Sayang Disayang (bhg. 2)

Salam semua,
Maaf terlalu lambat saya bagi sambungan cerita ini. Cerita ini sebenarnya dah habis. Tapi memandangkan ramai yang minta untuk dibuat sambungan, saya sambung juga. Maaf kalau terlalu panjang. Part ni lagi panjang dari part 1. Tapi ini kesudahan ceritanya.

Siapa siapa yang belum baca part 1, boleh klik https://fiksyenshasha.com/sayang-disayang/ sebab kena baca dari mula, mudah faham (dan mudah nangis) hehehe. Siapa nak baca part 2 ni pun di sarankan baca balik part 1 takut dah lupa.

Terima kasih tidak terhingga juga buat Saudara Co Writer di atas sumbangan idea merangkap second writer. Besar sungguh jasa saudara dalam menghabiskan cerita Sayang Disayang ini.

Oh sebelum tu. Tolong janji dengar lagu Malam Ini Kita Berpisah nyanyian Liza Hanim lepas baca cerita ni. Aku merayu.

**************************************************

Kampung Jelintuh, 1969

“Bagus..bagus.. kau memang boleh diharap. Kau memang menyenangkan aku !!! Hahaahahaha!!” Razak tertawa terbahak-bahak. Tubuhnya di hempaskan ke katil bujang miliknya. Dia terkangkang. Kepalanya mendongak ke atap rumah. Hatinya puas! Dia puas sepuas puasnya! Dia puas melihat Syukri diinjak selunyai-lunyainya. Dia puas melihat mayatnya tergeletak kaku pada majlis perkahwinannya sendiri! Dia puas!!.
“ Oh Lina, tak ada siapa boleh sentuh kau melainkan aku” bisik Razak. Dia tersenyum. Tersenyum bahagia. Hah!! Memang dia gembira!

Puaka merah sedari tadi enak melahap lidah Huda. Ya! lidah Huda. Tiada siapa yang akan tahu. Mayat Huda telah dijumpai, Namun tidak sempurna. Bijak sekali Razak telah siap-siap mengambilnya sebagai habuan untuk belaannya itu.

Bukk.bukk.bukk.!!!

Bunyi paluan beduk kedengaran dari surau Kg Jelintuh. Sunyi sekali surau tersebut tanpa suara Syukri. Seminggu yang lepas, masih lagi berkumandang suara merdu Syukri memanggil-manggil jemaah untuk sama sama mendirikan solat. Masih terdengar suara merdu Syukri menyeru penduduk kampung untuk menuju kejayaan. Namun hari ini, segalanya berubah. Kampung Jelintuh sunyi se sunyi sunyinya setelah pemergian Syukri. Hanya paluan beduk sahaja kedengaran menggantikan panggilan azan acapkali waktu solat tiba.

Lina masih lagi berkurung di dalam bilik. Sudah seminggu, dia mengasingkan diri dari dunia luar. Sebutir nasi pun tidak dijamahnya. Cuma setiap pagi, dia akan berjalan perlahan- lahan ke tanah perkuburan melawat kubur Syukri dan adiknya Huda. Disitulah dia akan menghabiskan masa membaca yassin serta berbual dengan suaminya. Lina kerap menangis. Airmata sudah menjadi seurat sedarah dengan dirinya. Dia kelihatan tidak terurus, bertambah cengkung serta tiada bersemangat lagi.
“ Abang..Lina rindu…” bisik Lina perlahan pada kayu penanda kubur Syukri. Masih segar dalam ingatannya meriba tubuh sumainya yang telah kaku. Hatinya runtun, jiwanya hancur. Dia menangis teresak esak lalu menyembamkan mukanya ke kubur Syukri. Tangisannya berhambur tidak dapat ditahan. Apakah dosa suaminya sehingga diperlakukan sebegitu rupa. Syukri berhak bahagia.

Pandak Sidek telah di tangkap dan disoal siasat oleh pihak polis. Namun Pak Mail menarik kembali laporannya berikutan terlalu ramai yang memukul Syukri hari itu. Keputusan juga tidak jelas. Namun bukan itu yang menjadi asbab utama Pak Mail melepaskan Pandak Sidek. Pakmail tahu benar Pandak Sidek bukan sebarang orang membabi buta menjatuhkan hukuman tanpa berbincang dahulu. Cuma sikap dan perbuatan Pandak Sidek ketika itu yang menjadi satu keanehan baginya. Dan bertambah tambah lagi keanehannya apabila teringatkan lembaga merah gelap yang bertenggek di bahu Pandak dan orang orang kampung tempohari. Pak Mail buntu. Dia betul betul terkilan. Bukan sahaja dia hilang Syukri dan Huda. Malah anaknya Lina juga seakan mati bersama. Kesedihan bertumpuk tumpuk di hati tuanya. Manakan tidak, isterinya juga seakan hampir separuh gila. Kesedihan mereka suami iateri bercampur baur dengan kegalauan yang tiada berpenghujung. Nafasnya dihela. Pak mail sungguh-sungguh buntu merenung ujian yang bertima timpa ini.

Seusai solat zohor, Rashid sudah terpacak di kaki tangga rumah Pak Mail. Rashid tahu ini bukan masa yang tepat untuk menjenguk keluarga itu namun penting baginya menyampaikan amanat dari Syukri. Perlahan lahan dia menarik nafas sedalam dalamnya. Dia tahu, Syukri juga mahu dia berada disitu

“ Assalamualaikum..” Rashid bersuara. Agak kuat dia memberi salam berikutan tiada kelibat tuan rumah di bahagian bawah rumah.
Tidak sampai 5 saat, pintu atas terbuka.

“Waalaikumsalam.” ujar suara itu. Mak Siah menjengukkan kepala dari muka pintu. Wajahnya sedikit kaget namun secepatnya dia mempersilakan Rashid untuk naik kerumah.
Pak Mail ketika itu sedang duduk termenung di tepi jendela. Kehadiran Rashid langsung tidak disedarinya. Mak Siah juga sudah berlalu ke dapur.
“ Pak mail..Rashid ni ”ujar Rashid sambil menyentuh lembut bahu Pak Mail. Lelaki tua itu tersentak. Di tenungnya Rashid dengan wajah yang kosong namun sebelum sempat Rashid bersuara, Pak Mail bangun dan memeluknya

“ Rashid..ampunkan Pak Mail Rashid. Pak Mail bersalah pada kau. Pak Mail dah tak tahu nak buat apa Rashid. Allah uji Pak Mail..” mengongoi tangis Pak Mail di bahunya. Rashid dapat merasakan nafas Pak Mail tersangkut sangkut. Dia seakan menanggung beban yg sangat berat di dadanya. Tangisnya hiba.

“ Sudahlah Pak Mail. Pak mail tak bersalah. Kita semua kena redha” ujar Rashid perlahan. Airmatanya hampir menitis namun ditahan. Cukuplah dia sudah menangis seminggu ini. Rasa sedihnya terhadap pemergian Syukri tidak ingin diratapi lagi. Dia harus kuat!

“ Pak Mail berdosa pada kamu. Pada Syukri, Rashid “ ujar Pak Mail sekali lagi sesudah menghenyakkan dii ke kerusi rotan di tepi tingkap itu kembali. “Pak Mail sepatutnya halang orang kampung. Syukri tak sepatutnya dipukul tanpa usul periksa. Pakcik hilang Syukri, hilang anak. Apa yg tinggal untuk pakcik ni Rashid?
Ujar Pak Mail perlahan. Air matanya berderai. Tiada tanda tanda berhenti. Raahid hanya mendiamkan diri. Di renungnya tubuh tua itu penuh kasihan. Dia dapat meraskan keperitan yang ditanggung oleh Pak Mail. Pak Mail apatah lagi. Hilang 2 orang tersayang sekelip mata. Dia beristighfar perlahan. Dalam hatinya agar Pak Mail diberi kekuatan menghadapi ujian ini.

“ Pak Mail, saya datang ni sebenarnya ada hajat. Hajat saya untuk berjumpa Lina bagi menyampaikan amanat Syukri” ujar Rashid berhati hati. Dia tidak mahu kelihatan mendesak. Pak mail terdiam. Lalu bingkas bangun menuju ke bilik Lina. Diketuknya berkali kali namun hampa. Lina masih membatukan diri. Mak Siah yang dari tadi sudah berada berhampiran turut memanggil Lina. Diam. Masih sunyi tiada sebarang balasan.
Rashid menawarkan diri untuk memangil Lina. Apabila diketuknya pintu bilik tersebut.. .. Lina terpacul di mukanya. Subhanallah. Runtun hati Rashid melihat keadaan Lina. Matanya sembap, bibirnya pucat. Namun seboleh bolehnya dia tersenyum kepada Rashid bagi menyembunyikan rasa hiba itu

“ Abang Rashid. Maaflah Lina mengaji tadi. Ada apa tu abang? Tanya Lina sopan. Tudungnya dibetulkan.
“ Rashid ada sesuatu nk berjumpa Lina” ujar Rashid lalu berlalu ke ruang tengah. Pak Mail dan Mak Siah turut membontoti Rashid kembali diikuti oleh Lina. Masing-masing termangu-mangu melihat Rashid. Namun masing-masing diam sambil menuruti berikutan pasti ada perkara penting yang akan disampaikannya.

Perlahan-lahan Rashid mengeluarkan beg sulaman berwarna kuning dari kantungnya. Beg itu sederhana besar, agak berat dan dipegang dengan kemas oleh Rashid. Dengan cermat, beg itu diunjurkan kepada Lina yang duduk di sebelah Mak Siah. Ada riak kenaehan di wajah Lina tatkala beg itu bertukar tangan

“ Untuk Lina. Beg ini adalah pemberian Syukri. Syukri amanahkan kepada abang Rashid untuk serahkan beg ini pada Lina masa majlis hari itu. Tapi abang tak sempat. Maafkan abang.” Ujar Rashid sayu. Ada riak sedih di wajahnya. Rashid melarikan pandangan ke wajah Pak Mail. Orang tua itu tetunduk sayu sambil mengesat airmatanya.

Perlahan-lahan Lina membuka beg sulaman itu. Isinya dikeluarkan satu persatu. Ayah dan ibunya hanya memerhatikan dengan linangan air mata. Ada sepersalinan baju kurung, telekung, satu set barang kemas serta duit sejumlah RM 1000. Lina menjadi tak keruan. Dipeluk ciumnya barang-barang tersebut sambil menangis hiba. Dia terlalu rindukan Syukri. Jauh disudut hatinya dia masih belum dapat menerima bahawa Syukri telah pergi meninggalkannya. Mak Siah menenangkan Lina dan berusaha memujuknya. Sedih. Keadaan itu pasti tidak mampu untuk dihadapi oleh siapa-siapa pun di dunia ini.

“Seperkara lagi, Syukri ada berpesan pada malam terakhir dia di rumah abang. Dia pesan, kalau apa-apa terjadi kepada dia, dia minta abang bagitahu yang dia sayangkan Lina.” Perlahan Rashid bersuara. Ketika itu juga, Pak Mail bingkas bangun lalu berdiri di muka pintu. Esakannya kedengaran. “ Rashid, kalau ada seribu cara untuk aku tebus, bagitau aku Rashid. Aku tak sanggup tengok anak aku kecewa begini” laung Pakmail. Dia menumbuk-numbuk pintu rumah sehingga luka tangannya. Bingkas Rashid bangun lalu memeluk Pak Mail. Pak mail terduduk menangis di muka pintu. Wajah Rashid yang lebam-lebam itu di tenungnya.

Kasihan anak muda itu. Walau dirinya turut menjadi korban sesahan orang kampung, dia masih lagi gagah kemari dan memperbetulkan keadaan. Menyampaikan hajat Syukri yang telah pergi meninggalkan mereka.

“ Ampunkan Pak Mail Rashid. Pak mail naif. Pak mail buat kamu jadi begini. Pak Mail tak mampu buat apa apa untuk kamu. Untuk Syukri”. Segera Rashid memeluk Pak Mail seeratnya. Dia faham perasaan orang tua itu. Berkali kali Pak Mail memohon maaf kepadanya. Jika tidak ditahan hampir hampir sahaja Pak Mail bersujud di kakinya. Mak Siah dan Lina saling berpelukan sambil meratap sesama sendiri. Pedih sungguh rasanya kehilangan anak dan menantu sekaligus.

Rashid melutut di sisi Pak Mail. Bahu Pak Mail digenggam erat. Dia menghela nafas sedalam dalamnya.
“ Pak mail, saya bersumpah dengan diri saya sendiri. Bukan Syukri yang bunuh Huda. Syukri tidur dirumah saya malam sebelum majlis. Malam itu juga dia serahkan beg tersebut pada saya. Percayalah saya Pak Mail. Bukan Syukri yang bunuh Huda. Dia bukan macam tu” ujar Rashid. Air mata yang ditahan sedari tadi mengalir jua. Apalah nasibmu sahabat.

Pak Mail terkedu. Nafasnya semakin berat. Dunia dirasakan jatuh ke atas bahunya. Perlahan lahan Pak Mail mendongak memandang Rashid.. “Pak Mail tahu. Pak Mail nampak. Tak masuk akal kalau kita nak tuduh Syukri yang bunuh Huda. Pak Mail nampak ada lembaga merah menjilat jilat darah kat hujung kaki pak mail masa tu. Aku nampak. Aku tau Syukri tak bersalah.: ujar Pak Mail. Teserlah riak kekecewaan di nada suaranya.
“Kita mesti cari pembunuh Huda Pak Mail. Saya janji demi Syukti kita akan cari dalang semua ni” ujar Rashid perlahan sambil menggenggam tangannya.

********************************

Pandak Sidek termenung di tepi jendela. Jauh sekali fikirannya berkhayal. Namun sebenarnya fikirannya sunguh-gungguh celaru. Pandak Sidek masih tidak percaya dia telah membunuh Syukri. Kemana hilang kewarasannya ketika itu. Apakah yang merasuk dirinya sehingga anak jati harapan kampung itu terkorban di tangannya? Apa dosa yang dilakukan Syukri sehingga bergitu cepat dia menghukum. Oh!!.Tidak. Pandak Sidek benar-benar tidak dapat memaafkan dirinya. Dia bingkas bangun lalu berjalan menuju ke rumah Pak Mail. Langkah kakinya dipercepatkan. Gelora di dalam hatinya tidak dapat dibendung lagi. Dia perlu berjumpa dengan Pak Mail sekali lagi.

Setibanya di kaki tangga rumah Pak Mail, Pandak Sidek terus melutut di kaki orang tua itu. Terhinggut hinggut bahunya menahan kesedihan. Pak Mail dan Rashid terpempan. Sedaya upaya Pak Mail membangunkan Pandak Sidek sahabatnya. Namun ketua kampung itu masih tetap melutut di kakinya tidak berganjak.

“Ampunkan aku Mail. Ampunkan aku Siah. Aku tak sepatutnya bertindak luar kewarasan aku. Aku bersalah pada kamu sekeluarga” ujar Pandak Sidek sambil meraung di kaki Pak Mail. “ Aku berdosa pada Lina. Aku tak sedar Mail. Sumpah aku tak sedar. Ampunkan lah aku. Aku tak tenang selagi kamu tak ampunkan aku” tambah Pandak Sidek lagi sambil menangis-nangis. Lina dan Mak Siah yang sedari tadi duduk di dalam, bingkas bangun mendapatkan Pak Mail dan tok ketua di luar rumah. Suasana itu benar-benar menghibakan. Rashid segera memapah Pandak Sidek untuk naik ke atas rumah. Mereka berpelukan. Pak Mail sudah hilang bicara. Jiwanya kosong. Namun dalam sedu sedan itu dia menyambut juga tangan sahabatnya lalu digenggam erat. Belum sempat Pak Mail bersuara, Lina pengsan dan menggelupur di situ juga.

**************************************

“ Warangkrato sundak kabete……” bibir Razak terkumat kamit membaca mentera. Sekelip mata puaka merah sudah bertinggung di hadapannya tanpa di panggil panggil. Razak ketawa besar. Malam ini dia akan menghantar santau kepada Pak Mail dan Mak Siah. Ya.. Razak merasakan dirinya sudah cukup hebat. Tiada penghalang lagi bagi dirinya untuk mendapatkan Lina. Namun begitu, sebelum ibu santau dihantar, Razak masih ingin bermain dahulu dengan Lina. Kirimannya petang tadi telah berjaya. Gembira sungguh rasa hatinya melihat Pak Mail berlari-lari ke sana ke mari mencari pak imam bagi memulihkan Lina yang tersampuk.

“Hah! Itu baru sikit orang tua..” getus hatinya bongkak.

Malam ini ada bacaan tahlil di surau kampung untuk Syukri dan Huda. Huda.. oh sungguh manis gadis itu. Tubuhnya, rambutnya..matanya.. sungguh mengasyikkan. Namun kasihan..dia telah diketung tiga oleh Razak malam itu juga. Hening pagi, tiada siapa mendengar jeritannya. Tiada siapa yang tahu Syukri hanyalah kambing hitam dia dan puaka merah itu. Si bilal naïf itu. Jiwanya kuat. Namun dia terlalu baik! Razak tersengih lagi. Dijelingnya puaka merah yang setia bertinggung di sisinya. Lidahnya terjelir-jelir persis ular. Hitam dan likat. Lendir-lendir itu turun mengenai dupa bara yang sedia dibakarnya. Kelihatannya si puaka sedang enak melahap asap. Puaka itu sungguh setia!

Razak membawakan dupa ke hadapannya. Kemeyan ditambah. Asam limau diperah ke atasnya. Bekepul kepul menerawang ke ruang udara. Mentera syaitan dibaca. Puaka merah turut terhangguk hangguk beratib mendengarkan mantera itu. Seperti naik syeh, Razak menghiris hujung jarinya. Sekelip mata darah meleleh dari tangannya. Belum sempat menitis ke bumi, puaka merah terus menjilat rakus jarinya yang luka.
“ Tugasan apa kali ini tuan ku?. Bergema suara puaka merah di segenap bilik itu. Bercampur aduk dengan hapak darah dan pengap keringat. Razak menguatkan bacaan manteranya. Puaka merah sudah tahu. Jika darah taruhannya , pasti darah juga habuannya. Pasti memakan korban.

“ Wahai puaka merah. Aku perintahkan kau pergi kepada Lina. Kau hembuskan sihir pengasih ini kepadanya. Jadikan siangnya malam dan malamnya sentiasa hanyut dengan aku. Haaahahaha!!. Ingat, jangan kau noda dia sebelum aku. Pergi kau!” . Tegas Razak sambil meniup di celahan genggamannya. Seraya itu, terdengar bunyi anjing bersahut sahutan di luar. Serta merta guruh berdentum seperti ribut layaknya. Pokok-pokok kelapa di sepanjang jalan meliuk lentok di tarik ribut. Syaitan suruhan Razak itu terbang laju menuju ke rumah Pak Mail.

***************************
Malam itu…

“Lina..abang datang sayang..” halus suara itu terdengar di kuping Lina. Dalam kegelapan malam, Lina terjaga dari tidurnya yang tidak lena. Sepantas kilat dia bangun. Dia meraba-raba suis lampu. Hampir dia terperosok ke tepi meja solek ketika mengimbangi diri. Dia berdebar. Abang Syukri!

Dalam samar-samar itu juga, Lina terlihat sesusuk tubuh di penjuru bilik. Berpakaian serba putih dan memandang kearahnya dalam keadaan tersenyum. Suaranya, matanya, wajahnya..semuanya persis Syukri. Ya! Abang Syukri!. Tanpa berfikir panjang, Lina berlari mendapatkan Syukri dihadapannya. Airmatanya tidak dapat ditahan lagi. Lina terus mendakap bayangan itu seerat-eratnya.

“Abang..Lina rindukan abang.. jangan tinggal Lina abang..Lina tak kuat nak hidup tanpa abang. Lina tak sanggup..” raung Lina teresak-esak. Dipeluknya Syukri seakan tidak mahu melepaskannya pergi. Rindunya pada Syukri tidak dapat dibendung. Setelah beberapa ketika, dirasakan tubuh Syukri itu terlalu sejuk. Sejuk yang tidak dapat diungkapkan. Perlahan-lahan Lina mengangkat wajahnya lalu memandang Syukri. Namun apa yang terlihat dihadapannya hanyalah puaka merah dengan mata hitam yang membuntang sedang menyeringai kearahnya. Lina menjerit ketakutan. Tubuhnya terdorong ke belakang. Dalam kekalutan itu, serta merta puaka merah itu terbang lalu merempuhnya. Lina sempat tercium bau busuk yang teramat sebelum hilang disitu juga.

Pak Mail dan Mak Siah yang baru pulang dari surau mendengar jeritan Lina dari bawah rumah. Bergegas mereka naik dan menerjah ke bilik Lina. Kelihatan Lina berdiri kaku di tepi dinding. Wajahnya pucat seakan menahan ketakutan yang amat sangat. Tubuhnya menggeletar. Cepat-cepat Mak Siah mendapatkan Lina lalu memeluknya. Terasa keanehan pada tubuh anaknya itu. Tubuh Lina keras dan kejung. Mak siah menggoncang goncang Lina sambil menampar nampar wajahnya.

Pak Mail pula tidak putus putus membaca ayatul qursi. Mereka yakin bahawa anaknya sudah terkena. Mungkin juga kerana terlalu kecewa dan patah hati, Lina menjadi murung dan mudah dibuai perasaan sedihnya.
“ Lina.. kenapa Lina. Mak ni nak. Sedar Lina. Sedar.” ujar mak siah cemas. Lina masih kaku. Hanya airmata sahaja yang deras mengalir di pipi. Pak Mail segera merapati anaknya lalu menghembus ubun ubun Lina dgn selawat. Dia berusaha mengembalikan semangat anaknya itu. Dengan izin Allah. Tiba tiba lina tersedar. Bajunya basah dek peluh ketakutan. Dia memeluk Mak Siah seeratnya seakan anak kecil minta dikasihani.
“Lina nampak Abang Syukri mak. Dia datang jumpa Lina. Kat situ..kat situ” ujar Lina terketar ketar sambil menunjukkan ke sudut biliknya. Pak Mail dan Mak Siah hanya mampu beristighfar. Mereka berusaha menenangkan Lina sebelum kedua dua nya beredar keluar dari bilik tersebut.

Malam itu, Lina bermimpi didatangi oleh Razak. Razak memberikannya sekuntum bunga mawar merah. Razak kelihatan sangat kacak dan sempurna di matanya. Tatkala menyambut bunga itu dari Razak, Lina terjaga. Hatinya berdebar-debar. Tiba-tiba dia merasakan perasaan sayang yang membuak-buak kepada Razak. Segera dia menyarungkan tudungnya lalu menyelinap keluar dari bilik. Niatnya untuk keluar terbantut ketika melihatkan ayah dan ibunya masih berbual di ruang tamu. Cepat-cepat Lina menutup pintu. Hatinya resah. Dia mundar mandir di dalam biliknya sambil terintai-intai samada orang tuanya telah beransur atau tidak. Setelah berjam jam dia melawan keresahan hatinya, akhirnya Lina tertidur di meja solek kerana kepenatan.

********************************

Ahadiyat membuka mata. Cuaca cerah pagi menyimbah masuk ke ruang solat surau itu. Menerangkan seisi ruang jemaah yang luasnya sekadar 7 saf sederhana. Perlahan lahan Ahadiyat bangun dan berjalan ke ruang pintu. Firasatnya merasakan bahawa seseorang sedang menuju ke arahnya. Dia tertinjau-tinjau di sebalik daun pintu namun tiada kelibat sesiapa di luar. Segera Ahadiyat beransur ke kolah dan mengambil wudhuk. Niatnya untuk membaca Al Quran sehingga waktu Dhuha tiba. Ketika Al quran baru dicapainya, terdengar jelas suara lelaki memberi salam.

“ Assalamualaikum.. Assalamualaikum ustaz”..lembut suara lelaki itu memberi salam sambil menyentuh bahunya.

“Waalaikumsalam..” jawab Ahadiyat sambil berpusing kearah pemilik suara itu. Seorang lelaki baik rupa paras, sederhana tinggi dan berkulit sawo matang sedang berdiri di hadapannya. Senang sekali melihatnya. Namun Ahadiyat kurang faham apa telah berlaku pada dirinya sehingga lebam-lebam di seluruh muka.

Seusai lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya, Ahadiyat terus menutup Al Quran yang dipegangnya. Dia dapat membaca riak wajah lelaki itu seperti di dalam kegusaran yang melampau. Lelaki tersebut menelan air liurnya sekali sebelum memulakan bicara. Agak gementar. Terus Ahadiyat memegang tangan lelaki itu dan menggenggamnya. Tindakannya itu membuatkan lelaki tersebut terpana namun membiarkan sahaja perbuatan ustaz muda itu tanpa banyak bicara.

Setelah lebih kurang seminit, Ahadiyat bersuara “ Katakan saudara berjumpa saya untuk meminta bantuan tentang sesuatu perkara yang masih belum jelas..begitukan saudara? Lembut pertanyaan Ahadiyat kepada lelaki itu. Rashid mengangguk. Terbayang kelegaan di riak wajahnya yang letih.Letih sungguh rasanya merantau ke ceruk-ceruk kampung untuk mencari bantuan. Puas Rashid bertanya setiap orang yang dijumpainya sepanjang perjalanan samada mereka mengenali sebarang budiman mahupun guru yang mampu menangkis masalah ghaib. Namun hampa. Berkelanalah Rashid berhari hari mencari sehinggaah diizinkan tuhan, Rashid berjumpa dengan seorang tua ketika singgah menunaikan solat di Kampung Sungai Itek. Imam disitu menyarankan Rashid untuk menemui seorang ustaz dari kalangan hafiz quran di Kampung Jahang. Duduknya berhampiran surau kampung. Dengan saranan itulah, Rashid sanggup berkelana ke Kampung Jahang pula demi membantu Pak Mail sekeluarga.

“ Nama saya Rashid, ustaz.” Rashid memulakan bicara. Saya datang dari Kampung Jelintuh mencari ustaz. Besar harapan saya agar ustaz dapat membantu saya dan keluarga saya yang ditimpa kesusahan” Putus putus suara Rashid. Dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara. Ingin diluahnya, namun apa?. Ingin diadu, tiada hujung pangkal ceritanya.

Ahadiyat memandang Rashid lalu tersenyum. Senyumannya cukup membuatkan hati Rashid lega. Dia meminta izin untuk menunaikan solat sunat terlebih dahulu. Dia ingin memohon petunjuk dari Allah berikutan masalah yang sedang dihadapi oleh Rashid. Seusai solat Ahadiyat menadah tangan berdoa agar diberi petunjuk dan hidayah kepada dirinya dan lelaki di hadapannya. Bersungguh sungguh ia memohon agar urusannya dipermudahkan. Dia turut berdoa agar diberikan kekuatan untuk membantu urusan Rashid dan keluarganya.

Rashid kaget. Air muka ustaz muda itu ditenungnya.. Bibir, mata, jambang dan serba serbi bentuk tubuh ustaz itu tidak ubah seperti sahabatnya Syukri. Ya, arwah syukri. Dalam kelekaan dia menilik wajah ustaz itu, Ahadiyat bersuara “ Nama saya Ahadiyat. Saudara boleh panggil saya Ahadiyat sahaja. Tak perlu panggil saya ustaz. Kalau tak keberatan, boleh saya tahu di mana keluarga saudara sekarang?. Tuturnya perlahan. Rashid kelihatan masih lagi leka. Ahadiyat tersenyum dan ketika itu juga dia menyentuh lutut Rashid perlahan.

“ Maafkan saya ustaz. Err Ahadiyat. Saya..saya..” belum habis bicara. Rashid, Ahadiyat bingkas bangun dan mencapai beberapa barang miliknya. ” Mari kita bergerak sekarang saudara. Untung ufuk merah, kita sama sama sudah sampai ke tempat tujuan kita. Lagipun saudara kelihatannya sangat gusar dan bercelaru. Mari saudara terangkan kepada saya dalam perjalanan nanti” ujar Ahadiyat sambil melemparkan senyuman. Rashid termengkelan. Tiada sempat dia berbicara dengan ustaz itu. Namun dalam kegusaran yang menginjak hati itu, Rashid turuti jua langkah Ahadiyat.

Mereka beriringan menuju ke sebuah madrasah sederhana besar di belakang surau. Sungguh indah sekali pemandangannya. Rashid terpana melihatkan anak muda anak muda sebayanya bahkan lebih muda darinya sedang khusyuk membaca Al quran, serta mengahafaz beberapa surah dengan mudir mudir mereka. Ketika Ahadiyat masuk dan memberi salam, serentak mereka bangun dan menghormati Ahadiyat laksana seorang guru. Pantas dia menyuruh mereka merapatkan saf dan berkumpul. Setelah memberi salam, Ahadiyat menyampaikan sedikit pesanan berbaur amanat kepada anak muridnya.

“ Assalamualaikum para huffaz sekelian” lembut ucapan ahadiyat seraya memulakan bicara.

“ Untuk seminggu ini, saya minta izin untuk keluar kawasan mengikut sahabat saya Rashid di sana” ujar Ahadiyat seraya memperkenalkan Rashid yang sedari tadi berdiri di sisinya.

“ Keluarga beliau sedang ditimpa masalah. Oleh itu, saya mohon doa dari kalian agar sama-sama kita minta kepada Allah semoga urusan saudara Raahid dan kita semua dipermudahkan. Mulai hari ini sehingga terbit fajar Isnin hadapan, mudir diminta membahagikan kumpulan kepada 5 untuk membaca Al quran dari juzuk pertama hingga akhir. Tidak putus mahupun berhenti sehinggalah terbit fajar isnin yang akan datang. Setiap kumpulan akan membaca berganti- ganti selang 5 waktu solat”. tegas ucapan Ahadiyat lalu turun dari pelana ke tempat dia berucap. Segera Rashid memmbontotinya lalu bersalaman dengan beberapa orang pelajar dan mudir yg berhampiran.

“ Ustaz Rahman, mohon doanya ustaz. Keluarga saudara ini dan orang kampungnya sedang dilanda masalah” ujar Ahadiyat ketika bersalaman dengan seorang guru yang kelihatan lebih tua.
“ InsyaAllah ustaz.. kami faham tentang arahan ustaz tadi. Akan kami laksanakan arahan ustaz tanpa gagal. Nampaknya bukan calang calang lawan kita ini. Banyakkanlah bermunajat kepada Allah. InsyaAllah Allah akan permudahkan setiap urusan ustaz “ ujar ustaz Rahman tadi. Rashid dipeluk oleh beberapa orang mudir sebelum beredar mengikuti Ahadiyat yang perlahan lahan beransur ke luar madrasah.

“ Rashid. Semoga Allah memberikan kita jalan.” ujar ustaz muda itu lembut sambil melambai kepada anak muridnya.

************************************

“ Abang razak! Abang razak! Lina datang abang!. Abang!” panggil Lina dari luar rumah Pandak Sidek. Lina kelihatan tergopoh gapah. Tidak sabar dia hendak bertemu denga. Razak. Tidurnya kini hanya termimpikan Razak. Wajah Razak sentiasa terbayang bayang di ruangan mata.
Perilaku Lina itu disaksikan oeh banyak mata yang lalu lalang di hadapan rumah Pandak Sidek ketika itu . Ramai orang mula mengata dirinya perempuan murahan. Cepat benar mencari ganti sedangkan suaminya baru sahaja meninggal. Gantinya pula bukan sebarang- sebarang. Anak ketua kampung pula yang ditagihnya.

Pandak Sidek yang ketika itu baru selesai solat asar terdengar suara Lina memanggil-manggil di luar rumah. Bingkas Pandak Sidek bangun lalu meninjau ke luar tingkap. Ya!. Tak salah lagi.!. Lina anak Pak Mail sedang berdiri sambil memanggil manggil Razak di luar. Kelihatan juga beberapa penduduk kampung di luar sedang menunjuk nunjuk ke arah Lina dengan riak wajah mengata.

“ Ada apa Lina datang ke rumah tok petang petang ini? Ada yang boleh tok tolong?” tanya Pandak Sidek sebaik saja membuka pintu rumah. Dihadapannya seorang gadis yang sangat cantik namun keseriannya pudar dek kerana terlalu banyak perkara telah menimpanya kebelakangan ini. Terlalu ramai yang ingin menyunting dirinya. Termasuklah Pandak untuk anaknya Razak. Hari ini, dia berdiri di hadapan Pandak Sidek tanpa diketahui alasan dan tujuannya.

“ Tok, Abang Razak ada? Tanya Lina bersungguh sungguh. Terlihat air mukanya seperti orang kerisauan. Seperti membawa segunung pengharapan.
Belum sempat Pandak Sidek menjawab, Razak sudah terpacul di muka pintu. Berbaju melayu biru laut, Wajahnya dikemas rapi serapinya. Berbau harum dan berkumis tipis. Sungguh Pandak hairan melihat penampilan Razak hari ini. Jarang sekali Razak berpakaian sebegitu. Ketika itu juga dia dapat melihat wajah Lina cerah seperti bulan purnama. Matanya bersinar penuh pengharapan. Kalaulah Pandak Sidek tidak menahan, hampir sahaja Lina naik ke rumah mendapatkan Razak. Tanpa diundang, terbit perasaan aneh dari hati Pandak dengan sikap kedua dua anak muda dihadapannya. Lebih lebih lagi Razak. Senyumannya cukup sinis. Namun dia sentiasa berselindung-selindung agar tidak diketahui oleh Pandak.

“ Ya lina, Lina cari abang?. Ada apa tu?” ujar Razak lembut. Lina menarik tudungnya lucut ke bahu. Dia seakan menggamit Razak untuk mendekatinya. Segera Pandak Sidek berdehem,namun tidak diendahkan oleh gadis itu. “Abang Razak, Lina tak tahu kenapa dari semalam Lina termimpikan abang. Ini hari Lina datang cari abang. Rasa macam lama sungguh tidak bertemu” ujar Lina sayu. Razak tidak bersuara. Namun dari gerak geri wajahnya seakan teruja melihat keadaan Lina sebegitu.
“ Ini baru sedikit tuan.. dia belum lagi ku sihirkan sampai ke tulang hitam. Untuk tuan, segunung emas pun aku sembahkan. Hahaahaha!!” bisik puaka merah sambil mengilai nyaring. Ketika itu juga Pandak Sidek merasakan tamparan angin di wajahnya. Merasakan ada yang tidak kena, segera Pandak Sidek menyuruh Lina beredar.

Tiba tiba Lina bertempik. Lalu dicekiknya Pandak Sidek yang baru sahaja menyuruhnya pulang. Terangkat orang tua itu ke udara lalu ditolak tubuh tua itu ke bawah tangga. Setelah itu, Lina meratap di kaki Razak sambil menangis sayu. “ Abang Razak, Lina tak nak balik abang. Lina nak duduk di sini bersama abang” rayu Lina manja. Esakannya menjadi jadi apabila Razak hanya berdiam diri sahaja. Laman rumah Pandak Sidek sudah mula dipenuhi orang. Orang ramai sudah mula tergocoh gocoh membantu Pandak Sidek yang tidak berdaya bangun. Ahsan, anak kecil tempohari segera bergegas ke rumah Pak Mail setelah melihat Lina berkasar dengan ketua kampung itu.

“ Lina balik rumah ya. Tak manis Lina datang begini ke rumah abang” ujar Razak. Seboleh-bolehnya dia ingin Lina yang terlihat mencintainya. Walau di hatinya sebenar terlalu gembira habuan sudah menyerah diri!.
“ Hei perempuan! Baru mati laki dah menjalang ke rumah orang!. Tak malu ke? Jerit Mak Bedah, jiran Pandak Sidek. Berbulu matanya melihatkan Lina masih memaut kaki Razak. Tidak dilepaskan walaupun Razak sudah turun daripada tangga. “ Entah!. Harapkan muka aja cantik. Tak sangka perangai dia macam ni” tambah orang orang yang ada disitu. Pandak Sidek yang sudah berdiri segera menenangkan orang ramai yang datang. Setiap kali Razak bergerak, tiap kali itu jugalah Lina terheret sama. Keadaan itu membuatkan beberapa orang wanita naik marah dan menolak kasar tubuh Lina dari Razak.

Dalam hiruk pikuk itu, Pak Mail dan Mak Siah tiba. Segera Pak Mail menarik Lina dari terus menyembah di kaki Razak. Segala kudrat Pak mail dikerah namun Lina masih diam membatu. Mak Siah tak habis habis memohon maaf kepada Pandak Sidek berikutan hal itu. Dalam keadaan kucar kacir itu, terdengar suara lelaki memberi salam. Serentak mereka semua berpaling. Berdiri dihadapan mereka dua orang lelaki muda elok paras rupa. Salam dijawab namun keadaan terus sunyi tanpa seorang pun berkutik.

*************************

“ Terima kasih banyak banyak pakcik ucapkan. Kalau Rashid dan ustaz tak datang membantu tadi, pakcik sungguh-sungguh tak tahu nak buat apa tadi. Hampir-hampir anak pakcik kena pukul orang. Ustaz ni siapa nama?” tanya Pak Mail sambil menghulurkan secangkir kopi kepada pemuda itu. Berhati-hati Pak Mail menilai. Lagaknya seperti ustaz. Namun parasnya tidak ubah seperti Syukri. Ya!.. saling tak tumpah seperti Syukri. Wajah yang sangat dirindui. Wajah yang tidak sempat di tatap namun harini seakan empunya badan datang dan wujud kembali di hadapannya.

“ Nama saya Ahadiyat pakcik. Jangan panggil saya ustaz” ujar lelaki itu sambil menyambut cawan yang diberi. Mak Siah yang duduk di sebelah Pak Mail juga seakan terpana dengan rupa pemuda itu. Mustahil pemuda ini suadara mara Syukri menantunya. Dia tahu benar bahawa Syukri anak yatim piatu.

“ Saya dari Kampung Jahang. Kebetulan saya datang kemari berikutan saudara Rashid meminta bantuan saya untuk keluarganya” ujar Ahadiyat lembut sambil memandang kepada Rashid. Serentak itu juga Rashid menganggukkan kepala. “ Ahadiyat, inilah keluargaku yang saya maksudkan. Gadis yang Ahadiyat tolong tadi namanya Lina. Dia baru sahaja kematian suami kira-kira seminggu yang lepas. Seperti yang telah saya terangkan sepanjang perjalanan tadi, kami sekeluarga masih ragu dengan kejadian pada hari tersebut. Pak Mail sendiri dapat melihat jelas lembaga merah bermata hitam pekat duduk bertenggek di atas bahu orang kampung ketika itu. Orang kampung semuanya seakan di guna-guna, Ahadiyat” bersungguh-sungguh Rashid memberi penerangan. Kata-katanya itu diiyakan oleh Pak Mail dan Mak Siah. Suasana ketika itu kelihatan tegang sekali. Namun Ahadiyat segera meredakan suasana dengan menepuk bahu Rashid dan menyuruhnya bersabar. Belum sempat Ahadiyat bertanyakan soalan lanjut kepada Pak Mail, terdengar suara Lina dari dalam bilik menjerit minta dibukakan pintu. Berdentum dentum pintu di tumbuknya.

Mak Siah bingkas bangun lalu menghampiri bilik Lina. Sayup sayup terdengar suara Lina merayu dalam nada sedih. “ Mak, abah..kasihankan Lina..Lina nak jumpa Abang Razak.. bukak pintu ni mak..” rayu Lina dari dalam biliknya. Terus Mak Siah tidak jadi untuk membuka pintu. Dia tidak mahu anaknya dicaci dihina orang kampung. Pedih sekali hatinya mendengarkan rayuan Lina namun ditabahkan juga hatinya untuk berpaling dari situ.

“ Aku cakap bukak!. Bukak pintu ni!. “ jerit Lina dari dalam. Mak Siah yang baru hendak beredar tersentak. Jeritannya itu berselang seli dengan rempuhan kuat dari dalam. Segera Pak Mail, Ahadiyat dan Rashid bangun. Bergegar- gegar pintu kayu itu seakan mahu tercabut engselnya. Dalam kekalutan itu, Ahadiyat sempat berpesan kepada semua untuk tetap membaca ayat qursi. Ahadiyat meminta izin Pak Mail untuk membuka pintu bilik Lina. Ketika pintu dibuka, langsung tiada kelibat Lina kelihatan melainkan tingkap bilik telah terkuak luas. Segera Pak Mail dan Rashid berlari turun ke tanah bagi mendapatkan Lina yang besar kemungkinan ke rumah Razak. Ahadiyat tidak mengikut. Dia mengambil masa berdiri di dalam bilik yang indah namun kelam itu. Kelihatan sekuntum mawar merah tergeletak di atas meja solek. Warnanya hitam pekat. Ada darah dihujung durinya. Ahadiyat beristighfar. Ini bukan sebarang petualangan. Darah jadi taruhannya. Sebaik sahaja tangannya menyentuh bunga itu,tiba-tiba terimbas jelas di matanya lembaga berwarna merah sedang menggangu Lina di dalam tidurnya. Jelas sekali Lina seakan dipukau dan dipengaruhi oleh iblis laknatullah itu.

Segera Ahadiyat membaca beberapa potong ayat suci lalu di patahkannya setiap ruas bunga mawar itu. Bunganya dicabut dan diramas keluar tingkap. Keluar asap halus dan serta merta kelopak mawar yang hancur itu ghaib sekelip mata.

“ Mak Siah, saya pergi bantu Pak Mail dan Rashid dulu. Sebelum itu, kalau ada sesiapa datang, saya mohon Mak Siah jangan bukakan pintu. Tunggu sampai kami pulang dengan Lina.” Ujar Ahadiyat lalu bingkas turun meninggalkan Mak Siah yang menangis kerisauan. Risau juga hatinya meninggalkan orang tua itu sendirian namun dia yakin, Allah sentiasa melindungi. Bergegas Ahadiyat menuruni tangga lalu berlari di sepanjang jalan besar. Tidak jauh dari rumah Pak Mail, dia terlihat kerumunan orang sedang mengangkat Lina. Segera dia memberi laluan lalu menuruti mereka ke rumah Pak Mail sekali lagi.

Lina di baringkan di dalam bilik. Wajahnya kelihatan kusut sekali. Tudungnya juga entah kemana. Matanya terbuntang luas memandang ke atas. Atas dasar keselamatan, Mak Siah terpaksa mengikat kaki dan tangannya. Mereka takut Lina melarikan diri sekali lagi. Ahadiyat yang berdiri di muka pintu seboleh-boleh menenangkan Pak Mail yang kelihatannya sugul sekali. Air mata lelaki itu berguguran. Memperlihatkan kesedihan yang semakin bersarang di dalam hati. Tiba-tiba Pak Mail bersuara “ Laju sungguh Lina berlari tadi. Sungguh pakcik dan Rashid tak dapat mengejarnya. Beberapa orang kampung juga cuba mengepung dia dari hadapan tapi mudah sangat mereka ditumbangkan. Syukur Alhamdulillah, tiba-tiba saja Lina jatuh terjelepok. Terus kami mengangkatnya balik sebelum perkara lain pula terjadi” ujar Pak Mail. Ahadiyat cuma mengangguk. “ Bantulah Pak Mail Ahadiyat, Pak Mail sekeluarga buntu” sambung Pak Mail. Isterinya Mak Siah turut mengangguk lesu.

“ InsyaAllah Pak Mail. Saya cuba sebaik mungkin. Saya minta izin disediakan satu sejadah kecil dan segeluk air. Minta juga Mak Siah dan Pak Mail jangan putus membaca ayat qursi sepanjang saya mengubatkan Lina” lembut tutur Ahadiyat. Denagn cermat dan tertib, Ahadiyat masuk ke bilik Lina dan mengambil tempat di sebelah gadis itu.

“ Bismillahirrahmanirrahim…” pendek bacaan Ahadiyat diikuti dengan beberapa ayat pilihan. Dengan tenang dia membaca. Rashid yang berada di penjuru bilik sentiasa bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. Baru separuh melantunkan ayat suci, tiba-tiba Lina bangun dari pembaringannya. Kepalanya ditelengkan kearah Ahadiyat. Dengan mata merah menyala, serta merta Lina bersuara “ Kau baca apa itu?”

Perilaku Lina itu benar-benar mengejutkan Pak Mail dan Mak Siah. Namun Ahadiyat tetap tenang membaca ayat pembatal sihir surah Anbiya’ (ayat 70 ), dan An-Nur (ayat 39) . Mendengus-dengus Lina menahan marah sambil kepalanya terteleng-teleng menghadap Ahadiyat dihadapannya. Tubuhnya tidak bergerak, hanya kepalanya sahaja meliuk lentok sambil mendengus kasar. Kesempatan ini diambil oleh Ahadiyat untuk melibas perlahan sejadah kecil ke bahagian belakang Lina.

Lina meraung. Suaranya kasar, panjang dan seolah-olah bersahutan. Secara berlapik, kepala Lina dipegang olehnya. Beberapa potongan surah Al Baqarah dibaca oleh Ahadiyat dan segera dia menarik sesuatu dari ubun-ubun gadis itu. Serta merta Lina muntah. Habis dikeluarkan segala isi perutnya. Aneh, muntah Lina berwarna hitam pekat dan berlendir. Seakan darah lama yang terperam. Baunya cukup meloyakan. Ketika itu juga terbit beberapa cebisan daging, rambut dan duri-duri dari sisa muntahan itu. Semua yang ada disitu kaget melihat apa yang terjadi namun tiada siapapun berani bersuara.

“ Pak Mail, Lina ini sudah terkena sihir pengasih. Kuat sungguh sihir ini kerana ramuannya menggunakan bahagian tubuh badan saudaranya. Pembuatnya pula seakan mengikat jiwa raga Lina dengan taruhan darah. Maknanya darah di balas darah. Maafkan saya, selain Lina, adakah adik beradik dia yang lain?” Tanya Ahadiyat sambil membaca ayat pendinding untuk Lina. Bilik itu dipagarnya. Matanya meliar setiap inci rasuk dan kekuda memastikan tiada lagi sebarang “peninggalan” si pembuat kepada Lina.

Pak Mail dan Mak Siah menangis. Rashid juga termengkelan mendengarkan pertanyaan Ahadiyat itu. Menyedari dia telah tersilap bertanya, segera dipeluknya Pak Mail lalu dia meminta maaf daripada orang tua itu. “ Tak mengapa Ahadiyat, kamu tidak tahu. Saudara lain Lina namanya Huda. Nor huda Ismail. Tetapi..tetapi.. “ putus-putus suara Pak Mail ketika itu.

“ Tetapi Huda telah dibunuh. Mayatnya terburai diketung tiga. Orang kampung menemui mayatnya pada hari perkahwinan Lina dan Syukri. Itu sebabnya Syukri dipersalahkan saudaraku..” tambah Rashid yang sedari tadi diam membatu. Rashid turut menangis. Sebak sungguh hatinya. Berat sekali baginya untuk meneruskan ayat itu. Baginya ia satu kelukaan yang tidak berpenghujung.

Tiba-tiba, tingkap bilik Lina terbuka. Terkuak lebar seakan ada yang merentapnya dari luar. Semua yang berada di dalam bilik itu terkejut. Mak Siah segera memeluk Lina. Hapak muntah dan bau busuk tidak lagi dipedulikannya. Lina masih longlai namun sudah sedar. Berpelukan kedua anak beranak itu ketakutan. Samar-samar, kelihatan sesosok lembaga merah pekat, berlidah panjang terjeli-jelir mencangkung di muka tingkap itu. Mukanya penuh kesan darah. Mendengus-dengus memandang kearah Ahadiyat dan Rashid. Berganti-ganti.

“ Mak, mak..Lina takut mak. Benda tu selalu ganggu Lina mak. Halau benda tu pergi mak..Benda tu selalu gigit hujung kaki Lina mak”..tangis Lina tak keruan. Wajahnya disembamkan ke dada ibunya. Seakan anak kecil yang meminta pertolongan. Mak Siah berusaha menenangkan keadaan. Dia turut ketakutan melihat lembaga entah dari mana asal usulnya itu.

“ Celaka kau manusia!. Kau ingat semudah kau boleh tumpaskan aku?” jerit puaka merah nyaring. Suaranya itu bergema mensuuk-nusuk gegendang telinga. Pantas Ahadiyat melompat ke depan jendela, berhadapan dengan lembaga itu. Tiba-tiba puaka merah itu menghilang dan muncul semula tergantung di atas kepala Ahadiyat. Dengan pantas Ahadiyat mencekak leher puaka itu, namun lidah hitamnya terlebih dahulu melilit pergelangan Ahadiyat dan menolaknya jauh ke belakang.

“ Hahahaha..setakat itu anak muda? Usia kau baru setahun jagung. Kau bukan lawan aku.” Ejek puaka merah itu lagi. Lilitannya diperkuatkan. Namun dengan mudah, Ahadiyat merentap lidah puaka itu sehingga putus. Bergema raungan si puaka merah. Berdesup dia terbang keluar tingkap namun segera dipasung oleh Ahadiyat dengan beberapa kalimah suci. Puaka merah merenung Ahadiyat dengan wajah yang marah menyinga.

“ Sampaikan pada tuan kau. Aku tahu benar siapa dia. Bertaruh denganku malam esok di serambi emas” kalau tuan kau jantan, pasungkan belaan dia dan turun sebagai anak jantan.” Tegas suara Ahadiyat lalu menepuk lantai rumah dengan kuat. Puaka Merah terbang lesap .Serta merta beduk di surau diketuk orang menandakan waktu Mahgrib telah pun masuk.

“ Alhamdulillah. Insyaallah dia tak akan menganggu lagi. Selagi dia belum boleh menjilat darah, selagi itu dia tak akan kembali. Sihir dalam badan Lina telah saya keluarkan. Cuma perlu ditawarkan sekali lagi memandangkan jenis sihirnya bukan calang-calang” ujar Ahadiyat sambil meraup wajahnya. Ketika itu juga, pandangan Lina dan Ahadiyat bertaut. Sungguh Ahadiyat terpesona dengan kecantikan wanita di hadapannya itu. Manis, ayu dan sangat molek rupanya. Dengan segera pandangannya dialihkan. Namun ketika dia baru hendak memalingkan wajah, Lina bersuara.

“Kenapa wajah saudara iras sekali dengan suami saya?. Siapa saudara? “ ada nada getar dalam tutur katanya. Ketika itu juga, barulah Ahadiyat berani mengangkat wajah lalu merenung Lina. Dilihatnya mata wanita itu berkaca. Kesedihan yang mendalam terpamer di wajahnya. Satu perasaan sayu segera menyelinap masuk ke dalam benak sanubari Ahadiyat. Perlahan-lahan Lina menghulurkan sekeping gambar seorang lelaki, lelaki hampir sebaya dan juga seiras wajahnya.

“Dulu orang ganggu saya pun Abang Syukri yang ubatkan.. sekarang saudara pula datang mengubatkan saya. Katakanlah..saudara adalah suami saya yang telah pergi selama-lamanya..kenapa kita perlu berjumpa saudara?..Saya tak kuat..saya terlalu rindukan dia..” teresak-esak Lina menangis sambil memeluk ibunya. Mak Siah turut menangis. Pak Mail dan Rashid hanya diam menahan perasaan sebak.

“ Allah telah menakdirkan saya untuk hadir di sini mengubati saudari. Berterima kasihlah kepada saudara Rashid. Dia sudah banyak bersusah payah untuk saudari. Begitu juga dengan kedua orang tua saudari.”

“ Nama saya Ahadiyat. Saya orang biasa sahaja. InsyaAllah jika Allah izinkan, saya tetap disini sehingga semua petualangan ini diselesaikan. Saudari jangan risau. Sihir pada saudari telah saya hapuskan. Tetapi masih ada hutang antara saya dengan tuannya. Saya harap saudari banyakkan bersabar, banyak mengingati tuhan.” Tambah Ahadiyat lagi sambil tersenyum.

“ Mari, kita solat Maghrib dahulu. Waktu sudah lama masuk.
*******************************
Razak tersentak. Bergegar gegar tingkap biliknya seperti dihentak sesuatu dari luar. Berdentum dentum. Segera dia bangun lalu membukanya. Sebaik sahaj tigkap dikuak, terjelepok puaka merah dihadapannya. Puaka itu luka parah. Leher dan sekitar wajah hangus terbakar. Kelihatannya puaka itu menanggung sakit yang teramat sangat. Razak terkejut bila melihat mulut puaka itu rabak dan lidahnya putus.
“ Celaka!!. Siapa gerangan yang berani mencabar aku ini??. Jerkah Razak kepada puaka itu. Razak mengangkat puaka itu lalu meludah ke arah mukanya. Sekuat hati puaka itu dicekiknya lalu dibaling ke penjuru bilik. Darahnya menggelegak. Pinggan di atas meja di baling ke dinding. Pecah berderai… Amarahnya tidak dapat dibendung lagi. Tak sudah-sudah dia menyumpah.
“ Sial! Ini memang sial!. Siapa yang berani mencabar aku?? Berani berani kau usik belaan aku! Kau belum kenal aku siapa!!” Jerit Razak sambil menumbuk-numbuk dinding. Segala meja dan daun tingkap diterajangnya berkali-kali. Hatinya meluap luap dengan kemarahan. Pantas dicapainya dupa bara. Berbekalkan segala ilmu pengetahuannya, dia memasang sihir yang paling ampuh sekali. Terkumat kamit dia membaca mantera. Asap berkepul kepul naik keruang bilik yang kecil itu. Semakin kuat mantera dibaca, muncul satu lembaga berbulu hitam pekat dari asap kemenyan tersebut. Matanya merah pekat dan taringnya panjang hingga ke dada. Wujudnya berbalam balam namun saiz badannya sahaja besar memenuhi lantai ke atap bilik. Sungguh mengerikan sekali..

“ Dukun Sempalit!!. Aku mohon petunjuk kau untuk melawan musuh aku ini. Belaanku separuh mati ditibainya. Bagi aku pedoman tuan. Kurniakan aku kekuatan tidak tertanding! Ujar Razak lalu menyembah puaka itu. Razak bangun dari sujudnya lalu menyorongkan sedulang bunga 7 warna. Diambilnya dupa itu lalu dietakkan di atas talam berisi bunga. Serta merta, isi talam menjadi kosong dan kemeyan juga lesap dari dupanya.
“ Aku terima sembahan kau anakku. Mulai malam ini aku akan bersatu denganmu!. Kau akan menjadi kebal dan takkan terkalahkan. Tapi..ada syaratnya..

“ Kau harus serahkan seluruh jiwa ragamu kepada aku. Jika kau ragu, aku akan mengambil nyawamu dengan cara paling sakit sekali!” ujar puaka hitam itu tanpa berselindung. Suaranya parau. Dengus nafasnya berbau bangkai.
“ Aku terima!. Aku mahu terus kekal abadi. Aku Razak! Aku tak kan terkalahkan! Jerit Razak sambil menumbuk- numbuk dada. Serta merta tubuhnya seperti kesurupan.Mata hitamnya hilang! Menggelepar kuat lalu terbaring kaku. Sah! Razak dan Dukun Sempalit itu telah bersatu.. Dalam beberapa saat, Razak bangun dan meludah ke langit. Dia menyeringai. Kini dia semakin berkuasa. Hatinya dan tubuhnya merasakan gelodak marah yang makin membara. Meluap luap seakan ingin diratah kepala lawannya ketika itu.

Mendengarkan hingar bingar dari bilik Razak, Pandak Sidek yang baru pulang segera menghampiri bilik anaknya. Bukan sekali dua dia mendengar bunyi bunyi aneh dari bilik itu. Bunyi berdesir, merengus,ketawa dan sebagainya kerap didengari olehnya. Perlahan lahan dia menolak daun pintu sambil menjenguk ke dalam.

“Astaghfirullah al azim!. Apa kau buat ni razak! Apa bara bara kemeyan ni semua ni? Jerkah Pandak Sidek sambil menguak pintu dngan lebih besar. Asap menerawang di udara. Kelihatan Razaksedang duduk membelakangkan dirinya. Dengan perasaan marah yang meruap2-ruap, Pandak Sidek menendang dulang kosong di sisi Razak.

Tiba tiba kaki kanannya pedih. Dia melihat sesosok lembaga sedang berpaut di kakinya. Razak yang sedari tadi membatukan diri juga tiba tiba berpaling dan menyeringai. Matanya hitam semua!. Mulutnya bertaring. Kotor dan berwarna hitam. Pandak sidek kaget. Dia ingin lari . Namun belum sempat dia menjerit, kepala nya telah terpusing ke belakang lalu putus jatuh ke bumi. Darah memancut- mancut ke sekeliling bilik. Tubuh Pandak Sidek terjelepok kaku. Terdengar hilai tawa yang sangat mengerikan malam itu bersulam dengan nyanyian sendu cengkerik rimba.

****************

Ahadiyat ketika itu sedang mengaji. Rashid sedang khusyuk menunaikan solat hajat di sebelahnya. Pak Mail dan Mak Siah pula sedang berbual di beranda rumah. Tiba tiba sahaja, dari firasat batinnya terlihat seperti seseorang sedang ditimpa masalah. Ketika itu, angin ribut berputar putar seakan ingin hujan. Cuaca yang sedang aman tiba tiba bertukar ganas dan menakutkan. Cepat cepat Pak Mail dan Mak Siah masuk ke dalam lalu menutup pintu.
“ Cepat awak pergi tengokkan Lina tu Siah” arah Pak Mail. Dia risau jiika terjadi apa apa yg buruk pada anaknya. Segera Mak Siah berlalu pergi sambil diperhatikan oleh suaminya.

“ Lain macam betul angin kat luar tu. Rasa nak tercabut atap rumah depan tu Pak Mail tengok. Nak hujan agaknya” ujar Pak Mail sambil mendekati Rashid dan Ahadiyat di ruang tamu. Hari ini mereka tidur di rumah Pak mail atas permintaan orang tua itu. Masing masing tak tahu dari mana mereka perlu mendapatkan bantuan jika apa-apa terjadi kepada Lina.

“ Ye la Pak Mail. Bukan main kuat bunyi angin ni. Berdesing -desing.” ujar Rashid. Ahadiyat berzikir perlahan sambil tersenyum melihat gelagat kedua-dua lelaki yang baru dikenalinya. Masing masing sibuk bercerita tentang pengalaman menghadapi ribut. Ketika itu, sayup sayup Ahadiyat mendengar bunyi kepak berkuak menghampiri. Semakin lama semakin dekat dan kuat. Dipandangnya wajah Pakmail dan Rashid. Mereka berdua seakan tidak perasan akan bunyi tersebut. Ahadiyat bingkas bangun lalu bergerak ke pintu. Sekonyong konyong itu juga Mak Siah dan Lina keluar dari bilik mendapatkan mereka. Selawat dan pendinding diri terus di baca.

Belum sempat tangannya menyentuh selak pintu, bumbung rumah bagaikan dibaling pasir bertalu-talu. Balingannya sungguh kasar dan kuat seakan segerombolan penduduk yang sedang kemarahan berada di luar pintu.

“ Saya turun ke halaman sebentar. Mohon Rashid dapat mengikuti saya” perlahan Ahadiyat menggamit Rashid ke arahnya.
Dengan lafaz bismillah, Ahadiyat segera menguak pintu. Sekonyong konyong itu juga tamparan angin yang kuat menerpa ke arahnya. Dia bingkas terjun ke tanah. Niatnya ingin dihancurkan musuh yang datang kali ini. Namun dari kejauhan dia hanya merlihat Puaka merah sedang memandang tajam lalu terbang pergi dari situ. Faham benarlah Ahadiyat bahawa itu merupakan petanda, petanda bahawa tuan si puaka membeli tawarannya. Lama dia memerhatikan sekeliling rumah. Bimbang terdapat anasir lain yang dihantar si pemuja syaitan. Namun syukur, tiada sebarang kiriman durjana datang bersama puaka tadi.

Ahadiyat segera beristighfar, melapangkan dada serta duduk bersila di atas tanah. Bibirnya tidak putus mengulang- ngulang sepotong ayat dari surah yaasin. Habis ayat itu, Ahadiyat menggenggam sekepal tanah di hadapannya lalu dia diangkat ke hadapan wajahnya. Dengan izin Allah, perlahan lahan di hadapan matanya seakan terimbas satu peristiwa berdarah. Dengan jelas dia dapat melihat amukan orang kampung, Pak Mail, dan juga seorang lelaki seiras wajahnya terbaring kaku dengan luka parah di seluruh badannya. Sungguh, keadaan itu sungguh tidak masuk akal.

Dalam kekalutan itu, dia dapat melihat Lina berlari dalam pakaian pengantin lalu memangku lelaki yang seirasnya tadi. Airmata Lina mengalir deras. Kejadian itu bermain semula dihadapannya, seakan tangannya mampu sekali untuk menyentuh Lina dan lelaki itu.
Ahadiyat memejam rapat matanya, ketika itu juga, dia dapat melihat seorang lelaki berkulit gelap, tinggi dan sasa berdiri berhampiran. Memandangnya dengan muka penuh benci dan kemarahan. Di atas bahunya juga bertinggung puaka merah sedang menyeringai tajam ke arahnya. Tahulah Ahadiyat bahawa lelaki itu adalah si pemuja syaitan yg membuat onar selama ini.
Bergegar jantung Ahadiyat melihatkan wujudnya lelaki itu seakan dapat melihat dirinya dengan jelas. Namun dia memasakkan di dalam hati untuk tidak gentar kepada sesiapa selain kepada Pencipta.

Genggaman tanah itu dilepaskan. Ahadiyat menutup hijab matanya dengan Basmallah dan ayatul qursi. Perlahan lahan dia bangkit dan tanpa disedari, Pak Mail, Mak Siah, Lina dan Rashid sedang melihat segala tindak tanduknya sedari tadi

*************

“Assalamualaikum, Lina termenung apa tu” sapa Ahadiyat perlahan. Lina yang sedang menyediakan minum pagi terkejut. Hampir terjatuh teko air yang dipegangnya. Dia tidak menyangka ustaz muda itu sudah bangun seawal pagi ini. Baru jam 5.30!.

“ Err.err.. maaf saya buat saudari terkejut” cepat cepat Ahadiyat menyambut teko tersebut. Jika dia lambat, pasti bunyi kaca pecah akan bergema sepagi – pagi itu. Wajah Lina pucat. Hampir saja dia melatah namun segera dia beristighfar lalu beransur ke luar beranda.

Ahadiyat segera berlalu. Solat subuh perlu dikerjakan. Sesudah membersihkan diri, dia terus mngejutkan Rashid dan Pak Mail. Mereka berjemaah bersama. Bacaan surah Al Fatihah dan Al Kafirun yang dibaca oleh Ahadiyat benar benar mengusik hati mereka. Sungguh lancar dan merdu suara Ahadiyat. Tak tumpah seperti Syukri.

Sedari tadi Nailina berusaha menjenguk jenguk keluar. Mencuri pandang ke arah Ahadiyat. Hatinya berdebar debar mendengarkan lelaki itu membaca sepotong doa lalu diselitkan sekali dengan namanya. Di dalam doa yang syahdu itu, lelaki yang tidak dikenalinya itu memohon agar dirinya diberikan kekuatan menempuhi segala dugaan yang mendatang. Sebenarnya, Lina tidak kuat untuk menatap wajah ustaz muda itu. Sungguh, jika dibelek dari sudut manapun, saling tak tumpah wajahnya dengan Syukri. Setiap kali mendengar suaranya sahaja Lina boleh merasakan hatinya seakan di pintal-pintal. Oh!.betapa kerinduan dirinya terhadap Syukri tidak pernah sirna.

Ketika bersarapan pagi itu, sengaja Lina memilih untuk duduk jauh dari Ahadiyat. Ayahnya serta Rashid kelihatan sedang leka berbual. Ketika itu Lina mencuri pandang kepada Ahadiyat. Sungguh, matanya, hidungnya, jambangnya yang nipis, serta raut wajah saling tak tumpah seperti Syukri. Dia menatap lama wajah itu kerana terlalu rindu. Hampir hampir sahaja airmata Lina berguguran. Tanpa dirancang-rancang, pandangan Ahadiyat dan Lina bertaut. Lina tidak sempat mengalihkan pandangan. Dia kelu. Namun riak wajahnya yang gusar itu dibalas sengan senyuman oleh Ahadiyat. Tidak semena-mena mereka berdua tertunduk malu.

“ Maafkan saya, tapi saya tak sengaja melihat saudara begitu” ujar Lina sambil menghulurkan pinggan kepada Ahadiyat.
“Tak mengapa. Bukan salah saudari. Allah izinkan, memang serupa. Tiada beza walau sedikit” lembut balas Ahadiyat sambil menyambut pinggan itu. Ketika itu juga Lina merasakan kesyahduan dan kerinduan kepada Syukri memuncak. Dia tidak ingin ada perasaan kepada ustaz itu hanya kerana dia persis suaminya Syukri. Perlahan lahan Lina turun dari pintu belakang lalu keluar dari rumah. Air mata diseka. Daam keheningan pagi itu perlahan-lahan dia menuju ke kubur suaminya bagi melepaskan kerinduan yang terpendam.

“ Eh, kita tengok siapa yang datang tu !” tiba-tiba terdengar suara dari warung berhampiran. Lina tersentak. Langkahnya terhenti. Dia dapat melihat Mak Bedah dan Ainon berdiri mencekak pinggang dari dalam warung.
“ Eh, kau tak tahu ke si Syukri tu sebenarnya dh terlanjur dengan adik kau si Huda? Sebab nak tutup malu, dia kasi habis la si Huda sebelum tu!.” Jerit Mak Bedah ke arahnya. Lina termangu. Hatinya pedih medengarkan fitnah orang kepada Syukri.

“ Eh ye la. Kalau aku jadi engkau, aku dah bunuh diri dah. Mana nak letak malu muka ni?.” Tambah Ainon. Katanya disambut dengan gelak ketawa oleh orang kampung. Ya.. orang orang yang turut sama membunuh suaminya. Hati kecilnya memberontak. Ingin sahaja dia menjerit ke arah mereka namun dia kuatkan hati. Dengan cepat dia berpaling lalu menghala pulang.

“ Agak- agak dia pun dah dilacur dengan orang baru tu agaknya. Katanya duduk serumah. Haahahaha!!” tambah Mak Bedah lagi. Bergegak gempita suara mereka mempermainkan rmaruah Lina sebegitu rupa. Lina berlari pantas menuju ke rumahnya. Hatinya sungguh tidak tertahan lagi.

************************
Lewat asar, Ahadiyat bersama Rashid turun ke sungai. Damai sekali suasana di kampung itu. Mereka mandi lalu berwuduk untuk menunaikan solat maghrib. Maghrib itu, dia sendiri mengimamkan solat di Kampung Jelintuh itu. Suasana malam itu sungguh syahdu. Hadirin dan jemaah dari ceruk kampung datang turut mengimarahkan solat Maghrib beserta sedikit bacaan yassin berjemaah disurau tua tersebut.

Habis Isyak, ketika jemaah baru sahaja mengaminkan doa dari Ahadiyat, angin kuat bagaikan ribut menerpa ke bumbung surau. Jemaah kelam kabut. Beberapa pemuda bertungkus lumus menahan tingkap daripada tercabut berikutan ribut yang menerpa terlalu kuat. Segera Tok Salleh selaku pak imam kampung itu menyuruh semua orang bertenang. Namun begitu, semakin lama ribut semakin ganas. Seakan tiada tanda langsung untuk berlembut.

Ahadiyat bangun turut membantu. Ketika sampai di muka pintu, dia mengangkat tangan lalu mengalunkan azan sekuat kuat hatinya. Berulang ulang kali Ahadiyat mengalunkan azan. Dihatinya dia berdoa agar Allah menyelamatkan mereka semua dari sebarang anasir dan bahaya. Perlahan lahan ribut yang mengganas tadi berhenti lalu reda hanya membawa gerimis hujan. Semua jemaah menadah tangan dan bersyukur. Mereka tak putus putus mengucapkan terima kasih. Segera tok imam menyuruh semua penduduk beredar dan kembali ke rumah masing masing sebelum ribut kembali lagi.

“ Rashid, dah tiba masa. Mari kita ke serambi emas” ujar Ahadiyat sambil menutup pintu surau. Mereka semua berpamitan dan berpisah di simpang menuju ke gelanggang silat di hujung kampung.

*************

Malam itu pekat, dingin dan sunyi sekali. Bekas- bekas ribut sebentar tadi jelas kelihatan Daun daun kering bertebaran. Alam pula seakan pegun tanpa sebarang bunyi. Tiada cengkerik, unggas mahupun burung hantu berbisik bisik malam itu.

Ditengah gelanggang silat atau serambi emas itu kelihatan sesosok tubuh sasa sedang duduk menghadapnya. Ya,,Razak!. Dia kenal wajah itu. Anak ketua kampung yang sungguh baik perilaku ketika dia membantu Lina tempohari. Wajah itu jugalah yang Allah izinkan terlihat di dalam hijabnya.

Razak tersenyum sinis. Ahadiyat dapat melihat dengan jelas bahawa gigi lelaki itu bertaring. Rashid yang mengekori sedari tadi terkedu. Dia tidak sangka bahawa empunya si puaka merah kelmarin adalah Razak! Razak si teruna budiman yang dikenalinya. Segera dia duduk dibelakang Ahadiyat. Dia tahu malam ini pasti ada jawapan antara pemuja syaitan itu dengan segala permasalahan yang timbul dikampungnya.

“ Kiambang satu bermata jingga, pipih halus daun keladi.
Mati dan nyawa antara dua, urat dan jantung taruhan kami”

Ahadiyat tahu benar. Razak menawarkan perhitungan hidup dan mati. Perlahan lahan dia duduk. Ayat pendinding diri dibacanya. Dia menadah tangan lalu berdoa kepada Yang Maha Esa agar segala pencaknya malam itu tepat pada sasaran. Khusyuk munajatnya pada yg Esa agar sihir dan khurafat dapat dihapuskan.

“ Rashid, perhatikan. Jika bayangannya dua, jangan kau tertipu dengan yang kiri. Jangan putus berzikir di dalam hati. Moga Allah bersama kita” tegas arahan Ahadiyat kepada Rashid. Dengan lafaz Bismillah, Ahadiyat bangun lalu membuka bunga silatnya.

“ Hahahahhaha. Sialan kau anak muda. Rasakan!!” garau suara Razak lalu terbang melayang ke arah Ahadiyat. Benar, dirinya berbayang. Hampir keliru dirinya dan Rashid. Namun apa yang terlihat jelas di mata Ahadiyat adalah tubuh Razak yang dikuda kudakan oleh seekor mawas lebat berbulu hitam. Segera Ahadiyat melompat lalu menendang laju ke arah perut Razak.

Razak terduduk. Hampir sahaja menyembur darah dari kerongkongnya. Tendangan Ahadiyat sungguh padu sehinggakan dadanya turut bergetar. Namun bukan semudah itu dia akan terkalahkan. Dia maklum Dukun Sempalit sememangnya kebal. Segera dia menumbuk tubuh Ahadiyat ke belakang lalu dihentaknya kepala Ahadiyat sekuat hati.
Ahadiyat rebah. Segera Rashid bangun untuk membantu namun tidak diizinkan Ahadiyat. Pantas Ahadiyat bangun lalu menepuk tanah di kakinya sambil membaca ayat ke 9 dari surah Yassin. Dia ghaib. Terpinga pinga Razak mencari lawannya itu. Sekelip mata, Ahadiyat muncul di belakang Razak lalu menghentak rusuk kiri musuhnya. Tulang rangka Razak patah. Mencucuk injap jantung utama. Mawas hitam itu menyinga lalu terbang merempuh tubuh Ahadiyat sehingga tembus.

“Bismillahirrahmanirrahim..Terdiri besi kursani dalam diriku. Dengan kalimah La ilaha Illah, La Hawla Wala Quwwata Illa Billah!!” baca Ahadiyat ketika mawas hitam itu merempuh dirinya.

Tembus. Mawas itu tembus kebelakang. Namun mawas itu diam tak bergerak. Kekebalan Dukun Sempalit hancur dek penangan Ahadiyat. Titik titik sendi dukun itu kaku. Lalu memancutkan darah. Ilmu kebalnya tewas sama sekali.

Ahadiyat duduk. Silanya diperkemaskan. Walaupun pada batinnya dia tercedera namun berkat zikir yang tidak putus, kesakitan itu dapat dilupakan. Dia membaca ayatul qursi dan As-Syuara ayat 130 lalu menghembus ke dua telapak tangannya. Pantas dia menumbuk Razak sekali lagi lalu mencekak lehernya. Ketika itu, jasadnya dan mawas itu telah berpisah. Kekebalan mawas itu juga sudah hilang. Sekuat hati Ahadiyat membaca ayat menghancurkan sihir dari surah An Nisa ayat 56 menjadikan Razak terjerit jerit kesakitan.
“ Lepaskan aku. Lepaskan aku sial!! Sakit!!!: Razak menggelupur. Mulutnya berhamburan darah. Nyawanya seakan tersekat di kerongkong.

Ketika ini puaka merah terbang lalu mencakar Rashid dari belakang. Rashid segera melemparkan garam bercampur lada hitam yang memang tersedia ke arah puaka itu. Menggelepar puaka itu terbakar. Sememangnya puaka itu sudah hilang kuasanya berikutan tidak dijamu darah. Bertalu-talu Razak membaling garam kepada puaka tersebut disertai bacaan ayat qursi. Semakin lama semakin hangus tubuh puaka itu. Asap berbau bangkai terbit dari setiap bahagian tubuhnya. Ia menghilang bagai angin kerana tidak tertahankan azab.

Mawas hitam itu berpaling. Kecederaannya sangat parah. Namun, adat bersatu selagi dia atau Razak belum mati, dia akan tetap melawan sehingga tumbang. Berkali kali dia cuba merempuh Ahadiyat namun mawas itu terdorong kembali ke belakang. Dia kepanasan yang teramat. Disekeliling Ahadiyat terlihat cahaya putih. Sana sini bergema bacaan Ayatul quran entah dari mana datangnya. Setiap kali dia mengasak, tiap kali itu jugalah mawas hitam itu terpelanting ke belakang.

Dalam kesakitan yang menujah-nujah, Ahadiyat bersuara
“Kau masih mahu bersekutu dengan iblis ini? Mahu kau mati dalam kekefuran? “ jerkah Ahadiyat kepada Razak yang sudah tinggal nyawa nyawa ikan.
“Aku takkan terkalahkan!! Kau belum kenal aku siapa!!” jerit Razak putus putus. Penumbuknya digenggam. Sekuat hati dihentaknya rahang Ahadiyat. Biarlah tenaga akhirnya mampu menghadiahkan kecederaan kepada lawannya itu.

Mudah sekali Ahadiyat mematahkan serangannya. Dicekaknya penumbuk Razak lalu di patahkan pergelangan tangannya ke belakang. Berkali kali sehingga lunyai. Sendi bahunya ditujah dengan buku lima. Razak meraung. Tenggoroknya dan seluruh badannya bagaikan disiat. Dia mendengar dengan jelas bacaan ayat quran bergema seakan menyertai setiap jurus lawannya itu. Serta merta tubuh Razak dihempas ke tanah. Sekuat hati Ahadiyat menujahkan lututnya ke belakang Razak lalu dengan kalimah La Ilaha Illallah, Ahadiyat bersedia untuk menyembelih Razak dengan tangannya.

“ Lepaskan aku!. Lepaskan aku!. Aku kalah. Aku tak tahan!!!!” jerit Razak bertalu-talu. Pergerakannya telah dikunci menjadikan dia hanya mampu menjerit tidak berhenti. Ketika itu mawas hitam itu mendengus kasar lalu menjerit kepada Razak.” Ingat perjanjian kitaaaaaaaaaaaaa!!! Kau dan aku adalah satu!!” serta merta mawas hitam itu menerkam Razak lalu membaham tubuhnya.

Ahadiyat berundur. Dihadapannya kini Razak sudah separuh mati dibaham oleh mawas itu. Tidak berperi kemanusiaan. Tangan kiri Razak putus, perutnya di benam dengan taring lalu ususnya diburaikan. Meraung raung Razak meminta bantuan namun tiba-tiba raungannya menjadi sepi. Bunyi mawas hitam itu sungguh menakutkan. Sungguh kejam. Rashid sudah separuh nyawa menggigil. Belum pernah lagi dia melihat keadaan sedahsyat itu. Segera dia berpaut ke dahan pokok paling hampir. Hampir dia pitam namun dia perlu sentiasa berhati-hati, peka dengan Ahadiyat agar tidak diserang hendap dari musuh yang entah dari mana datangnya.

Dalam keadaan genting itu, seiring dengan bacaan ayatul quran yang bergema , pantas Ahadiyat melantunkan Ayat ke tiga belas Surah Fussilat lantas dihembusnya ke arah mawas hitam itu. Demi sahaja ayat suci dihembuskan, dengan tidak semena-mena, satu sambaran petir menerjah tubuh makhluk terkutuk itu. Satu ledakan yang menyilaukan mata meletus, disusuli sebuah raungan dahsyat yang keluar dari anak tekak makhluk terkutuk jelmaan Dukun Sempalit itu. Hangit!. Bau bangkai pekat likat menerawang ke udara. Titis-titis darah manusia turut merecik ke sekitarnya. Meninggalkan kesan terbakar yang masih berapi api di gelanggang silat itu.

Ahadiyat beristighfar berulang-ulang kali lalu menuturkan kalimat dari ayat seratus sebelas, surah Al-Israa’. Nafas ditariknya perlahan-perlahan. Matanya dipejam rapat. Sungguh dia bersyukur atas segala urusan yang telah diselesaikan. Bacaan ayatul quran masih lagi kedengaran bergema di seluruh kawasan itu. Menghadirkan rasa tenang dan aman kepada hati-hati si pendengar. Ahadiyat mengungkapkan syukur yang tidak putus-putus kepada Sang Pencipta. Ketika itu juga, baru terdengar dicuping telinganya bunyi unggas hutan bersahut-sahutan. Sejuk pagi kian mencengkam kulit, mendedahkan kedamaian kampung yang hilang telah sekian lama.

“ Ahadiyat, Alhamdulillah kita berjaya”. Ujar Rashid seraya memeluk ustaz muda itu. Riak wajahnya sungguh gembira. Dia menepuk-nepuk belakang ustaz itu. “ Alhamdulillah A’la Kulli Hal”..balas Ahadiyat lalu tersenyum kepada Rashid. Dengan perasaan syukur yang tidak terhingga, mereka berdua sujud mengagungkan Allah disitu juga. Syukur Alhamdulillah!

*********************

Pagi itu, seluruh Kampung Jelintuh gempar. Mayat Pandak Sidek ditemui di belakang rumahnya. Berulat dan tidak sempurna. Kelihatannya seperti telah dua hari terbiar. Rumahnya dibakar berikutan terlalu banyak barangan pemujaan dan cebisan-cebisan tubuh badan manusia dijumpai. Razak juga telah menghilangkan diri. Namun begitu, Pak Mail dan Ahadiyat secara terbuka telah menerangkan perihal sebenar berkenaan dengan segala kejadian yang terjadi di kampung mereka itu. Maka berduyun-duyunlah orang kampung memohon ampun dan maaf kepada Rashid dan Pak Mail sekeluarga, atas salah dan silap mereka kerana terlalu cepat menghukum dan memburuk-burukkan Arwah Syukri.

“ Ahadiyat, terima kasih atas segala bantuan kamu kepada Pak Mail sekeluarga. Tak tahu bagaimana caranya Pak Mail ingin membalas budi Ahadiyat dan Rashid” ujar Pak Mail sambil menepuk-nepuk belakang kedua-dua anak muda itu. Terbit rasa hatinya ingin bertanya kepada Ahadiyat akan perihal Lina. Namun niat itu dipendam dalam dalam di ceruk hati tuanya. Dia tidak mahu dilihat mengambil kesempatan. Namun sungguh, tidak dapat dia menafikan akan kerinduannya kepada Syukri sentiasa bertandang acapkali melihat Ahadiyat. Dia beristighfar.

“ Pak Mail, saya ikhlas. Alhamdulillah ini semua dengan izin Allah. Cuma saya minta izin dari Pak Mail untuk tinggal lagi di kampung ini barang sehari dua. InsyaAllah selepas itu saya akan kembali semula ke Kampung Jahang” balas Ahadiyat sambil tersenyum. Matanya tercari cari kelibat Lina . Hampa. Lina tidak keihatan. Ingin sekali dia menatap wajah gadis itu, paling tidak untuk melihatnya gembira. Sudah terlalu lama dia bersedih atas pemergian Syukri.

Sekonyong konyong itu, terdengar suara Mak Siah menjerit dari atas rumah. Jeritannya sungguh kuat diselangi dengan tangisan dan raungan. Bergegas Pak Mail, Rashid dan Ahadiyat naik kerumah. Ruang tangga juga mula dikerumuni orang ramai. Kelihatan Mak Siah terduduk di hadapan pintu bilik Lina. Segera Pak Mail menyerbu masuk ke dalam bilik untuk melihat. Namun ketika baru sampai di muka pintu, Pak Mail terkesima, lalu jatuh terjelepok tidak bermaya.

Di dalam bilik, tergantung kaku mayat Lina di alang rumah. Tergantung dengan kain tudung tercerut kemas di lehernya. Lina telah pergi meninggalkan Pak Mail dan Mak Siah yang selama ini sangat-sangat menyayangi dirinya. Wajahnya pucat. Tubuhnya sejuk dan membiru. Ahadiyat terus menyerbu masuk ke dalam bilik lantas menutup matanya. Hatinya sebak. Perlahan-lahan, dia menurunkan tubuh Lina yang tergantung dengan cermat dan membaringkannya ke katil. Mayatnya ditutup. Segera Rashid memanggil beberapa orang perempuan untuk membantu menguruskan jenazah.

Ketika itu juga, Ahadiyat terlihatkan sepucuk surat bertulisan tangan terletak kemas di atas meja. Segera dia mengambil lalu membacanya.

“ Assalamualaikum mak, abah yang sangat- sangat Lina kasihi…

Ampunkan Lina mak, abah. Lina sejujurnya sudah tidak mampu untuk menanggung beban ini. Berkali-kali Lina cuba untuk jadi kuat dan melupakan Abang Syukri. Tetapi Lina tak mampu emak..abah. Kemana-mana sahaja Lina pergi, berkali kali cacian pada Abang Syukri yang Lina terima. Lina rindukan dia. Lina tak kuat mak…

Ampunkan Lina dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Ampunkan Lina yang selama ini tidak mampu berjasa dan menjaga kalian berdua sehingga ke akhir hayat. Halalkan segala butir nasi yang mak abah berikan kepada anakmu ini. Ampunkan Lina mak, moga dengan pemergian Lina ini, seisi kampung berhenti mencaci Lina dan Abang Syukri. Biarlah kami pergi dengan tenang. Semoga tiada siapa yang akan terluka lagi selepas ini.

Buat Ahadiyat. Sepuluh jari Lina hulurkan. Berterima kasih atas bantuanmu kepada diri yang tidak seberapa ini. Sungguh hati ini tidak kuat melihatkan dirimu. Namun Lina sedar, Lina bukan siapa-siapa. Terima kasih atas ketulusan dirimu dan sempat membuat Lina bahagia walaupun sekejap cuma.”

Surat itu dilipat semula. Airmata lelakinya berguguran. Ahadiyat meraup wajahnya lalu beristighfar. Perlahan-lahan dia melihat sayu kepada jenazah Lina, wanita yang sempat dia cintai setulus hatinya sejak dari pandangan yang pertama.

******************************
Dalam rembang tengahari itu.. nun jauh di ceruk hutan hujung Kampung Jelintuh, kelihatan sesosok tubuh berwarna merah pekat sedang menggomol rakus rangka basah bersisa daging hancur. Gigitannya rakus. Melahap sisa daging dan menghidu –hidu darah dari rangka itu.

“ Tuan..aku lapar” bisik puaka merah itu dalam dengung unggas dan cengkerik yang bersahutan.

******************************

Kampung Jelintuh, 1984

Seisi kampung berkumpul mencari Lina malam itu . Hampir segenap ceruk, kebun, mahupun perkarangan rumah lama arwah neneknya mereka mencari Lina namun masih tidak berjumpa. Ayuni yang turut serta dalam pencarian itu turut keliru. Rasanya baru benar dia berjalan dan mengusik kakak saudaranya itu. Baru benar dia berbual manja dan ketawa bersama-sama. Tiba-tiba sahaja Kak Lina hilang. Dalam kegalauan hatinya itu, sayup- sayup dia terdengar nyanyian dari tingkat atas rumah arwah nenek. Sesaat itu Ayuni memandang, kelihatan bayang-bayang Lina berbaju putih sedang duduk bersidai di jenang pintu. Sedang tersenyum ke arahnya….

Tamat

Yang ni betul betul tamat. Ikhlas dari aku seorang rakyat marhaen baru bertatih nak menulis. Maaf kalau banyak terkurang. Jangan kecam banyak-banyak hati aku ni tisu basah. huhuhu

Tolong tolong dengar lagu Malam Ini Kita Berpisah nyanyian Liza Hanim. Terima kasih semua!!

115 thoughts on “Sayang Disayang (bhg. 2)”

  1. Bismillahirrahmanirrahim..Terdiri besi kursani dalam diriku. Dengan kalimah La ilaha Illah, La Hawla Wala Quwwata Illa Billah!!” baca Ahadiyat ketika mawas hitam itu merempuh dirinya.

    Ayat ni mcm pnh, dgr,… dpt dari mna ye?

    Reply
      • Tkde masalah klau amalkan. Yg jd masalah bila beramal tp tak tahu apa yg diamalkan. Kalimah ni untk org yg dah diaktifkan shj. Alhamdulillah bagus klau penulis mmg ada berguru. Hehe. Sekian lama cctv kali ni baru terasa nk komen. Hahahaa

        Reply
  2. Alamak..ending nya lina mati bunuh diri..huuaaahh T_T…bru berbunga dihati yg si lina bakal berkawin dgn ahadiyat… sedih sgt2…

    Reply
  3. THE BEST STORY EVER!!!…
    Kalau ada lagi story mcm ni minta submit lagi yea…tp ending nya mesti lah yg happy sikit..:-)

    Reply
  4. Terbaik..antara semua crita yg penah saya baca…mudah faham…walaupun ending sedih,hihi.. ☺☺…saya baca sejam lebih crita Cik matahari ni..
    10/10.. 👍👍

    Reply
  5. sedih ye…drpd part 1, menangis baca..part 2 ni…start cerita pn nangis..itu belum dengar lagu lg..dh menangis2 smoai berair hidung tau!

    Sedih watak Lina tu, sampai kita skali dpt merasa perasaan tu..tambah2 kita pmpuan..trbayang sedih sgt kalau org yg disayang mati, n trjumpa plak org yg mirip arwah.

    Thank you Cik Matahari, for this wonderful story.

    I wish I can write like you, feels tu rse jujur dr hati.

    Well Done!

    Reply
    • Thanks Nia.

      Tipula masa sy tulis sy pun tak nangis. hahaha. dengar lagu pun menangis juga. hahaha
      by the way..ini cerita betul..jadi tahun 2018 ni. tapi versionnya lain. apa2 pun. terima kasih support.
      kalau nia menulis..jgn lupa sent kt saya okay!

      Reply
  6. erm.. baca dari part 1. if Lina dah mati, knp mak sedara & pak sedara dia mcm tak de perasaan? siap tanya lama tak balik lagi. kalau kena kat aku.. dah lama dah lari x cukup tanah nampak org dah mati dtg rumah

    Reply
    • Terima kasih sudi baca. aah dia macam tak tally sikit awal dengan hujung. tapi sebenarnya ada sambungan saya je tak sempat olah. cerita asalnya tak siapa tahu Lina bunuh diri since orang kampung jumpa Ahadiyat dan Pak Mail dekat luar bukan rumah. dan selepas kematian Lina..sekeluarga pindah untuk mengelakkan rasa sedih tu. anyway thanks atas tegurannya. cliffhanger sikit baru la best kan.. kita santai santai saja…hehehehe

      Reply
  7. Kampung Jelintuh, 1984

    Seisi kampung berkumpul mencari Lina malam itu . Hampir segenap ceruk, kebun, mahupun perkarangan rumah lama arwah neneknya mereka mencari Lina namun masih tidak berjumpa.

    Cik Matahari, yg ni Lina mana pula ye? konpius ni.

    Reply
  8. sambungan cerita yang dinanti2.. Alhamdulillah.. dpt ahkhirnya. penantian yang tak sia2. terima kasih penulis.. best cerita..
    * awal2 td dh komen tiba2 line kurang hahaa

    Reply
      • memg tak lupa. selalu google balik mana tahu sudh dipost part tu. tp masih takde. sbb cerita memg menusuk ke kalbu hahaa
        . ingtkan lina n ahadiyat akan kawen @ ahadiyat mati masan bertarung. rupa2nya lina bunuh diri. tp dr part1 si lina ni memg dh pelik masa masuk rumah lama dia dgn sepupu.. btw thanks n karanglah lagi cerita..

        Reply
  9. Part 1 mmg dah baca tapi terpaksa baca balik sbb dah lama..x sangka pulak ada part 2..citer ni mmg best boleh dibukukan..Saya bagi 10/10 untuk cik Matahari..Rasa macam lepas tgk movie pulak terbayang2 jer..

    Reply
  10. THE BEST STORY.. paling menarik yang penah saya baca dalam FS ni.. mohon teruskn mnulis lagi jika ada.. saya bg 10/10.. sangat2 mnyentuh hati.. tapi tentang lagu tu saya xdgr lagi.. kipidup…

    Reply
  11. malam ini kita berpisah
    rasa hati resah gelisah
    pulanglah kanda wahai pujaan
    selamat jalan
    * cerita yng di tunggu selama nie pnya lama sampai lupa bhgian 1 hahahahh.
    sedeh betol kisah lina..part last tue terjawap lah kenape lina muncul balik..

    Reply
  12. penulisan sgt3 terbaik.. terpegun dgn bhasa2 cik matahari <3 . tq writer . jd mksudnye, yg lina muncul balik 1984 jelmaan eh?

    Reply
    • Ye kak dee. Kak dee mekasih drop komen..ni writer idola kita ni.. hihi.. biasa biasa aje..lg terpegun dgn bahasa kak dee.
      Mohon kak dee..doakan adik kt sini. Smoga smuanya selesai.

      Reply
  13. Cita sedari mmg best…story nie feel so alive to me..rsa mcm dpt menyingkap jalan cerita nie..mcm terbawa sama msuk dlm jln cerita nie…at the end of story sgt sedih..😭

    Reply
  14. Subahanallah… Alangkan bagusnya kalau lina Dan Ahadiyat brsatu sangat bagus gaya penulisan sampai menangis bila baca bahagian syukri di pukul… Allahhuakhbar…

    Reply
  15. ayat2 al-quran yg ad kt dlm cite ni btl blh gne ke?100/10…ag2 bru lps bce yg bhgian 1…mmg blh wat bku.dgn gya bahasa,ayat2 al-quran,mmg blh jual la cite cik matahari ni…

    Reply
    • 100/10? hihihi

      terima kasih sudi baca part 1 dan part 2 sekali.. baru faham kan.
      bab ayat-ayat tu..sy kena ucapkan terima kasih dekat second writer saya. dia pakar bab ni.
      hihi..cerita tak seberapa ni..nk jual kemana agaknya =)

      Reply
  16. saya berharap sangat supaya lina dapat berkahwin dengan ahadiyat tapi bila baca ending dia mati bunuh diri. gugur air mata saya. allahu penulisan yang sangat bagus. keep it up

    Reply
    • Kan..saya pun berharap Lina kahwin dgn Ahadiyat.. tapi x mengapalah. Terima kasih atas suppprtnya.. maaf jika tak seberapa

      Reply
  17. Okey..
    dah masuk kali ke 3 ulangsiar baca kisah ni..
    Serius jalan cerita baik,plot menarik..anti klimaks ending 😭😭
    Olahan yg kreatif,seolah pembaca berada di tempat penceritaan..
    Good job,moga terus bekarya ya 🙏

    Rating : 9.5/10

    Reply
  18. Aku suka gaya penulisan penulis ni. Bila baca tulisannya, teringat gaya penulis Tamar Jalis. Dah lama tak membaca kisah misteri/seram dengan gaya bahasa macam ni. Syabas dan teruskan berkarya.

    Reply
  19. Ahadiyat. Boleh buat nama anak ni alang2 first huruf nama suami “A”..Sesuai nama dgn perwatakannya..Semoga bakal hero aq sama macam perwatakan dalam cerita ini..Aamiin.. 😁

    Reply
  20. Ni kisah benar ke? Jadi siapa lina yg balik kg jumpa mak teh tu? Kan lina dah mati bunuh diri? Mohon pencerahan dari penulis…cita mmg best..tq

    Reply
  21. Lina yang balik ke Kg Jelintoh masa bahagian 1 tu sapa sebenarnya? Keliru sikit. Kalau bole penulis bagi la pencerahan..tapi cerita ni memang sangat menarik.

    Reply
    • Hehee.terima kasih sebab curios yang ni.. okay kita santai santai aje okay.. cter ni mengisahkan Lina yg dah mati..balik ke kg semula untuk reveal cerita ini. Jadi..penceritaan ini ttg kisah hidup Lina..Syukrindan Ahadiyat. Sebab tu ending Part 2 explain Ayuni dan orang kampung cari balik Lina tu. Thats y juga awal part 1..Lina boleh duduk saja rumah arwah nenek dia bergelap semua. Cerita ni bersambung balik ke Part 1.. hihi sory kalau readers keliru.

      Reply
  22. Ya…saya pun nak tau juga Lina yg balik tu SAPA? dia kan dah arwah…best kalau buat drama/filem kisah mcm ni…saya mmg suka cerita zaman2 dulu…masih berbekas dihati kisah SEKUNTUM BUNGA DAHLIA BIRU…kisah tahun lepasdi FS…kisah gadis zaman dulu bercinta dengan lelaki bunian…ending gadis tu mati jugak dik cinta tak kesampaian antara dua dunia…huuu

    Reply
  23. Cerita macam nielah yang paling layak duduk dekat Page nie…
    Aku begitu kagum dengan gaya penulisan, sehingga menitis air mata kelakianku ini apabila aku membayangi dan meletakkan diri aku didalam cerita ini…

    Syabas kepada penulis..

    kalau ada cerita-serita SERAM, emailkan kepada saya boleh?
    [email protected]
    atau buat satu blog ke….

    Reply
  24. jika ia kisah benar mmg kesian sungguh si Lina…napa la kan zaman dulu2 bila ada je gadis cantik satu kg berebut…sampai guna sihir bagai…endingnya mati…alahai…mmg benar kata kawan kelas saya…jadi wanita cantik pun ujian…bila ramai yg mau…ramai la yang dengki…kaum sejenis sendiri pun leh jadi dengki sekali…tp lumrah lelaki…mmg impikan gadis cantik dijadikan isteri…walau tak semua..tp mmg begitu la resam dunia…yg cantik tetap jadi pujaan hati…yg tak cantik kena usaha la..tp jodoh ni bukan kira rupa…jika dah sampai jodoh..ia tetap datang…

    Reply
  25. Cerita seram terbaekkkk, best wishes, kalau ending tu ubah sikit as happy ending lagi seronok rasanya, knp x jodohkan Lina dengan Ahadiyat yer, agak terkilan jgk anyway very nice story. congrats!!!

    Reply
  26. Kenapale lemah betul iman Lina sampai bunuh diri…itu sebabnya kena duduk dlm rumah selama 4 bulan 10 hari…ke kubur pun x boleh…mati pulak dlm keadaan bunuh diri ish3.. Nauzubillah.. semoga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang tidak dapat.

    Reply
  27. Lina tu asalnya kuat solat dan mengaji…tp dia lemah…tu sebab org yg tgh kecewa jangan dibiarkan sendirian…terutama yg jenis suka memerap dibilik 24 jam…patut temankan dia ke kubur jika berkeras nak tgk kubur arwah suami…tak kira la yg mati suami ke isteri ke…anak2 ke…pada ibubapa sekelian…jgn sesekali biarkan anak sendirian didalam bilik meratap atau bila tgk semacam aje…dekati mereka…tanya mereka…berikan smgt dan galakan…sesungguhnya SYAITON/JIN mmg mudah sgt masuk kedalam jiwa dan berbisik2 di hati orang2 spt ini utk berbuat yang salah spt bunuh diri ni…dah banyak kisah2 di FS yang saya baca bertahun2 selalunya mereka yang suka bersendirian samada di dalam bilik/rumah atau tinggal sorang2 di pejabat utk kerja lebih masa diganggu makhluk halus…

    Reply
  28. tahun 2007-2008 saya tinggal seorang diri dirumah yang sebelum itu berbulan2 kosong….dan bermulalah gangguan melanda diri dirumah tersebut…rupa2nya rumah itu ada sekeluarga jin yang tinggal…(utk makluman rumah yg tiada orang lebih dari 3 hari mmg akan ada la benda datang duduk..apalagi kalau berbulan2 tiada orang) Disamping itu saya sedang bersedih sgt dgn masalah2 peribadi..jadi mudah benda tu hendak menganggu saya…oleh krn saya tidak pernah miss tinggal mengaji hati jadi kuat semula dan mula mengadap sendiri gangguan2 tersebut…mulalah sesi berubat sendiri dgn tunjuk ajar rakan sepejabat….oh ya kes ni tiada kena mengena kisah cita diatas ya…cuma sekiranya ada pembaca ada masalah duduk dirumah yg ada entiti mungkin boleh cuba cara saya ni…pertama sekali bila pindah rumah baru…bacalah Yasin beramai2..jemput rakan/keluarga…tabur garam kasar keliling rumah (bahagian dalam)…renjis air yassin selama lebih sebulan didalam rumah…garam kasar ni mematikan dan mencederakan jin2 menurut perawat Islam…letak garam atas para pintu masuk..boleh juga letak bawang kecil/lada hitam dalam rumah (ditepi2 dinding dlm rumah)…solat hajat setiap hari untuk bersihkan rumah yang lama kosong itu…dan paling utama MENGAJI SETIAP HARI…rumah yg didalamnya ada bacaan Al Quran rumahnya akan terang benderang…rumah tersebut akan terang kelihatan dari langit..dan sapa2 yg masuk rumah tersebut akan rasa sendiri aura positif…rumah yg tiada bacaan Al Quran akan kelihatan kelam..kusam dan jin setan suka masuk dan menghasut si penghuni utk berbuat yg tidak elok..selain itu jangan terlalu BERSEDIH ATAS APA JUA MASALAH…bila sedih badan akan jadi lemah dan syaiton jin akan ambik kesempatan berbisik pada manusia utk bunuh diri misalnya…

    Reply
    • terima kasih cik rafflesia atas pencerahannya..semoga kisah Sayang Di Sayang ini dapat jadi medium kita semua untuk saling mengembangkan ilmu dan juga berkongsi pendapat. saya setuju dengan komen dan saranan cik diatas.. kita tak tahu esok lusa apa jadi pada kita..dan apa pun terjadi..sentiasa persiapkan diri kita dengan amalan. ingat satu perkara..segala yang dilangit dan di bumi adalah milik Allah semata-mata..semoga Allah sentiasa melindungi hamba-hambaNya dari sebarang kejahatan..nampak mahupun tidak.

      aamin.

      Reply
      • sama2…t.kasih pd cik matahari kerana berkongsi cerita yg amat menarik hingga berbekas dijiwa…saya sarankan cik matahari search kisah SEKUNTUM BUNGA DAHLIA BIRU…di Fiksyen Shasha ni…ni antara cerita yg juga berkesan dihati saya juga…cinta antara 2 alam berbeza..manusia dan bunian…endingnya manusia itu mati bila cinta tak kesampaian…

        Reply
  29. yesss..sy ingt Sayang Disayang Part 1..Rindu sgt cerita ni..Gaya penulisan lain dari yang lain..And “Sayang Disayang” ni nama Group wasup sy..heehe

    Reply
  30. Aku sangat kecewa bila Lina pilih utk bunuh diri. Aku tak kisah klu lina dgn ahadiyat x berjodoh walaupun aku harap ending dia happy. Tapi ntahlah. Sedih, kecewa, terkilan bila Lina bunuh diri. Haih.. Teremosi baca cite ni. Gaya penulisan bagus..

    Reply
  31. hebat .
    tolong lah buat lagi cerita hantu lina dan ayuni serta puaka tu
    puaka tu belum mati lagi .
    kisah ustat tu pon boleh gak sambung

    Reply
  32. Best cerita ni…sllnye sy boleh agak ending cerita… tp kl ni mmg best penulis pandai pusing2 cerita.,,menjdkan cerita ni menarik…. baca cerita ni terkenang penulis arwah tamar jalis…

    Reply
  33. Ondaik teraso sampaei ke hati deko……ako bagi bintang 10/10 …terbaik org kampung…
    Raso banggo Kg jelintoh , Kg sg Itek, Kg Jahang ado dlm penulisan iko…
    tahun 2020 baru terbaco…

    Reply
  34. Assalamualaikum cik matahari…
    Cuma nak tau kalau cerita ni telah dibukukan? E-book pun x kisah. Klu ada di mana nak dapatkn bukunya ya?
    Sy baca part 1, mujur x panjang sgt. Rasa macam boleh bah berterusan kalau tulisannya lagi panjang hehehehe… Sedih amat… X tertanggung beratnya beban lina sekeluarga… Andai cerita fiksyen semata, bersyukur sy.. Andai cerita benar spt diruangan komen (kejadian 2018, maaf andai tersalah kefahaman) sy doakan agar waris yg masih ada dberi kekuatan dn ketabahan,dn semoga jalan mereka diterangi cahaya mnuju kpd Sang Pencipta…
    Terima kasih juga atas perkongsian ilmu tentang penggunaan ayat2 Al Quran bg situasi tertentu. Semoga penulisan saudari akan terus memberi manfaat kpd pembaca2.

    Reply
  35. Saya jarang baca cerita2 mcm ni,tapi nak nafikan mmg best, terbaik jln cerita,sy rsa mcm pergi ke masa lampau,kalau betul cerita ni lgilah memberi kesan,dan tak pernah sy komen pun.terbaik penulis,teruskan, sy suka emding dia,sbb dalam hidup ni tak semuanya happy ending, kena berdepan dengan realiti kehidupan.
    Nak tau sgt cerita kat mana betul2 jadi.

    Reply

Leave a Comment