Santau Seorang Nenek

Assalamualaikum W.B.T. kepada pembaca FS sekalian.

Terima kasih admin FS kerana menyiarkan kisah ini (jika tersiar lah hahha). Cerita tak seram cuma boleh dijadikan pengajaran. Harap cara penulisan sempoi+baku ini mudah difahami.

Bismillah.

Kejadian berlaku semasa aku berada di pertengahan Tingkatan 3 iaitu waktu sibuk dengan segala bagai peperiksaan dan gerak gempur untuk menghadapi PMR. Nama aku Nur Iman (nama samaran), menetap di Selangor. Dan, ketika ini keluarga aku bukanlah golongan M40 jauh sekali nak ke level T20. Tapi hidup gembira dan tak ada lah sampai tak makan langsung. Paling-paling pon maggi memang sentiasa ada. Heheh. Penderitaan di santau bermula apabila ibu aku yang bekerja di kantin sekolah telah difitnah tak bayar duit kutu sedangkan waktu tu giliran ibu aku. Nak dijadikan cerita ibu berhenti kerja di kantin sekolah sebagai tukang masak dan mengambil keputusan untuk berniaga kecil-kecilan menjual sarapan di tepi jalan tak jauh dari kediaman kami. For additional information, ibu aku memang power memasak dan dari muda lagi ibu selalu meniaga tapi biasalah meniaga ni kan banyak dugaannya. Jadi, kali ini adalah antara dugaan yang paling besar menimpa.

Pada awal perniagaan, jualan ibu mendapat sambutan dek kerana kesedapan masakan ibu. Namun, tidak dijangka sambutan meriah tu hanyalah sementara. Beberapa minggu berniaga, jualan ibu selalu tak habis, kadang sehari dapat RM30 saja. Di mana pada awal perniagaan mampu meraih anggaran RM150-RM200 sehari. Oleh kerana ibu pernah beberapa kali berniaga sebelum ni, ibu banyak makan asam garam kehidupan sebagai peniaga. Ibu mula rasa tak sedap hati kerana suatu pagi ketika ibu nak mulakan perniagaan, ada belalang merah gelap seakan-akan kehitaman hinggap di gerobok niaga kami. Bukan itu sahaja. Pernah juga gerai kami di singgahi langau yang tak pernah-pernah ada pun sebelum ni.

Ibu ku seorang yang rajin membaca doa-doa dengan harapan perniagaan kembali pulih jikalau benar ada gangguan yang tidak kelihatan bertandang. Dan alhamdulillah perniagaan ibu menunjukkan pembaikan tetapi tidak seperi dulu. Namun, hanya bertahan beberapa hari sahaja. Keaadaan menjadi semakin parah apabila ibu, kakak, abang, adik dan aku menghidap penyakit kulit. Sebenarnya aku sendiri tak pasti jenis penyakit tu tapi ibu kata seakan kurap/ kayap. Gatal yang teramat sangat dan paling tak boleh hadam, aku dan ibu terkena dekat celah kangkang. Sumpah aku cakap, masa tu terseksa sangat macam beruk makyehhh dah dok tergaru-garu dekat situ. Hahahha. Family members yang lain pula kena dekat tangan dan badan.

Oleh kerana ibu sedih melihat keadaan aku, yang masih tak menunjukkan pembaikan langsung. Malah, semakin merebak dan luka-luka dek kerana aku menggaru-garu. Tak tahan woiii hahhaha. So, di sini lah saat ibu aku mencari kenalan lama untuk mengubati penyakit aku ni. Plus, nak kepastian dari mana datang penyakit aneh ni. Untuk pengetahuan kalian, aku berubat traditional di Pahang. Jauh nau dari rumah aku di Selangor. Sebab ibu cakap usaha tangga kejayaan. Biar jauh asalkan berjaya sihat semula.

Maka tiba lah hari yang dirancang untuk sesi rawatan di Pahang. Kami berempat iaitu ayah, ibu, abang dan aku mengambil keputusan untuk lalu jalan Genting sebab lebih dekat untuk sampai ke destinasi. Malangnya, kereta ayah rosak secara tiba-tiba di pertengahan jalan di kaki Genting. Kereta berasap sampai tak nampak kenderaan di belakang kami seolah-olah kereta hendak terbakar. Sedangkan ayah sudah pun servis kereta dan check komponen penting bagi mengelak kesulitan semasa perjalanan. Justeru, ayah berpatah balik untuk mencari bengkel di pekan berdekatan. Apabila tiba di bengkel dan kereta ayah diperiksa hampir sejam. Namun, jawapan daripada brother bengkel tu memeranjatkan kerana dia tak dapat mengenalpasti apakah punca sebenar kereta berasap sedangkan tak ada kerosakan pada kereta yang boleh mengakibatkan kejadian seperti tadi.

Setelah itu, kami meneruskan perjalanan secara perlahan kerana tidak mahu perkara tadi berulang lagi. Sedang aku melihat kehijauan hutan menaiki kaki Genting, aku terlihat ibu terkumat-kamit. Aku tahu ibu tak henti-henti berdoa dari mula perjalanan lagi. Di pendekkan cerita, kami selamat tiba di destinasi pada hari hampir menjelang senja. Tuan rumah menyambut kami dan menjamu makan malam. Sesi rawatan bermula seusai solat Isyak. Sesi rawatan dimulakan dengan bacaan ummul kitab Al-Fatihah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Dilanjutkan dengan berbagai surah. Maka bermula lah sesi rawatan aku di temani ibu di sisi sambil berdoa dan selawat bersama. Cuma sejujurnya aku masih naif dan tak pandai menilai cara pengubatan Islam yang sebenar. Namun aku tetap berdoa dan mengharapkan redha dan izin Allah SWT sekiranya aku berpeluang untuk sembuh, aku akan berusaha menjadi manusia yang lebih baik.

Seusai selesai merawat aku, pakcik tu beritahu kami bahawa ini bukan penyakit kulit biasa. Tetapi penyakit akibat hasad dengki jiran kami. Kami sangat terkejut bila mendengar bahawa jiran dekat lah punca kami sekeluarga jadi sebegini dan turut mengakibatkan merundumnya perniagaan ibu. Malahan, jiran tersebut tidak menunjukkan sebarang riak wajah marah atau benci apabila bersua muka dan berbual dengan lagak tiada apa-apa berlaku. Sesungguhnya benar sangkaan ibu bahawa belalang merah kehitaman tu bukan belalang biasa tetapi mahluk halus yang dihantar untuk merosakkan perniagaan ibu termasuk juga langau. Langau hadir untuk menutupi mata-mata pelanggan yang nak membeli. Mereka tak dapat melihat gerai kami walhal kami ada saja di depan mereka. Dan, penyakit kulit tu pula disebabkan jiran laknatullah tu menanam tangan kera yang disihir oleh bomoh Siam betul-betul di bawah tempat kami berdiri menjalankan perniagaan.

Oleh itu, semua ahli keluarga yang pernah menolong ibu berniaga akan terkena. Dan pastinya aku yang hampir setiap hari membantu ibu mengangkat barang-barang niaga pada hari persekolahan dan turut membantu berjual di gerai pada hujung minggu, aku lah yang paling teruk terkena santau tu. Selain itu, dia turut menghantar santau angin ke rumah kami supaya suasana rumah menjadi panas. Keluarga kami menjadi porak peranda kerana ibu dan ayah sering bergaduh. Kami pula merasakan rumah tidak seronok di diami dan sering keluar lepak bersama rakan.

Gangguan tidak terhenti di situ saja. Kereta berasap di pertengahan jalan tadi juga berpunca dari mahluk halus yang dihantar untuk menghalang pertemuan kami dengan pakcik tersebut. Mahluk halus itu dihantar untuk m******h kami berempat dengan membakar kereta secara tidak langsung kelihatan seakan-akan kami ditimpa kemalangan jalan raya. Alhamdulillah berkat doa ibu sepanjang perjalanan dan dengan izin Allah SWT, niat kejam itu tidak kesampaian.

Bukan itu sahaja, selama ini aku sering kali sakit pinggang (senggugut) yang teramat sangat sehingga menangis berguling-guling menahan sakit. Rupa-rupanya itu bukanlah senggugut biasa. Tetapi jiran durjana tu menghantar syaitan yang sememangnya durjana untuk m******h aku secara perlahan-lahan. Mahluk durjana yang menetap di buah pinggang aku turut menjadikan buah pinggang aku sebagai santapan. Dan disebabkan itulah pinggang aku merasakan sakit walaupun bukan waktu bercuti (period). Pakcik mengubat itu mengatakan bahawa jiran tersebut marahkan aku kerana aku seolah-olah pelaris gerai ibu ku. Kononnya ramai datang kerana tertarik dengan keberadaan aku membantu di gerai. Walhal aku tidak secantik mana, tapi Alhamdullilah pernah lah orang kata aku secantik taraf Neelofa hahhahahaha oppsss. Ok sambung cerita.

Jiran tu menghantar syaitan tersebut untuk meragut nyawa aku dan turut diberitahu bahawa jikalau aku buat checkup di hospital, kemungkinan doktor akan mengatakan aku menghidap kanser buah pinggang sebab buah pinggang aku yang sebelah kanan dah rosak kerana di makan oleh syaitan tu. Makan macam mana tu aku tak pasti lah kan. Dannnn, pakcik tu cakap kalau aku abaikan sakit tu dan lewat berubat, dalam masa 3 bulan aku boleh m**i. Tapi yang part ni aku berserah pada Allah. Sebab ajal maut Allah tentukan. Bukan jiran, bukan syaitan, dan bukan pengubat tu. Alhamdulillah, dengan izin Allah, lepas berubat pinggang aku dah tak sakit dan senggugut pon tak terasa. Sebab aku seorang gadis yang dikurniakan senggugut yang ringan sahaja. Semenjak berniaga tiba-tiba sakit sampaikan rasa nak buang pinggang dan perut ni jauh-jauh.

Untuk pengetahuan kalian, jiran aku seorang nenek yang berniaga sarapan dalam taman perumahan kami juga, namun jauh dari gerai ibu. Dan paling tragis. Beberapa tahun sebelum kejadian ini, semasa dia baru berjinak-jinak dengan perniagaan, ibu aku lah yang mengajarnya membuat sambal nasi lemak. Masakannya juga tidak lah seberapa. Namun, disebabkan dia memakai tangkal kuat dan pelaris (pakcik tu beritahu kami), jualannya sentiasa laris. Dia juga menjadi seorang nenek yang kuat kerana setiap pagi dia mampu menolak trolley besar sarat dengan jualan ke tapak niaga yang agak jauh dari rumahnya. Walhal, jika dilihat dan direnung-renungkan, tidak logik dek akal seorang nenek tua yang kurus mampu bekerja sebegitu. Kami dahulunya berasa kasihan melihatnya secara automatik hilang rasa simpati padanya. Kami juga terfikir kenapa tergamak menyantau kami sedangkan pendapatan dia melimpah ruah. Anak-anak pun sudah dewasa dan bekerja. Betul laa orang cakap, “Rezeki tak berkat, berapa banyak pun wang di tangan, masih tak terasa cukup”. Itu lah sampai nak menyantau guru. Lupa daratan punya anak murid. Cisss.

Ketika ingin menamatkan sesi rawatan aku, pakcik itu bertanya sama ada aku ingin memaafkan jiran durjana ini atau tidak. Dan semestinya aku ketika itu yang marah dan tidak dapat menerima segala perbuatan itu, tidak memaafkan dia. Maka, mahluk yang terdapat di buah pinggang aku, dihantar kembali kepada tuannya untuk menuntut hak. Aku pun tak pasti hak apa dan bagaimana. Yang aku pasti, Allah Maha Adil kepada hamba-hambaNya. Akan ada balasan yang setimpal untuknya suatu hari nanti. Tidak di dunia, di akhirat itu pasti. Jikalau dia masih tidak kembali ke pangkal jalan. Namun, ketika usia meningkat dewasa, aku sudah pun memaafkannya kerana kematangan akal dikecapi. Tiada guna pun berdendam. Nabi Muhammad SAW kekasih Allah pun pemaaf. Inikan pula hamba hina seperti aku.

Manakala, untuk sesi rawatan ibu pula agak singkat sebab ibu seorang yang rajin beramal dan beribadat. Jadi tiada syaitan menumpang. Nak selit additional info, arwah atok aku seorang pengubat Islam juga. Banyak ilmu yang dituntut pernah di ajar kepada ibu. Walaupun ibu tak mampu belajar kesemuanya, ada beberapa ilmu yang ibu dapat pegang antaranya menghalau mahluk halus dari rumah/badan (mahluk halus yang menumpang atau sesat) dan mengembalikan perbuatan jahat orang (kalau kejahatan tu sampai memudaratkan ibu contohnya kes kena fitnah tipu duit kutu. Tukang fitnah dah pun diketahui). Disebabkan itu juga la jiran tu menjadikan aku sasarannya. Well, iman aku tak sekuat ibu. Budak mentah dan d***h muda kan. Selalu alpa tentang pahala dan dosa. Masa tu baru aku terhantuk dan terngadah dengan kata-kata orang berilmu, “Jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga kita”.

Dulunya Allah uji kami dengan hidup susah, pergi sekolah jalan kaki jauh, tak mampu sekolah agama sampai mengaji pun tidak tahu. Sering kena ejek, kena hina kawan sekolah sebab tak pandai baca Al-Quran. Bukan ibu tak mengajar tetapi pelbagai dugaan dan desakan hidup untuk mencari sesuap nasi semasa tu membuatkan ibu sendiri makin menjauh dari Allah. Ketika itu ayah aku jahil. Ayah aku kaki judi dan jelas-jelas tak ada didikan agama untuk kami 5 beradik darinya. Duit ibu selalu kena curi dengan ayah untuk berjudi. Kadang kami makan maggi 1 paket share 5 beradik, nak beli lauk mahal-mahal tak mampu. Dapat makan telur pun seronok dah. Tak perlu chicken chop, fish n chips, kambing cop-cop dan segala bagai makanan hipsterrr. Alhamdulillah, beberapa tahun lepas ayah dah berhenti amalan jahil tu.

Kesimpulannya, jagalah hubungan kita dengan Allah dan mohon perlindungan dariNya kerana tiada satu mahluk di dunia ini yang mampu melawan Keagungan dan Kekuasaan Allah SWT. Alhamdulillah, kini aku berumur 24 tahun dan sihat walafiat. Bertugas sebagai Engineer di sebuah kilang di Selangor. Hidup secara sederhana dan turut dalam usaha berhijrah menjadi Muslimah lebih baik dari dulu. Dan Alhamdulillah juga, Allah bagi peluang untuk aku membaca ayat suci Al-Quran dan khatam beberapa kali. Biar perlahan-lahan asalkan sentiasa berusaha menjadi seorang hamba yang taat dan berpegang teguh pada ajaran Islam. In shaa Allah, kita akan selamat dunia akhirat apatah lagi gangguan mahluk halus mahupun hasad dengki manusia. Wallahu a’lam.

Sekian saja dari saya. Terima kasih sudi membaca. Maaf jika ada salah silap dan membosankan. Huhuh Assalamualaikum W.B.T.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nur Iman

3 thoughts on “Santau Seorang Nenek”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.