Saka Dan Khadam Tongkat

SAKA DAN KHADAM TONGKAT

Awal tahun 2018. Aku dihubungi oleh seorang sahabat baikku, Arif namanya. Arif memaklumkan kepadaku bahawa ada seorang kawannya bernama Wan ingin meminta pertolonganku untuk ikhtiarkan rawatan untuk keluarganya. Terdapat pelbagai gangguan di rumah keluarga Wan. Wan bekerja dan tinggal di Selangor, tetapi keluarganya tinggal di Lenggong, Perak.

Aku bukanlah seorang perawat sepenuh masa. Pada sesetengah keadaan aku akan buat rawatan jarak jauh, tetapi ada sesetengah kes yang agak komplikated memerlukan aku untuk hadir sendiri berdepan dengan pesakit. Seboleh-bolehnya aku tak ingin mengenakan bayaran kepada orang-orang yang memerlukan bantuanku. Aku membantu dengan ikhlas, Lillahi Taala. Biasanya aku akan terlebih dahulu menilai keadaan pesakit. Jika memadai untuk aku buat rawatan jarak jauh, aku tiada masalah, tetapi jika aku terpaksa hadir ke tempat pesakit di luar daerah atau negeri yang jauh dari tempat tinggalku, ada kos yang perlu aku tanggung seperti minyak dan tol, sebab itulah aku serba-salah bila ada permintaan untuk kes-kes di luar kawasan. Itu juga salah satu sebab kenapa selama ini aku hanya membantu sahabat-sahabat dan kaum keluargaku sahaja, jadi aku perlukan masa untuk menimbangkan permintaan dari Wan itu, walaupun kata Wan keluarganya sanggup menganggung kos minyak dan tol aku ke sana.

Kebetulan beberapa minggu selepas itu, aku pulang menziarahi ibuku di kampung di negeri Kelantan. Setelah beberapa hari di kampung, dalam perjalanan pulang ke Selangor, aku menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat – Kuala Kangsar – Lebuhraya Utara-Selatan dan bukannya laluan Gua Musang – Kuala Lipis – Lebuh Raya Karak seperti kebiasaan. Aku menggunakan laluan tersebut untuk membolehkan aku singgah di rumah keluarga Wan, walaupun jaraknya agak jauh dan kosnya pun agak lebih tinggi berbanding laluan Gua Musang – Kuala Lipis, tetapi aku lakukannya demi memenuhi hajat keluarga Wan.

Sesampai di rumah keluarga Wan, aku disambut oleh Mak Nah iaitu emak Wan, kakak Wan bernama Asiah dan abang Wan bernama Man. Wan tiada bersama kerana tidak dapat perlepasan dari kerjanya di Selangor. Ada juga bersama ketika itu seorang anak lelaki Kak Asiah, berusia sekitar lima tahun, kelihatan agak kurang sihat dengan hingus meleleh dari hidungnya, kasihan aku melihatnya. Memang aku mudah tersentuh hati jika melihat bayi atau kanak-kanak yang sakit.

Setelah beberapa ketika kami mengambil masa berkenalan antara satu sama lain, aku membuka bicara tentang tujuan utama aku ke situ;

“Jadi, apa sebenarnya yang berlaku di sini makcik?” Aku tujukan soalan itu kepada Mak Nah kerana berdasarkan sesi suai kenal tadi, aku rasa dia lebih banyak tahu tentang perkara tersebut kerana dia sendiri telah tinggal di rumah pusaka tersebut sejak kecil lagi. Setelah berkahwinpun Mak Nah masih tinggal di situ, dan masih menetap di rumah itu walaupun setelah suaminya dijemput Illahi lapan tahun yang lalu. Kak Asiah pula telah mendirikan rumah bersebelahan rumah Mak Nah, jadi bolehlah dia selalu menjenguk dan menjaga emaknya. Suami Kak Asiah bekerja di syarikat perkapalan dan selalu belayar jauh, hanya pulang ke rumah beberapa bulan sekali.

“Sebenarnya macam ni ustaz…” Mak Nah memulakan cerita.

“Makcik… tolong jangan panggil saya ustaz, saya bukan ustaz, panggil saya Azim sahaja,” sebelum Mak Nah melanjutkan ceritanya, aku segera memotong sambil tergelak kecil. Segan aku dipanggil ustaz, sebab memang aku bukan seorang ustaz.

“Baiklah ustaz… eh Azim…” Tersasul pula Mak Nah, dia pula yang tergelak kali ini.

“Di rumah ni selalu ada bunyi di atas siling. Mula-mula dulu kami ingat ada musang yang panjat dan berjalan di atas siling, tapi tak pernah pula kami nampak musang tu. Kadang-kadang kami dengar bunyi tu kuat sangat, seperti ada benda berat dan besar jatuh ke atas siling, tapi siling ni tak ada pula bergegar atau roboh. Biasanya bunyi tu mula ada sewaktu hampir maghrib, kadang-kadang sekejap, kadang-kadang sampai tengah malam,” panjang lebar Mak Nah bercerita.

“Kat bilik itu pula, kadang-kadang bila ada anak-anak yang tinggal berjauhan balik ke rumah, mereka selalu kena tindih kalau tidur di situ. Nampak lembaga hitam pun ada juga,” tambah Mak Nah lagi sambil menunjuk ke bilik tidur yang dimaksudkan.

Aku cuma menggangguk tanda faham.

“Selain itu ada apa-apa lagi yang patut saya tahu?” Tanyaku secara umum kepada mereka.

“Emmm… ada satu tongkat yang abang rasa Azim patut lihat,” Abang Man pula bersuara.

“Tongkat? Tongkat apa ya?”

“Tongkat tu kalau menurut mak, dia dah simpan sejak dulu lagi, dah tak ingat sejak bila, tapi sejak mak belum berkahwin dengan arwah ayah lagi. Dari mana dan siapa punya tongkat itu pun mak tak tahu, yang mak ingat cuma tongkat tu dah ada sewaktu arwah nenek masih hidup dalam belasan tahun yang lepas,” Abang Man menjelaskan sambil sejurus kemudian beredar masuk ke dalam salah satu bilik dan keluar dengan membawa sebatang tongkat. Tongkat itu diberikan kepadaku.

Tongkat itu bukan asalnya berbentuk begitu. Ia diperbuat daripada papan yang diukir. Panjangnya kurang daripada dua meter, bila diletak berdiri tingginya lebih daripada ketinggian biasa orang dewasa. Bahagian atasnya bersegi empat, bawahnya sedikit pula berbentuk bulat dengan diameternya lebih besar dari bahagian atas, semakin ke bawah, diameter bulatan itu semakin mengecil hinggalah ke bahagian paling bawah. Pada bahagian segi empat di atasnya ada ukiran petak-petak lima baris dan lima lajur menjadikan jumlah semuanya adalah sebanyak dua puluh lima petak. Dalam petak-petak tersebut pula terukir simbol-simbol yang tidak difahami. Pertama kali aku melihat tongkat yang seumpama itu. Nampak seperti tongkat yang dipuja.

“Sebelum ini ada perawat yang pernah membawa tongkat ni dan disimpan di pusat rawatannya, tetapi dia memulangkan kembali kepada kami setelah dia diganggu oleh lembaga berjubah hijau. Perawat itu kata dia dah tak sanggup lagi mengendalikan kes ini,” jelas Mak Nah pula.

“Maknanya tongkat ini memang jelas ada khadam. Ada tak perawat tu cakap apa yang perlu dilakukan dengan tongkat ini?” Tanyaku kepada mereka.

“Tak ada pula dia cakap apa-apa. Dia cuma pulangkan macam tu sahaja.”

Aku menggosok-gosok perlahan tongkat itu dengan tanganku, sambil aku tarik semua makhluk yang menghuni padanya. Kemudian aku kepung, atau dengan kata lain, aku buat perisai mengelilingi tongkat itu agar makhluk-makhluk itu tidak dapat kembali ke dalamnya dan tiada makhluk lain yang boleh menyinggah dan buat rumah pada tongkat tersebut.

“Ada tak apa-apa keperluan untuk sesiapa di rumah ini menyimpan tongkat ini?”

Mak Nah memandang Abang Man dan Kak Asiah. Setelah berbincang ringkas, Abang Man bersuara, “Rasanya tiada, kenapa Azim?”

“Kalau begitu, saya minta Abang Man atau siapa-siapa nanti tanam tongkat ni ya. Kalau boleh, lagi cepat lagi elok.”

“Kalau buang boleh tak?” Tanya Abang Man.

“Boleh memang boleh, tapi kita takut nanti ada orang yang jumpa dan ambil tongkat tu, nanti orang tu kena kacau, kesian pula pada dia. Kalau tanam kurang sikit kemungkinan ada orang yang jumpa,” aku menjelaskan.

“Baiklah, nanti abang akan uruskan untuk tanam tongkat ini.”

Sambil bercerita, kadang-kadang mataku memandang kepada anak Kak Asiah yang agak pucat yang sejak dari tadi tidak berenggang dengan Kak Asiah.

“Anak akak ni demam ya?” Tanyaku kepada Kak Asiah.

“Ya Azim, anak akak ni namanya Adam, dah enam hari demam. Dah pergi hospital, doktor dah periksa dan dah bagi ubat, katanya kalau esok masih lagi tak elok demamnya dia suruh pergi ke hospital sekali lagi untuk doktor ambil darahnya pula untuk diperiksa,” jawab Kak Asiah.

Sambil melihat Adam, dengan pergerakan tangan yang tidak ketara oleh Mak Nah, Abang Man dan Kak Asiah, aku tarik segala anasir-anasir tidak baik yang ada pada tubuh badan Adam. Kemudian, pada jarak tiga meter antara kerusi yang aku duduk dengan Adam, aku hembus perlahan ke arah Adam. Doaku pada waktu itu ialah agar Adam cepat sembuh dari demamnya.

“Boleh ke akak beri air yang Azim buat tadi kepada Adam?” Tanya Kak Asiah.

“Boleh kak. Sebelum bagi minum, akak takbir dan selawat dulu ya, lepas tu akak doakan agar Allah sembuhkan sakit Adam.”

Sebelum Mak Nah mula bercerita tadi, Abang Man telahpun memberi dua botol air mineral kepadaku untuk dibuat air penawar. Air itu aku aku minta Abang Man semburkan di setiap sudut dan di seluruh dalam dan luar rumah, sebagai salah satu ikhtiar menghilangkan gangguan yang dihadapi.

“Maaf Azim, ada satu lagi akak nak tanya, air ni kalau akak pun minum juga boleh ke?”

“Boleh kak, walaupun saya buat air ni untuk sembur rumah, tetapi kalau ada keperluan, sesiapa sahaja boleh minum,” kataku menjelaskan.

“Akak tanya sebab pada kaki akak, dari peha sebelah dalam sampai ke kaki ada macam urat-urat timbul berwarna biru kehitaman, semakin hari semakin merebak pula. Kadang-kadang ada juga rasa sakit berdenyut-denyut.”

Kak Asiah menunjukkan sedikit tepi sebelah dalam kaki kanannya, memang jelas nampak urat-uratnya seperti yang dia sebutkan tadi.

“Dah lama ke jadi macam ni kak?” Tanyaku.

“Dah nak masuk tiga bulan. Akak dah pergi hospital, doktor ada juga bagi ubat, tapi buat masa ni macam tiada apa-apa perubahan.”

Sama seperti yang aku buat pada Adam tadi, dari tempat dudukku, aku tarik semua racun dan punca kepada masalah yang dihadapi oleh Kak Asiah.

Sewaktu kami sedang berbual, seorang lagi abang Wan sampai ke rumah Mak Nah.

“Azim, kenalkan ni Abang Din, abang sulung Wan. Abang Din ni tinggal tak jauh dari sini, memang selalu singgah rumah makcik petang-petang macam ni.” Mak Nah memperkenalkan Abang Din kepadaku.

Setelah bersalam dengan Abang Din dan Mak Nah menceritakan tujuan kedatanganku, Abang Din pula ada ceritanya yang tersendiri.

“Alang-alang Azim dah ada di sini, abang ada perkara nak tanya Azim.”

“Ya bang, insyaAllah saya akan jawab setakat yang mampu.”

“Abang ada lima orang anak. Anak yang sulung perempuan, berumur dua puluh dua tahun, bawahnya dua perempuan dan dua lelaki, yang paling bongsu lelaki baru dalam darjah tiga. Masalahnya Azim, keempat-empat anak abang, kecuali yang bongsu, semuanya hijab terbuka, mereka semua boleh nampak makhluk halus. Abang takut pelajaran mereka terganggu dengan keadaan yang macam ni.” Abang Din meluahkan kebimbangannya.

“Sejak bila hijab mereka terbuka bang?”

“Abang masih ingat, sejak lapan tahun yang lepas,” jawab Abang Din.

Aku berfikir sendiri, tadi Mak Nah ada memberitahu kepadaku bahawa suaminya meninggal dunia lapan tahun yang lepas. Aku rasa aku boleh agak apa punca kepada masalah anak-anak Abang Din. Agak kecil kemungkinan ianya berlaku secara kebetulan di mana anak-anak Abang Din terbuka hijab sejak lapan tahun yang lepas, jangka masa yang sama datuk mereka iaitu suami Mak Nah meninggal dunia akibat sakit kanser. Tetapi aku simpan sahaja apa yang aku tahu kepada diriku sendiri. Melalui simptom-simptom yang ada, aku pasti anak-anak Abang Din telah mewarisi saka datuk mereka.

“InsyaAllah bang, nanti saya cuba ikhtiarkan.”

Aku sampai di rumah Mak Nah tadi pada pukul lima petang setelah beberapa jam perjalanan dari kampungku. Waktu telah hampir pukul tujuh malam bila aku meminta diri dengan Mak Nah dan keluarganya untuk meneruskan perjalanan ke Rawang, Selangor.

Pesan akhirku kepada mereka sebelum aku bergerak pulang; “Nanti jangan lupa tanam tongkat itu ya. Tak tahulah saya mungkin malam ni dia mengamuk ke sebab saya dah pagar tongkat tak bagi dia masuk balik. Tapi makcik dan semua jangan risau, dia tak boleh buat apa-apapun, dia cuma boleh buat bunyi seperti biasa itu sahaja.”

Perjalananku pulang ke Selangor mengambil masa yang agak lama kerana kebetulan minggu tersebut ada cuti kelepasan am pada hari Isnin, jadi semua lebuh raya sesak dengan kenderaan yang pulang ke ibu kota kerana keesokannya ramai yang telah mula bekerja semula. Aku sampai ke rumah lebih kurang pukul tiga pagi. Sampai sahaja di rumah, aku membersihkan diri dan terus tidur. Tiada kudrat untuk aku melakukan operasi kerana kepenatan memandu beberapa jam tadi.

Esoknya aku menghubungi Abang Man melalui telefon, bertanya keadaan selepas kepulanganku semalam.

“Malam tadi bagaimana bang?”

“Betullah kata Azim, malam tadi ada lagi bunyi benda besar dan berat jatuh atas siling, lebih kuat dan lama daripada biasa, memang dia mengamuk agaknya.”

“Saya minta maaf sebab malam tadi saya sampai rumah dah pukul tiga pagi, jadi tak larat nak buat apa-apa. Tak apa bang, insyAllah malam ni saya akan lakukan sesuatu. Kita tengok pula esok dan seterusnya bagaimana.”

“Baiklah, terima kasih Azim.”

“Oh ya bang, bagaimana keadaan Adam? Masih demam lagi ke dia?”

“Adam Alhamdulillah, dah banyak kurang demamnya.”

“Alhamdulillah, semoga dia cepat sembuh,” lega aku mendengar jawapan dari Abang Man.

Malam itu, aku lakukan operasi seperti biasa. Kali ini aku cuma lakukan satu operasi ringkas, sama seperti yang aku lakukan dalam kisah Gangguan Jin sebelum ini. Aku bagi amaran dan bagi tempoh selama lima minit. Selepas itu aku tak bagi peluang lagi dan musnahkan semua makhluk yang masih berdegil.

Hari berikutnya, aku hubungi Abang Man sekali lagi dan aku dapat khabar bahawa malam tadi tiada apa-apa bunyi yang kedengaran seperti kebiasaan.

Kesibukan Abang Man dengan kerjanya menyebabkan dia menangguhkan untuk menanam tongkat. Hanya beberapa hari selepas itu, baru dia berkelapangan untuk melakukannya. Sebelum membawa tongkat untuk ditanam pada petang itu, Abang Man meletakkannya di atas rumahnya. Kebetulan pada waktu itu, salah seorang anak perempuannya, Ana yang berusia sepuluh tahun lalu berhampiran tongkat tersebut dan tiba-tiba Ana rebah seperti lututnya menjadi longlai dan tidak dapat menampung berat badannya. Puas Abang Man menyapu minyak ubat dan cuba mengurut kaki dan lutut Ana, tapi tiada apa-apa perubahan.

Abang Man segera menghubungiku memberitahu tentang apa yang terjadi pada Ana. Aku yang pada waktu itu masih berada di pejabat menasihatkan Abang Man untuk segera menanam tongkat tersebut dan Abang Man melakukannya tanpa bertangguh lagi. Setelah ditanam, aku putuskan hubungan antara tongkat itu dengan semua ahli keluarga Wan. Sebenarnya walaupun tongkat itu telah ditanam, masih ada makhluk-makhluk lain yang boleh menjadikannya sebagai tempat tinggalnya, tetapi bila tongkat itu telah tiada apa-apa hubungan dengan sesiapa, makhluk-makhluk tersebut tidak akan mengganggu sesiapa, kecuali mungkin jika ditakdirkan pada suatu hari ada orang menjumpai tongkat tersebut sebelum tongkat itu reput, orang tersebut pula yang akan menjadi mangsa gangguan makhluk-makhluk tersebut. Jadi, nasihatku kepada semua, jangan sembarangan mengambil apa-apa barang yang kita jumpai.

Aku dapat rasakan yang makhluk-makhluk itu mengamuk kerana tidak dapat kembali kepada tongkat itu dan tongkat itu pula akan ditanam, jadi aku musnahkannya semua sekali tanpa apa-apa amaran lagi. Selepas itu baru aku ikhtiarkan menarik racun dari tubuh Ana. Sejak petang sebelum maghrib sehinggalah hampir waktu Isyak barulah Ana boleh berdiri dan keadaannya pulih seperti sediakala.

Minggu berikut, Abang Man memberitahuku bahawa tiada lagi gangguan bunyi kedengaran atas siling rumah Mak Nah. Keadaan kaki Kak Asiah yang urat-uratnya berwarna biru kehitaman itu juga beransur sembuh. Memang menjadi kebiasaan, jika ada gangguan jin dalam suatu rumah atau keluarga, ahli keluarga akan selalu sakit, sama ada sakit biasa seperti demam dan sebagainya ataupun kategori sakit yang dianggap misteri dan tidak dapat dikesan oleh doktor.

Aku terima berita tersebut dengan bersujud syukur ke hadrat Allah kerana membantu hamba-Nya yang tidak berdaya ini, dan juga membantu menyembuhkan hamba-hamba-Nya yang sakit agar mereka dapat beribadat kepada-Nya dengan lebih sempurna. Alhamdulilah, syukur kepada Yang Maha Kuasa.

Aku tidak mengetahui keadaan anak-anak Abang Din yang terbuka hijabnya kerana selepas itu kami tidak berhubung lagi. Dalam banyak keadaan, orang yang terbuka hijabnya biasanya akan ada juga gangguan-gangguan lain yang menyebabkan mereka tidak tenang dalam beribadat dan dalam menjalani kehidupan seharian. Aku doakan agar semua anaknya sembuh, atau sekiranya belum sembuh, aku harap Abang Din tidak berputus asa mencari perawat untuk menutup hijab anak-anaknya, kerana jika dibiarkan tanpa rawatan, saka-saka yang ada pada anak-anaknya akan diwarisi pula oleh generasi-generasi yang seterusnya. Nauzubillahiminzalik.

Semoga Allah melindungi kita semua.

-AZIM-

Azim
Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]

4 thoughts on “Saka Dan Khadam Tongkat”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.