Saka Ular Bahagian 4

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan bahagian ketiga..

Batang tepus mula dirembat ke kiri dan ke kanan, bagaikan pertarungan dengan naga didepan sudah bermula. Naga atau Dewa Gunung pula menghempas badan ke kiri dan ke kanan didalam air, selayaknya mereka sedang bertempur antara satu sama lain!

Angin ribut menderu-deru dari arah Lupin datang, awan hitam berarak laju dan cuaca berubah menjadi lebih gelap!

Bapak dan Lupin sudah berdiri cukup hampir. Dalam jarak efektif untuk menyerang!

HAAAAAA!!

Suara Lupin menjerit seraya melepaskan tumbukan pada bapak!

Bapak bergilit ke kiri dan melayan tumbukan dengan serangan tinju dibahagian rusuk!

Tinju bapak dikuis keluar dan Lupin mula menghadiahkan penerajang kaki kanan secara berdepan!

Bapak melompat ke kanan dalam usaha mematahkan serangan sambil mencari ruang untuk membentes kaki Lupin. Lupin mula melenting dengan kaki kiri yang masih menongkat bumi!

Mereka mula membuka pencak dalam aliran perguruan masing-masing! Berkobar-kobar semangat yang aku rasakan! Aura pertarungan antara bapak dan Lupin!

Padu sungguh gerakan mereka berdua!

Serangan atas serangan! Langsung tak teragak-agak!

Kau lipat aku! Aku sengat kau!

Kalau aku kalah! Kau pun akan turut mampus!

Mereka mula mengatur langkah dengan cermat untuk kembali bertempur!

Bapak bersulam tinju dalam tari, menari tarian Sendeng seakan silat Pak Seli, tangan digenggam sesekali diangkat dan diturunkan bagaikan pesilat lincah diatas podium silat!

Bagaikan si Jalak Lenteng yang galak menunggu masa membadik taji ke tengkuk musuh!

Lupin masuk menyerang! Bapak mengelak dan melepaskan sepak layang berganti-ganti!

Kiri dibalas kanan, dan kanan berganti kiri! Sedikit pun tak teragak-agak!

Tendangan bapak ditahan keluar oleh Lupin, sebelum dia menerjah dengan tendangan lutut ala-ala tomoi!

BUK!

Padu serangan mengenai dada bapak!

Bapak terngadah ke belakang! Tak bertangguh satu sepak layang dihadiahkan bertujuan merobohkan kekuatan bapak!

Sepontan bapak tahan dengan tangan kiri! Dan dalam keadaan kuda-kuda yang masih belum betul-betul stabil, bapak memberikan tumbukan ceduk mengejut dengan tangan kanan!

Umpan dimakan!

Lupin pula jatuh terlentang ke belakang!

Dia mula bangun dan memegang dada, tangan kanan disorokkan dibelakang. Bagaikan mempunyai muslihat lain untuk menyerang bapak!

Badik ditarik dari simpanan dibelakang pinggang dan dipegang dengan tangan kanan.

“Bahhh.. Dia bawak badik!!” Aku laungkan pada bapak dengan sepontan

“Hissss!! Bapak kau tahulahh! Kan panjang badik tu? Takkan dia tak nampak?” Uda menyampuk disebelah. Ada je dia ni nak membahan aku!

Lupin nampak seperti marah dengan tindakan aku yang menyorakkan dia dan membocorkan rahsia senjata yang dibawanya. Dia mula berpaling dan berjalan ke arah aku dan Uda!

“Haaaa.. Kan dah jadi satu masalah! Kau lah ni!!” Uda mula merungut disebelah. Kami kuak sedikit jarak, cukup untuk mengisi kuda-kuda jika diserang sebentar lagi. Aura perang langsung dibuka, bersedia dan bersedia!

“Kalau dia tak serang kau.. Aku masuk!!” Uda berkobar-kobar nak membantu bertarung! Sungguh sukar dijangka si budak Uda ni. Dalam takut ada berani, dalam berani dia lari!

Perjalanan Lupin terhenti bila bapak mula melakukan pukulan curi dari belakang! Lupin berpaling, badik mula dicucuk dan ditikam membabi buta cuba menyasarkan perut bapak, dan bapak melompat ke kiri dan ke kanan mengelakkan tikaman badik!

“Hampaaaa…” Uda berpaling dan melihat aku dengan kecewa kerana tak berpeluang untuk bertarung.

“Tak takut pulak kau? Tadi macam mengelabah sangat?”

“Kan manusia tu.. Bukan macam yang Pak Seli tengah lawan tu..” Banyak pula alasan diberi. Haish!

Nun didepan, Pak Seli masih bersilat sendirian mengadap naga yang menghempas-hempas didalam air!

Tiba-tiba!

Allahhhhhh!!!

Suara Pak Seli melaung sebelum terpelanting ke tepi disebat ekor naga!

“Naya kita kalau dia orang habis, Rip!” Uda mula bersuara kembali cuak!

Tak bertangguh, nafas aku tarik dalam-dalam, ditekan dipangkal jantung sebelum dihembus dengan sepenuh jiwa dan raga! Aku mula melaungkan azan.

ALLAHU AKHBAR!!

ALLAHU AKHBARRRRR!!

Bapak juga nampak sedikit terganggu dalam pertarungan hingga terkesan dengan pukulan curi, disebabkan keadaan yang menimpa Pak Seli…

Perhatian aku bagai ditarik-tarik untuk melihat Pak Seli! Pak Seli bingkas berdiri! Separuh badannya sahaja yang kelihatan, separuh lagi terlindung dalam semak yang tinggi.

Pak Seli berpaling dan mengadap kiblat, tangan diangkat seperti berdoa. Jarak terlalu jauh untuk aku tangkap bait-bait bacaan Pak Seli.

Kilat tiba-tiba memancar dan memanah di air!

POMM!!

Bunyi meletup yang memekakkan telinga hingga telinga jadi berdesing! Asap naik berkepul-kepul! Suara bapak dan Lupin masih ‘gigih’ tingkah meningkah bertikam dalam asap yang bertebaran!

Dari ufuk yang jauh, kelihatan seekor burung besar sedang terbang kearah kami! Bergegar-gegar bumi yang dipijak, angin menderu-deru laju! Uda yang memang dah cemas, bertambah cemas dan kembali menghimpit hingga aku pun terasa bahang panas!

Burung!

Ya!

Seekor burung raksasa yang besar!

Sebesar naga didepan!

Cukup besar! Dua kali kuakkan kepaknya sahaja, sudah sampai hampir pada kami! Selama ni aku sangkakan garuda dan naga hanyalah mitos ghaib zaman berzaman! Tapi apa yang disaksikan mata kepala aku, sangat bercanggah dengan ilmu yang aku pelajari selama ni!

Burung seperti garuda menguakkan sebelah kepaknya, dan kami menjadi buta seketika kerana gelap yang terlampau pekat!

Garuda tiba-tiba menjunam dari udara!

Kakinya dibuka dan dicengkam dibahagian tengkuk naga laksana helang menyambar mangsa, naga dibawa terbang dan dijulang tinggi diudara sebelum dihempas jatuh ke air!

Air takungan empang mula naik melimpah-limpah, naik hingga setinggi paras lutut kami! Mengigil kepala lutut, antara sejuk dan serun!

“Arippppp… Aku tak pandai berenang… Kalau jadi apa-apa, selamatkan aku..” Uda mengigil-gigil disebelah aku.

“Bertahan.. Kita kena bertahan! Bagi aku habiskan azan!” Aku tingkah ayat Uda dalam suasana yang lebih panik!

Pak Seli pantas memanjat dibelakang Dewa Gunung! Terlalu kerdil jika dibandingkan dari segi saiz!

Badannya dibongkokkan diatas kepala Dewa Gunung, seperti mengambil sesuatu, sebelum mula berdiri tegak!

Dengan dua kali melompat dan berputar, Pak Seli sudah berdiri diatas tanah yang digenangi air! Cukup lincah untuk seseorang yang dah berusia seperti Pak Seli.

Hebat! Sungguh hebat!

Pak Seli mula berjalan keluar dari rumput semak tempat dia melompat tadi, tangan kanan yang digenggam mula dibuka dan ada benda bercahaya seperti batu geliga, bersinar dan berkelip-kelip didalam kegelapan.

Dengan sekali gerakan melompat dan seperti menumbuk angin, Pak Seli lepaskan satu gerakan seperti jurus angin pada naga!

Naga mula mengelupur didalam air, bagaikan lehernya dah dijerut hingga sukar bernafas! Air yang tadi hampir surut mula naik melimpah-limpah ditebing! Langit yang mendung bertukar menjadi lebih gelap bagaikan nak ribut! Dikejauhan terdengar guruh dilangit, suasana yang betul-betul mengerunkan! Seketika kemudian naga tadi tenggelam dengan senyap ke dalam empangan.

Garuda yang masih lagi terbang jauh diatas angkasa mula hilang mengufuk kearah mula-mula ia datang! Pergi bagai angin, hilang juga laksana ribut!

Air mula surut masuk kembali ke dalam empang. Pak Seli berpatah balik dan berjalan ke arah kami. Berdiri diantara aku dan Uda.

“Dewa Gunung dia dah habis! Ilmu dia dah aku tawarkan! Geliga naga juga aku dah ambil! Kita tunggu keputusan pertarungan bapak kamu dengan Lelaki tu!” Kata Pak Seli pada kami sambil mengesat peluh didahi. Aku jeling pada benda yang dikatakan geliga, ada dua biji batu berlendir dan berbentuk lonjong berwarna kemerah-merahan dan bercahaya terang dalam kegelapan.

Lupin yang masih lagi gigih bertarung dengan bapak, secara tiba-tiba berhenti dan berdiri tegak tak melakukan apa-apa. Bapak juga kelihatan tergamam, risau hanya muslihat Lupin untuk memperdayakan bapak.

Lupin tiba-tiba terlentang dan terkejang-kejang seperti diserang sawan! Mulutnya keluar buih-buih seperti pesakit diserang sawan. Bapak capai ranting untuk disendal dimulut Lupin. Langkah keselamatan bagi mengelakkan dia tergigit lidah sendiri.

Walaupun agak jauh, tapi aku masih nampak perutnya berombak naik dan turun, perut yang dah sememangnya besar, bergerak-gerak seperti ada pergerakan bayi menendang didalam perut. Anak-anak ular mula keluar dari mulut Lupin. Pak Seli meninggalkan kami dan mara menghampiri bapak dan Lupin yang terlentang.

“Alamak!! Ular!!” Uda separuh menjerit.

“Sabar Da.. Kita jauh ni kan? takkan lah kau tak nampak?” Aku balas sinis ayat Uda. Uda pandang muka aku macam nak telan. Tahu dia sakit hati! Huh!

“Tahulahh.. Aku tahu..” Balas Uda tak mahu kalah, walaupun masih mengelabah.

Saal tuka ya ghoffar afwan wataubattan wa bil qohri, yaa Qohar qhuzdman tahayyala..

Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun..
Kami mohon keampunan dan taubat dengan kemuliaan, keagungan dan keperkasaanMu..
Ya Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Maha Agung dan Maha Perkasa..
Binasakanlah manusia-manusia yang merekayasa, kejahatan, kezaliman, ke sewenang-wenangan dan segala fitnah dimuka bumi ini..
Amin ya Robbal Alamin..

Pak Seli membaca doa pelindung, untuk melindungi diri dari manusia yang mungkar dan berbuat kerosakkan.

Dalam sekelip mata, Lupin yang masih terlentang sedari tadi, mula pecah perut, bau busuk menerpa hidung kami! Lebih banyak anak ular kelihatan berpusu-pusu keluar dari pangkal perut Lupin yang terburai bersama air berbau busuk.

Aku berlari ke tepi dan muntah dek bau busuk yang terlalu hebat. Uda juga termuntah disebelah aku. Habis hidangan goreng pisang yang aku santap petang tadi, sebelum bertandang ke rumah Shakir dimuntahkan keluar!

Aku hanya berdiri dari jauh memerhatikan bapak dan Pak Seli yang berada disebelah Lupin. Lupin mereput, dan mengeluarkan lebih banyak air dari segala liang roma dibadan. Cukup banyak hingga nampak seperti hanya tinggal kulit dan tulang sahaja

“Mahat.. Kamu bawa budak-budak ni keluar! Kita jumpa balik di motorkar.. Aku masih ada urusan disini! Kalau aku tak datang dalam tempoh setengah jam.. Kamu balik dulu! Jangan tunggu aku! Dan jangan datang rumah aku malam ni..” Pak Seli bertutur dengan tangan disilang didada memerhatikan mayat Lupin yang secara ajaib mereput secara tiba-tiba.

Agak aneh pada aku, Pak Seli ni dah hilang deria bau ke? Bau busuk gila macam ni, seperti langsung tak memberi kesan pada Pak Seli!

Bapak mengangguk tanda faham dengan arahan yang diberikan. Berpusing mengadap kami, dan memberikan isyarat suruh jalan.

Esok last gais.. Sabaq.. Sabaq.. Aku sambung hari-hari.. Ampa semua jangan dok kalut aih..

Second last day ni.. Lantak korang lah nak komen apa.. Tapi aku mintak korang kasi icon ‘care’ naaa… Love ya! Peace y’all!!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

#Pusaka2

Arif Yahya

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.