Santau Bini Baru

SANTAU BINI BARU

Apa itu santau?

Santau atau juga dikenali sebagai tuju-tuju, merujuk kepada sejenis ilmu hitam yang digunakan untuk meracun musuh….

Secara umum, santau dilakukan melalui dua cara iaitu cara fizikal dan cara santau angin. Santau secara fizikal biasanya meracun seseorang melalui makanan atau minuman.

Makanan seseorang itu diletak miang buluh, kaca, serbuk Ipoh, bisa besi, dan lain-lain. Bahan-bahan tersebut akan memasuki perut seseorang dan akan melukakan bahagian dalam perut.

Musuh yang termakan racun santau ini akan muntah d***h, pitam, pengsan dan meninggal dunia. Terdapat juga jenis santau yang hanya perlu diletakkan pada baju atau kasut mangsa.

Bagi santau jenis ini, serbuk kaca atau buluh akan menyebabkan rasa miang yang menyebabkan mangsa menggaru.

Perbuatan ini akan melukakan kulit mangsa dan membolehkan bahan racun ramuan santau memasuki saluran d***h, dengan itu meracun mangsa.

Santau angin lebih mistik iaitu dengan bacaan jampi tertentu dan dihembuskan ke arah musuh.Bahan yang dihembuskan seperti miang buluh atau serbuk kaca akan memasuki paru-paru mangsa dan mangsa akan mengalami pendarahan dalaman (dalam paru-paru).

Menurut kepercayaan juga, pengamal ilmu santau sukar atau tidak boleh mendapat zuriat disebabkan bisa santau yang diamalkan oleh mereka mampu m******h zuriat yang dikandung oleh isteri mereka.

***

Kisah ini terjadi pada seorang kenalan aku iaitu Siti (nama samaran) dan ini mula terjadi kira-kira dua puluh tahun dahulu.

Ketika itu aku masih kecil tetapi sudah faham apa yang Siti bercerita pada ibuku dan ia terjadi sehingga aku mningkat dewasa.

Siti seorang janda beranak empat. Dia diceraikan suami setelah si suami berkenalan dengan perempuan lain dan Siti tidak mahu hidup bermadu.

Tidak dinafikan bukan semua wanita sanggup hidup bermadu. Walaupun telah bercerai, bekas suami Siti tidak mengabaikan tanggungjawabnya pada empat orang anaknya yang tinggal bersama Siti.

Setiap hari bekas suaminya melawat mereka memandangkan mereka tinggal berdekatan sahaja. Segala keperluan disediakan secukupnya memandangkan bekas suami Siti memang berharta.

Begitulah hidup mereka setelah bercerai. Kasih sayang dan tanggungjawab pada anak-anak tidak diabaikan. Walaupun sudah bercerai, hubungan mereka baik.

Akan tetapi, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Tidak lama kemudian kesihatan Siti mula terjejas.

Setiap kali Siti makan, dia akan muntah mengeluarkan kembali isi perutnya. Badan menjadi sentiasa lesu dan mengantuk.

Setiap kali solat dan membaca al-quran, dia akan berasa mengantuk dan terus tertidur. Bila Siti ke hospital untuk mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan dia sihat.

Hari demi hari badan Siti yang gemuk berisi kian kurus melidi. Tidak lama kemudian dia mula diganggu dengan penampakan kelibat di dalam rumahnya.

Siti turut mendengar suara bisikan dan pernah ketika dia sedang mengemas rumah, tiba-tiba muncul pocong berterbangan di dalam rumah.

Siti menjerit sambil melaungkan takbir lalu pocong tersebut bertukar menjadi pasir lalu memenuhi lantai ruang tamunya. Terpaksa dia kemaskan semuanya. Kesian Siti.

Tapi setelah kejadian tu, Siti mula menerima rawatan perubatan islam di merata tempat. Dari dalam negeri sehingga ke negeri lain.

Perawat kampung sehinggalah perawat yang tersohor. Tapi tuhan belum memberi kesembuhan buat Siti. Berbagai teori dan spekulasi dia terima daripada perawat.

Hanya pada tuhan Siti berserah. Gangguan demi gangguan dia hadapi membuatkan hidupnya tidak tenang.

Bekas suaminya tetap mengambil berat padanya dan juga anak-anak. Lalu oleh hal demikian, akhirnya punca Siti mengalami gangguan tersebut diketahui.

Isteri baru bekas suami Siti mula mengamuk. Dia menerjah Siti di rumah kerana tidak berpuas hati suaminya selalu berkunjung ke sana dan selalu ambil berat pada Siti.

Dia menuduh Siti ‘guna-guna’ kan suaminya sampai suaminya tidak dapat melupakan Siti. Hakikatnya Siti sudah tiada perasaan pada bekas suaminya.

Bekas suami Siti hanya menjalankn taggungjawabnya sebagai seorang ayah pada anak-anaknya. Semasa Siti dan bini baru bekas suaminya bergaduh mulut, akhirnya tembelang pecah jua. Perempuan tersebut akhirnya menjerit.

“Aku yang santau kau!”

“Aku pakai bomoh siam!”

“Biar hidup kau tak tenang!”

“Biar kau mampus!”

Lalu isteri baru jahanam itu berlalu pergi. Setelah kejadian itu. bekas suaminya jarang datang melawat. Namun gangguan masih terjadi sehingga sepuluh tahun berlalu.

Anak-anaknya sudah dewasa dan semuanya sudah bekerja. Ada yang sudah berkahwin. Pada masa yang sama Siti tanpa berputus asa berubat ikhtiar supaya hidupnya kembali normal.

Tidak diganggu oleh penampakan makhluk yang menakutkan dan bisikan-bisikan halus yang menyuruhnya m******h diri.

Biar selera makannya kembali agar sihat seperti dulu. Tidak dinafikan memang Siti cantik dan ramai yang hairan kenapa bekas suaminya lebih memilih perempuan jahanam lagi buruk rupa itu.

Pernah suatu ketika Siti dirawat, dia muntah lalu mengeluarkan paku, rambut dan jarum. Laa haula wala quwwatailla billahil aliyil adzim.

Beberapa tahun berlalu. Akhirnya Siti mulai sembuh. Sudah tiada gangguan seperti sebelum ini. Dia semakin sihat. Selera makannya juga bertambah.

Syukur pada tuhan tiada terhingga. Tapi kebahagiaan hanya seketika. Siti menerima panggilan daripada anaknya yang bekerja sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS).

Aku namakan dia Adam (bukan nama sebenar). Adam memaklumkan yang dia tidak sihat. Sering menerima gangguan pelik persis Siti lalui dulu. Tidak lama kemudian Adam bertukar watak dan personaliti.

Dulu dia seorang yang periang, agak bersosial bertukar menjadi murung dan pendiam. Dia diberhentikan kerja dan pulang ke kampung. Meratalah pergi berubat.

Bekas suami Siti turut melawat anaknya itu dek kerana risau dan memaklumkn bahawa itu kerja isterinya lagi. Isterinya mengaku setelah dipaksa.

Isterinya menukar target dari Siti pada anaknya, Adam. Tahun berganti tahun Siti berpindah ke rumah saudaranya. Ke tempat lebih tenang bersama Adam atas nasihat seorang ustaz.

Ustaz tersebut menasihati Adam supaya mendekatkan diri dengan tuhan. Sentiasa ingat padaNya. Memang selepas itu Adam kuat beribadah.

Solat, zikir, tahajud setiap hari. Adam berubah ke arah kebaikan. Ketika itu Adam masih sakit, tetap murung suka menyendiri.

Pada suatu malam Adam bermimpi bertemu seorang gadis yang rupawan yang tidak dikenali dan mimpi itu sentiasa hadir setiap malam.

Adam tertanya-tanya siapakah gerangan perempuan tersebut. Tidak lama selepas itu, Adam ke sebuah kedai makan berdekatan tempat tinggalnya.

Dia terpaku melihat seorang gadis tinggi lampai lagi rupawan. Siapa gadis itu? Ya! Gadis yang sering muncul dalam mimpinya.

Setelah balik dia memberitahu akan hal tersebut pada ibunya, Siti. Siti dan Adam menemui ustaz menceritakan pasal mimpi dan gadis yang dia temui itu.

Ustaz tersebut menjawab ringkas, kahwini dia. Maka jadilah Adam dan Siti penunggu setia di kedai makan tu. Menunggu gadis itu muncul. Hari berganti hari lalu gadis itu muncul.

Siti menceritakan segalanya dan hajat mereka ingin menyunting gadis itu untuk Adam. Alhamdulillah tuhan mempermudahkan .Setelah berbincang dengan keluarganya maka mereka disatukan.

Di hari pernikahan, selepas akad nikah, Adam tiba-tiba tidak sedarkan diri. Pada masa yang sama, isteri yang baru dinikahinya muntah.

Huru hara keadaan ketika itu. Tidak lama kemudian, Adam sedar. Adam rasa kelainan pada dirinya. Ya sejak hari itu santau dah jadi tawar.

Adam sihat dan mula bercampur gaul dengan orang ramai. Hidup tersenyum di samping isteri dan dianugerahkn tiga orang cahaya mata.

Tuhan hantarkan isterinya sebagai penyebab dia sembuh. Tidak lama kemudian, ayahnya meninggal. Berakhirlah persengketaan hasad dengki antara bini ayahnya dengan keluarganya. Sekian…

TAMAT..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mad Pi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.