Sayang Abah (Bahagian 3)

Kami masih teragak-agak untuk keluar melihat apa yang telah kami langgar. Suasana yang suram di sekeliling kami menambahkan lagi tahap keseraman malam ini. Hanya lampu kereta yang menerangi jalan.

“Macam mana ni Din? Nak keluar tak ni? Bulu aku dah meremang ni!”

“Entah. Aku rasa baik jangan keluar. Takut jadi benda bukan-bukan pulak.”

“Habis tu macam mana? Kita pun tak tau langgar benda apa ni!”

“Jap. Aku cuba reverse. Tengok ada apa kat bawah bumper.” Din menolak tombol gear ke tanda arah ‘R’ lalu perlahan-lahan mengundurkan kereta.

Lampu highbeam di nyalakan. Tiada apa-apa sosok yang terbaring di atas jalan. Pelik! Rasanya kuat bunyi dentuman tadi. Logically, dah tentu tak ada seekor binatang yang mampu berdiri kalau dah kena langgar dengan kelajuan kereta 90km/j tadi. Paling-paling pun dia akan merangkak perlahan ke tepi semak.

“Macam mana ni Lan? Nak tunggu ke nak terus jalan ni?” Din gelisah.

“Jauh lagi tak sungai tu? Aku rasa makin tak sedap hati je ni. Entah apa la yang kita langgar tadi kan.”

“Tak jauh dah. Aku pun rasa tak sedap ni. Makin dekat makin rasa goyang pulak.”

Kami masih tidak berganjak dari tadi. Aku masih berkira-kira sama ada mahu teruskan atau berpatah balik ke rumah. Aku berharap pontianak tadi tidak ikut kami sampai ke sini.

Din tiba-tiba mematikan siaran radio.
“Kenapa kau off radio?” Aku pelik dengan perlakuan spontan Din.

“Shhhhhh..” Din membuat isyarat diam.
“Aku macam dengar ada bunyi suara kat belakang,” sambungnya sambil berbisik.

Pelik! Aku tak dengar bunyi apa pun. Aku menoleh ke belakang. Gelap! Mustahil boleh nampak sesuatu dengan tahap kegelapan malam macam ni. Melainkan ia berada betul-betul di belakang kereta. Din masih memerhati ke arah belakang kereta. “Kenapa Din?” Aku juga berbisik. Takut-takut menganggu konsentrasi Din. “Kau tak dengar ke? Bunyi suara perempuan panggil nama kau. Tiga kali dia panggil tadi!”

Berderau jantung aku! “Serius ke ni? Kau jangan main-main Din! Aku tak dengar pun!” Bulu romaku terasa makin menegak berdiri. Tiba-tiba badanku terasa lemah. Peluh dingin mula mengalir keluar. Aku terasa seperti udara di dalam kereta semakin kurang. Nafasku menjadi berat dengan tiba-tiba. Keadaan sekelilingku makin gelap. Aku mendengar suara Din sayup memanggilku beberapa kali sambil mengoncangkan badanku. Beberapa saat kemudian aku tidak sedarkan diri.


“Abahhhh…abahhhh…abahhh…. Bilaa abahh nak balikk? Miraa rindukan abahh.. Hari-hari Miraa tunggu abahh balik! Abahh tak rinduu Miraa ke…?” Miraa berdiri di muka pintu dengan perasaan sedih. Wajahnya basah dengan air matanya yang mengalir deras tanpa henti. Dia tetap setia berdiri di muka pintu. Tiba-tiba ada satu tangan hitam menariknya dari belakang.

“Abahhh… Tolonggg Miraa… Abahhhh….” Baju Miraa di sentap deras ke belakang. Miraa jatuh dan diseret masuk ke dalam rumah. Tangan Miraa sempat mencapai daun pintu lalu pintu itu tertarik dan tertutup dengan deras.

Dummmmmm…!

Aku tersedar dari lena apabila terdengar bunyi pintu di tutup. Kepalaku berasa sedikit pening. Ku lihat Din yang duduk di kerusi di depanku tidur dengan nyenyak sekali. Mulutnya ternganga luas bagaikan menanti di suap. Dengkurannya cukup menganggu sanubari.

Aku sekarang berada di hospital. Aku tak pasti apa sebenarnya yang terjadi padaku. Yang aku ingat malam tadi badanku terasa lemah tiba-tiba masa dalam kereta nak ke sungai. Ku lihat jam sudah hampir pukul 11 pagi. “Lama jugak aku pengsan”, bisikku perlahan. Aku bangun perlahan-lahan. Hatiku tak kesampaian ingin mengejutkan Din bangun tidur. Dia pasti sangat penat menemaniku semalaman.

Aku termangu seketika memikirkan mimpi tadi. Ini mimpi yang kedua kali. Miraa rupanya nama budak tu. Mungkin budak tu ada kaitan dengan gangguan kat rumah aku. Ia betul-betul menganggu rutin harian hidupku.

Aku bangun dan bersandar di sisi tingkap. Suasana sibuk dengan kenderaan di luar tingkap hospital ini melupakan aku sekejap mengenai masalah yang aku hadapi. Bilik wad ku menghadap ke arah jalan utama. Menjelang tengah hari ku lihat semakin banyak kenderaan yang memasuki kawasan hospital.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam.. Makk.. Yobb..” Mak dan abangku datang melawat. Mungkin Din yang menyampaikan pada mereka mengenai keadaanku.

“Macam mana kamu boleh pitam ni Lan? Kamu makan ke idok?” Mak bertanya padaku sebaik saja aku bersalam dan mencium tangannya. Aku tidak segera menjawab pertanyaannya. Aku hanya tersengih.

“Din yang wasap aku bagi tau kau pengsan. Pukul 2 lebih dia wasap. Tu yang kita orang terus gerak hala sini lepas subuh tadi. Korang pergi mana keluar sampai tengah malam?”

“Din tak bagi tau ke pergi mana?” Aku bertanya untuk kepastian.

“Dia kata korang jalan pergi pekan je lepak minum. Masa nak otw tu dia kata kau macam terhuyung-hayang pastu pengsan. Jarang aku tengok kau keluar lewat malam. Ada hal apa sebenarnya korang keluar tengah malam?” Aku hanya membisu.

“Dah la pakcik kamu masuk spital kena stroke. Ni kamu pulak masuk spital. Libang-libu mak kat kampung!” Mak begitu risau dengan keadaanku.

“Pakcik Haleel macam mana mak? Ada nampak elok sikit ke?” Terlupa aku nak tanya pasal keadaan pakcikku semalam. Alang-alang mak cerita pasal pakcik. Terus aku tanya khabarnya.

“Kau tau je lah pakcik kau tu. Dia kan tunggal. Anak bini dah tak ada. Harap kita je lah yang kena berulang jaga dia. Kita je yang dekat walaupun tak berapa dekat. Maksu dah kat Terengganu nun. Pakngah pulak macam tu lah. Jenguk pun tak nak.” Kesian aku tengok mak. Dia sanggup bersusah payah berulang alik ke kampung menjaga adiknya yang sakit. Nasib baik abangku sanggup membantu.

“Takpelah mak. Kita tolonglah selagi kita mampu. Mak tu pun kena rehat. Mak bukan muda lagi.”

“Mak muda belia lagi ni. Baru nak masuk umur 20”, katanya berseloroh.

“Hahaha.. Ye lah tu mak.”

Kami terus berborak tanpa menghiraukan Din yang duduk tidur dengan mulut yang ternganga. Lena betul dia tidur. Sikit pun dia tak terjaga walaupun kami berborak agak kuat. Benarlah macam yang mak dia kata. Din ni kalau tidur, kau bom keliling katil dia pun dia tak sedar.

“Argghh..tolonngg..Lannn..tolonggg akuu Lannn…” Din tiba-tiba menjerit. Terkejut aku dibuatnya. Yob terus mengejutkan Din yang berada di sebelahnya.

“Kenapa kau ni Din? Mengigau ke apa?” Yob menepuk-nepuk bahu Din.

“Ehh..Yob. Sory aku mimpi ngeri tadi. Aduh! Sakit betul rasa tengkuk ni.” Din bersalam dengan Yob sebaik saja dia terjaga. Dia kemudian memusing-musingkan kepalanya kerana tengkuknya lenguh.

“Itu la. Tidur lagi atas kerusi. Memang la sakit tengkuk kalau dah tidur kepala terdongak ke belakang macam tu. Meh sini aku kepak-kepakkan lagi tengkuk kau tu”, tegur Yob. Abangku Yob hanya tua beza 2 tahun je dari ku. Din dengan Yob memang berkawan sejak dari sekolah menengah lagi. Mereka memang suka bergurau kasar macam tu.

“Tak elok tidur lama sangat. Korang ni dah la keluar lewat malam. Memang la mimpi benda tak elok”, tegur Mak. Din hanya tersengih. “Pergi basuh muka dulu Din. Ni makcik ada beli nasi goreng ni. Nanti kau makan.” Mak menghulurkan plastik bungkus nasi goreng pada Din.

“Terima kasih Makcik. Saya memang tengah lapar ni. Jap lagi saya makan dengan Lan.”

“Elok lah tu. Nanti makan sama-sama. Makcik pun nak balik dah jap lagi. Nak rehat. Nanti lepas maghrib nak balik kampung balik.”

“Mak nak balik kampung balik kenapa?”, tanyaku.

“Esok pakcik kau dah boleh keluar wad. Nak uruskan rumah dia. Semalam mak sembang dengan Pak Khamis, jiran pakcik kau tu. Dia kata Insya Allah dia dengan anak dia si Ramadan tu boleh tolong jagakan pakcik kau buat sementara. Ramadan tu kan tengah cuti semester kolej dia tu. Nanti kita pakat-pakat la bayarkan upah depa nanti.”

“Owhhh… Ok lah. Mak balik lah dulu mak. Rehat-rehat kat rumah. Nanti malam nak jalan jauh.”

“Jom lah mak. Pinggang ni dah rasa longgar ni. Boleh rehat lama sikit.” Ajak Yob. Memang nampak letih benar pada wajahnya.

“Yelah. Jom. Mak balik dulu ye. Nanti apa-apa hal rojer!” Aku bangun dan bersalam dengan Mak dan Yob. “Makcik balik dulu ye Din. Nanti tengok-tengokkan Lan tu”, sambung mak.

“Ok makcik. Beress..”, jawab Din dengan senyuman.

Aku dan Din menemani mereka sehingga ke muka pintu wad. Mak melambai tangan pada kami dan berjalan terus masuk ke dalam lif.

“Dahh jom masuk dalamm.” Aku berjalan terus ke katil. Ada hal yang dari tadi berlegar-legar dalam kepalaku yang ingin meminta kepastian dari Din. “Jap aku nak basuh muka dulu. Kau lepak dulu”, kata Din lalu masuk ke dalam tandas. “Kau tak yah nak basuh muka lama sangat. Kau basuh pakai air zam-zam sekalipun, muka kau serabai gak.” Saja aku mengusik Din. “Yolahhh…”, jerit Din dari dalam tandas.

“Woiii..tunggu la aku dulu. Kau sental sorang-sorang tak ingat member.” Bengang Din apabila dia keluar dari tandas tengok aku santap dulu tanpa menunggu dia. Perut aku yang dah berkeroncong dari tadi tak sempat tunggu siapa-siapa.

Selepas kenyang makan, kami melabuhkan badan. Mataku mula terasa berat. Baru nak melelapkan mata, aku terasa pehaku di cuit. “Kenapa kau ni Din? Dah tak ada suara ke nak panggil aku, main cuit-cuit.

“Kenyang sangat. Malas nak bukak suara. Kau nak tidur ke? Rilek la dulu. Aku ada hal nak bagi tau kau ni, pasal malam tadi.”

“Cerita la. Pasal apa? Tak sabar aku nak tau ni.” Aku menegakkan bantal lalu menyandarkan badan. Banyak perkara yang mula bermain dalam kepalaku.

“Pasal yang kau pengsan malam tadi tu la. Aku pun tak pasti apa puncanya. Kau tiba-tiba macam mamai. Aku tengok muka kau pun dah macam lain, macam pucat sikit. 2 3 kali aku panggil kau, siap goncang-goncangkan lagi badan kau. Kau lembik macam tu je. Pastu terus kau pengsan.”

“Entah lah. Aku rasa macam badan aku tak cukup nafas. Nak kata makan tak cukup, banyak je aku makan malam tadi. Jap, aku nak confirm balik dengan kau ni. Betul ke malam tadi kau dengar orang panggil nama aku?”

“Betull.. Memang aku dengar sayup je bunyinya. Kalau sekali je dengar mungkin la boleh kata aku salah dengar. Tapi, aku dengar tiga kali beb! Lepas aku bagi tau kau tu yang kau macam jadi lain. Kau ada darah tinggi ke? Tak boleh terkejut ke?”

“Tak ada pulak rasanya. Doktor cakap aku sakit apa?”

“Doktor kata mungkin badan kau letih sangat. Tekanan darah kau naik sikit tadi, tapi tak tinggi. Tak serius sangat la.”

“Emmm…lepas aku pengsan kau macam mana? Mesti kau lagi takut kan?” kataku sambil melemparkan senyuman sinis.

“Ini yang aku nak cerita ni..”, kata Din sambil mendekatkan kerusi menghampiri katilku. “Malam tadi memang malam yang aku rasa paling malang dalam hidup aku. Kau tau tak, lepas kau pengsan, kereta aku pulak mati tiba-tiba. Tiga empat kali aku cuba start enjin tak hidup-hidup jugak. Aku punya peluh jangan cakap la, dari kepala mengalir sampai kaki, basah beb, basahhh…” kata Din sambil mengangkat tangannya dari kepala ke kaki menunjukkan kedudukan peluhnya.

“Lepas tu kau buat apa? Kau jangan cakap yang kau keluar dari kereta pulak”, aku sekadar meneka.

“Gila kau. Mana ada aku keluar. Tak nak aku keluar, gelap gila kat luar tau tak. Dah la kau pengsan kat sebelah. Aku paksa jugak kereta aku start. Tak nak aku bermalam kat tengah hutan tu. Empat lima kali aku pulas kunci bagi hidup. Kali ke enam aku baca doa sikit baru hidup.

“Kereta kau baru setahun beli kan? Tak kan la rosak? Mesti ada yang tak kena tu.”

“Memangg.. Memang ada yang tak kenaa..” kata Din sedikit jerit. “Aku baru nak seronok kereta dah hidup, masalah lain pulak datangg..” Din menggenggam erat lenganku.

“Masalah apa?”

“Kawan kau muncul… Depan keretaa akuu..”

“Siapa pulak?…Pontianak ke??”

“Haaa.. Dah start meremang balik bulu roma aku ni. Ni yang malas aku nak cerita ni.”

“Cakap betul-betul la..pontianak tu datang depan kereta ke?” aku masih tak berapa paham.

“Ye laaa.. Depan kereta aku, dalam tujuh lapan langkah, dekat weiii… Aku punya terkejut la, sampai nak pecah anak tekak aku jerit. Seram weiii.…”

“Pehh..sampai sana dia ikut kita.”

“Itu lah. Aku apa lagi, reverse bagai tak mahu. Terus pecut blah. Aku tengok belakang, dia boleh pulak terbang follow aku rapat-rapat.”

“Weii..sama macam dalam mimpi aku petang semalam yang aku cerita kat kau tu. Sekali betul-betul daa kena.”

“Itu la. Aku pun teringat pasal mimpi yang kau cerita tu. Tapi nasib baik kereta aku lagi laju dari jilake tu. Aku tinggal dia tiga empat tiang lepas tu aku tengok dia hilang dah.”

“Laju betul kau bawak kereta. Nasib baik selamat. Dah la aku terkulai layu kat sebelah.”

“Itu lah. Aku pikir kau je. Sebab tu aku kuatkan jugak semangat sampai hospital.”

Din memang kawanku waktu senang dan susah. Semangat setia kawannya memang tinggi. Semakin waktu berlalu, semakin gusar aku memikirkan apa pula yang akan berlaku malam nanti.

“Kau rasa malam ni macam mana?”

“Entah lah. Kita hadap je lah. Nak buat macam mana. Selagi frame kayu tu kita tak buang, selagi tu la tak setel”, kata Din.

Damn! Baru aku teringat pasal frame tu bila Din sebut. Terus aku tercari-cari kat mana frame tu. “Kau nak pergi mana ni? Baring la dulu rehat-rehat”, tegur Din.

“Kau letak frame kayu tu kat mana??”, kataku sambil menggelabah membelek-belek almari di sebelah katil ku.

“Tak ada kat situ. Tak payah cari. Aku simpan dalam bonet. Jangan risau. Siang-siang ni benda tu tak boleh terbang. Banyak roadblock.” Seloroh Din.

“Aku risau frame tu hilang lagi. Semua masalah berpunca dari frame tu. Pening kepala aku. Menyesal pulak aku kutip frame tu hari tu.” Aku kembali baring di atas katil. Badanku masih terasa lemah. Baru sekejap aku berdiri dah rasa letih. Betul kata Din. Aku perlu cukup rehat. “Aku tau kau stress. Aku pun stress jugak. Benda-benda ghaib ni susah nak jangka. Sekarang baik kita tidur dulu. Aku pun dah ngantuk ni”, sambung Din.

Din melentokkan kepalanya di kerusi. Tak sampai seminit dia dah berdengkur. Senang betul dia tidur. Memang penat benar tu. Aku memerhatikan Din tidur. Wajahnya makin tak senonoh bila dia tidur. Bibirnya bergetar setiap kali dia berdengkur. Ah! Lagi susah nak tidur macam ni. Aku mengalihkan wajah ke arah lain dan tertidur selepas beberapa minit.


“Miraa rindukan abahh.. Hari-hari Miraa tunggu abahh balik! Abahh tak rinduu Miraa keee…?” Jerit Miraa dari tingkap biliknya di tingkat atas. Air matanya mengalir tanpa henti membasahi pipinya. Semua tingkap di biliknya terbuka tapi biliknya masih nampak suram. Sinaran matahari yang masuk melalui tingkap tenggelam dengan kesuraman bilik Miraa.

“Kalau aa..aabah tak nak cari Miraa.. Biar Miraa yang.. ca..carii.. abah..” kata Miraa tersekat-sekat. Tubuh kecil itu pun memanjat ke atas balkoni dan terjun ke bawah. Miraa mati serta merta kerana kecederaan parah di kepalanya.

“Lannn… Lannn…”
Aku terjaga apabila terdengar namaku di seru. Din berdiri di sebelahku sambil buat muka comel.

“Kau kenapa kacau aku tidur? Baru kejap je aku dapat tidur ni.” Aku sedikit geram lenaku terganggu.

“Kejap kau kata? Dah pukul 5 ni kau tau tak? 3 jam dah kau tidur! Kau nak balik ke tak ni? Tadi nurse datang kata kau dah boleh discharge.” Din menjegilkan matanya. Mungkin dia juga geram denganku.

“Cepatnya pukul 5. Rasa macam baru tidur je ni.” Aku bingkas bangun dan bersiap-siap untuk discharge. Dalam fikiranku masih terngiang-ngiang suara Miraa. Mimpi itu berulang lagi.

Selepas menyelesaikan beberapa urusan di kaunter hospital, kami bergerak pulang. Dalam perjalanan balik, aku terlelap lagi. Badanku masih lemah walaupun sudah beransur baik.

Sebaik sahaja menghantarku ke rumah, Din terus balik ke rumahnya. Nanti lepas maghrib baru dia datang ke rumah katanya. Aku melabuhkan badan baring terlentang di atas katil bilikku. Beg pakaianku di biarkan di atas lantai. Mak dan Yob pula masih tidur di bilik masing-masing. Aku termenung seketika memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya.

Malam ini sekali lagi aku akan tinggal berdua dengan Din. Adakah ‘dia’ akan muncul lagi malam ni? Apa pulak kaitan Miraa dengan frame kayu tu? Siapa pula tangan hitam yang menariknya masuk ke dalam rumah? Adakah frame dengan tulisan jawi ‘sayang abah’ tu milik Miraa?? Hmmm.. Terlalu banyak persoalan yang masih belum terjawab.….

(Tamat Bahagian 3)

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

CenCorot
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

24 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.