Satu malam yang panjang

Aku terjaga apabila terdengar suara pemandu bas yang agak kuat memaklumkan bahawa bas ekpress yang aku naiki telah sampai di stesen bas kecil bandar KR.Jam menunjukkan pukul 10 malam,25hb Disember 1990.Aku mengangkat beg pakaian aku yang kecil sambil berjalan turun dari bas.

“Terima kasih pakcik,Assalamualaikum wbt..”,kata aku kepada pemandu bas yang agak berusia ketika mula turun dari tangga bas.Aku tidak tahu samada Pakcik pemandu bas itu menjawab salam aku atau tidak sebab aku tidak mendengar suaranya.

“Alhamdulillah,sampai jugak kat sini”,kata aku sebaik sahaja kaki aku memijak tar stesen bas ini. Hanya aku seorang sahaja rupanya yang turun di sini.Aku duduk seketika di atas kerusi simen.Tidak lama kemudian bas tersebut mula bergerak meninggalkan stesen bas ini dan meninggalkan aku sendirian.Hanya ada 2 lampu yang menerangi stesen bas ini.

Aku memerhati sekeliling.Suasana terasa sunyi. Angin malam yang bertiup menambahkan lagi kedinginan.Tiada langsung kelibat orang lain di stesen bas ini.Tiada juga kenderaan lain yang aku nampak berhampiran stesen bas ini,macam bandar m**i.

“Keciknya stesen bas ni,awal lagi pun dah tak ada orang,tak ada bas”,bebel aku.

“Macam mana aku nak ke Kampung Rakit ni?”,aku bertanya diri aku sendiri.Ini kali pertama aku menjejakkan kaki aku di bandar kecil ini dan kali pertama juga aku akan ke Kampung Rakit. Ketiadaan tiket bas untuk perjalanan waktu siang memaksa aku menaiki bas pukul 5 petang dari bandar tempat aku tinggal,bermakna aku menghabiskan 5 jam perjalanan untuk sampai di sini.

“Semoga Allah memudahkan urusan aku kat sini”, doa aku dalam hati.Aku berada di sini adalah atas permintaan Pak Tam,bapa saudara aku.Dia dapat kerja membina sebuah bunglow di sini dan tugas aku adalah untuk menguruskan ketibaan barang-barang pembinaan pada siang esoknya.Aku sendiri tidak tahu bagaimana keadaan kampung tersebut,yang aku tahu aku hanya perlu mencari penduduk kampung yang bernama Pak Jo @Johari. Mudah sahaja arahan Pak Tam,sedangkan aku tahu tugas aku tidak semudah arahannya.Ada sesuatu yang mengganggu fikiran aku.Firasat aku dapat merasakan ada yang tidak kena pada tempat aku berada sekarang ini tetapi aku cuba untuk mengabaikannya.

Tiba-tiba aku nampak cahaya sebuah kereta menuju ke arah aku.Lega aku rasa.

“Mungkin kereta ‘sapu’ ni”,teka aku.Kereta itu berhenti di hadapan aku,kereta nissan sunny yang agak usang.

“Encik nak pergi mana?”,tanya seorang lelaki berusia lebih kurang 40an melalui tingkap kereta yang memang sudah terbuka.Aku nampak ada seorang lelaki dan seorang wanita di kerusi belakangnya tetapi kedua dua wajahnya agak kurang jelas.

“Saya nak ke kampung Rakit,jauh tak dari sini?”,kata aku.

“Oooo Kampung Rakit,dekat sejam dari sini.Dua orang kat belakang ni pun nak ke sana jugak. Eloklah tu.Saya caj 40 ringgit kalau encik nak saya hantar ke sana,boleh?”,jawabnya.Aku tiada pilihan dan terpaksa bersetuju.Aku duduk di sebelah pemandu sambil meribakan beg aku.Akhirnya kereta mula bergerak menuju destinasi.

“Saya Kassim.Buat apa encik nak ke kampung tu malam-malam ni?”,kata pemandu kereta itu.

“Saya Man,ada kerja sikit.Ni saya nak gi ke rumah Pak Jo.Abang Kassim kenal?”,tanya aku.

“Pak Jo?Oooo…kenal..kenal..nanti saya hantar ke rumah dia”,jawabnya.Lega hati aku bila melihat sikap Kassim yang peramah dan agak riuh berbual. Mudah urusan aku malam ini.Lelaki dan wanita di kerusi belakang hanya mendiamkan diri.10 minit awal, semuanya berjalan tanpa halangan walaupun jalan ke Kampung Rakit semakin lama semakin gelap.Kami memasuki satu simpang dan bermula dari situ suasana mula terasa lain.Keadaan bertambah gelap dan sunyi.Kassim pula mula mendiamkan diri,tidak peramah lagi seperti masa awal-awal tadi.Bulu roma aku juga mula tegak berdiri.

Tiada langsung kami berselisih dengan kenderaan lain hatta sebuah motosikal sekali pun. Kilat mula kelihatan di langit seperti hendak hujan. Sesekali aku menoleh ke belakang tetapi aku masih tidak nampak dengan jelas wajah mereka berdua. Tanpa suara, keadaan memang menyeramkan.Aku baca ayat-ayat yang aku belajar kerana aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hujan mula turun renyai renyai.Kereta yang tiada penghawa dingin memang menyukarkan pandangan jika hujan.Bau wangi mula menusuk hidung aku.Sesekali aku menjeling ke arah Kassim, risau jika dia terlelap ketika memandu sebab dia sekarang langsung tidak bersuara.Bau wangi semakin kuat.Aku membaca lagi ayat-ayat yang aku belajar.Aku tahu ada sesuatu yang tidak elok berada di dalam kereta ini.

Aku menoleh ke arah Kassim dan aku terkejut bila nampak jelas wajahnya sudah berubah.Sebiji matanya terjuntai ke bawah,sebelah lagi terperosok ke dalam.Aku mengalihkan cara duduk aku dengan bersandar pada pintu kereta.Kini pandangan aku lebih jelas ke arah Kassim dan kepada kedua-dua penumpang di belakang.Aku nampak wajah wanita itu juga sudah berubah,lebih buruk dari wajah Kassim.Mukanya seolah olah pecah dengan ulat-ulat memenuhi hidung dan mulutnya.Lelaki itu pula tiada sebelah kepala dan berlumuran d***h. Aku baca lagi ayat-ayat yang aku belajar dan hembus ke arah mereka bertiga.Hujan semakin lebat dan pakaian aku mula agak basah kerana air hujan yang masuk melalui tingkap yang tidak tertutup rapat.

Ketiga tiga kelibat ini semakin tidak senang duduk setiap kali aku hembus bacaan ayat suci Al Quran ke arah mereka.Wanita itu mula menjerit jerit dengan suara nyaring.Lelaki itu pula menghentak hentak kepalanya kepada cermin tingkap.Kereta mula bergerak ke tepi dan ke tengah dan akhirnya terus menuju ke tepi jalan sebelah kiri dengan agak laju.Kereta mula terjunam ke bawah tebing.Aku mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian berzikir tanpa henti.Aku yakin jika bukan ajal,aku akan selamat.

“Allahhu Akbar…Allahhu Ahad..”,lafaz aku bila kereta terperosok di batang pokok.Allah Maha Melindungi, walau kereta datang dari sebelah kiri tetapi kereta melanggar batang pokok dari arah pemandu kereta. Dengan izin Allah,aku berjaya mengelakkan diri dari terhantuk pada sebarang peralatan di dalam kereta.

Aku mengeluarkan lampu suluh yang memang sentiasa ada di dalam beg aku.Aku menyuluh ke ke dalam kereta dan mendapati ketiga tiga kelibat yang ada bersama aku di dalam kereta tadi hilang entah ke mana.Aku berjaya membuka pintu kereta dan bergerak keluar bersama beg aku.Hujan yang masih turun menyukarkan sedikit untuk aku naik dari tebing.Aku bernasib baik kerana tebing tidak berapa tinggi dan dalam.Sampai di atas jalan yang berturap,aku memeriksa tubuh aku.Tiada pakaian aku yang koyak dan aku juga tidak merasa sebarang kesakitan menandakan aku tidak luka apa-apa.Jam aku menunjukkan pukul 11 malam. Dari atas jalan,aku menyuluh ke arah kereta dan nampak dengan jelas kereta itu seperti kereta yang sudah lama berada di pangkal pokok tersebut.

Aku mengambil keputusan untuk berjalan meredah hujan mengikut sahaja jalan yang ada.Tiada sebuah rumah mahu pun kenderaan yang aku jumpa. Akhirnya aku terjumpa sebuah papan tanda kecil yang tertulis, ‘Kampung Rakit’ selepas lebih kurang 15 minit aku berjalan.Aku terus berjalan tanpa henti sehingga aku terjumpa pula sebuah warung kecil yang sudah ditutup di tepi jalan.

“Assalamualaikum…”,aku memberi salam kerana aku nampak ada cahaya lampu dari dalam rumah. Salam aku tidak berjawab.Aku ulang dua kali lagi dan hanya pada yang ketiga,pintu warung dibuka. Muncul seorang lelaki yang agak tua.

“Anak ni cari siapa?”,tanya lelaki tua itu.

“Saya nak cari Pak Jo.Tadi saya tumpang kereta datang ke sini.Kereta tu dah pergi”,aku terpaksa berbohong kerana tidak mahu memanjangkan cerita.Pakcik tua itu memandang aku ke atas dan ke bawah seperti curiga.

“Lain macam orang tua ni,salam pun tak berjawab”, bebel aku dalam hati.

“Rumah dia tak jauh dah dari sini tapi kena masuk ke dalam sikit sebelah kiri dari jalan.Rumah pertama yang anak jumpa nanti,rumah dialah”, terang pakcik tua itu.

“Terima kasih pakcik,saya jalan dulu”, jawab aku sambil hendak memulakan langkah.

“Ada hal apa anak cari dia malam-malam ni?tak boleh tunggu siang ke?kampung ni jarang sangat orang jalan malam-malam macam ni, lebih-lebih lagi kalau hujan”,tanya pakcik itu.

“Saya datang dari jauh,ada hal nak jumpa dia.Bas sampai dah malam,saya terus aje lah ke sini”,terang aku.

“Hati-hati.Jangan tegur apa-apa yang pelik.Kalau tak berani,tunggu je kat rumah pakcik ni sampai siang nanti”, pelawa pakcik itu.

“Tak apalah pakcik,saya jalan terus je.Inshaallah semuanya akan selamat”, jawab aku sambil meneruskan perjalanan.Aku berpaling semula untuk memberi salam tetapi Pakcik tua itu sudah menutup pintu.

“Cepat sungguh dia masuk rumah”,kata aku sambil meneruskan perjalanan.Hujan sudah mula berhenti tetapi pakaian aku sudah basah kuyup.Lebih kurang 10 minit aku berjalan,di hadapan aku kelihatan 3 susuk tubuh manusia sedang berjalan bertentangan dengan arah aku berjalan.Aku tidak sedap hati.Bulu roma aku tegak berdiri.Semakin lama mereka semakin menghampiri aku.Bila aku berselisih sahaja dengan mereka,aku amat terkejut kerana mereka bertiga adalah Kassim dan dua lagi penumpang yang ada di belakang kereta sebelum ini.Mereka memandang aku dengan tajam.

Tiba-tiba ketiga tiga kelibat itu mengepung aku.Kaki masing-masing tidak jejak ke tanah.

“Jangan kacau aku,aku datang ke sini bukan nak berurusan dengan kamu.Pergi dari sini atau dengan izin Allah,aku akan hapuskan kamu semua”,bentak aku.Habis sahaja aku berkata kata,serentak mereka bertiga mengilai dengan nyaring dan mula berpusing pusing mengelilingi aku. Semakin lama semakin laju sambil tangan mereka cuba menggapai tubuh aku. Aku baca ayat-ayat suci Al Quran yang aku belajar dan kemudiannya menumbuk ke tanah. Serentak ketiga tiga kelibat itu terpelanting ke belakang dan terus hilang dari pandangan. Aku memerhati sekeliling tetapi kelibat mereka tidak kelihatan lagi.

Aku meneruskan perjalanan menuju ke rumah Pak Jo.Aku masih belum nampak walau sebuah rumah pun.Akhirnya aku sampai di satu simpang kecil.

“Rumahnya masuk ke dalam sikit sebelah kiri”,aku teringat pesan Pakcik Tua tadi.Aku mengambil keputusan untuk melangkah ke kiri seperti yang dipesan.Suasana memang gelap gelita,sunyi dan sepi.Telinga aku menangkap bunyi sesuatu yang sedang berterbangan di antara pokok-pokok yang ada di sekeliling aku.Aku baca ayat yang biasa aku amalkan dalam keadaan begini.Bunyi itu semakin lama semakin kuat menandakan ia mula terbang semakin rendah.Aku abaikan kerana selagi ia tidak menghampiri aku,bagi aku ia bukan satu masalah.

Akhirnya aku sampai di halaman sebuah rumah bertiang yang sederhana besar.Ada lampu di luar rumah yang terpasang.Aku berdiri di hadapan tangga rumah lalu memberi salam.

“Assalamualaikum wbt…”,suara aku perlahan tetapi jelas.

“Sekejap yer”,ada jawapan dari dalam rumah,suara seorang perempuan.Tingkap di buka sedikit.

“Nak cari siapa tengah malam ni?”,suara itu agak bergetar tetapi aku tidak nampak mukanya.

“Saya nak cari Pak Jo,pak saudara saya Pak Tam yang mintak saya jumpa dia jika datang ke sini”, jawab aku dengan harapan perempuan itu tahu tentang Pak Saudara aku.

“Ooo..anak saudara pakcik tu.Sekejap”, jawab perempuan itu.Tidak lama kemudian pintu hadapan dibuka dan keluarlah dua orang perempuan, seorang agak berusia dan seorang lagi masih muda.Aku masih berdiri di muka tangga.

“Naiklah,kasihan basah kuyup kena hujan”,kata perempuan yang agak berusia.

“Eh tak apa,saya nak jumpa dengan Pak Jo”,jawab aku.

“Datang naik apa?”,tanya dia lagi, mungkin pelik sebab tiada kereta berhampiran aku.

“Tumpang kereta orang sampai kat warung jalan besar,lepas tu jalan je ke sini”,terang aku,sekali lagi aku terpaksa berbohong untuk memendekkan cerita.

“Ya Allah,beraninya.Dah lama tak ada orang yang berani jalan sorang-sorang malam-malam macam ni kat kampung ni”,terangnya lagi.Aku pula yang menjadi pelik.

“Tak ada apa pun.Pak Jo ada?”,aku berbalik pada soalan utama aku.Aku nampak muka kedua dua perempuan itu berubah muram.

“Ayah baru meninggal siang tadi kat hospital.Dah siap kebumi.Kami ni anak-anak dia.Kami tiga beranak je dengan ayah.Sekarang tinggallah kami berdua je”,jawab perempuan yang lebih berusia itu.

“Innalillahhiwainnalillahhirojiun”,aku hampir terduduk mendengar ceritanya.

“Aku nak ke mana ni?”,tanya aku dalam hati.Aku melihat jam di tangan sudah menunjukkan pukul 1 pagi.

“Tak apalah kalau macam tu,saya mintak diri dulu’, kata aku lalu bergerak meninggalkan rumah tersebut.Aku berjalan tanpa menoleh ke belakang kerana tidak elok untuk berpaling melihat perempuan.

Aku berjalan perlahan menuju jalan besar.Aku mengambil keputusan untuk mencari masjid atau surau jika ada untuk menumpang bermalam tetapi aku tidak tahu arah mana yang hendak dituju. Akhirnya aku bergerak ke arah jalan menuju warung itu tadi.Selepas agak lama aku berjalan,aku ternampak satu papan tanda yang tertulis ‘surau’ sekali dengan penunjuk arah yang agak terlindung oleh daun-daun pokok.

“Kenapa tadi aku tak nampak tanda ni,kenapa jauh pulak rasa nak sampai warung tu?”,bebel hati aku sambil melajukan langkah aku.Akhirnya aku sampai di pintu pagar surau.Surau itu hanya diterangi oleh satu lampu di bahagian luar.Aku masuk dan menuju ke tandas untuk membersihkan diri.Siap membersihkan badan,aku duduk di bahagian luar surau sahaja.Di situlah aku solat sunat dengan berbagai bunyi yang cuba mengganggu.Selesai semuanya jam menunjukkan pukul 4 pagi.Aku melelapkan mata sebentar.

Aku terjaga apabila terdengar bunyi motosikal memasuki kawasan surau.Aku bangun tergesa gesa bila mendengar bunyi tersebut.Seorang lelaki yang masih tegap tetapi agak berusia berjalan untuk masuk ke dalam surau.Dia terkejut besar bila melihat aku.

“Astaghfirullahhalazim…terkejut pakcik”,katanya bila nampak aku.

“Maaf pakcik,saya tumpang tidur kat sini.Nanti lepas solat saya cerita kenapa saya ada kat sini”, terang aku.Kami solat bersama sama dan siap solat,kami berbual di kaki lima surau.Aku menceritakan semua kejadian yang aku lalui kepada Pakcik itu yang mengenalkan dirinya sebagai Sabri.

“Pak Jo dengan dua anaknya meninggal dunia dalam kebakaran rumah mereka 2 malam lepas. Dua anak perempuannya meninggal terbakar dalam rumah sementara Pak Jo meninggal di hospital,luka parah semasa cuba nak selamatkan anak dia.Orang tua kat warung tu namanya Pak Ramli.Dia tinggal dengan bini dia tapi Pak Ramli tu dah 2 tahun terlantar tak boleh bangun sebab lumpuh.Kassim yang awak cerita tu m**i sebab kemalangan di tempat yang awak cerita tadi tu sekali dengan lelaki dan perempuan itu juga.Awak bukan sebarangan orang bila semua benda itu datang bertemu dengan awak”, akhirnya persoalan aku terungkai.Aku meminta diri untuk ke tandas sekejap tetapi bila aku kembali,Pakcik Sabri sudah tiada tetapi aku tidak mendengar bunyi motor sewaktu aku di tandas.Aku melelapkan mata seketika menunggu cerah dan apabila sudah cerah,aku dapati aku berada di sebuah surau yang usang seperti sudah lama tidak digunakan lagi.Aku sudah tidak pasti apa sebenarnya yang telah aku lalui….

Sekadar selingan…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 157 Average: 4.8]

3 thoughts on “Satu malam yang panjang”

  1. Kisah yg sebegini yg saya suka. Mungkin dengan sedikit olahan / kreativiti mungkin blh di jadikan sebuah filem ataupun drama seram bersiri.
    Gaya penceritaan, lokasiĀ² serta kejadianĀ² yg berlaku yg di lalui oleh penulis boleh di jadikan asas ataupun jalan cerita. Bagaimana pula dengan tajuk? Sekiranya di jadikan drama ataupun filem seram Terpulang kepada pembaca semua

    Reply
  2. Sumpah Lillahi, best duh story ni. Setiap ayat dan scene aku boleh faham dan imagine. Creepy, serious talk. Goosebump sangat bila baca. Author takde wattpad ke?? Ada gaya penulisan macam novelist. Seronok baca. Author yang tulis story ni, kalau terbaca komen ni, please reply hahahaha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.