Rumahku Syurgaku Ke?

Assalamualaikum semua. Semoga semua sihat dan baik-baik saja pada musim perang covid-19 ini. Terima kasih kepada admin kerana menyiarkan kisah saya yang lepas. Ok done mukadimah….

Kali ini saya ingin menceritakan tentang rumah keluarga yang masih keluarga saya diami. Sesungguhnya, alam ghaib itu benar dan memang dalam Al-Quran pun ada menyatakan tentang ini. Kisah ini berlaku ketika saya masih bujang dan tinggal bersama ibu dan adik saya. Saya buat dalam bentuk penceritaan lah ya, supaya anda semua dapat imagine suasana seram tu.. Hehe.. Mana tau ada yang join baca sekali, cuba check dekat tingkap tu.. Selamat membaca.

‘Yaya, jom pergi tengok rumah yang mama berkenan sangat ni, suasana pun cantik dan sunyi, pas tu hanya deretan rumah ini yang berada di lorong 9 ni. Memang tenang dan best sangat’. Saya pun menjeling mama yang sedang duduk di meja makan ketika itu sambil membelek-belek majalah tatarias rumah. Ketika itu kami masih menetap di kuarters kerajaan di mana kami sekeluarga telah menetap selama hampir 8 tahun di sana tanpa ada rumah sendiri. Mama dan ayah telah lama bercerai dan ayah pula tinggal bersama isteri barunya di tempat lain.

Setelah nenek kami pergi pada awal tahun itu, mama sering teringat-ingat akan kenangan nenek bersama kami di kuarters itu dan membuat keputusan untuk berpindah lantaran kesedihan yang susah untuk padam itu. ‘Aik, bukan kita dah ada rumah lama dekat Kampung Masjid tu kah? Nak survey rumah mana lagi ni?’ kata saya sambil menggaru kepala yang tak berapa nak gatal. ‘Ish yang ni rumah yang cantik dan konsepnya pun menepati citarasa mama yang suka akan sunyi dan tenang. Mama dah pernah tengok dalam rumah tu, memang cantik dengan taman beranda kecil yang berada ditengah rumah. Pendek kata, memang cantik la. Kalau loan mama pass untuk dapatkan rumah ni, memang mama let go je rumah yang dekat Kampung Masjid tu. Jom la pergi esok. Esok tak kerja kan? ‘ kata mama sambil buat muka berharap dan comel. ‘Haa.. Ok lah, ok lah..’ Jawab saya dengan malas.

Pada keesokan harinya, kami pun pergilah ke rumah yang mama maksudkan itu. Hanya deretan rumah teres itu sahaja yang berada di lorong itu. Berhadapannya semak samun dengan projek perumahan yang terbengkalai. Memang tak dinafikan, walaupun rumah bahagian tengah teres 2 tingkat, tapi laman keretanya agak besar bersama taman kecil menghiasi ruang itu. Saya sebenarnya agak terpegun dengan rumah yang dimaksudkan oleh sebab harganya yang agak luar biasa murahnya. Pemilik lama rumah itu membawa kami berjalan-jalan sekeliling rumah sambil bercerita tentang dirinya dan rumah itu.

Rumah tersebut merupakan kenangannya bersama bekas isterinya. Oleh sebab tidak sefahaman, mereka bercerai dan pemilik rumah itu pun menjual rumah tersebut atas alasan banyak kenangan bersama bekas isterinya. Saya yang memang jenis malas banyak soal pun hanya angguk-angguk saja la. Tapi, saat kaki melangkah ke dalam rumah itu, memang badan saya sesuatu yang tidak kena dan tidak nyaman untuk terus berada disitu dengan lebih lama. ‘Bah, jum lah balik mama.’ kata saya kepada mama. Maka kami balik lah sambil kepala saya ligat berfikir macam ada yang tak kena saja.

—————–

‘Loan mama approve lah Yaya. Yesssss!!’ kata mama dengan gembiranya. Saya pun hanya mengiakan saja kerana masih teringat perasaan tidak sedap masa mula-mula ke rumah tersebut. Selang 2 minggu selepas berkemas dan membersihkan kawasan kuarters tersebut, kami pun berpindah ke rumah baru itu. Ketibaan kami datang dengan sahutan unggas dan cengkerik dari semak samun yang berhadapan dengan deretan rumah itu dengan hari yang telah masuk senja.

Bila hampir malam, barulah saya perasan rumah ini memang suram dengan berlampukan lampu kuning yang suram. Jadi saya fikir, rumah ini memang sesuailah untuk berehat-rehat sambil merehatkan mata. Memandangkan esok nak buat general cleaning seluruh rumah, maka saya pun berehat dulu untuk malam ini sambil melayan game PUBG MOBILE di ruang tamu yang serba suram itu. Dalam fokus dan leka bermain game, tiba-tiba ekor mata saya menangkap ada kepala menjenguk intai ditingkap yang memanjang berhadapan dengan saya duduk. Macam main peekaboo la.

Serentak dengan itu, angin entah dari mana rasa bertiup di kaki saya yang berjuntai-juntai dibawah sofa. Apa lagi terlompat la saya. Saya bukanlah jenis yang penakut sangat tapi kalau dah main peekaboo serta tiup-tiup tu, memang terkejut juga la. Untuk menyedapkan hati yang sedia tidak sedap, saya pun jenguk-jenguk la ke luar. Tingkap itu sebenarnya menghala ke tempat parking kereta. Mana tahu ada pencuri ke main peekaboo. Setelah pasti memang tidak ada apa-apa, saya pun naik ke bilik saya dan tidur. Gila ke apa nak stay sana lama-lama. Bukannya movie seram nak siap check buka pintu. Dah lah pukul 1 pagi.

——————–

Selang sebulan tinggal dirumah itu, semuanya nampak ok dan baik. Mama pun mula menghias-hias rumah dan menanam-nanam pokok bunga di depan rumah. Memang rajin sangat la. Belum lagi termasuk kucing-kucing kami yang 5 ekor semuanya. Semuanya kepunyaan mama.
Semuanya agak memeriahkan suasana yang serba sunyi. Kejiranan disini agak kurang mesra saya perhatikan. Mungkin semuanya berkerjaya tinggi sampai tak dapat nak senyum dengan orang lain. Mungkin juga mama saya yang agak cantik itu membuatkan semua jiran-jiran perempuan menyembunyikan diri dan suami dirumah untuk mengelak bertegur sapa. Typical lah kan. Tiada juga mama saya ingin dengan mereka itu. Weekk.

Kisah seramnya bermula apabila sedang saya tidur di bilik saya, tiba-tiba saya ditindih. Dengan pakej jeritan perempuan di telinga. Dengan sekuat tenaga, saya pun cuba bangun dan bangkit dari tidur. Siapa yang pernah kena tindih sewaktu tidur ni sahaja yang tahu betapa sakitnya dengan keberatan yang menimpa tubuh kita yang sedang baring dan terus sesak nafas akibat tindihan tersebut. Setelah berjaya bangun dan beristighfar, dalam keadaan yang masih mamai-mamai, saya terkejut mendengar jeritan mama yang kuat melolong-lolong. Apa lagi saya terus melompat dari katil, ketuk pintu bilik adik, dan bergegas pergi ke bilik mama.

Di situ lah saya nampak mama tengah terbaring sambil tangannya ke atas seperti hendak mencapai sesuatu sambil terjerit-jerit dengan bahasa yang tidak difahami. Saya yang nampak kejadian itu terus meremang bulu roma. Adik saya bergegas mengejutkan mama yang mungkin tengah bermimpi buruk sementara saya mengekori sahaja dari belakang. Setelah mama bangun dengan pakejnya menampar adik saya secara tak sengaja, dia pun beristighfar dalam keadaan ketakutan. ‘Kenapa dengan mama ni?’ soal saya dengan berani-berani takut setelah mama tenang. ‘ Mama tengok ada banyak tangan-tangan lah di bilik ni tadi sambil ada suara garau yang berkata ‘ berani kau ya’. ‘ katanya sambil mengusap-usap muka berkali-kali seolah masih seram.

Serentak dengan itu, bunyi ketukan halus datang dari arah bilik air bilik mama itu. Terus kami duduk rapat-rapat sambil memandang sesama diri. Setelah beberapa ketika bunyi tersebut berhenti, bersambung pula di sliding door bahagian beranda bilik itu. Beranda itu menghadap taman kecil di tengah rumah. Main pindah-pindah ketuk pulak kata saya dalam hati. Bila dah main ketuk-ketuk macam tu, saya pun mengajak mama tidur di bilik saya. Benda itu tak berhenti setakat itu sahaja untuk malam itu, sedang saya melayan game oleh sebab tidam dapat sambung tidur kembali, mama sambung terjerit-jerit dekat bilik saya pula, kali ini sambil menunjuk-nunjuk di penjuru bilik dengan mata tertutup. Tidur mengigau terukkan. Segera saya kejutkan mama bangun sambil mengajaknya solat dan baca Al-Quran sahaja lah sampai pagi. Mama pun bersetuju sambil mengajak adik bersama kami sekali. Maka berterusanlah kami sehingga subuh begitu. Selepas subuh baru lah tenang dapat melelap mata oleh kerana yakin keadaan luar makin terang suasana pagi.

—————–

Malam keesokannya, saya ingat sudah berakhir, rupanya gangguan malam tadi merupakan mukadimah untuk gangguan yang lebih teruk dan boleh dikatakan hampir seluruh bumbung rumah atas berhentak-hentak dengan kaki tah kaki siapa menari-nari di bumbung tingkat atas. Dengan salakan anjing yang entah datang dari mana sayup-sayup melolong. Perumahan yang kami tinggal itu semua beragama Islam ya, maka mustahillah ada membela anjing. Tak cukup dengan kaki, tambah lagi bunyi orang berbual-bual di bahagian ruang tamu macam ada ramah tamah aidilfitri lagaknya. Kami bertiga memang sentiasa berkepit sesama sendiri bagi memastikan tiada apa-apa disana. Bulu roma tak payah cakaplah, memang sentiasa merinding. Bila keadaan begitu berlaku, mama pun memasang ayat suci Al-Quran di tv untuk sepanjang malam. Malam itu memang tetap tidak dapat tidur oleh kerana mimpi buruk dan ditindih memang keterlaluan teruknya. Bukan setakat mama yang kena, saya sekali yang kena dengan bayangan cik baju putih itu.

Keadaan terus berlarutan sehingga hampir 2 minggu kami memang dah macam zombie tak cukup tidur. Mana tidak, asal malam, mula lah makhluk berpesta bunyi dengan pelbagai jenis yang menggambarkan itu hari siang bagi mereka. Saya pun memang dah tahap stress dengan tak cukup tidur begitu juga dengan mama. Bila tertidur duduk, siapa ada juga benda itu melentokkan mukanya di sebelah saya. Boleh tahan hodoh dengan muka yang kerepot dan panjang rambutnya. Keadaan itu diceritakan mama kepada kawan yang agak sebaya dengan saya dan kawannya itu terus offer untuk mengubat rumah kami. Saya pun bersetuju dengan usul kawannya kerana mama memberitahu niat mereka hendak menolong. Saya panggil kawannya itu Khai lah ya Bukan nama sebenar ). Khai ni saya boleh describekan sebagai lelaki yang lembut tapi entahlah minatnya ke arah mana (faham-faham lah ya).

Pada malam yang dijanjikan, Khai pun datang bersama kawannya yang lain yang tidak saya kenal. Pandangan mata orang itu pun saya tengok semacam saja. Semua datang berserba hitam semua. ‘Aik, macam pelik je ni. Betul ke tidak ni? Ikut ajaran Islam ke tidak ni? Macam pelik je cara mengubat ni?’ kata saya dengan adik. Saya pun cuba signal-signal mama, namun hampa. Mama malah melayan dengan yakin dan percaya. Maklumlah, mungkin mama rasa terdesak dengan seksaan gangguan untuk beberapa minggu yang lalu. Malam itu, mereka berbincang-bincang dengan apa yang perlu disediakan dan apa yang perlu dilakukan. Saya cakaplah ya apa yang mereka request untuk melakukan upacara mengubat rumah. Setakat yang saya dengarlah, sebab saya malas nak duduk bersama disitu oleh kerana memang tak sedap hati dengan cara yang confirm-confirm membelakangi akidah Islam itu. Yang peliknya, mama percaya dan hanya menurut.

– gaharu beberapa pack
– kacip sirih yang jenis perak 7 biji
– lada hitam
– rantai emas yang berloket color hijau
– kain kuning
– kain putih
– tanaman dalam pasu untuk dihanyutkan ke sungai
– Pelbagai jenis bunga
– cermin muka besar beberapa buah
– besi untuk ditanam sekeliling rumah

Tu sahaja lah setakat yang saya dengar. Yang lain saya tak pasti apa lagi. Yang saya tahu, mama menghabiskan ribuan ringgit untuk menyediakan barang-barang tersebut tanpa banyak soal. Belum lagi siap perlu bayar pengeras. Dalam keadaan mama menyediakan barangan tersebut, saya dan adik berpakat-pakat untuk menasihati mama. Malangnya, macam masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Siap dimarahnya kami berdua kerana tidak faham perasaannya yang terganggu itu. Akhirnya, kami membiarkan sahaja kerana malas hendak bertekak kerana faham sangat perangai mama yang degil dan ingat semua decision dia sorang yang betul tu.

Jeng jeng jeng..

Pada malam kejadian, kehadiran mereka disambut mesra oleh mama sementara saya dan adik stay di bilik masing-masing melayan game. Tiada masa kami nak melayan benda yang terang-terangan syirik itu. Cuma saya terganggu apabila mama mengetuk pintu bilik saya untuk suruh si baju hitam itu check saya dan bilik. ‘Tak payahlah check saya dengan bilik. Benda tak betul tu mama nak percaya. Solat 5 waktu tapi percaya benda syirik macam tu.’ Jerit saya dari dalam bilik. Ketukan yang bertalu-talu memaksa saya membuka pintu berterusan untuk sampai akhirnya saya pun terpaksa juga buka. Buka sahaja saya daun pintu, terus saya tengok rumah penuh dengan asap gaharu wangi.’ Ya Allah!! Kenapa penuh asap ni? Mama masih waras ke ni? Kenapa buat macam ni?’ Marah saya kepada mama.

Adik saya hanya menggeleng kepala dan menghela nafas panjang melihat tingkah laku mama seolah mama percaya sangat si baju hitam itu. Si baju hitam siap offer lagi tengok bilik saya. Katanya ada perempuan rambut panjang di bilik saya itu.’ kepala hotak kau lah’ kata saya tapi dalam hati lah. Dengan asap gaharu yang penuh serumah-rumah dengan bacaan tah apa-apa dibaca mereka dengan tujuan mengubatlah kononnya, bukan setakat perempuan rambut panjang, yang lain pun terpanggil untuk berpesta sekali. Upacara malam itu berakhir dengan meletakkan kacip berikat kain kuning di pelbagai penjuru pada pukul hampir nak subuh. Saya malas nak melayan, terus masuk bilik main game dan sesudah azan subuh berkumandang, saya lelap sekejap kerana hendak turun kerja beberapa jam lagi.

Malamnya, seperti saya jangka, keadaan semakin teruk. Mama semakin ketakutan dengan rumahnya sendiri. Saya tengok saja keadaannya itu sambil memandang ke arah sesuatu. ‘ Dari mana mama dapat rantai tu? Bukan rantai emas yang dibeli untuk mengubat rumah tu kan??’ kata saya hampir tak percaya dengan perbuatan mama. ‘Yalah. Orang tu suruh pakai rantai ni sebab loketnya dah dibaca untuk melindungi mama dari gangguan’ kata mama dengan yakinnya. Saya hanya mampu mengucap panjang. Nak dimarah, nanti bergaduh pula. ‘ Sekarang ni siapa pelindung sebenarnya? Allah atau loket bodoh ni? Gunalah sedikit akal fikiran. Mama orang berpelajaran tinggi, mengaji, solat. Takkan takdapat fikir sikit pun?’ kata saya yang hanya mampu berkata sinis campur nasihat.

Malangnya lagi sekali, mama hanya ignore dan terus menggunakan rantai itu dengan yakinnya sambil mengatakan saya ni becok sangat mulut, cubalah diam. Fine. Saya malas nak melayan, terus saya balik bilik saya, dan mengunci diri dan main game. Malas nak sakit hati. Beberapa jam kemudian, ada lagi ketukan bertalu-talu di pintu bilik dengan pakej tendangan dan jeritan marah. Saya mahu tak mahu, terpaksa juga membuka pintu sambil buat muka annoying. Mama yang ketakutan menangis di depan pintu bilik. Memang saya kesian sangat dengan keadaannya yang mungkin terdesak dan tak tahan akan gangguan itu, tapi nasihat langsung tak di dengar mama menyebabkan geram sangat lah.

Saya pun cuba guna teknik yang sememangnya agak kejam tapi kiranya akan menjadi. ‘Aik, cakap loket boleh melindungi dari gangguan, kenapa ketakutan pulak ni.’ kata saya sambil ketawa-ketawa sindir. ‘Bukak dulu rantai tu, baru Yaya tidur dengan mama ok?’ Maka dengan muka terpaksa, mama buka lah rantai itu dengan baiknya. Bila di buka, terus terjatuhlah loket itu ke lantai tak semena-mena terus terbelah dua. ‘Tu apa maksudnya tu?? Bagus sangat percaya benda syirik tu kan? Dah jum tido bilik Yaya. Takpayah tidur bilik mama’ kata saya sambil menenangkan mama hingga mama tidur. Tiba-tiba malam itu, setelah sekian lama, mama dapat tidur dengan nyenyaknya sambil berdengkur-dengkur macam bunyi enjin rosak sampai terganggu saya dibuatnya. Saya pun berjaga sampai selepas subuh, baru lah saya melelapkan mata.

Keesokannya, saya terus mencadangkan ahli darul syifa untuk sama-sama mengubat dan membersih rumah, sekali dengan mama dibersihkan. Pada petang itu juga semuanya dilakukan. Masa mama dirukyah itu, siap menangis-nangis mama tah kenapa. Saya hanya membiarkan. Atleast sekarang berada landasan yang betul sudahlah. Harap benda itu tidak mengganggu lagi. Selesai menabur garam kasar sekeliling rumah dan azan rumah, maka selesailah semua. Barulah saya rasa rumah ini bersih dan nyaman. Semua kacip dibuang dan semua cermin muka besar-besar itu diturunkan. Alhamdulillah malam itu, mama dapat tidur sendiri dibilik nya dengan tenang setelah sekian lama.

Saya dan adik pun berasa lega dengan improvement itu. Selang beberapa hari, mama pun buat jamuan makan selamat. Kira macam house warminglah sebab selama ini memang tiada buat makan-makan pun. Semenjak itu, gangguan memang masih ada tapi agak kurang dan tidak extreme. Hanya ketuk-ketuk halus sahaja lah masih boleh diterima. Cuma sekarang saya sudah pun berkahwin. Maka tinggal lah dua orang sahaja di rumah yang 2 tingkat itu. Dapat bayangkan betapa sunyi nya. Terima kasih ya kerana membaca. Doakan mama saya sentiasa sihat dan sejahtera selalu. Amin❤️

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

YamaYama

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.