Saka Rumah Pusaka, Cerita Jiran

Salam semua sahabat yang mengingati dan ikut dua episod saga Saka Rumah Pusaka sebelum ini. Kepada yang baru pula salam pengenalan kepada anda. Saya tak sangka sambutan terhadap cerita saya ini dan permintaan yang saya terima untuk menyambung cerita seterusnya. Maaf saya pohonkan kerana kali ini agak mengambil masa untuk saya terbitkan episod 3 ini kerana saya sebelum ini di masukkan di wad HKL selama seminggu. Tanpa buang masa, mari kita semua kembali ke rumah pusaka keluarga saya ini….

Pada tahun-tahun permulaan keluarga moyang saya menduduki rumah ini, sejarah gangguan agak kurang jelas. Mungkin kerana arwah nenek tidak begitu gemar bercerita perkara sebegini. Nenek seorang yang kuat amalannya, berpeqang teguh pada ajaran agama. Malah kebanyakan cucu-cucunya belajar mengaji dengan arwah. Melainkan kami bertanya barulah arwah bercerita tentang rumah tersebut. Tapi selalunya untuk gambaran yang lebih jelas dan tentunya lebih meremangkan cara penceritaan ya adalah dari arwah mak atau mak cik pakcik saudara.

Saya ingat lagi setiap kali nenek seandainya pulang ke kampung (ke rumah tersebut di Seberang Takir) setelah berberapa lama tinggal dengan keluarga kami atau mana-mana rumah anaknya yang lain, tak lama lepas tu kami pasti dapat panggilan telefon. Ada cerita baru tentang gangguan di rumah itu. Cerita yang biasa diulang-ulang bila sewaktu ketiadaan nenek, jiran ada masanya boleh terdengar yang datang dari rumah itu, seakan bunyi pinggan mangkuk berlaga, bunyi riuh rendah seperti kenduri seperti ramai orang didalamnya. Nenek pasti akan ditanya “ada SESIAPA balik ke rumah?” Pastilah nenek jawab tiada sebab nenek sendiri tiada di kampung. Tapi bunyi itu sangat jelas dan hingga tahap mengelirukan jiran tetangga.
Tapi nenek tak hairan. Setakat bunyi sebegitu boleh kata tiada apa nak dirisaukan. Nak dibandingkan dengan apa yang kami alami didalam rumah itu.

Tapi satu cerita yang boleh kata tahap melampau diceritakan oleh seorang jiran yang juga merupakan sepupu kepada nenek sendiri. Rumah kami bersebelahan cuma dipisahkan oleh lorong kecil. Kedua dua rumah bertemu di bahagian dapur jadi sapa MENYAPA itu perkara lumrah. Seingat saya, kami berjiran lebih lama dari sebelum arwah mak berkahwin lagi. Kami menggelarnya Mak Su Zainon.
Menurut ceritanya, pada satu dinihari, mungkin dalam pukul 5 pagi sebab katanya dia biasa terjaga dari tidur sebelum azan subuh berkumandang. Rutinnya akan ke dapur, dan membuka tingkap dapur yang terus boleh melihat kearah rumah nenek. Dia meneruskan rutinnya didapur seperti biasa. Sesekali dia menjengah ke tingkap.

Kemudia dia terhenti. Kerana kelihatan satu duduk tubuh berjalan keluar dari pagar kayu yang mengelilingi rumah nenek. Normal saja pergerakannya. “Eh, Suyah (panggilan Mak Su pada nenek ) dah nak pergi surau ke? Awalnya….”

Jadi bila melihatkan ini Mak Su pun bersiap-siap, mendapat kan beg telekungnya bersedia nak turun dari rumah nak menurut langkah nenek ke surau yang letak selang berberapa buah rumah saja. Pada jangkaannya, nenek tentunya sudah berada di surau, kan?

Dari kejauhan dia melihat sesuatu yg dirasakan aneh. Langkah ya makin perlahan. Surau gelap gelita. Malah pagarnya masih berkunci. “Eh, kemana pula Suyah ni pergi? Kemana lagi dia pergi kalau tak surau subuh begini?” Untuk berberapa ketika dia rasa bingung dengan persoalan itu, jadi Mak Su ambil keputusan untuk patah balik. Dia keliru. Memang jelas dia lihat nenek dengan pakaian telekung putih dan begnya kelihatan keluar dari pagar rumah dan berjalan menuju arah surau. Tapi sekarang kemana dia pergi. Aneh….

Bila dia mengorak langkah pulang, tiba-tiba dihadapannya menjelma nenek dihadapannya, tersenyum dan MENYAPA Mak Su. Mak su bertanya,
“Suyah pergi kemana?”
“Ke mana lagi, surau lah”
“Tadi kan Su yah dah keluar dari rumah?
“Bila masa pulak. Ni baru jer turun dari rumah”
Arrgghhhhhh sudah. Siapa yang Mak Su nampak tadi. Seingatnya apa dilihat tadi sangat jelas tapi sekarang ini apa pulak yang jadi.

Bila Mak Su ingatkan semula, ada sesuatu yang dia tidak perasan waktu dia lihat jelmaan itu keluar dari pagar rumah. Lampu dalam rumah nenek tidak menyala, gelap. Tidak seperti sepatutnya, logiknya bila nenek sudah bangun dan bersiap nak ke surau, lampu sudah dinyalakan didalam rumah, paling tidak lampu di tangga rumah. Tapi pada pagi itu gelap gelita. Dan Jelmaan itu berjalan membuka pintu pagar tanpa menggunakan tangan.

Astarghfirullahalazim…..

Begitu lah antara kisah dari jiran kami. Ya, gangguan yang berlaku di rumah ini seperti mengejar kami seluruh keturunan, hingga ke jiran juga. Itulah petaka Saka, perjanjian yang tidak lain hanya membawa bencana pada anak cucu..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Faizal Mamat

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.