Saka Dan Jin Penceroboh

Beberapa tahun lepas, atas sebab-sebab tertentu, saya berhenti kerja dari syarikat yang saya telah bekerja selama lebih 20 tahun. Semasa di syarikat itu, saya ada beberapa orang kawan baik, antaranya termasuklah Ani dan Arip. Mereka berdua lebih muda dari saya dan join company itu pun baru sekitar beberapa tahun. Mereka adalah suami isteri, bertemu jodoh setelah masuk bekerja di situ. Itupun saya punya kerjalah dok giat-giatkan diaorang sampai jatuh cinta dan kawin. Sebab tu la diaorang rapat dengan saya.

Lebih kurang waktu itu juga saya baru mula mengenali dunia rawatan. Semuanya berlaku secara tak dirancang. Memang tak pernah terlintas untuk saya belajar ilmu rawatan. Ada juga sebelum tu join seminar rawatan Islam bersama geng silat saya dengan seorang ustaz yang juga seorang guru silat, tapi saya tak amalkan. Ye lah, belajar main ikut-ikut kawan je kan, macam tu la jadinya.

Suatu hari, isteri kepada salah seorang kawan sepejabat saya yang bernama Man mengalami gangguan makhluk halus. Isteri Man kena rasuk waktu dia sedang bekerja di pejabatnya. Isterinya seorang perempuan… eh apa daa.. mana ada isteri lelaki, maksud saya sewaktu isterinya dirasuk tu, boleh pulak dia gi pewitt kan perempuan kawan sepejabatnya, ala-ala nak ngorat gitu. Jadi jelaslah yang merasuknya tu jin jantan buaya darat, tapi tak tau la kot ada jugak jin betina yang suka orang perempuan. Kot-kot la jin pun ada yang LGBTQ jugak.

Waktu kat rumah pulak, ada masanya bila Man tengok perangai bininya jadi agak lain macam, Man cuba baca ayat kursi… tapi bininya buat bodo je, relaks takde apa-apa reaksi, konon-konon dia normal la, tapi bila Man suruh bininya sendiri baca ayat kursi tu, bininya tak baca, tapi dia bantai gelak. Gelaknya pulak gelak sinis, nadanya pun lain macam. Kantoi jugak akhirnya setan yang dalam tubuh bininya tu… konon tak nak bagi orang tau.

Kebetulan ada seorang kawan saya, Faiz yang sedang belajar rawatan dengan seorang ustaz. Ustaz tu ada pusat rawatan, jadi saya cadangkan kepada Man supaya bawa isteri dia berubat dengan ustaz guru kepada kawan saya tu. Man setuju. Alhamdulillah isteri Man dah OK selepas berubat dengan ustaz. Selepas tu ada beberapa kali saya bawa ahli keluarga saya berubat dengan ustaz. Masa tu Faiz ada juga ajak saya sama-sama belajar dengan ustaz, tapi saya tolak dengan baik.

Masa berlalu. Musim berganti. Rutin pergi-balik kerja memang membosankan. Kerja tak tentu masa. Hari-hari mengadap jem. Telan caci maki dari boss dan kadang-kadang dari client. Gaduh dengan rakan-rakan sekerja dalam meeting. Semuanya seolah-olah tak berkesudahan. Seiring dengan bertambahnya usia, niat di hati saya untuk memperbaiki diri dan meningkatkan amalan demi mendekatkan diri kepada-NYA tak pernah padam sejak sekian lama, cuma bila urusan dunia terlalu menjerut, niat di hati kekal di hati dan tidak diterjemahkan kepada tindakan.

Setiap kali saya bawa kawan-kawan atau keluarga untuk berubat dengan ustaz, sebenarnya jauh di lubuk hati saya timbul satu perasaan insaf bila tengok ustaz merawat. Kalau ada masalah dengan manusia boleh jugak la kita pergi sekeh kepalanya, tapi kalau ada masalah dengan jin setan… macamana nak sekeh kepala setan? Jadi, hanya kepada-NYA lah tempat kita memohon perlindungan dan bergantung harap.

Setelah sekian lama, akhirnya hati saya dijentik untuk cuba ambil tahu dengan lebih lanjut tentang kaedah rawatan yang Faiz belajar dengan ustaz. Saya soal siasat Faiz habis-habisan… senang ke susah nak belajar? Apa amalan yang nak kena buat? Berapa kali seminggu kena jumpa? Kena pakai kopiah ke lepas belajar? Ada ujian ke? Apa risikonya kalau belajar? Dengan Faiz boleh la saya tanya macam-macam. Tu la, sapa suruh ajak saya belajar kan? Kalau dengan ustaz takkan nak tanya macam tu. Silap-silap kena luku ngan ustaz. Setelah terjawab semua persoalan, maka belajarlah saya.

Selepas ustaz bagi amalan, kemudian beberapa kali ikut Faiz gi merawat orang, itupun lebih kepada tengok Faiz merawat, saya bantu sikit-sikit je, tiba-tiba Faiz cakap, “Ko dah boleh mengubat orang.”
Melopong la saya sekejap. Biar betik! Takkan macam ni je belajarnya. Macam sikit je… macam sekejap je… macam tak official je. Betul ke saya dah boleh buat? Dalam kepala hotak saya tengah perang besar, antara yakin dan tidak. Masa tu keyakinan adalah pada tahap paling rendah. Tapi… nasib baiklah Ani dan Arip datang menyelamatkan keadaan… err.. tanpa diaorang sengaja sebenarnya.

Sejak dari rentetan saya bawa Man dan isterinya jumpa ustaz, bawa ahli keluarga berubat, Faiz ajak belajar, ikut Faiz merawat, sampailah kepada saya habis belajar, Ani dan Arip lah yang menjadi tempat saya berkongsi segala cerita. Bab-bab dunia ghaib dan rawatan ni bukan semua orang boleh terima dan percaya. Hanya orang yang pernah alami atau orang terdekat alami saja yang tau. Ani dan Arip, terutamanya Ani, pernah mendapatkan rawatan dari Faiz, jadi lebih mudah mereka faham apa yang saya ceritakan.

Walaupun pernah berubat dengan Faiz, gangguan pada Ani berulang kembali. Jadi, apa lagi… perawat junior yang takde pengalaman dan takde keyakinan ini pun duduk di sebelah meja dia je kat pejabat, tak payah nak call, tak payah nak wasap bagai, tak payah ambik nombor giliran, terus cakap direct je nak minta tolong tengokkan masalah gangguannya. Ani satu team kerja dengan saya, sebab tu meja kami sebelah menyebelah. Meja kerja Arip pula terletak di belakang meja kami.

Oleh sebab tahap keyakinan Ani pada saya melebihi keyakinan saya kepada diri saya sendiri, untuk tak menghampakan Ani, saya ikhtiarkan masalahnya. Hari tu tangan Ani sebelah kiri dari bahu sampai ke jari rasa menyucuk-nyucuk bisa. Lepas puh kiri puh kanan, nasib baik takde hak tuihh… alhamdulillah sakitnya hilang. Saya? Dalam fikiran saya berkata, “kebetulan je ni sakit dia hilang lepas saya rawat, sebenarnya sakit dia memang dah nak elok pun.”

Selang beberapa hari, sakit tangannya datang lagi. Hari tu hari Jumaat malam. Saya balik ke rumah sekitar pukul 2 pagi. Esoknya hari Sabtu kami cuti.

Tengah baring, matapun dah layu, tiba-tiba dapat wasap dari Ani, “Cik Zul boleh tolong tengokkan tak? Tangan saya sakit balik.”

“OK. Nanti saya tengokkan.”

Lepas je reply wasap Ani tu saya dah tak sedar diri. Sebelum tu sempat saya bermonolog, “Alaa… sakit biasa je tu kot. Kejap lagi hilang sendiri la tu.” Maka saya pun hanyut di lautan mimpi… dengan harapan bila saya bangun pagi esok, sakit tangan Ani dah hilang dengan sendiri.

Esoknya lepas Subuh saya wasap Ani, “Macamana tangan? Sakit lagi ke?”

“Ya Cik Zul, masih sakit, macam nak tercabut rasa tangan ni.”

Dalam hati saya berkata, “alamak… ye ke?”

Saya balas wasap Ani, “wait seminit ye.”

Saya tarik bisa di tangannya. Ada la dalam beberapa minit walaupun janjinya seminit.

Kemudian saya tanya Ani, “sekarang camna? Ada kurang tak?”

“Dah hilang terus Cik Zul.”

“Alhamdulillah, syukur.”

Selepas kejadian Ani sakit tangan tu, ada beberapa kali lagi saya buat eksperimen. Bila Ani mengadu sakit je, saya biar dulu dalam beberapa lama, kadang-kadang beberapa jam, ada juga yang semalaman, cuma untuk pastikan sakitnya bukan sakit biasa, kemudian baru ikhtiarkan. Untuk kes Ani, setiap kali saya tarik, sakitnya terus hilang, alhamdulillah DIA bantu permudahkan. Selepas itulah baru keyakinan diri saya beransur-ansur meningkat.

Bermula dengan kes Ani jugalah sedikit demi sedikit saya mula memahami perkara-perkara yang berkaitan dengan gangguan jin. Bila Ani ceritakan tentang latar belakang keluarganya, berdasarkan pengamatan saya, Ani ada saka keturunan, tapi dah dibuang sewaktu berubat dengan Faiz sebelum ni. Memandangkan dia dah ada sejarah gangguan, laluannya pernah terbuka dan masih belum tertutup sepenuhnya, jin-jin penceroboh akan mengambil kesempatan untuk mengganggunya. Sebab itulah Ani selalu sakit macam-macam.

Setelah agak lama membantu Ani, saya bereksperimen pula dengan kaedah rawatan saya. Saya boleh buat macam tu sebab saya dah menguasai asas yang diajar oleh ustaz dulu, jadi selebihnya saya cuba buat cara saya sendiri. Bukan kena bayarpun dan takde siapa nak marahpun.

Pernah suatu hari Ani mengadu sakit perut. Ani MC pada hari tu, saya pula ada di ofis. Saya tengah sibuk buat kerja, jadi hanya baca wasap dari Ani dan tak sempat nak balas atau tengokkan lagi sakitnya. Lepas beberapa jam, Arip pulak wasap saya, dia pun cuti sebab jaga Ani.

“Cik Zul dah tengok-tengokkan Ani?”

“Belum lagi. Busy skit kat ofis hari ni. Sakit macamana perutnya tu?”

“Sakit sangat Cik Zul, sampai berguling dia kat atas katil tu.”

“Ye ke? Tadi ingatkan takde la sampai macam tu sekali.”

“Ye Cik Zul.”

“OK, kejap. Saya tengokkan sekarang.”

Lepas je saya balas wasap Arip, sepintas lalu dalam bayangan, saya nampak ada seekor ular tengah melingkau dalam perut Ani. Keadaan ular tu macam bara yang ditiup, sekejap merah terang sekejap malap. Saya pancarkan air… padamkan bara dan terus musnahkan ular tu.

“Camna Ani sekarang Rip? Sakit lagi tak?”

“Dah hilang sakitnya Cik Zul.”

“Alhamdulillah. Jangan lupa sujud syukur ya.”

Sewaktu proses ikhtiar untuk selesaikan masalah gangguan, bukan dalam semua kes saya boleh nampak sebagaimana saya nampak ular bara dalam perut Ani itu. Ada masa saya nampak, ada masa tak nampak. Kalau nampak, saya buatlah apa yang patut, bersesuaian dengan apa yang saya nampak. Kalau tak nampak, saya musnahkan terus je apa saja penyebabnya tu.

Banyak yang berlaku pada Ani dan Arip selain sakit tangan sampai rasa nak tercabut dan sakit perut berguling-guling. Banyak yang saya dah lupa pun, tapi ada beberapa kejadian yang saya ingat sampai sekarang. Salah satunya ialah, Ani terasa ada jari yang menyucuk belakangnya… dan satu lagi bila ada badut dok main ciku cak dengan anak mereka dan baby mengekek ketawa sampai lupa nak hisap susu. Jari siapa yang cucuk belakang Ani? Siapa pulak badut tu?

InsyaAllah nanti saya sambung kisah tentang Ani dan Arip. Terima kasih kerana sudi membaca kisah ini.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dzul Fiqar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.8]

3 thoughts on “Saka Dan Jin Penceroboh”

  1. Yang pasal jin geng LGBT+ tu rasanya ada sebab saya pernah baca dekat blog ruqyah negara seberang beberapa tahun yang lalu yang ada seorang lelaki kena kacau dan dirasuk dengan jin transgender yang dah jatuh cinta dengan mangsa 😂😂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.