Jutaan terima kasih Mat ucapkan atas jasa dan budi baik Admin FS menyiarkan episode “Sampai Mati”, dan ribuan terima kasih juga kepada rakan-rakan pembaca kerana memberi pandangan, sokongan, kritikan yang tidak berbelah bagi kepada Mat. Untuk kali ini, Mat ada sedikit sambungan dari episode lepas, dan menyusun sepuluh jari andaikata gagal memenuhi citarasa pembaca,; Adat hamba anak padi, dagang pagi mudik petang, andai ada silap larang, hamba menyembah sepuluh jari. Tanpa flower-flower,Siapalah hamba..
Busuk. Dah Berulat pun. “Tak apalah, bukan rezeki, kalau banyak pun bukannya habis makan, cukuplah sebiji dua,” aku tersenyum sambil menepis kerengga merah dihujung kening.
“Pak Long!, cempedak banyak dah busuk, cuma lekat 2 biji yang elok” aku berlari anak meredah celah-celah pokok kapal terbang dan duri semalu.“Yakah?, tak apa, cukuplah tu buat minum petang, tepung beras dan kapur aku dah beli semalam” Pak Long tersenyum. “ Mari Amin, kita taburkan garam dahulu, pertengahan tahun boleh merasa durian tembaga, InsyaAllah,” Pak Long turun dari dangau sambil mengheret sekampit garam. Cahaya matahari pagi membasahi tanah, nampak butir-butir embun bagai mutiara bertaburan diatas lantai dusun. Diselang seli nyanyian anggerik dan unggas hutan.
Usai Zohor, tiba-tiba Harun datang ke rumahku bersama Rohana. Ketika itu emak dan ayah tengah menyulam nasi di meja, tinggal aku yang masih menyiapkan sarung cempedak di bangsal. “Ehh, Harun, katanya lepas Asar nak datang, mai masuk mai, langkah kanan sungguh aih hang ni,” ayah mempersilakan Harun masuk ke rumah. Aku cepat-cepat menyarung baju, takut Rohana terpandang badanku yang macam jerangkung malam. “ Mai kita makan sama-sama, menggulai nangka ikan masin hari ni,” ayah ketawa dihadapan meja.
“Rohana, makan, jangan segan. Cedok nasi tu, ambil lauk, makan kenyang-kenyang,” emak menghulurkan air basuh tangan kepada Rohana. “Dulu pak hang, tak payah dipelawa pun, alih-alih dah ada kat dapur, habis makan, hilang dalam semak,” ayah ketawa mengenang perangai Harun ketika itu. Harun pun ikut ketawa terbahak-bahak. “ Mana Seha? Kenapa tak diajak sekali?,” emak mengajukan soalan. “Oh, dia dirumah menjaga Robiah,” Harun menyenduk gulai nangka tanpa mempedulikan pertanyaan emak. Selera pulak aku tengok Harun makan. Sambal belacan buah macang macam tak cukup buatnya.
“Alhamdulillah, fuhhh, memang tak boleh lawan sambal macang Tok Biah, berpeluh dahi aku ni, hahaha,” Harun menyandar di tepi tebing pintu. Tok Biah ialah panggilan buat arwah nenek aku. “Noi mana?, lama sungguh tak jumpa Noi,” Harun memanjangkan leher ke kiri dan kanan rumah. “Ohh, dia ikut laki dia balik Bangkok, 3 bulan sekali dia baliklah, nak makan durian,” ayah berseloroh. Rohana masih di dapur, menunggu emak membungkus gulai nangka buat makcik Seha dirumah.
“Bagaimana Robiah?, ada perubahan sedikit?,” sambil ayah menyedut rokok tembakau. Daun nipahnya diraut nipis, senipis kulit bawang, tembakaunya dilurut dan diikat tiga. Harun juga tak kalah, sedikit tidak kekok, masih mahir. Dijelingnya aku tanda dia tak hanyut dek pasang surut ombak. “Alhamdulillah, seminggu ini dia dah boleh bergerak sendiri, tak perlu dipapah kalau hendak duduk dihujung katil,” sambil Harun menghembuskan kepulan asap kecil. Berjelaga laman dengan bauan tembakau jawa basah.
“Baiklah, aku balik dahulu, saja aku temankan Rohana jalan-jalan kampung, singgah sekejap rumah hang, nanti lepas Asar aku terus ke rumah Long,” Harun meninggalkan Rohana di rumahku sambil dia menjinjing bungkusan pulang.
“Jom kita pergi rumah ke Pak Long,” Ana memanggilku. “Sekejap lagilah lepas aku mandi,” aku merungut. “ Ada telaga ke, nak tengok boleh?,” Ana masih bertanya di dapur. “Telaga dibelakang rumah dah tutup, ada ular sawa, nak tengok bolehlah,” aku mengusik. Ana diam. “Dah siap, jom pergi, kita jalan kaki sajalah, gerek aku rantai dah putus,” aku mengajaknya. Ana diam. “Gerek tu apa?,” aku pula diam.
Aroma cempedak goreng harum semerbak dari dapur sehingga ke ruang tamu. Satu dulang penuh Pak Long masakkan. Isinya tebal lemak manis. Tak hairanlah berebut dengan tupai didusun. Separuh dulang sudah untuk Rohana dan Harun. Rohana ini betul-betul mirip perangai ayahnya. Jenis tak segan dan jeran. “Hemmm..kalau diikutkan pengalaman aku, sihir yang dikenakan kepada Robiah datangnya dari unsur angin dan tanah. Wallahualam, tujuannya agar pesakit menderita dan akhirnya binasa dalam diam” ujar Pak Long sambil menyimpuh dihadapan Robiah. “Kemungkinan gambar Robiah dipuja dan digantung menghadap matahari setiap hari, sihir ini diantara yang digemari tukang sihir. Kesannya pesakit akan mengecut macam batang keladi yang dilayur dan terasa bahang menjelang matahari naik segalah” tokok Pak Long. “ Selera makan dia pun bertambah, tapi tetap tak berisi, kurus-keding” Makcik Seha mengaku, walaupun keadaan Robiah sebegitu, nafsu makannya tidak mengenal siang dan malam.
Kalau lambat sahaja menyudu, Robiah akan menunjukkan sikap aggresif. “Ini yang sangat aku risaukan, sihir jenis ini asalnya ilmu dari tanah seberang dan utara Thailand” ujar ayah bersandar didinding. Lazimnya, amalan sihir ini menggunakan angsa liar berwarna hitam sebagai perantara. Angsa ini dikurung sebulan lamanya (mengikut keberkesanan sihir) dan hanya memagut bertih dari bekas tanah yang dipijak mangsa. Selepas dipuja dan digantung azimat, lehernya dijerut tukang sihir dan dilepaskan. Angsa ini akan mencari makanan namun tetap tidak kekenyangan. Begitulah amalan yang zalim lagi berdosa besar. Nauzubillahiminzalik.
“Memandangkan Robiah sudah sihat sedikit, aku akan berusaha, InsyaAllah,” Pak Long memberi keyakinan kepada Harun. “Malam ini kalau tiada aral, marilah kita ke rumah Haji Sopian, aku pun sudah lama tidak menziarahi sahabatku tu,” Pak Long meminta kami terus berada dirumahnya. Lagipun Robiah masih tidak kuat untuk ke hulu, ke hilir. “Buatlah macam rumah sendiri Harun, Seha. Gunalah mana-mana bilik yang kosong, hang pun tahukan rumah ni Harun, tak ada yang berubah kecuali bilik air,”ayah ketawa dan diikuti Harun.
Suasana agak tenang, sekejap-sekejap kaset radio mendendangkan lagu nyanyian Rokiah Wanda “Bulan Ditutup Awan” dan Abdullah Chik “Burung Dalam Sangkar”. ”Wahai kau burung dalam sangkar, dapatkah kau menahan siksa, dari kekejaman dunia, yang tak tahu bertimbang rasa” cewahh, aku menyambung dirangkap terakhir.
“Hemmm, Ada dalam labu sayong, atas para bilik aku, dah macam haruan dalam tuar jadinya” Haji Sopian mengarahkan bibirnya ke bilik tengah. “Bila nak mudik?,” Pak Long bertanya sambil melabuhkan punggung dikerusi rotan. “InsyaAllah, lusa malam Selasa ini Long. Kak Long, hang pergi dapur dan buatkan air jarang untuk Pak Long hang ni. Ambil biskut benggali bawa datang,” Haji Sopian meminta anak sulungnya menyediakan sedikit kudapan malam buat kami. Ucu Som tersengeh di sudut rumah. Dah tampak sihat sedikit. Rambut pun dah disisir rapi oleh anak gadisnya Melati. “Huh, hang tak payahlah merajuk lama-lama Harun, buang diri sampai ke Sabah tak balik-balik. Perkara dah lepas, dah terkubur pun,” sambil Haji Sopian menampar peha Harun. Berkerut mukanya menahan pedih.
Kelihatan Pak Long, Harun, ayah dan Haji Sopian sedang bercakap-cakap. Butir-butir percakapannya tidak jelas. Haji Sopian tekun mendengar sambil mengangguk-angguk. “Baiklah, InsyaAllah, sama-samalah kita berusaha kearah itu,” sambil Haji Sopian menghirup teh o suam. Kata sepakat telah dicapai. “Amin, malam lusa, hang temankan Sudin dan Komeng mudik,” ayah tiba-tiba bersuara. “Baik ayah,” aku setuju, padahal aku sendiri tidak tahu apa-apa.
“Hemmm..sihir ini diikat dan dikunci, lagi malang anak kunci sudah tiada, seakan sumpahan, tidak boleh dipulangkan, hanya boleh dimusnahkan satu persatu,” Haji Sopian merenung pekat malam. Seakan tidak berganjak, membatu di tepi anak tangga. “Beginilah Long, sediakanlah aku baju anaknya Harun, jangan dibasuh dan rambutnya sedikit, esok malam kita jumpa dirumah hang, pergilah balik dahulu malam ini,” Haji Sopian mengarahkan kami pulang. “Ini aku nak pesan, selepas jejak sahaja kaki kita ditanah, jangan ditoleh atau disebut-sebut nama Haji Sopian, ingat ni,” Pak Long merenung aku. Semua mengangguk faham.
Angin agak kuat, berguguran pelepah pinang menyembah tanah. Angin itu seakan mengekori kami kiri dan kanan jalan sehinggalah kami keluar dari jalan rumah Haji Sopian barulah reda angin yang melibas. Ayah memegang pergelangan tanganku kuat. Cepat-cepat beredar membuka langkah.
Tiba dirumah, ayah mengadu sakit kepala yang amat keras. Cepat-cepat ayah merebahkan badan di tilam. “Siti, panggilkan aku Mat Noh,” arah ayah dalam nada perlahan sambil tanggannya kuat memegang lenganku. Berlari emak meredah pekat malam ke rumah Pak Long. Sekembali dirumah, “Hemm, bagi dia minum air ni, sapukan sedikit dihujung jari, belakang leher dan pusat,” ujar Pak Long lalu bersandar di bucu sofa. “Dia tak dapat aku, hang dicarinya Mat Den,” Pak Long mendengus. “Iyalah Long, macam dihinggapi kayu balak kepala aku ni, belum pernah aku gagal mengelak pukul curi ni,” gerutu ayah. “Macam nak tercabut nyawa aku, mujur Amin tiada apa-apa,” ayah merungut perlahan. Emak menggeleng-gelengkan kepala. Malas nak campur. Tapi emak pun ada juga berpesan kepada ayah, siang pandang-pandang, malam dengar-dengar. Anak masih kecil dirumah. Ayah hanya menghela nafas panjang sambil mengurut kepalanya.
“Hati-hatilah Mat Den, ada harimau dalam belukar,” Pak Long mengeluh. “Huh bersukat darah, bertimbang daging, aku ini kalau bukan kerana adanya Amin didalam tangan, percayalah, akan aku pupuk jadinya kucing, biar nyawaku galang ganti, takkan aku berserah,” ayah menampar lantai. Menjalar urat merah matanya menahan amarah.
Tidak lama, Pak Long kembali ke rumahnya, maklumlah, ada tetamu, tak baik diabaikan. Keesokkannya, usai subuh pagi, aku menemani emak, makcik Seha dan Rohana mengutip bunga. Ayah meneruskan pekerjaan seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku semalam. “Ini bunga telang, ini bunga cempaka, ini bunga tujuh jarum, ini melur kampung dan ini dedap merah,” semuanya aku hafal. “Kecebur..,” Robiah dimandikan emak di kaki tangga, malah Rohana dan Makcik Seha pun turut sama. Aku tidaklah. Aku di atas rumah menelaah buku ilmu hisab. Pak Long dikebun, katanya nak ambil umbut pisang.
“Assalamualaikum tuan rumah,” Haji Sopian melambai-lambai di tempayan air anak tangga. “Waalaikumsalam, baik tunggu sekejap,” Pak Long siap-siap membawa bungkusan menuruni rumah. Terlihat Sudin dan Hadi tersengeh kelat. Mesti dipaksa turut-serta rasanya.
“Ini jangan disalah anggap dan difikir bukan-bukan, jalan ini tetap jalan yang satu, tiada dua. Ke kiri menyimpang, ke kanan menuntun,” Haji Sopian bersila diatas penanggah. “ Sudin, berikan aku lukah, Mat Noh keluarkan barang yang aku pesan, Hadi pasangkan lampu ayam biar terang malam ini,” Haji Sopian memberikan arahan. Sekejap kemudian, Haji Sopian turun ke tanah. Diambilnya kayu sehasta lalu dibuatnya bulatan besar sekeliling penanggah sambil mulutnya berkumat-kamit.
Diantara percaya atau tidak, lukah yang dipasang ditengah penanggah bergetar. Baju Robiah yang diletakkan didalam lukah seolah-olah bergoncangan. Angin bergerak-gerak kuat dari arah kiri dan kanan, bersimpang siur derasnya, namun sedikit pun tidak memadam api lampu ayam. Kami hanya berkumpul melihat tindakan Haji Sopian seterusnya.
Haji Sopian membaca, 44 kali surah Al-Fatihah dengan tenang lalu hembusannya diusap ke seluruh batang tubuhnya. Seketika, Haji Sopian membacakan Surat Saad (38), Ayat 38, dengan terang dan jelas dan diakhiri dengan Surat At-Taubah (9), Ayat 128, dan 129 sehingga selesai.
Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu. (Surat Saad, ayat 38)
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.( Surat At-Taubah, ayat 128)
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.( Surat At-Taubah, ayat 128)
“Aku tidak peduli!!, dan aku tidak mahu tahu semuanya!!,” Haji Sopian mengeraskan suaranya. Ke hulu kehilir rotannya di bawa ke keliling bulatan macam seorang cikgu disiplin. Bulatan yang besar itu seolah-olah dikeremuni kelompok yang ramai. “Mat Noh!, hang jangan masuk campur, duduk diam-diam,” Haji Sopian memandang Pak Long yang berkumat-kamit. “Masuk semua yang ada, atau hanggus binasa semuanya, innahu min Sulaiman wainnahu Bismillahirrahmanirrohim,”Haji Sopian menghentak kakinya 3 kali ke tanah,
“Zassss, zassss prapp, prappp!!” Haji Sopian melibas kayu yang panjangnya sehasta di tengah-tengah penanggah. Kecut perut aku jadinya. Sudin menelan air liur. Pak Long sendiri terpegun melihat Haji Sopian, macam mengembala kambing pulang petang. Tak padan dengan tua, kudratnya macam kerbau memajak bendang. Lukah yang dipasang terpelanting dihujung penanggah, melompat-lompat , macam ayam lepas disembelih.
“Sudah jangan berdiri lagi disitu, ambil kain ini, bungkuskan lukah, esok malam mudik, aku tunjukkan caranya lagi,” Haji Sopian perlahan-lahan menyerahkan lukah kepada Pak Long. Berjurai keringat membasahi belakang badannya. Terduduk diam dia bersendirian di penanggah ditemani lampu ayam.
“Macam menghambat ayam ternak masuk reban ya Long,” Sudin membimbit lukah di celah ketiaknya yang basah. “Hemm, lain padang lain belalang Sudin,” Pak Long macam tahu apa yang tersirat dalam hati Sudin. Aku tidak terus naik ke atas, aku ke tandas belakang, nak terkencing aku apabila Haji Sopian melibas penanggah. Kuat yang amat kuat. Itu kalau singgah belakang badan, aku rasa tak bangun sebulan. Patutlah Haji Sopian tiada masalah mengendali haiwan ternakannya kalau begitu caranya.
“Alhamdulillah, InsyaAllah semuanya baik-baik belaka,” Haji Sopian melunjur kaki. “Kita ini kalau bercakap biar dikulum jadi manikam, diluah jadi sekam, luka ditangan nampak berdarah, luka dihati siapa yang tahu,” tambahnya sambil menghirup kopi dan pengat ubi keladi yang dihidangkan. Harun hanya menghela nafas. Melihat anaknya Robiah terbaring penat.
Katanya ayah, sewaktu kami di tanah, Robiah mengamuk diatas rumah. Nak melompat keluar jendela walaupun pintu luas ternganga. “Dari mana datangnya, dari situ pulangnya,” ujar ayah yang kelihatan penat. Ada kesan benjol sebesar telur burung puyuh di dahinya. Tak tahulah apa yang terjadi. Rohana pun diam di meja makan bersama besen kosong di kaki.
“Bagaimana Ana?, semuanya ok ke?,” aku menghampiri Rohana di meja makan. Ada bubur gandum dan pengat pisang yang masih panas. Aku tahu, ibu yang buatkan. Rasanya sama. “Penat abang Amin, kakak muntah banyak kali sampai penuh besen. Setiap kali penuh, Analah yang membuangnya ke lubang tandas , penat naik turun tangga, macam nak tercabut lutut Ana ni,” dia ketawa sambil mengurut betisnya.
“Baiklah, aku nak pulang, malam esok aku suruh Sudin mudik, ada apa-apa bantuan, cari aku dirumah,” Haji Sopian dan Sudin memohon mengundur diri sambil Harun berdiri menghampirinya. “Hish, tak payah Harun, aku bukan mencari laba dengan cara ini, kita semua saudara, kiri dicubit, kanan pun terasa, adat kita satu kampung,” Haji Sopian menyambut salam sambil tersengeh kambing. Harun mengesat kelopak matanya yang berair. Makcik Seha pun kelihatan berpelukan dengan emak. “Pagi esok ulang mandi bunga dan berembun, kemudian yang terakhir, InsyaAllah semuanya kembali pulih,” Pak Long menuruni dapur untuk mengambil wudhuk dan melakukan rutin kebiasaanya setiap malam. Aku mengambil ruang di hujung serambi dan menyalakan ubat nyamuk. Semuanya berlalu dengan aman, angin malam yang sejuk dan harum bunga durian mendodoikan aku sehingga ke Subuh.
Keesokkan pagi, ketika usai berjemaah Subuh, Pak Long dan ayah membaca Al-Quran bersama-sama diruang tamu. Merdunya, seolah-olah arwah atok masih ada mengajar kami membaca Al-Quran dengan tartil dan nahu yang baikl. Rumah itu seolah-olah hidup, tambah angin pagi meniup dari dinding rumah. Sejuk dan aman rasanya. Rohana ada bercakap kepadaku, sekarang papa dan mamanya sudah banyak berubah. Cakap tak pernah suara tinggi, dah tak lewat-lewatkan solat, kadang-kadang papa dan mama turut membaca Yassin, kemudian mereka menangis berpelukkan meminta maaf. Rohana terasa cukup terkesan dengan perubahan tu semenjak balik ke kampung.
“Ini adalah ikhtiar aku, firasat aku mengatakan ada sesuatu yang masih tertanam didalam Robiah, mesti dibuang jauh,” Pak Long meletakkan pisau lipat diatas pucuk daun pisang. Sebelahnya besen dan lilin sarang lebah. “Siapa yang tidak berani aku fikir, lebih baik duduk sahaja didalam bilik, nanti rebah sudah satu masalah,” ayah berpaling kearah Rohana dan makcik Seha. “Tak apa bang, kami baik-baik sahaja,” makcik Seha menetapkan pendiriannya lagipun anaknya itu masih terbaring.
“Tiada apa-apalah, semuanya baik-baik belaka,” Pak Long memulakan dengan Al-Fatihah dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Robiah masih dalam keadaan separuh sedar sesudah memakan daun sireh. Harun bersimpuh melihat anaknya tidak bermaya diatas tilam. Gara-gara perbuatan mereka yang sebelum ini mengundang dendam orang, kesannya tak bertangguh. Amat perit untuk ditelan, amat pedih untuk diluahkan. Selembar kain batik menutupi perut Robiah.
“Bismillahirrahmanirrohim, Laa Haula wa laa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil adhiimi,” pantas Pak Long melarikan pisau lipat diatas kain batik yang menyelimuti kulit perut Robiah. Hanya seinci sahaja dalamnya,sudah memercik darah ke atas kain batik. Penuh darah hitam busuk dan hanyir mengalir tumpah keatas daun pisang yang melapik badan Robiah. Robiah memejam mata menahan bisa dan perit. Torehannya hanya sepanjang satu jari manis. Nahhh..terkeluar satu bungkusan kain guni jerami padi dari celahan luka. “Ambilkan aku lilin dan dulang Harun,” Pak Long memegang bungkusan itu erat. Pak Long membersihkan darah dari kesan luka berulang-ulang sehingga darahnya berhenti mengalir. Darahnya membeku apabila dititik cair lilin sarang lebah. Sekali lagi Robiah mengerut dahi menahan bisa.
“Alhamdulillah, aku kira setakat ini sahajalah usaha aku Harun,” Pak Long berdiri tersenyum. Bauan hanyir pekat memenuhi ruang rumah. Amat meloyakan tekak, macam bangkai tikus mati beragan. Pak Long meminta ayah untuk bakarkan sahaja bungkusan itu apabila kering dimamah mentari. Kesemua pakaian, kain batik, daun pisang dan pisau Pak Long minta dibungkuskan cermat dan dihanyutkan malam ini. “Tawakallah kita kepada Allah SWT, semoga semuanya baik-baik selepas ini, bawalah Robiah mandi selepas lukanya sembuh,” ujar Pak Long kepada makcik Seha yang sedang menyudukan air kepada Robiah. Haus katanya.
Aku membawa Rohana berjalan-jalan keliling kampung. Singgah sekejap di warung Lebai Ghani di tepi Madrasah. Harun suruh aku belikan kuih –muih buat mengunyah dirumah sambil Rohana belanja aku ABC kepal. Ujarnya nampak tak sedap, tapi sekali makan tak puas hati. Esok malam, Harun meminta aku untuk memesan kuih-muih Lebai Ghani buat kenduri selamat dirumahnya. Anak-beranak ini memang kuat makan. Sekian wassalam, selamat berpuasa dan PKPB- Mat Tepos
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
best
sambungan .. terbaikk!
mantap bos kuuu….