Saka Ular Bahagian Akhir

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan bahagian keempat..

Bapak memgangguk tanda faham dengan arahan yang diberikan. Berpusing mengadap kami, dan memberikan isyarat suruh jalan…

Uda masih termanggu-manggu, mungkin muntah terlalu banyak membuatkan dia pening.

“Mari, Da! Kita keluar dari sini!” Bapak mengajak Uda yang ‘mabuk laut’ untuk keluar.

“Rip, kamu jalan didepan.. Dengar arahan aku baik-baik.. Bila aku suruh belok, kau belok!” Aku mula mengepalai jalan, dan bapak berada dibelakang sekali…

Susah berjalan dalam hutan dengan semak samun merimba macam ni. Lebih-lebih lagi pemandu arah ada dibelakang sekali.

Dua tiga kali, bapak secara mengejut bagitahu ‘ada akar dibawah! Langkah!’

Dua tiga kali juga aku tergolek atas lantai hutan, sekali disebabkan kepala aku sudah menyebat dahan pokok yang rendah, dua kali lagi disebabkan kaki aku tersangkut akar yang berselirat!

“Kan aku dah suruh langkah?” Kata bapak bila nampak aku tersembam.

“Abah suruh langkah, tapi tak cakap berapa tinggi..” Aku merungut-rungut kecil disebabkan dah tersembam. Uda? Selama 45 minit perjalanan balik dari dalam hutan, dia hanya berdiam diri. Teruk betul mabuk laut dia, sampai jadi lalok..

Kami sampai ditepi hutan, dan ada bayangan seseorang sudah menunggu dibelakang bonet motorkar. Bila sudah semakin hampir, Pak Seli sudah sampai terlebih dahulu. Tersenyum-senyum menanti kami.

“Lama betul korang anak beranak jalan..” Kata Pak Seli tersenyum-senyum.

“Ada budak, tergolek dua tiga kali tadi bangg.. Tak tahulah.. Kata anak peneroka.. Keluar masuk hutan dah tahap sifu.. Masih tergolek lagi berjalan dalam hutan..” Sindir bapak, sambil melihat pada aku.

“Sudahlah, mari kita keluar dulu dari tempat ni..” Pak Seli membalas, masih lagi tersenyum.

Kami berhenti untuk bersantap diwarung pertama yang ditemui. Tiada perbualan yang dirakamkan. Semua makan dengan berselera, mungkin dah penat dengan insiden berlari-lari anak, meneroka dan berkung-fu dalam hutan, sesi muntah-muntah dan menjadi ‘pemerhati bebas’.

Pak Seli minta diturunkan dipintu masuk simpang dikampung kami, pesannya jangan menyinggah kerumahnya pada malam ini. Atas alasan yang aku sendiri tak tahu. Mungkin ada pantang larang dalam ilmu yang dituntut Pak Seli.

Uda dihantar pulang selepas bunting kekenyangan. Dan aku dan bapak terus pulang ke rumah tanpa menyinggah ke mana-mana.

Kami berjemaah, mengantikan waktu yang tertinggal, dan bapak meneruskan rutin harian dengan mengaji malam seperti biasa. Malam berlalu dengan tenang hingga ke subuh, tiada gangguan berlaku pada aku dan bapak.

Keesokkan hari, semasa bapak balik untuk bersarapan sekitar pukul 10 pagi. Aku jengah bapak yang berada didapur yang sedang sibuk membuka bungkusan hidangan lontong kering.

“Malam ni kita nak ikut Pak Seli ke, bah?” Aku sapa bapak sambil membuka bungkusan nasi lemak dan duduk disebelah.

“Tak payah.. Pak Seli kata, kita tak perlu turut serta malam ni.. Dia uruskan sendiri..” Bapak sudah mula mengunyah semasa bercakap.

“Semalam tu, kenapa Pak Seli suruh kita jalan dulu, bah?”

“Ohh.. Itu.. Orang tu dah takde kan? Kau nampak kan?” Tanya bapak pada aku, dan aku mengangguk-angguk mengiakan kata-kata bapak.

“Orang yang berjaya memiliki geliga ular ni, khabarnya secara tak langsung, dia berkemampuan menundukkan ular tersebut.. Abah rasa, Pak Seli suruh Ular besar yang kita nampak semalam tu, bawak lelaki tu balik..”

“Kenapa Pak Seli tak bagi kita singgah rumah dia semalam, bah?”

“Ada lah tu pantang larangnya, abah pun tak tau.. Pak Seli kau sendiri pun, tak balik rumah semalam..” Bapak membalas sambil menyuap lontong ke dalam mulut.

“Hah? Pak Seli tak balik rumah, semalam?” Aku sedikit terkejut mendengar ayat bapak.

“Ya.. Dia tidur di kaki lima surau, semalam.. Abah jemput dia bermalam kat sini pun dia taknak.. Abah rasa, ada perkara yang dia cuba elakkan dari tempias pada kita..” Bapak cuma membalas lemah.

“Semalam Garuda yang datang tu, Pak Seli punya ke, bah?”

“Pak Seli kau mana nak membela-bela benda-benda macam ni.. Ada lah tu kawan dia berlainan alam datang hantar pertolongan.. Hurmmm.. Kau tak nampak ke semalam?”

“Nampak apa?”

“Atas burung tu ada yang tunggang, pakai baju perang besi macam zaman dulu..” Bapak balas sepontan sambil mengunyah

“Entah.. Tak nampak pulak.. Berapa kali tiba-tiba jadi gelap je.. Besar betul kepak burung tu.. Naik serun d***h.. Yang pasti, hebat betul Pak Seli berlawan sorang-sorang dengan Naga tu, ya bah..”

“Mata kau belum awas lagi ni, Rip.. Bahaya kalau ditipu pandangan oleh musuh!”

“Kenapa pulak, bah?”

“Pak Seli kau, sisip senjata kat belakang.. Kau tak nampak?”

“Errr.. Tak perasan, bah..”

“Pak Seli kau dah bawa sebelum mula berangkat ke rumah Shakir lagi.. Bukan pakai batang tepus je.. Hurmmm.. Tak apalah.. Abah pun malas nak terangkan lebih panjang.. Hurmm.. Arip.. Arip.. Takutlah kau pada Allah.. Bukan pada benda-benda macam tu.. Dia pun mahluk juga, dan dia juga takut pada siksaan Allah.. Sudahlah.. Abah malas nak ingat-ingat lagi..”

“Kawan kau tu! Pesan kat kawan kau.. Jangan mengelupur sangat, masa-masa tengah genting.. Leceh nak jaga dia..” Bapak mula mengeleng-gelengkan kepala.

“Anu.. Dia takut ular katanya.. Hahaha..” Aku masih ingat macam mana Uda jatuh berdebuk dari ketinggian separuh pokok kelapa, semalam.

“Menjengkelkan betul.. Bila dia dah mabuk, sepanjang jalan jadi senyap.. Bila dah naik motorkar, siap menyanyi kat tempat duduk belakang semalam.. Tu yang abah paling tak boleh tahan..” Bapak pula mula membahan Uda, aku tergelak besar bila mengingati insiden semalam.

“Hah? Uda ada menyanyi ke semalam?”

“Ada… Abah diamkan aje.. Hurmmmm.. Abah pun dah nak tergelak dah.. Mabuk betul dia, sampai ke bulan.. Banyak ke dia muntah?”

“Entah.. Banyaklah jugak.. Dia sorang je makan bihun sampai dua pinggan, sebelum kita bertolak ke rumah Shakir tu.. Kita semua makan goreng pisang je” Bapak pandang muka aku dan mengangguk-angguk, memang kami minum petang lebih dahulu sebelum bertandang ke rumah Shakir, risau jika prosesnya lama dan kelaparan. Jadi bapak bawa kami semua minum petang dahulu.

Aku ke rumah Uda, menjemputnya untuk ke gelanggang seperti biasa pada sebelah malam, Uda dah tak mabuk seperti semalam. Usai latihan dan bergelanggang, kami singgah ke rumah Pak Seli.

Sepanjang perjalanan, dihabiskan dengan bercerita insiden semalam, aku ceritakan pada Uda maklumat-maklumat yang dah aku kutip dari perbualan dengan bapak waktu siang tadi. Uda banyak mendengar dan mengangguk-angguk.

Pak Seli juga nampaknya telah pun pulang ke rumah. Pintu hadapan terbuka luas, dan Pak Seli sedang mengaji sendirian di tengah rumah. Kami dijemput naik, dan mula bersalam-salaman dengan Pak Seli.

“Apa khabar Shakir tu Pak?”

“Dia lari malam..” Pak Seli hanya termenung jauh seperti cuba mengingati sesuatu

“Hah? Dia pergi mana pulak? Rawatan pun belum habis!” Uda mula menyampuk

“Tak dapat aku pastikan pulak.. Rumah kosong.. Segala macam barang-barang kecil, di biar tinggal macam tu sahaja.. ”

“Dia keluar ke pekan agaknya.. Dah sihatkan..” Aku tingkah ayat Pak Seli. Shakir dah dua bulan terbaring, tiba-tiba boleh berjalan. Paling kurang mungkin dibawa ambil angin ke pekan oleh Sumayah

“Tak mungkin.. Sebab aku datang dengan Amran.. Amran kata, ada penduduk nampak lori pikap, angkut semua barang besar.. Amran yang datang nak mintak maaf pun tak sempat bertemu, orangnya dah cabut lari..”

“Hurmm.. Mungkin dia malu dengan apa yang dia dah buat pada Amran, orang yang banyak berjasa pada dia..”

“Hurmmm.. Mungkin jugak.. Tak mengapalah.. Itu pilihan dia.. Rawatan susulan tu pun, cuma untuk memagar dari berulang insiden yang sama.. Tak buat pun tak apa.. Tapi, cepat sangat pulak dia cabut..” Keluh Pak Seli, pangkal kening digaru-garu sambil bercakap pada kami.

“Err.. Garuda semalam tu, Pak Seli punya ke?” Mulut gatal Uda mula bertanya. Pak Seli hanya tersenyum memandang muka Uda.

“Ehh.. Bukan… Aku pun tak tau datang dari mana.. Aku cuma baca doa nabi Musa.. Tiba-tiba dia datang, dan firasat aku kata, dia datang nak membantu, bukan nak menjahanamkan aku..”

“Doa nabi Musa?” Uda kehairanan

“Ya.. Doa nabi Musa.. Robbi Shohli sodri, waya sirrli amri, wahlul ukdata minlisani.. yaf kahu qawli..” Balas Pak Seli sambil tersenyum

“Hurmmm..” Uda putus asa untuk bertanya lagi asal usul Garuda tersebut.

“Errr.. Macam mana Pak Seli boleh sampai ke motokar dulu? Padahal kita orang dah tinggalkan kat belakang..” Uda selak lagi dengan soalan cepu emas, tanpa aku duga.

“Hish.. Bukan kamu dah mabuk ke semalam? Aku kayuh basikal.. Sebab tu laju..” Pak Seli menjawab dengan berseloroh. Walhal, kami semua tau, ada rahsia disembunyikan dari pengetahuan kami. Kami minta kebenaran untuk melihat geliga naga sekali lagi, malangnya menurut Pak Seli, telah disorokkan dari alam manusia, bimbang disalah gunakan. Pak Seli juga meminta kami merahsiakan perihal geliga tersebut.

“Ingat pesan aku, Arip.. Uda.. Hebatnya seorang lelaki bukanlah ketika dia marah.. Tapi hebatnya seorang lelaki ketika dia berjaya menahan marahnya..”

“Aku suka nak memetik mutiara kata dari Hamka sebagai peringatan pada kita..

Manusia itu asalnya dari tanah,
Makan hasil tanah,
Berdiri di atas tanah,
Kembali juga kepada tanah,
Jadi mengapa harus bersikap melangit?”

Aku dan Uda hanya mengangguk-angguk mendengar penerangan Pak Seli. Rumahnya kami tinggalkan setengah jam kemudian, sebelum berpecah dan kembali ke rumah masing-masing. Shakir tidak lagi ditemui selepas kejadian itu, Amran pula telah menyesal dengan tindakan dilakukannya, dan bertekad dengan bertukar kerja lain. Amran juga telah berpindah ke bandar tak lama kemudian, kami sendiri ke rumah Amran untuk membantu dia berpindah rumah.

Begitulah ceritanya untuk kali ini. Pengajaran yang boleh dikutip dari cerita ini, seperti yang dikatakan Pak Seli.

Jangan merasa bagus dan mendabik dada dengan kepandaian atau kehebatan yang sementara. Pangkat, harta dan darjat barangkali hanyalah ‘ujian’ diberikan Allah untuk kita semasa hidup. Boleh jadi apa yang kita bangga-bangga kan selama ini, adalah benda yang tak bermanfaat dan sedikit demi sedikit menghakis amalan rohani kita.

Dan satu-satunya alasan kita untuk hadir di dunia ini adalah untuk menjadi ‘saksi’ atas keEsaan Allah. Bersatulah wahai anak bangsaku! Amatlah sayang jika musuh berjaya mengambil kesempatan pada kita, jika kita sendiri berpecah belah dari dalam!

Cintakan negara, cintailah tanah air, bangsa kita masih muda! Masih banyak melakukan kesilapan! Tapi kita akan terus belajar, menjadi bangsa yang kuat dan bersatu!

Sekian, cerita aku kali ni

Selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan untuk kali yang ke – 64 tahun!

Semoga kita cukup tabah dan bersatu padu untuk mengharungi pandemik yang melanda, dan semoga keadaan akan pulih seperti biasa, aku doakan!

Salam kasih sayang antara insan kepada insan.. Last icon love please.. Love ya!

Sampai berjumpa lagi diepisod yang lain!

xoxo! Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

#Pusaka2

Arif Yahya

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.