Sekolah Berhantu

Hello semua pembaca FS, membaca setiap cerita seram yang dikongsikan, terdetik untuk saya berkongsi kisah benar yang saya sendiri perna alami.

Kisah ni bermula pada tahun 2006, waktu tu saya tingkatan 2. Saya dan beberapa rakan telah mewakili sekolah kami dalam sukan. Kami berada di sekolah tuan rumah selama 4 hari 3 malam. Sekolah itu memang terkenal dengan cerita-cerita seram.

Hari pertama kami di sana, seorang pelajar yang memang sekolah di sana mengatakan yang sebuah bangunan sekolah yang terletak di tepi sekali jarang dikunjungi oleh pelajar. Mendengar cerita itu kami mula ingin tahu dan memintanya menceritakan kisah disebalik bangunan itu. Katanya di tingkat 2 bangunan itu berkunci dan pada waktu malam ia gelap sahaja.

Malam keduanya, kami semua berada di luar kerana tempat mengambil makanan berada di luar dorm dan di sana kami dapat melihat bangunan itu dengan jelas. Memang tingkat dua gelap dan hanya tingkat satu yang lampunya terbuka. Selesai makan,  kami pun bergurau senda di sana bersama rakan-rakan atlet yang lain sambil main sembunyi-sembunyi.

Masa itu saya sembunyi di belakang kereta cikgu saya yang kebetulan paking di depan tempat ambil makanan. Sedang bersembunyi, tergerak hati saya untuk melihat bangunan itu dan…Paaaammm! Betul sangkaan saya, saya melihat seorang budak perempuan seolah-olah sedang memandang saya dari jendela bangunan. Walaupun keadaan gelap, namun saya masih nampak jelas kelibatnya. Bajunya berwarna biru, rambutnya ikal sedikit sampai baru.

Mulanya saya ingat atlet dari sekolah lain, tapi saya hairan sebab bangunan tu tidak digunakan untuk mana-mana kontinjen. Jadi saya lambaikan tangan padanya. Namun tiada balasan pun. Saya hairan, saya pun cuba berjalan beberapa langkah untuk melihatnya lebih jelas dan alangka terkejutnya saya, apabila melihat jelas yang dia tiada wajah! Halus sahaja mata, mulut, hidung tiada!

Saya sangat terkejut, dan berjalan ke belakang dengan laju sambil mata masih melihat dia. Saya terhenti oleh kereta yang cikgu saya paking di sana. Cikgu saya terkejut melihat saya yang sudah pucat. Dia bertanya, “Kamu kenapa?” dan saya jawab “Tiada apa-apa, cikgu”. Saya tak mahu dianggap minta perhatian oleh mereka.

Setelah itu saya dan kawan-kawan saya pun masuk dalam dorm. Dari jauh kami terdengar kawan kami dalam dorm berteriak sambil menangis. Kami terkejut dan cepat-cepat ke sana. Kami melihat dia sedang ditahan oleh kawan-kawan yang lain. Kami hairan, kami tanya apa yang berlaku. Namun mereka mengatakan yang dia ternampak sesuatu. Kemudian dia sambil menangis berkata,”Saya nampak hantu! Bajunya biru, rambutnya paras bahu, tapi dia tiada muka!” Katanya…saya terdiam! Rupanya bukan hanya saya yang melihat, tapi dia juga ternampak benda itu.

Namun rakan-rakan yang lain tidak percaya. Ada yang senyum ada yang jadikannya gurauan, dan ada juga yang marah kerana percaya yang dia hanya buat-buat cerita minta perhatian. Tapi bagi saya, saya percaya kerana saya juga nampak benda itu. Kemudian dia tambah lagi, “Lepas tu mukanya tiba-tiba pecah! Saya nampak sangat!” Katanya…aduii, sampai begitu sekali. Syukur saya hanya nampak dia seolah-olah memandang ke arah saya seolah-olah sedih yang dia tak dapat bergurau senda dengan kawan-kawan seperti saya yang sedang bermain-main dengan kawan-kawan pada masa itu.

Setelah ditenangkan oleh atlet-atlet senior kami, kawan kami yang ternampak benda itu pun tertidur. Kami sengaja tak memberitahunya kepada jurulatih kami kerana jurulatih kami masa itu sangat tegas, takut didenda..hahaha. Saya sendiri pun tak memberitahu sesiapa apa yang saya nampak malam itu. Setelah selesai sukan dan kami sudah balik dari sana baru saya ceritakannya pada kawan-kawan saya. Mereka sangat terkejut terutama kawan saya yang ternampak itu juga.

Itulah kisah benar saya. Sehingga ke hari ini saya masih ingat jelas gambaran benda itu yang seolah-olah cemburu dan sedih melihat kami bergurau senda. Mungkinkah dia rindu bersama kawan-kawannya dulu semasa dia masih hidup? Andaian saya seperti itulah.

Terima kasih sudi baca kisah saya. Jika ada salah dan silap, mohon diampunkan…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Lilly

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.