SALINA

Thanks admin atas sokongan selama ini. Juga terima kasih kepada pembaca pembaca Fiksyen Shasha. Ini berdasarkan kisah benar pengalaman aku bersama arwah ayah aku dulu. Asalnya kisah ni panjang lagi tapi aku ringkaskan supaya lebih padat dan mudah faham. Nama tempat dan watak telah diubah untuk menjaga sensetiviti masyarakat setempat. Juga ada olahan kreatif pada skrip untuk menjentikkan lagi hati pembaca. Terimalah

SALINA (anak Pak Keria)

‘Huh hah huh hah huh hah’….

Penat baq hang hambat bola. Dah la bola tu sebiji ja. Berebut sampai 30 orang. Tak pernah lagi dalam sejarah FIFA orang main bola satu team 15 orang. Tapi itulah yang berlaku tiap-tiap petang minggu kat padang sekolah kampung aku. Budak-budak kampung sebelah dan sebelah pada kampung sebelah punya kampung sebelah pun join sama. Hingaqnya mengalahkan Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

“Ediiiiiiiiiiii…….sambut bola woiii sambuuuttt!!!”

Tercengang-cengang aku di tengah padang bila nama aku diseru begitu. Nak sambut celah mana? Bola pun aku tak nampak. Nampak kaki ja bersimpang siur atas padang.

“Sambut woiiiii…nganga apa lagiiiii???!!” Jerit Mat Derih dari tepi padang.

Belum sempat aku kalih ke arah Kapten team aku tu, bola hinggap tepat di dada aku.

‘Pappppp….’ Lalu jatuh ke kaki. Tanpa berlengah, aku gelecek bola tu ke kiri dan kanan.
Zup zap zup zap aku berlari membelah gerombolan benteng lawan yang tidak berbaju. Dulu-dulu di zaman bola kampung, nak bezakan team senang ja. Tak payah jersey pun. Satu team tak pakai baju, satu team lagi pakai baju. Maka terserlahlah segala kegendutan yang berlipat-lipat di badan.

Tiba di kotak penalti, aku jadi blur. Tak tahu nak tala ke mana. Di depan aku ada goalkeeper tapi tiang golnya aku tak nampak.

“Mana gol? Mana gollllll???” Jerit aku mencari tiang gol.

“Tuuuuuu…tang mana gol keeper tang situ la tiang gollll. Alahai bodonyaaaa….” Pekik Apek dari jauh.

Lantas, setelah peluang terbuka dengan sepenuh hati aku hayunkan kaki kanan, merembat bola dengan keras dan padu. Semangat Mokhtar Dahari begitu membara di dalam diri. Berpusing-pusing bola tu melantun menuju ke pintu gol, menewaskan goalkeeper yang tak sempat merebahkan badan menahan bola.

“Gollllllllll…golllll…!!!” Jerit rakan-rakan team aku meraikan gol seri pada minit ke 30 separuh masa pertama. Tiba-tiba….

“Pewwwwwwwwiiitttt……faaauullllttt..!!” Referee keparat berat sebelah tu meniupkan wisel jari sambil melambaikan tangan kanannya. Nama referee tu Zamri.

“Sorry naa. Tak gol. Sorry na…”

Aku berpaling melihat Zamri.
“Pasaipa tak gol?”

“Tuuuuuuu….pintu gol tang lain hang pi sepak tang lain.” Katanya sambil menunjukkan sepasang selipar jepun yang diletakkan pada kiri dan kanan pintu gol. Kedua-duanya selipar aku.

“Laaa….abih tu pasai pa keeper tak berdiri depan gol? Mana aku nak tau gol dok tang lain?” Soal aku membantah.

“Ampa kena tipu la tu. Lainkali tengok la betoi-betoi.”

Nokhorom betoi la…getus hati kecilku. Boleh pula keeper kencing aku hidup-hidup. Gol tang lain dia pi berdiri tang lain. Referee pun sama bangang. Keeper bernama Atan tu gelakkan aku.

“Kohkohkoh…..kohkohkoh….!!”

Nak saja aku sumbat selipar penanda gol cap Tat Sing tu ke mulut dia. Aku mencari Apek yang konfiden sangat tadi. Dia dah keluar padang. Sedang bermain lompat getah pula dengan geng perempuan. Jadah punya coach.

Bila dah letih dengan tipu daya dan politikus di tengah padang, aku minta untuk ditukar dengan pemain lain. Nak kalah pun lantak pi lah. Kalau menang pun bukan ada piala. Paling teruk pun dapat boo ja.

Begitulah cara budak kampung macam kami bermain bola. Tak ada jersey, selipar jadi tiang gol, boleh keluar masuk padang ikut suka hati, boleh belot, referee buta kayu, boleh lungguk seluruh penduduk kampung dalam satu padang. Hari ni bergaduh, esok kawan balik. Lusa gaduh balik. Pi mai pi mai tetap berkawan. Tiada dendam tersimpan dalam dada.

Dah penat mengejar bola, aku duduk bersandar pada dinding sekolah. Sekolah tu dah berpuluh tahun berdiri di kampung aku. Tapi aku tak bersekolah di situ. Itu sekolah silibus orang putih. Disebabkan padangnya luas dan cantik, maka situlah stadium kami tiap-tiap petang Sabtu dan Ahad. Lagi best, di tepi padang tu ada parit kecil port kami dok sauk ikan puyu. Kadang-kadang bapa haruan dengan ular sawa timbul. Di sebalik parit tu, ada hutan kecil dan semak samun. Di tengah hutan tu pula berdiri tegap sepohon pokok angsana yang rimbunnya tebal membayangi bumi. Aku renung pohon angsana tu lama-lama. Ni kalau malam konpom seram siot.

“Diiiii….temenung apa? Aku kat sini, bukan kat pokok tu.” Sepantas kilat aku berpaling ke arah suara tak berapa merdu bak itik nila itu. Salina anak Pak Keria Volvo. Mai dah dia niiii… mai daaaaaahhh!!

Aku tersengeh-sengeh tengok Salina. Malas nak layan. Salina ni bukan tak cantik. Cuma badannya berisi umpama tong drum. Kulitnya putih melepak bagai disapu bedak siam. Hidung tercatuk elok persis balung ayam. Kerja dia melawa siang malam.

“Sombong la hang. Tegoq pun tak jawab. Kalau takmau main dengan aku, aku main dengan Mat Derih tu.” Katanya lagi sambil memeluk dada. Aku pun perhati kawan aku Mat Derih yang masih gigih berebut bola kat tengah padang. Orangnya tegap, dadanya bidang, telinganya capang dan kaki sembang. Padan la ampa dua. Padan…

“Hang nak main apa niiii? Aku takmau la main kawen-kawen. Aku nak main bola.” Jawab aku kepada Salina.

“Alaaa. Sat ja. Jom laaaa. Kita kawen sat jaaa…”

Kepala hotak dia. Aku baru ja bersunat 5 tahun lepas dah nak ajak kahwin. Ngilu kena pisau pun dok terasa lagi ni.

“Kalau nak kawen tak boleh la. Mak aku libaih dengan penyapu lidi satgi. Jangan dok tebiang. Hang pi la kawen dengan Mat Derih. Aku tak marah haaiihh.” Jawab aku.

Salina mencebik mulut…“Issshh…eksyen kemain.” Dengusnya sebelum meninggalkan aku.
Aku biarkan Salina berlalu pergi. Bukan niat nak menghina. Tapi aku memang rimas dengan anak Pak Keria ni. Tiap kali jumpa ajak kahwin, asal jumpa ja ajak kahwin. Gila isim ka apa? Aku tenung langkah Salina menuju ke tepi parit, dekat dengan Mat Derih yang sedang terkinja-kinja di tengah padang. Konon-konon nak bagi aku jeles. Memang tak la. Biarlah dia dengan angan-angannya untuk jadi bini orang seawal usia begitu. Aku tarak masa nak pikiaq. Banyak benda lagi nak buat. Nak tangkap ikan puyu, nak panjat pagar sekolah, nak pi mengai ikan semilang, nak main toi, nak boh penendang referee Zamri. Biarpun dah masuk kali ke 18 dia ajak aku kahwin, datang kali ke 19 tetap akan aku tolak mentah-mentah. Bersaksikan dinding sekolah sekali pun takkan mungkin. Bukan style aku main kahwin-kahwin ya.

Namun, segalanya berubah pada keesokan harinya. Hasrat aku untuk mengabaikan Salina dari benak keserabutan tidak menjadi kenyataan bila datang satu berita di awal pagi.

“Bang Khatib….anak Keria hilang.”

Begitulah berita yang sampai ke telinga aku tatkala aku terpisat-pisat menggosok mata setelah dikejutkan azan Subuh. Aku bangun dari tilam dan mengintai ke luar melalui tingkap nako. Ada 2 orang kawan baik Ayah di depan beranda rumah aku. Ayah pula sedang berdiri di atas tangga siap dengan baju Melayu dan kain pelikat berwarna putih. Gaya biasa Ayah waktu nak berjemaah di masjid.

“Bila hilang?” Soal ayah pada dua kawannya itu. Seorang bernama Sarip, seorang lagi bernama Leman.

“Dari semalam tak balik rumah. Depa dok cari keliling kampung. Pagi ni Keria nak report polis.” Jawab salah seorang dari pakcik tu.

“Jom kita pi masjid dulu. Sat lagi sembang.” Jawab Ayah lalu memijak anak tangga turun ke tanah.

Aku pula cepat-cepat bangun menuju ke bilik mandi. Dua tiga cebok ja dah siap, hanya kerana nak cepat ke masjid. Bukan nak berjemaah sangat pun. Tapi nak tau berita selanjutnya tentang anak Pak Keria yang hilang.

Usai solat Subuh, aku duduk bersandar di dinding Masjid sebelah luar lalu memasang telinga.

“Salina yang kecik tu. Anak Pak Keria yang bongsu. Depa kata petang kemarin dok main kat padang sekolah omputeh. Sampai ke sudah tak balik rumah.”

“Dah cari habih ka?” Itu suara Ayah aku yang sedang bersoal siasat dengan beberapa orang jemaah masjid.

“Merata dah depa cari tapi tak dapat. Dalam sekolah, kat hutan sekolah pun tak dak. Budak-budak tu kata dia dok main tepi parit sekolah tu. Kat situ last depa nampak dia.”

“Budak mana?”

“Mat Derih anak Pak Brahim Patongko dengan kawan-kawan depa la.”

“Takpa. Sat lagi kita pi rumah Keria.” Jawab ayah.

Lebih kurang begitu perbincangan yang berlaku. Pendek dan ringkas. Ayah memang macam tu. Dia tak akan terima bulat-bulat dari sumber yang tak pasti. Kalau nak tahu jawapan yang sebenar, dia pergi menghadap orang tu depan-depan.

Selesai berbincang, ayah balik ke rumah. Tapi aku tak. Aku ada rancangan lain. Ke rumah Mat Derih. Jam 7.30 pagi aku dah hunggaq tingkap bilik tidur dia. Walaupun Ayah dah pesan, jangan bertandang ke rumah orang di awal pagi, tapi aku tak peduli. Aku nak kepastian dari Mat Derih. Ke mana bakal bini dia tu menghilang?

‘Tok tok tok….tok tok tok…’

Tingkap bilik Mat Derih tu aku ketuk berulang kali. Kalau nak panggil kot depan, nanti ayah dia perambat aku balik sebab awal sangat nak ajak main pun. Jalan terbaik ialah ketuk terus tingkap bilik dia di belakang rumah. Dalam samar-samar pagi tu aku nampak bayang-bayang Mat Derih menonong menuju ke tingkap. Saheh tak sembahyang Subuh ni. Tidur pun dengan spender berkulat dia ja.

“Weh, hang nak apa pagi buta ni?” Soalnya sebaik ternampak batang hidung aku di sebalik cermin tingkap.

“Hang nampak Salina tak semalam?”

“Nampak.”

“Haa. Apa cerita?”

“Sat aku keluaq.”

Mat Derih kembali ke dalam untuk menyarung seluar, kemudian memanggil aku dari depan rumah. Kami duduk bertinggung di sebalik reban ayamnya yang dah tak ada ayam.

“Semalam last aku nampak dia kat tepi padang. Dia dok main ayaq parit. Masa kami habih tu dah dekat nak Maghrib.”

“Habih tu?”

“Aku suruh la dia balik pasai kami semua nak balik dah. Geng dia Leha, Wati dengan Timah pun dah balik masa tu. Tinggai dia sorang ja dok ralit apa entah.”

“Habih tu dia balik tak?”

“Tak. Dia dok nganga tang tu. Takkan kami nak tunggu? Dok ingat, satgi tu dia balik la. Rupanya sampai ke tengah malam tadak kat rumah. Tu pun pak dia yang mai tanya aku.”

“Hmmm. Hang rasa dia pi mana?”

“Tak tau la. Tapi masa nak balik semalam aku nampak dia dok tunjuk apa entah dalam hutan tu. Sat-sat cekak pinggang sat-sat buat gaya gedik dia tu la. Malaih aku nak layan.”

Begitu ceritanya dari Mat Derih. Hampir 2 jam kami bertinggung di situ demi mencari kebenaran. Akhirnya masing-masing blur tanpa jawapan. Aku mengajak Mat Derih ke rumah Salina yang letaknya 15 minit berjalan kaki dari rumah kawan aku tu. Dia bersetuju, lantas masuk ke rumah dan bersiap.

Tiba di rumah Salina, orang kampung dah berkerumun bagai ada kenduri kendara. Paling ramai, makcik-makcik bawang. Depa punya spekulasi mengalahkan detektif Bukit Aman.
Salina diculik benggali karpet
Salina dilarikan keling botoi
Salina lari dari rumah
Salina disorok bunian
Salina itu Salina ini.

Seperti yang aku katakan tadi, nama Salina kembali membuak-buak dalam kepala otak aku. Ke mana budak gatai nak kahwin tu menghilang?

“Ni kali pertama ka dia hilang?” Soal salah seorang anggota polis berpakaian preman pada Mak Som, ibu kepada Salina. Teresak-esak orang tua tu menjawab pertanyaan polis.

“Ya. Tak pernah lagi dia tak balik. Biasanya paling lewat pun jam 10 malam. Tapi dia tak main jauh-jauh. Dok memusing rumah kawan-kawan dia kot ni ja….isk isk iskk!!” Jawab Mak Som sambil menyeka air mata.

“Ohh. Selalu ka dia balik lewat macam tu?”

“Haaaa. Tak larat dah nak larang. Dia dok ketegaq tuuu lah. Sat dia pi rumah kawan tu sat pi rumah kawan ni.” Jawab Pak Keria Volvo pula.

Pak Keria Volvo ni boleh dikatakan orang ada-ada kat kampung ni. Rumah dia besar, kereta ada 3 buah. Semua Volvo. Sebab tu lekat nama Pak Keria Volvo. Keluarga dia pun baik-baik. Cuma satu ja yang aku perasan dengan Pak Keria dan Mak Som ni. Depa suka biar anak-anak melilau sampai ke malam. Tak macam mak pak lain, jam 7 petang tak nampak batang hidung kat rumah pakai kena sumpah jadi tempayan.

Di celah-celah geng makcik bawang tu, aku nampak kelibat Ayah dan beberapa orang kepercayaannya sedang berbisik dengan Pak Keria. Kelihatan terangguk-angguk kepala Pak Keria mendengar percakapan ayah. Kemudian, 2 orang polis tadi pun turut sama mengambil bahagian dalam perbincangan yang aku tak tahu hujung pangkalnya itu. Selang beberapa ketika, ayah bersuara.

“Yang perempuan boleh balik dulu. Kalau nak tolong, tolong sedia makan kat kaum keluarga Pak Keria. Jangan ramai-ramai sangat kat sini. Pak Keria anak beranak pun nak bertenang. Biaq polis buat kerja.”

Beransur-ansur halaman rumah Pak Keria menjadi lapang. Yang tinggal tiga empat orang sahaja yang bersedia nak membantu keluarga Pak Keria. Kaum lelaki pun tak ramai, kebanyakannya dah turun ke laut mencari rezeki.

“Kita balik dulu.” Terkejut aku bila Ayah tarik tangan aku dari belakang. Aku tanya Ayah.
“Dia kena culik ka ayah?”

“Tak tau la. Malam ni boleh tau.”

“Macam mana boleh tau malam ni?”

Ayah senyum dan menepuk-nepuk belakang kepala aku.

“Balik dulu. Makan, semayang. Petang ni duduk rumah. Jangan pi mana-mana”

Aku diam. Tanya lain, Ayah jawab lain. Tu tandanya Ayah betul-betul nak aku faham dan patuh cakap dia. Tapi aku faham macam lain. Duduk di rumah tu maksudnya, boleh pi main kat padang. Jangan pi mana-mana tu ertinya….ikut suka hang lah nak pi mana pun. Dasar tak faham bahasa memang macam tu. Apa yang orang tua larang, yang tu juga dia nak buat.

Petang tu, selepas Asar. Aku sedar yang Ayah dah tak ada kat rumah. Mak aku pula sedang merebus pulut hitam di dapur untuk masak bubur hitam kegemaran aku tu. Terjengket-jengket aku menapak menuju ke pintu agar tidak dikesan Mak. Sebaik saja selipar tersarung di kaki…

“Ediiiiiiiiiiiiiii…….ayah pesan jangan keluaaaaaaaaaqqqqqq!!”

Bergegar pintu rumah masa Mak terpekik dari dapur. Kantoi. Terer betul mata Mak mengesan pergerakan aku. Tapi aku jawab balik.

“Cek pi main sat jaaaaaaaaaaaa. Satgi cek baliiiiiiikkkkk…..!!”

Zaaaaaaaaasssss……sepantas kilat aku hilang dari radar Mak. Tu kalau Mak dapat tangkap, sah sah aku kena tambat kat pokok cermai di belakang rumah.

Setengah jam kemudian, aku tiba di port biasa. Padang sekolah. Waktu itu, dah ramai geng aku sedang berlari-lari di tengah padang. Mat Derih dan Apek pun ada sama. Leha, Wati dan beberapa orang lagi geng mak lampir pun ada. Yang tak nampak, kelibat Salina. Masing-masing sedang membicarakan soal kehilangan Salina. Pelbagai serkap jarang dikeluarkan. Tapi aku tak peduli sangat. Ketiadaan pom pom girl itu tidak bermaksud game bola tak boleh start.

‘Prrriiiiiiiiiiiittt……’ Kedengaran referee mangkaq ubi itu meniupkan wisel. Si Zamri ni, di sekolah lagi dah menunjukkan ciri-ciri gila kuasa. Dialah nak jadi ketua pengawas, dialah nak jadi ketua pengakap, ketua kadet pertolongan cemas pun nak…sampai ke tahap ketua pandu puteri pun dia pernah calonkan diri sendiri. Tapi cikgu lagi bijak, jawatan paling tinggi dia ialah Pengawas Perpustakaan.

Permainan dimulakan. Kali ni aku pula jadi goalkeeper. Siapa berani pailang memang aku daih tang dahi dengan lutut aku ni. Namun, belum sempat 5 minit perlawanan bermula, mata aku mengesan kehadiran seorang insan yang kalau boleh aku takmau dia nampak aku ada di padang waktu itu. Ayah!

Alamak. Ayah buat apa kat sini? Nak main bola jugakah? Team dah penuh ni ayah. Satu team 15 orang, ayah nak jadi apa? Tiang gol?

Di belakang Ayah ada Pak Keria Volvo, Pak Leman dan Pak Sarip. Dari jauh lagi Ayah dah pahatkan matanya pada aku yang berdiri tersipu-sipu di depan pintu gol. Pisaaaanngg. Malam ni makan kayu tiga dua tengah belakang.

Dalam fikiran aku, ayah akan datang ke pintu gol dan sepak aku terguling-guling macam bola. Tapi itu tidak berlaku. Ayah menyelinap masuk ke celah hutan di belakang sekolah bersama kroni-kroninya itu. Depa masuk dalam tu dan tak keluar hingga perlawanan kami dah menghampiri waktu kecederaan. Sehingga menghampiri jam 7 petang, kelibat ayah belum keluar dari hutan tu.

Sebaik perlawanan tamat, aku duduk bersandar di dinding sekolah macam biasa. Hati terasa nak balik terus dan tidur awal. Nanti Ayah balik, aku terselamat dari kemarahan Ayah. Tapi, mata aku terpaut pada hutan kecil tempat Ayah aku masuk tadi. Kemudian, mata ini terpaku pula pada pohon angsana yang berdiri gagah di tengah-tengahnya. Lain macam. Hati ni MasyaAllaaaahh….auranya tu tak dapat ditahan-tahan (entah kenapa aku taip benda aura ni entah? Seronok pula, dejey betoi.)

Aku berperang dalam diri. Nak ikut Ayah atau nak balik? Nak balik atau pi cari Ayah? Kalau jumpa dengan Ayah, kebarangkalian aku kena marah memang tinggi. Tapi perasaan ingin tahu melebihi segalanya. Kalau balik,aku selamat. Paling tidak pun Mak berletiaq ja.
Perasaan aku berbelah bagi antara setan yang cuba memikat masuk ke hutan dan diri sendiri yang ajak balik. Lalu, aku one two som. Tangan kanan, mewakili aku. Tangan kiri, mewakili setan. Setelah 3 kali one two som, ternyata setan lagi terer. Dia menang 3 kali berturut-turut. Maka, aku cuit bahu Mat Derih yang sedang terlentang di sebelah aku.

“Derih. Tadi aku nampak Ayah aku masuk situ. Jom pi ushar.”

“Uisshh. Aku pun nampak. Depa pi cari Salina kot?”

“Ya kot? Jom pi tengok.”

Mat Derih ni tak payah one two som dah. Dia memang memegang prinsip ‘buat apa saja yang aku suka’ sejak dulu lagi. Asal ajak ja jadi.

Kami berdua melangkahkan kaki menuju ke denai untuk masuk ke hutan. Hutan tu memang kecil seluas padang bola kami ja. Tapi semak samunnya tinggi melepasi kepala kami. Dalam tu, ada ja orang kampung dok masuk memikat burung.

Setelah berjalan lebih kurang 5 minit, aku nampak batang tubuh ayah sedang berdiri di perdu pokok angsana. Di sampingnya ada Pak Keria Volvo dan 2 orang kawan baiknya tadi yang sedang duduk bersila berlapikkan daun pisang hutan. Ayah bercekak pinggang dan di tangannya ada sebatang rotan padu sebesar jari telunjuk. Panjangnya lebih kurang 1 depa orang dewasa. Hujung rotan tu ayah tancapkan kemas ke tanah (hingga kini aku masih simpan rotan tu setelah kepulangan Ayah ke Rahmatullah).

Aku dan Mat Derih tak berani nak hampir dengan kumpulan Ayah. Takut kena marah. Kami bertenggek diam-diam di sebalik pokok mengkudu. Dan dalam redup senja tu kami pasang telinga mendengar Ayah membaca beberapa p****g ayat Al-Quran. Antaranya surah Al-Baqarah, Surah Yunus, Surah Al-Jin dan beberapa surah lagi.

Urat lengan ayah kelihatan timbul dan bajunya dibasahi peluh. Kumpulan yang di belakang Ayah pula mengulang-ulang baca sepotong ayat ini.. ‘laaailahilla anta, subhanaka innikuntu minadzzolimiinn.” Doa itu diulang tanpa henti. Hari bertambah gelap. Aku lihat, Pak Sarip mengeluarkan jamung lalu dicucuh menggunakan guris api. Waktu itulah kami kantoi bila dia berpaling ke belakang.

“Hoii. Ampa buat apa situ?”

Serta merta ayah pun kalih ke belakang ke arah kami. Dia pandang aku dengan tajam. Mata bertentang mata, lalu jatuh ke hati. Sekejap lagi, bakal berbirat tapak kaki.
“Duduk diam situ. Jangan pi mana. Jangan cakap apa.” Kata Ayah. Aku yang baru nak buka langkah seribu terus tak jadi. Terus duduk bersila tongkat dagu. Dada berdebar-debar menunggu hukuman ayah. Tapi, Mat Derih dah hilang. Macam pelesit dia pergi. Tak guna punya kawan.

Pak Sarip yang memasang jamung tu tersenyum, lalu memanggil aku duduk sekali di samping dia. Dia berbisik ke telinga aku…

“Nak tengok hantu tak?” Melopong mulut aku bila dia sound macam tu.

Aku terus duduk diam dan melihat gerak geri ayah. Beberapa ketika kemudian, terdengar laungan azan dari Masjid. Semua yang ada di situ duduk diam demi menghormati azan. Selesai azan, Ayah mula buka mulut.

“Kami tunggu lama dah ni. Bagi balik budak tu.”

Tiada jawapan pada permintaan Ayah. Suasana hening, bunyi cengkerik pun tak dengar macam biasa.

“Lekaih bagi balik sebelum aku mengamuk. Mak ayah dia dok tunggu kat rumah.” Kata Ayah lagi. Rotan yang dipegangnya terus ditekan kuat-kuat ke dalam tanah hingga tenggelam satu perempat dari batang rotan tu.

Mata aku terpahat pada perdu pokok angsana yang besarnya 5 pemeluk orang dewasa. Mulanya tak nampak apa. Tapi dalam samar-samar api jamung tu, mata aku tertangkap kelibat seseorang yang sedang bersembunyi di sebalik perdu pokok. Hanya separuh badannya yang aku nampak. Kelakunya itu bagai bermain aculut cak.

Pakaiannya macam orang biasa, gaya makcik-makcik nak pi membawang kat rumah jiran. Dengan kain batik, baju kurung kedah, selendang terbelit di leher. Saling tak tumpah macam salah seorang orang kampung yang aku kenal sangat. Sekejap dia tunjukkan diri, sekejap dia menyorok di balik pokok. Aku tak pasti sama ada Ayah dan yang lain nampak atau tidak. Tapi aku memang nampak dengan jelas sebelum dia hilang terus dari pandangan.

Bulu tengkuk mula meremang, telinga jadi capang. Segala liang roma yang ada di lengan mula merembeskan sel-sel seram. Kalau tadi aku duduk agak jauh di belakang, sekarang ni aku dah celapak di tengah-tengah antara Pak Keria Volvo dan Pak Leman. Pak Sarip pula yang duduk di belakang.

“Cepat bagi balik. Macam mana hang ambik, macam tu jugak bagi balik. Jangan ada cacat sikit pun.” Laung ayah lagi.

Tak semena-mena kali ini ada yang menyahut permintaan ayah, dan suara itu aku macam kenal.

“Tak boleh. Dia anak aku. Aku tak mau bagi” Jawabnya.

“Tu bukan anak hang. Tu anak orang. Mak dia ada di rumah.” Tingkah Ayah memendam marah.

“Taaaaaaaaaaakkk!!!! Tu anak akuuuuuuuuuuu….!!” Jerit makhluk tu dengan keras.

“Lagi sekali aku mintak. Bagi balik sebelum aku libaih dengan rotan ni. Muak dah ni.”

“Aku ni mak dia la bodooohhh…..aku ni Sommmmm….!!”

Kat sini baru aku perasan, kelibat yang aku nampak belakang pokok tadi tu adalah Mak Som. Mak Salina sendiri. Tapi otak aku yang bengap ni masih tertanya-tanya, pasaipa Mak Som main aculut cak kat situ?

“Som ada kat rumah. Tu laki dia ada sini. Hang bukan Som. Bagi balik anak orang tu..!!” Tingkah ayah semakin keras.

Ayah cabut rotan yang terpacak di tanah, kemudian Ayah bacakan kalimat ini…

“A’uzubikalimatillahi taaammati minsyarrima kholaq.” Diulangnya beberapa kali sebelum dibacakan sepotong ayat dri surah Yasin. Kemudian, dengan kuat ayah libas rotan tu ke perdu pohon angsana.

‘Zaaapppp….zaaaapppp….zaaaapppp…..’ bergores kulit pokok tu dihentam rotan Ayah. Bayangkanlah macam mana kalau rotan tu singgah kat belakang aku. Boleh putus urat kencing bhaii. Serentak dengan itu, berjatuhan puluhan daun kering bercampur daun muda ke tanah. Bagaikan ditiup angin kencang, padahal tak ada angin pun.

Kemudian, keadaan jadi diam. Tiada lagi berlawan kata antara Ayah dengan makhluk yang claim dirinya Mak Som tu. Peluh memercik di dahi Ayah. Dari belakang, aku boleh nampak dada Ayah turun naik dengan laju. Pak Keria, dan Pak Sarip pula membungkam seribu bahasa. Hanya Pak Leman yang yang masih tenang membilang zikir di jari. Setahu aku, Pak Leman ni pun bukan kaleng-kaleng. Takat hantu tetek tu dia boh penerajang ja tengah belakang. Orangnya tawadduk dan sentiasa berdamping dengan Ayah. Depa sama-sama mengaji masa muda dulu.
“Dia lepas tak bang Khatib?” Tanya Pak Leman.

“Kita tunggu sat. Kalau tak dapat malam ni esok kita mai lagi. Maghrib dah suntuk ni.” Jawab Ayah menghela nafas kecewa. Namun tidak bererti dia berputus asa. Ni bukan kali pertama Ayah berhadapan dengan permainan Jin yang cuba menyesatkan manusia. Banyak kali dah, tapi tak ramai yang tahu. Ayah suka buat kerja diam-diam. Hanya orang kepercayaan Ayah ja yang dapat tengok dengan mata kepala sendiri. Aku? Ayah tak berapa nak percaya aku, sebab tu cerita ni boleh timbul kat sini…heh!

Setelah menunggu hampir 5 minit, tiada tindakan selanjutnya dari kedua belah pihak. Baik di pihak Ayah mahupun di pihak jelmaan Mak Som.

“Jom kita balik. Kita singgah masjid dulu semayang Maghrib.” Kata Ayah mengajak kami pulang. Ayah menjeling tajam ke arah aku, tapi tak berkata apa-apa. Aku yakin, Ayah tengah simpan tu. Esok kena la.

Kami bergerak keluar dari hutan tu dengan dikepalai oleh Pak Sarip yang memegang jamung. Malam semakin pekat. Cahaya bulan di langit mula sirna tandanya hujan akan turun. Percikan kilat dan guruh mula berdentum dari banjaran Gunung Bintang. Angin yang memuput lembut bagai menghembus pergi sisa harapan di hati Pak Keria Volvo. Anak bongsunya itu masih hilang tanpa khabar berita. Terdengar nafasnya menahan sebak bersulam kerisauan.

“Sabaq Keria. InsyaAllah nanti jumpa la tu. Dia ada kot sini ja. Berdoa banyak-banyak, nanti Tuhan tunjuk jalan.” Ujar Pak Leman menepuk-nepuk bahu Pak Keria.

“Yakin kita. Dia ada sini. InsyaAllah boleh dapat balik.” Sambung Ayah pula.

Langkah terus dihayun dengan laju membelah jalan denai. Tiba di padang sekolah, aku perhati sekeliling. Ya Allah….punyalah seram. Padang tu gelap. Bangunan sekolah lama tu lagilah kelam. Dalam kepala mula terbayang hantu jepun sedang berkawad tengah padang. Langsiaq tengah bersidai kat pokok pisang, pocong tengah bergolek suka ria kat koridor sekolah, pontianak tengah mengilai dari dalam bilik darjah. Dulu-dulu, 4 ekor setan tu lah yang budak-budak kampung paling takut.

Dan….tiba-tiba imaginasi aku menjadi kenyataan. Sayup-sayup telinga aku terdengar satu suara menangis dan mengilai dari dalam kawasan sekolah.

“Uwwaaaaa…..uwaaaaaaa……maaaaaaakkkkk!! Uwaaaaaa…..maaaaaaakkk….!!!”
Suara tu mendayu memecah keheningan malam. Aku pasti semua yang ada situ termasuk Ayah pun dengar sebab semuanya hentikan langkah serentak.

“Sapa menangis tu?” Soal Pak Sarip. Wajahnya bertukar cuak disinari cahaya jamung di tangan.

“Anak rumah hujung tu kot?” Getus Pak Leman.

Kami masing-masing berhenti memasang telinga.

“Bukan. Bunyi tu mai dari dalam sekolah.” Kata Ayah pula. Hah sudah! Janganlah Ayah ajak pi tengok. Time macam ni anak sapa nak pi sekolah? Cikgu pun pakat nak lena kat rumah.
Pak Keria Volvo pula melangkah dua tiga tapak maju ke pagar sekolah yang tidak bertutup. Keadaan sekolah tu begitu gelap. Nak berjalan kat kaki lima pun susah. Harapkan jamung Pak Sarip ja yang menerangi tanah. Sekolah dulu-dulu pula mana ada pak guard macam sekarang. Tak ada barang berharga sangat pun.

“Ehh… tu macam suara anak aku.” Tingkah Pak Sarip dengan wajah cemas. Dia berpaling memandang Ayah.

“Jom masuk.” Demmmm. Bagai yang dijangka, Ayah ajak kami masuk memeriksa di dalam sekolah. Kaki aku ni, kalau dia boleh bertindak sendiri dah lama dia tanjai dahi tuan dia. Tadi ketegaq sangat, nak ambil tahu sangat. Sekarang ni mau tak mau kena ikut sekali. Cepat-cepat aku merapat dengan Ayah dan pegang belakang baju dia. Apa-apa yang berlaku sebentar lagi biar Ayah tanggung dulu.

Ayah mengorak langkah masuk ke kawasan sekolah diekori kami semua. Suara tu pula sekejap berbunyi sekejap menghilang. Tapi bunyinya sangat dekat. Kami melintas di barisan bilik darjah satu persatu sambil mengintai ke dalam. Depa la, bukan aku. Aku jalan pejam mata. Penakut pait. Aku cuba juga mengintai sekali, bila nampak kerusi dan meja yang tidak berpenghuni, terus pejam balik. Jalan tergapai-gapai macam orang buta.

Tiba di depan sebuah tandas di hujung bangunan, suara itu kembali mendayu-dayu bergema di setiap pelusuk sekolah. Allahurabbi. Jiwa aku dah kacau bilau. Nak terkencing sangat-sangat dah. Aku bisik kat Ayah.

“Ayaaaaahh. Nak kencing.”

Ayah tunduk pandang aku di belakang. Aku ingatkan Ayah nak suruh kencing dalam longkang ja. Tapi Ayah buat sesuatu yang membengkakkan lagi pundi kencing aku.
“Masuk jamban. Kencing kat dalam.” Kata Ayah.

Alahai…yang betulnya tandas tu lah aku nak elak. Ayah terus petik suis lampu dan keadaan tandas jadi terang benderang. Sebaik aku nak melangkah masuk, berderau d***h aku dari tumit hingga ke ubun-ubun bila aku nampak tubuh seorang budak perempuan sebaya aku sedang duduk memeluk lutut di lantai tandas. SALINA…!!

Nyaris-nyaris aku nak pitam. Awat hang pi duduk tang situuuuu???

“Paaaakkkk!! Bapaaaaaaaakkk!! Tolong cek paaaaaaakk..!!”

Jerit Salina dalam sedu sedan sebaik nampak kelibat ayahnya berdiri di pintu tandas.

“Ya Allaaaaahh…anak akuuuuu….!!”

Menerpa terus Pak Keria Volvo memeluk anaknya. Pak Sarip, Pak Leman dan Ayah turut bergegas masuk mengelilingi Salina. Keadaan Salina sama macam yang aku jumpa dia petang kelmarin. Cuma baju gown dia sedikit kotor dan berbau hapak.

“Ya Rabbiiii…..cek pi mana sampai satu hari tak balik? Jenuh bapak pusing keliling kampung. Mak dok risau kat rumah ya Allaaahhh…” Begitu ketat rangkulan Pak Keria hingga tenggelam anak kesayangannya itu dalam pelukan. Begitulah kasih sayang seorang ayah. Dalam garangnya itu, kasihnya begitu tinggi, sayangnya tidak berbelah bahagi.

“Alhamdulillah. Tuhan makbul doa kita. Dah-dah jom balik. Selesai dah.” Ujar Ayah menepuk-nepuk belakang Pak Keria. Wajah Ayah kembali cerah, hilang segala kegusaran di hati.

“Tadi kata nak kencing.” Kata Ayah memandang aku yang tersengguk-sengguk menekan pundi kencing dari tadi.

“Nak nak. Ayah tunggu sini na. Tunggu sini jangan pi mana.” Jawab aku meminta belas kasihan Ayah. Ayah senyum ja tengok perangai anak jantan dia ni.

Dari dalam bilik kecil aku terdengar perbualan Pak Keria dan anaknya Salina.

“Cek pi mana? Dah lama mana duduk sini?”

“Dari petang tadi. Cek nampak mak dok panggil masuk dalam hutan tu. Cek ikut la. Lepaih tu mak bawak cek duduk sini. Lama cek tunggu, mak tak mai balik. Cek nampak ramai orang tadi. Depa panggil nama cek. Cek panggil balik depa tak dengaq. Depa pi buat tak tau ja.” Jawab Salina teresak-esak memeluk pinggang ayahnya.

Kasihan. Dia taktau yang dari semalam satu kampung dok sibuk hal dia. Tu la cek. Lainkali orang suruh cek balik tu cek balik la. Cek dok berangan apa lagi tang tu? Kan dah kena sorok.

Sekian. Terima kasih.
FB Page – Edi Arjuna

Edi Arjuna

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.3]

12 thoughts on “SALINA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.