(KISAH BENAR YANG DIOLAH OLEH MAD PI)
Amran menghela nafas yang terasa berat di dalam dada. Hidup keluarganya yang dahulu ceria dan bahagia kini kian menyesak.
Dikutipnya pinggan dan sudu di lantai lalu tangannya mencapai penyapu untuk membersihkan nasi yang bertaburan.
Setelah selesai mencuci pinggan, dia duduk di meja makan. Dari jauh matanya memandang sayu. Satu sosok wanita memandangnya dengan pandangan kosong.
Air mata mula mengalir di pipi Amran. Melihat tubuh ibunya yang kian melidi. Jarang benar ibunya ingin menyentuh makanan. Bila ingin disuap, biasanya berakhir seperti tadi. Bertaburan.
Iya, itu ibunya, Mak Som. Ibu kandung yang melahirkannya dan menjaganya sejak dari bayi. Ibunya yang dulu ceria dan peramah sekarang berubah sekelip mata.
Sesiapa sahaja yang mengenali Mak Som pasti sangat senang dengan perwatakannya itu. Tidak kira usia pasti akan senang mendekati dirinya.
Kerana bukan sahaja peramah, Mak Som juga seorang wanita yang penyayang. Wajahnya sering mengukir senyuman bila memandang sesiapa sahaja. Tapi kini tidak lagi.
Lebih suka menyendiri dan apabila didekati, ibunya akan mengamuk tanpa ada alasan. Mula membenci sesiapa sahaja tanpa sebab.
Terutama sekali pada kakak sulung Amran, Che Piah. Sebenarnya Che Piah dengan Amran berlainan ibu. Ibu Che Piah telah lama meninggal dunia.
Jadi Mak Som yang membesarkan Che Piah sejak kecil. Tiada beza layanannya pada Che Piah dengan anak yang lain.
Begitu juga dengan Che Piah, memang dia teramat sayang pada ibu tirinya itu. Cuma sejak dua menjak ini sahaja hubungan mereka menjadi tidak baik.
Amran sedar, itu bukan kehendak hati ibunya. Tetapi kerana gangguan makhluk yang ada dalam diri ibunya itu yang berusaha memecahbelahkan hubungan kekeluargaan mereka.
Saka atau jin belaan orang lain yang bersarang di tubuh ibunya, tiada siapa yang tahu. Diwarisi daripada siapa. Ia datang secara tiba-tiba.
Kata perawat itu saka warisan dari keluarga ibunya. Ada juga yang mengatakan itu ada orang yang ‘hantar’.
Tetapi alhamdulillah setelah berubat dengan seorang perawat ibunya mula menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
Setidaknya ibunya kini kembali dapat berfikir secara normal walaupun tidak dengan sepenuhnya. Kalau sebelum ini, aurat sendiri tidak terjaga.
Mujur, mereka adik beradik hanya tinggal berdekatan. Tiada masalah bagi mereka untuk menjaga ibu mereka tersebut.
Amran teringat ketika awal ibunya mula diganggu. Pada suatu malam, dia sedang berbaring di katil setelah selesai menyeterika seragam kerjanya.
Sambil melayan mesej dari tunangannya dia sempat menangkap gambar pakaian seragam kerjanya yang tersangkut di pintu. Bulu romanya meremang.
Alangkah terkejutnya apabila dia melihat gambar tersebut. Terdapat satu kepala hitam legam seakan budak kecil seakan keluar dari baju seragamnya.
Keesokannya, Amran menunjukkan gambar makhluk itu pada perawat dan atas nasihatnya, Amran memadam gambar itu. Tetapi perawat tersebut ada mengatakan yang makhluk di dalam gambar itu adalah ‘anak kerak’.
Lamunannya terhenti, sekali lagi dia memandang ke arah ibunya. Ibunya sudah tertidur. Dia mendekati ibunya lalu mengucup dahi lalu berkata..
“Berat sungguh apa yang mak tanggung beberapa tahun ini, alangkah bagusnya kalau Amran saja menggantikan tempat ibu.”
*
“Bang, tengok badan Along ni, abis naik bijik-bijik berisi air.” Che Piah memberitahu suaminya, Zaki tentang anak sulungnya yang mengalami penyakit kulit.
Sudah tiga hari Ariq mengalami kegatalan pada kulit setelah pulang bercuti. Semakin lama semakin merebak.
Pada mulanya gatal di celah jari, selepas itu berjangkit ke celah lengan dan seterusnya ke bahagian paha. Che Piah mula risau melihat keadaan anak sulungnya itu.
“Alergik agaknya.” Balas Zaki.
“Nanti esok ikut abah pergi jumpa Tok Sulong, kebetulan abah nak pergi mintak air jampi untuk Tok Ma. ” Balas Zaki lagi.
Keesokannya, mereka bertiga ke rumah Tok Sulong. Rutin Zaki setiap bulan akan bertandang ke rumah Tok Sulong untuk mendapatkan air jampi buat ibu mertuanya, Mak Som.
Pada hari itu, Che Piah dan Ariq ikut sekali. Setelah Tok Sulong melihat bahagian tubuh Ariq. Matanya terpejam seketika sambil mulutnya terkumat kamit.
“Zaki, aku rasa kau pun ada saka dari orang tua kau dan sekarang saka tu berkenan kat anak sulung kau ni.” Ujar Tok Sulong.
Terbeliak mata Zaki bila me dengar kenyataan daripada Tok Sulong. Sebelum ini dia sendiri tidak pernah berasa sebarang keanehan pada dirinya dan tidak tahu menahu pasal saka ni.
” Biar betul Tok? ” Zaki agak terpinga-pinga.
” Iya, dari arwah ayah kau.” Ujar Tok Sulong.
“Kamu ada terima apa-apa barang peninggalan arwah ke?” Soal Tok Sulong pada Zaki.
Zaki menerawang seketika..
“Iyaaa!Ada Tok.” Jawab Zaki secara tiba-tiba membuatkan orang yang berada di situ tersentak.
“Saya ada ambik golok-golok arwah, biasalah saya kan minat buat kerja kampung.”
“Adik beradik lain dok bandar saya je dok kat kampung ni ha.” Balas Zaki.
“Ok, macam ni lah Zaki, kau bawak balik air jampi ni dulu, minggu depan kau datang balik biar aku ikhtiarkan.” Kata Tok Sulong.
“Baik-baik Tok.”
Tiga hari berlalu, penyakit kulit Ariq tetap tidak sembuh walaupun setelah dimandikan dengan air jampi yang dibekalkan oleh Tok Sulong.
Keesokannya Zaki membawa Ariq ke klinik. Keluar saja dari klinik kebetulan ada gerai buah di hadapannya. ‘Ghau-ghau’ bau durian menusuk hidung Zaki.
Kebetulan durian di dusunnya belum berbuah, disambarnya selonggok durian di gerai buah tersebut buat hilang kempunan.
Sampai sahaja di rumah, Zaki meluru ke dapur untuk mengambil golok. Begitu teruja ingin mencicipi durian yang baru dibelinya.
Cari punya cari goloknya langsung tiada. Ke hulu ke hilir dia mencari namun tidak ketemu jua. Lalu dia bertanya pada isterinya, Che Piah.
“Piah, ada nampak golok-golok abang tak?” Soal Zaki.
Diam tiada jawapan.
“Abang rasa abang simpan bawah dapur tu ha, Piah ada alih ke tempat lain ke?” Zaki menyoal lagi.
Piah diam.
“Piah! Abang tanya ni.”
Piah menjuihkan mulut ke arah semak di belakang rumah. Zaki meluru ke sana sambil menggaru-garu kepala.
“Aduhai Piah abis berkarat golok aku kenapa kau buang Piah oiiiiii.”
“Golok tu ada saka kan Tok Sulong cakap macam tu hari tu.”
“Sebab tu Ariq tu gatal-gatal tak berhenti.” Tambah Che Piah lagi.
“Piah-Piah, Ariq tu kena kudis buta jelah.”
“Tadi doktor dah bagi ubat esok-esok baiklah budak tu.” Balas Zaki.
“Hurmm, jadi kuda laut jelah Piah oiii.” Zaki menggeleng kepala sambil termenung melihat golok kesayangannya yang sudah berkarat dek terdedah dengan hujan. Tak tahu nak menangis ke nak gelak.
Saka goloklah sangat. Uuuhayyy.
Hantar ksiah anda : fiksyenshasha.com/submit