Nama aku Ratu. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kucar-kacir. Mak abah aku asyik bergaduh dari aku kecil sampai aku dah kahwin. Setelah berkahwin aku mengikut suami aku berpindah ke Kuantan. Pada awal perkahwinan semuanya baik-baik sahaja sehinggalah aku mendapat tawaran kerja di sebuah agensi kerajaan di ibu kota.
Aku akhirnya menjadi pasangan jarak jauh bersama suamiku dan di sinilah segalanya bermula. Setelah hampir dua tahun berkhidmat aku mula jatuh sakit. Setiap kali selepas waktu Asar ke atas aku akan berubah menjadi pelbagai jenis haiwan seperti monyet, harimau dan buaya. Tidak tahan dengan gangguan yang menimpa kami akhirnya berusaha untuk berubat.
Banyak tempat yang kami pergi mengatakan itu merupakan gangguan saka keturunanku. Disebabkan kami pasangan jarak jauh, sewaktu aku sakit yang menjaga aku adalah teman serumah aku. Satu hari beliau terambil video di pintu bilikku dan ternampak satu lembaga terbongkok-bongkok tua berwajah hodoh di pintu bilik tidur aku. Oh ya lupa nak beritahu yang kami tidur di ruang tamu dan teman serumahku ini tidak sengaja mengambil video pada malam itu.
Suatu malam aku diserang histeria. Sahabatku tidak tahu mahu berbuat apa lagi lantas menelefon ibu bapaku di Melaka. Keluargaku bergegas datang kepadaku. Begitu jua suamiku dari Kuantan datang malam itu juga. Keluargaku selamat sampai tetapi tidak suamiku. Kereta yang dipandunya terasa begitu berat seolah-olah dihempap benda berat dan bila beliau menoleh ke cermin sisi ada nenek kebayan yang menyeringai. Suamiku akhirnya berhenti tidur di Genting Sempah atas saranan keluargaku kerana bimbang hal yang buruk menimpa suamiku.
Aku akhirnya berulang ke tempat kerja dari Melaka ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas jam lima pagi. Suatu hari seperti biasa aku ke stesyen bas untuk ke tempat kerja tetapi hari itu adalah malang bagiku apabila aku terasa seperti ada rempuhan kuat yang menolak aku jatuh dari platform bas. Akhirnya aku diberi cuti sakit selama empat belas hari akibat kakiku yang cedera.
Sepanjang ketiadaanku di tempat kerja, rakan-rakan sekerja menceritakan bahawa mereka terserempak dengan aku di dalam lif dalam keadaan sarat mengandung. Apabila ditanya, aku hanya mengangkat muka dan menyeringai. Ada juga rakan sekerja yang menjumpai aku di tandas tetapi hilang disebalik dinding tandas. Mereka menyatakan aku boleh tembus dari dinding ke dinding.
Setelah habis cuti sakitku dan masuk semula bekerja, rakan-rakan sekerja yang terserempak denganku pasti merasa takut seperti ternampak hantu. Ini menambahkan tahap stress dan kemurungan yang aku alami. Kejadian bertukar menjadi haiwan selepas waktu Asar tetap berterusan di tempat kerjaku.
Hari itu aku tidak pulang ke Melaka kerana habis kerja lambat. Maka, aku mengambil keputusan untuk tidur di rumah sewa sahaja. Malam itu aku memberanikan diri tidur di dalam bilikku berseorangan kerana aku tidak mahu menyusahkan teman serumahku. Tiba-tiba, lampu tidur yang aku pasang meletup begitu juga lampu kalimantang bilik. Aku serta merta bangun dan di dalam kegelapan itu aku melihat satu susuk nenek kebayan yang menjengilkan mata betul-betul di hadapan mukaku. Aku kaku dan pengsan sampai pagi.
Suatu hari ketika usai solat, aku terus membuka al-quran lantas mengalunkan ayat-ayat suci tersebut. Kemudian, datang nenek kebayan dalam keadaan terbongkok-bongkok dengan kain batik di atas kepalanya dan tongkat di tangannya. Lantas dia meletakkan tempurung di hadapanku sambil berkata aku nak darah. Aku membalas bahawa di sini tiada darah melainkan al quran dan zikir. Pilih mana yang engkau mahu. Jika tidak tinggalkan aku. Dia lantas berlalu pergi setelah aku terus mengalunkan ayat-ayat suci al-quran.
Aku juga sering bermimpi didatangi nenek kebayan ini dan meminta aku memulangkan haknya berupa cucuk sanggul emas. Masalahnya aku tidak tahu menahu tentang cucuk sanggul emas yang diminta itu. Aku bertanya kepada mak dan abah. Mereka juga buntu dengan permintaan nenek kebayan itu.
Aku akhirnya berhenti kerja setelah sakitku semakin melarat dan aku pulang ke Kuantan. Sehingga kini aku masih sakit dan dihantui nenek kebayan tersebut. Aku juga mendapatkan rawatan pakar psikatri. Alhamdulillah setelah mendapatkan rawatan psikatri dan makan ubat-ubatan yang dibekalkan aku semakin tenang menghadapi kehidupan walaupun nenek kebayan tersebut sentiasa menghantuiku.
Maaf sekitanya penceritaan aku tidak menarik. Aku bukan setakat boleh nampak nenek kebayan itu tetapi juga diizinkan Allah swt melihat makhluk-makhluh halus. Sekian cerita aku yang tidak seberapa. Terima kasih admin sekiranya menyiarkan cerita aku.
kenapa tajuk cerita sekarang jadi panjang2 ye? sebalum ni normal je pendek2