dan usulludin di sana.

Aku yang merindui mereka, apabila diajak, seperti orang mengantuk disorong bantal. Semestinya aku tidak akan menolak. Dalam benak, jika isteri Yunus mengizinkan, aku mahu bersembang dengannya hingga ke pagi. Atau membuat perkara yang kami biasa lakukan ketika remaja, atau berlumba mandi di laut sehingga kecut jari kaki dan tangan.

Yunus ada mengubungi Azam, memberitahu hajatnya hendak ke Pangkor. Walau dalam telefon, aku boleh mendengar suara Azam yang gembira dan sangat teruja. Maklumlah, kami memang sudah lama tidak berjumpa. Tentu banyak benda yang akan menjadi tajuk bualan, terutama kenakalan masing-masing ketika remaja di kampung.

Dipendekkan cerita, perjalanan kami lancar. Aku yang memandu dari Pulau Pinang ke Lumut. Biarkan Yunus berehat sambil mengusik anak daranya dan anak kembarnya yang aku panggil Upin dan Ipin. Walaupun nama itu sangat tersohor waktu itu, kedua kembar itu sangat tidak suka dipanggil nama itu. Itulah yang menjadi bahan usikan aku dan Yunus, sehingga Yunus ditegur Zaharah. Bingit kedua kembarnya menangis disakat Yunus di dalam van. Khadijah, anak sulungnya yang pendiam seperti ibunya, hanya terkekeh-kekeh ketawa.

Sampai di Lumut, kami berjemaah dahulu di masjid terbesar di situ. Berdering telefon Yunus, Azam sudah tidak sabar untuk berjumpa, sekaligus ingin memperkenalkan isterinya kepada kami. Kami beredar dan ke rumah Azan. Taman perumahannya agak luas dan rumah Azan adalah rumah taman setingkat yang terletak betul-betul pengujung taman. Waktu itu, kawasan depan rumah Azam masih lagi semak belukar (sekarang sudah menjadi kawasan perumahan).

Sampai di depan, Azam menerpa dan tidak segan silu memeluk kami berdua. Lama sungguh tidak bertemu. Siapa sangka si pendek ini menjadi tentera laut. Badannya tegap dan inai masih merah di jari.

Kami diajak masuk ke rumah. Orang baru berkahwin, rumahnya masih tidak banyak perabot dan kami duduk di lantai. Aku dan Yunus ke dapur membawa buah tangan berupa barangan dapur dan hadiah perkahwinan. Aku menghadiahkan Azam pengisar makanan manalaka Yunus mengadiahkan Azam set minum petang yang dibelinya di Labuan.

Beberapa kali Azam mengelui isterinya yang berkurung di dalam bilik. Banyak kali juga Azam mengetuk pintu bilik mereka, tetapi isterinya enggan keluar. Malu dengan telatah isterinya, Azam agak berkeras dan mahu tidak mahu, Azam menggunakan kunci pendua dan membuka pintu bilik tidur mereka.

Terbuka sahaja pintu bilik, Yunus seakan terkejut dan bingkas melompat. Aku tidak merasa apa-apa, tetapi Khadijah kejung merenung bilik tidur. Pertengkaran suami isteri itu, hinggap di telinga kami. Mentua Yunus nampak sangat tidak selesa dan berkata sesuatu kepada Zaharah dalam bahasa Iban, yang aku tidak mengerti. Khadijah tetap merenung arah bilik dan kemudian, seperti ayahnya, bingkas seperti terkejut dan memandang ke arah dapur dengan pandangan tajam.

Emak dan ayah mentua Yunus bangun dan berjalan ke pintu, diikuti dengan anak kembar Yunus. Zaharah, ditelan m**i emak, diluah m**i bapa. Dia mencuit Yunus, dan Yunus keluar mengikut mentuanya dengan Zaharah. Tinggallah aku dengan Khadijah yang masih pegun berdiri memandang ke dapur.

Pertengkaran tadi, yang mulanya perlahan, menjadi semakin kuat. Terdengar suara tempikan isteri Azam, jelas hinggap di telinga.

“Sapa suruh hang bawak manusia kotoq macam tu? Bukan satu, ramai satu rumah hang bawak! Hang pandai sangat, hang pi layan depa. Hang jangan kacau aku!!” laung isteri Azam. Pertengkaran mulut semakin rancak bila Yunus masuk ke dalam rumah.

“Zam, mai keluaq sat” kata Yunus, lembut tapi tegas.

Azam muncul dengan wajah yang sugul bercampur malu. Longlai sahaja langkahnya, tidak seperti Azam yang baru tadi sangat ceria bertemu kami.

“Ku, mai sekali” kata Yunus.

Aku berdiri, masih memandang Khadijah yang masih tegak berdiri. Kami keluar ke hadapan rumah.

“Bini hang tak salah, Zam. Ada benda dok kacau dia. Bukan sekoq, tapi sepasang” kata Yunus, merenung tepat ke mata Azam. Aku juga sangat terkejut dengan kata-kata Yunus. Tiadalah aku sangka, keadaan jadi seburuk ini.

Yunus memandang sekeliling. Rumah lot tepi itu, tanah di tepi rumah yang sederhana luas, agak semak dengan pokok-pokok serai yang ditanam berjajar tapi tidak berjaga. Tuan rumah nampaknya tidak pedulikan perihal rumahnya, tapi sempat mengecat rumah itu sebelum dihuni Azam berdua.

“Cerita sikit pasai rumah ni, Zam” pinta Yunus, sambil memegang bahu Azam yang sugul.

Menurut Azam, dia baru tiga minggu berpindah ke rumah baru mereka. Dia mendapat rumah ini juga dengan cara tida sengaja, bukan dia yang mencari. Dia ada memberitahu rakan-rakannya yang dia mahu mencari rumah sewa, dan salah seorang rakannyalah yang memberikan nombor telefon tuan rumah.

Kerana Azam sebelum ini tinggal di tempat lain, menyewa dengan rakan-rakannya yang bujang, dia tidak tahu menahu tentang perihal rumah itu. Kerana agak terdesak, isterinya yang bekerja sebagai guru, berjaya dalam permohonannya bertukar ke sekolah di daerah Lumut. Mereka berpindah masuk tanpa masalah, dan keadaan isterinya, menurut kata Azam, baik-baik sahaja.

“Ada sepasang jin dah duduk rumah ni, lama dah” kata Yunus perlahan, tapi sangat mengejutkan aku dan Azam.

“Rumah ni dah lama tinggai (kosong). Hang tak perasan apa-apa yang pelik ka, Zam?” tanya Yunus.

Azam memberitahu, setiap malam, isterinya akan bangun jam tiga pagi, pergi ke dapur dan memasak. Kemudian, isterinya akan ke bilik air, lama dia di dalam. Azam mula mengesan sesuatu, tapi apabila ditanya isterinya, isterinya hanya tersenyum meleret. Azam dan isterinya akan membawa bekalan mereka ke tempat kerja masing-masing. Menurut Azam, bekalan yang dibawa tersangat sedap dan berjenis. Kerana itulah, dia tidak mengesyaki apa-apa, malah seolah menyokong isterinya yang “rajin”.

“Ayah” tiba-tiba kami terdengar laungan dari Khadijah. Terlupa terus tentang anak dara Yunus itu.

Berlumba kami berlari masuk. Aku yang terakhir dan sempat memandang keluarga Yunus bersembang di dalam van. Mulia sungguh pekerti, diajar Yunus dengan penuh santun. Jika akulah, pelbagai andaian akan ada di dalam benak dan aku tidak akan setenang mereka.

“Ayah! Tu! Dia cari fasal dengan kita” kata Kodi menunding jari ke arah dapur yang agak tersorok. Aku dan Azam memandang, dan apa yang kami dapat lihat hanya dinding yang memisahkan ruang rumah yang lain dengan dapur. Rumah Azam masih lagi belum berperabot. Terteleng-teleng aku dan Azam memerhati.

Di sebalik dapur, nampak kain batik berwarna hijau ditarik, dan terdengar suara mengomel-ngomel di singki dapur. Hempas menghempas barang pun bermula. Terkejut, Azam menyerbu diikuti Yunus. Aku hanya berdiri pegun di tepi Khadijah, yang naik turun nafasnya, seperti orang sedang marah.

“Kakak, Ku, mai sat!” terdengar laungan Yunus. Tidak berlengah kami berdua berlari ke arah dapur.

Alangkah terkejutnya aku dan Khadijah, isteri Azam terkangkang di atas para dapur mereka, menyeringai memandang kami. Segala periuk dan balang yang disusun di atas para, semunya berselerak di lantai. Dengan kunyit dan garamnya, gula dan kopinya, biskut kering semuanya berselerak di lantai. Azam hampir hendak pengsan melihat isterinya begitu, mujur aku sempat menahan badannya dari terjelepuk ke lantai.

Yunus dengan mulut terkumat-kamit sudah mula membuka sedikit kakinya seolah hendak membuka buah silat. Kami ke belakang sedikit, dengan Khadijah sudah duduk bersila di muka dapur. Aku menarik Azam ke ruang tamu dan memujuknya supaya bersabar. Yunus, sahabat kami, sedang berusaha.

Aku meninggalkan Azam dan duduk di sisi Khadijah yang sudah memejamkan matanya. Aku juga bersila, mengelak pandangan dari melihat isteri Azam yang terkangkang, tersengguk-sengguk seperti sedang meratib dan menyeringai. Wajah isteri Azam yang muda belia itu, nampak sangat menggerunkan. Rambutnya kusut masai, menggerbang tidak terurus. Jemarinya aku nampak kejang. Kemudian, terdengar isteri Azam mengilai-ngilai. Mendengarnya, ceing bulu romaku kerana bunyinya aneh.

Bunyi hilaian ketawa isteri Azam terdengar seperti bunyi reriang dan bunyinya jauh, walaupun dia di depan kami. Aku mula mengosongkan benak, membayangkan lautan warna putih di dalam akal, dan aku membaca surah empat Qul yang sangat dibenci syaitan, dan mula berzikir.

Aku mendengar Yunus mula membuka Langkah silat, dan kemudian menghentakkan kaki ke lantai. Anehnya, ada bunyi sesuatu yang berat jatuh dan bunyi itu datangnya dari dalam bilik mandi.

Zikirku terhenti bila bahuku dicuit Yunus. Khadijah yang tadi di tepi, aku nampak berlari ke arah kami dengan kain batik untuk menutup kepala isterinya. Azam juga meluru ke arah kami, dan memangku kepala isterinya yang sedang menangis dan berpeluh-peluh seluruh badan. Isteri Azam nampak sangat penat dan sangat terseksa.

Dua beranak itu melangkah ke bilik mandi yang hanya di tepi dapur. Yunus sempai menggenggam belakang leherku dengan tiba-tiba. Aku tahu, Yunus mahu aku melihat makhluk yang mengganggu pasangan baru berkahwin itu.

Alangkah terkejutnya, di atas kepala, di antara paip yang menyalurkan air, ada satu sosok berwajah hitam legam sedang berpaut di saluran paip itu sambil menyeringai. Siungnya tajam-tajam dan matanya merah menyala. Kukunya hitam dan bengkok, terkial-kial memeluk saluran paip yang kecil itu.

“Turun kata aku!” bentak Yunus. Makhluk itu hanya menyeringai dan cuba memanjat, tetapi seolah pergerakannya tertahan di situ. Ada lubang kecil seperti tingkap dengan kaca seperti tingkap Nako, dan makhluk itu hanya dapat memandang tingkap itu.

Pemandangan yang aku lihat tidaklah sejelas aku melihat benda di depan mata. Kabur sahaja, tapi aku dapat melihatnya. Azam aku lihat sudah membawa isterinya masuk ke bilik.

“Ayah, dia nak cuba lari!” pekik Khadijah yang tiba-tiba melibas sesuatu di belakang kami, dengan kain batik yang diambil untuk menutup kepala isteri Azam tadi. Selepas dilibas Khadijah, aku terdengar suara melolong, bunyinya sangat jauh dan kemudian bunyi benda yang berat jatuh ke tanah.

“Pasung dia, kakak, kali ni pasung terus ke bumi!’ perintah Yunus kepada anak gadisnya yang masih sekolah rendah waktu itu. Khadijah membaca beberapa p****g ayat Quran dan ayat yang paling jelas di telinga ialah ayat ke 9 surah Yasiin dan ayat ke empat surah Al Fatihah.

Ruang rumah Azam bergema dengan bunyi seperti orang sedang lelah, yang bernafas dengan sangat payah. Bunyi seperti kahak di tekak juga kedengaran, seperti kita berkumur selepas kita memberus gigi. Tumit kanan Khadijah di kisar-kisar ke lantai, dan setiap kali kakinya dikisar, akan terdengar lolongan yang sangat jauh bunyinya, tapi bergema di dalam rumah.

“Zam, ada garam kasaq ngan lada hitam dak?” tanya Yunus kepada Azam yang masih kebingungan.

“Azam cuba mencari, tapi kemudian dia bingkas berlari ke luar. Tidak berapa lama, Azam datang membawa dua cawan, satu berisi garam kasar dan satu lagi berisi lada hitam.

Yunus mengambilnya dan membaca ayat Quran yang aku tidak dengar. Selepas itu, Yunus mencampur kedua bahan itu, dan mengambil dan merenjisnya ke arah para dan di dalam bilik mandi.

“Apa tok-tok? Apa ampun-ampun? Bangsa hang pa jahat, tak buleh tengok orang senang!” bentak Yunus yang berdiri di antara dapur dan bilik mandi.

“Kakak, pi tolong pakcik Azam. Isteri dia dah makin pulih” kata Yunus kepada anak gadisnya. Cepat sahaja Khadijah berlalu dan masuk ke dalam bilik tidur Azam, diikuti Azam yang sangat resah.

“Duduk di situ dulu! Aku uruskan hang pa nanti!” kata Yunus dengan membuat aksi meludah. Kemudian, Yunus pergi ke luar, memanggil mentua, isteri dan anak-anaknya masuk. Tidak lama kemudian, keluarlah Azam dan isterinya yang tersenyum kelat memandang kami.

“Saya minta maaf. Saya minta maaf… saya tak ingat apa yang jadi. Abang (Azam) yang bagi tahu tadi. Saya minta maaf” kata isteri Azam sambil menangis. Zaharah menerpa dan memeluk isteri Azam.

“Tak apa aih, bukan salah hang pun” kata Yunus selamba sambil duduk bersila di atas tikar.

“Aiyaq tak dak ka? Teh ka, aiyaq masak ka” kata Yunus, tersengih. Zaharah dan isteri Azam serta Khadijah ke dapur, diikuti Azam yang membawa penyapu.

Entah apa yang dibicarakan Yunus dengan mentuanya di dalam bahasa Iban yang aku dengar sangat pekat, mengangguk kedua orang tua itu. Comel pula aku lihat emak mentua Yunus yang bertudung litup dan bapa mentuanya, yang tangan penuh tatu, berkopiah putih.

Minuman pun sampai, Kami hanya minum dan Yunus mengajak Azam dan isterinya makan di luar. Yunus sangat teringin hendak makan asam pedas ikan pari. Sempat Yunus berkata, kalau ada ulam jantung pisang dengan sambal belacan, tidurnya akan lena malam ini.

Aku akan bercerita tentang apa yang Azam ceritakan selepas itu dan apa yang dibuat Yunus nanti, Insya Allah

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 51 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.