Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Semak Di Denai Padang

Assalamualaikum. Salam sejahtera buat semua pembaca setia. Sebelum saya mulakan, izinkan saya kongsikan satu kisah yang sampai sekarang masih terbayang-bayang bila teringat wajah sahabat baik saya, arwah Rahmat. Semoga kisah ini dijadikan pengajaran buat kita semua. Lupa nak kenalkan diri pula, nama saya Azirul. Baiklah kita teruskan dengan penceritaan.

Tahun 2001, saya masih bersekolah tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah berdekatan Kampung Bukit Rusa, sebuah kampung kecil yang dikelilingi kebun getah dan sawah padi. Waktu tu, bola sepak adalah segala-galanya bagi kami budak-budak kampung. Setiap petang, lepas balik sekolah, kami akan berkumpul di padang kampung untuk bermain sampai lenguh kaki.

Antara member rapat saya waktu tu ialah Rahmat dan Mukmin. Kami bertiga memang tak pernah berpisah. Kalau main bola, mesti sama-sama. Kalau balik pun, sama-sama juga.

Petang itu, lepas habis main, kami bertiga duduk berehat di bawah sepohon pokok rambutan kecil, tak jauh dari padang. Peluh masih membasahi baju. Kami berbual kosong sambil ketawa-ketawa mengenangkan gol yang tersasar tadi.

“Aku balik dulu. Mak dah suruh balik awal.” kata Mukmin sambil bangun mengesat peluh di dahi.

Kami hanya mengangguk. Mukmin pun berlalu meninggalkan kami berdua. Tinggal aku dan Rahmat di situ, berborak sekejap lagi sebelum sama-sama bangun untuk pulang.

Dalam perjalanan pulang, kami perlu melalui denai kecil yang menghubungkan padang dengan kawasan kampung. Denai itu agak sunyi, dikelilingi pokok-pokok tinggi dan semak. Tiba-tiba Rahmat berhenti.

“Zul, tunggu jap. Aku nak kencing.” katanya sambil melangkah masuk ke celah semak di tepi denai.

“Owh, cepatlah. Dah nak maghrib ni.” balas aku sambil berdiri menunggu di tepi jalan.

Aku tak perasan sangat kat mana tepatnya Rahmat berhenti. Cuma aku dengar bunyi air kencing dan lepas beberapa minit, dia keluar semula dari semak sambil mengelap tangan pada seluar.

“Jom.” ajaknya pendek.

Kami sambung berjalan pulang seperti biasa. Tiada apa yang pelik. Tiada apa yang aneh. Sampai di rumah masing-masing, semuanya normal. Aku makan malam, tengok TV sekejap, dan tidur seperti hari-hari lain.


Esoknya, aku bangun awal untuk pergi ke rumah Rahmat sebab kami ada janji nak main bola sekali lagi. Tapi bila aku sampai, aku dapati keadaan agak lain daripada biasa. Emak Rahmat, Mak Zaitun, kelihatan gelisah di muka pintu.

“Zul, Rahmat tak boleh bangun ni. Kaki dia bengkak.” kata Mak Zaitun dengan nada cemas.

Aku terus masuk ke bilik Rahmat. Aku nampak dia terbaring, mukanya berkerut menahan sakit. Kaki kirinya bengkak besar, warna kemerahan, dan nampak macam ada bintik-bintik hitam di sekitar buku lali.

“Rahmat, ko kenapa ni?” tanya aku, cemas.

“Tak tahu la Zul… Malam tadi lepas balik main bola tu, kaki aku dah rasa gatal-gatal sikit. Pagi ni terus bengkak macam ni.” jawabnya, suaranya lemah.

Aku terdiam. Fikiran aku terus melayang ke kejadian petang semalam. Di semak tu. Waktu dia kencing tu.

Kata jiran sebelah rumah Rahmat, Pak Cik Rejab, semasa dia lalu depan rumah pagi itu, dia dengar suara rintihan Rahmat yang kuat sampai kedengaran dari luar pagar.

“Macam orang tercabut nyawa bunyinya. Kesian budak tu. Aku sendiri ngeri dengar.” kata Pak Cik Rejab bila ditanya jiran-jiran lain di kedai kopi.

Emak Rahmat dah bawa Rahmat berjumpa doktor di klinik kesihatan. Doktor beri ubat dan suntikan tapi bengkak tak juga surut. Malah semakin membesar. Ada yang mencadangkan pergi berjumpa ‘orang lama’ kampung sebelah, tapi Mak Zaitun enggan. Dia lebih percayakan hospital.

“Kalau nak ke sana, biar kita berubat dengan cara yang betul-betul dibenarkan. Jangan main-main dengan bomoh, aku tak nak dosa,” kata Mak Zaitun tegas bila dipujuk jiran.

Rahmat dibawa ke hospital daerah. Doktor kata mungkin jangkitan kuman biasa. Diberi antibiotik. Tapi tiada perubahan. Malah semakin teruk. Sakitnya bukan calang-calang. Kata Mak Zaitun sendiri, malam-malam Rahmat akan mengerang kesakitan sampai tak boleh tidur. Kadang dia akan meracau, cakap benda yang tak masuk akal.

“Dia asyik sebut, ‘jangan buat kat sini, jangan buat kat sini’. Aku pun tak faham apa maksud dia.” luah Mak Zaitun pada aku suatu petang ketika aku menziarahi Rahmat.

Aku bertanggungjawab menceritakan apa yang berlaku petang itu. Aku beritahu Mak Zaitun tentang Rahmat yang kencing di semak berhampiran padang. Ada yang kata itu bukan sekadar semak biasa, tapi kawasan yang dulunya pernah jadi tapak lama sebelum kampung berkembang, konon banyak ‘penunggu’. Aku sendiri tak pasti kebenarannya. Tapi hati kecil aku rasa serba salah. Kalaulah aku halang dia petang itu. Kalaulah aku suruh dia kencing di tempat lain.

Dua minggu berlalu. Keadaan Rahmat semakin menyedihkan. Badannya kurus. Mukanya pucat. Kaki yang bengkak tu lama-lama macam mereput, baunya pun sudah tak elok. Setiap kali aku pergi melawat, aku hanya mampu berdiri di tepi katilnya, memandang sahabat baik aku yang dulu larat berlari mengejar bola, kini hanya mampu terbaring lemah menahan sakit yang tiada penawar.

Minggu ketiga, aku terima berita itu. Rahmat telah kembali ke rahmatullah pada waktu subuh.

Aku masih ingat wajah tenang Rahmat semasa dimandikan jenazahnya. Seolah-olah segala kesakitan yang ditanggungnya selama tiga minggu telah lerai begitu saja.

Sehingga kini, aku sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang telah menimpa sahabat baikku itu. Adakah kerana kejadian petang itu, atau memang sudah suratan ajalnya begitu. Aku tidak berani menghukum apa-apa. Cuma aku sentiasa berdoa, semoga Rahmat tenang di sana, dan Allah ampunkan segala dosanya.

Kepada sesiapa yang membaca kisah ini, ambillah sebagai peringatan. Berhati-hati di mana kita melepaskan hajat, terutamanya di tempat-tempat yang kita sendiri tidak tahu sejarahnya.

Al-Fatihah buat sahabatku, Rahmat.

Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram