Anugerah Istimewa
Bab 3: Rasuk
Perkongsian kali ini agak panjang, aku harap semua pembaca tidak bosan dan dapat ambil iktibar dari apa yang jadi. Maaf andai penulisan aku kucar kacir, aku bukan lah seorang penulis yang hebat, cuma hamba Allah yang ingin berkongsi kisah untuk dijadikan tauladan buat semua. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Banyak jenis dan pelbagai rupa jin dan syaitan yang aku lihat dan tujuan mereka adalah sama, untuk menyesatkan umat manusia. Oleh sebab itu, Abi selalu ajar aku beberapa potongan ayat suci untuk aku lindungi diri.
Aku masih ingat tarikh kejadian, 15 Jun 2019 pada hari Sabtu ketika aku tinggal di asmara sebuah sebuah sekolah yang menawarkan pendidikan untuk pelajar Tingkatan Enam. Pagi itu, selepas semua balik dari solat Subuh jemaah di surau perempuan, aku terus ke katil untuk tidur semula. Sedang aku hampir terlelap, aku dengar jeritan dari bilik sebelah. Maklumat tambahan, bilik aku berada di aras 4 yang hanya mempunyai 4 buah bilik berbanding aras lain yang mempunyai 8 buah bilik. Setiap 2 bilik pula dipisahkan dengan sebuah bilik basahan iaitu tandas dan bilik ampaian yang besar di bahagian tengah sekaligus menghubungkan 2 bilik tadi.
Disebabkan tersentak, aku bingkas bangun dan berlari menuju ke bilik sebelah melalui bilik basahan. Ketika aku berada di dalam bilik basahan, angin kuat menerpa ke muka aku beserta bauan manis seperti bunga kemboja. Aku mulai rasa tak sedap hati. Aku terus bergegas ke bilik sebelah melihat apa yang terjadi. Shida dan Naz sedang menenangkan Betty yang kelihatan keliru (semua nama samaran) begitu juga dengan kehadiran aku dan roommates aku dari bilik sebelah.
“Kenapa weh jerit-jerit tadi?” soal aku.
“Betty weh tadi balik dari surau dia kata sakit perut, lepas dia cabut telekung dia tiba-tiba rebah depan pintu toilet tu. Dah la rebah lepastu dia macam kene sawan babi, nampak mata putih je. Tu aku jerit panggil Naz balik bilik cepat sebab aku cuak weh!” jelas Shida. Betty yang duduk di tepi katil masih lagi nampak keliru dengan wajah yang pucat lesi.
“Betty kau okey tak weh?”
“Aku okey la. Aku pening kot tadi sebab tidur lewat main PUBG.”
“I don’t think so Betty. Kau literally kene sawan tadi, kau mintak outing la harini dengan warden pergi klinik. Kepala kau terhentak kuat tadi weh.”
“Yeke terhentak weh? Aku kan sumpah tak ingat apa jadi. Aku lari nak pergi buang air besar kan tadi? Tiba-tiba angin kuat dekat muka aku lepastu tak ingat dah aku.”
“Angin datang mana, mana ada angin aku dari tandas tadi takde angin sepoi-sepoi bahasa pun takde Betty.”
“Ada.” balas aku pendek. Mereka semua terus tertumpu perhatian kepada aku.
“Aku rasa ada yang tumpang lalu dekat sini dan aku rasa tak sedap hati.”
“Merepeklah Jane, pagi-pagi buta manusia baru lepas Subuh ni. Atau malaikat je tu tumpang lalu.” cantas Naz. Betty terus bangun ke tandas untuk menyambung ‘hajat’ yang tertangguh. Kami terus bersurai ke bilik masing-masing selepas perbualan kami terhenti di situ.
Hari itu masih seperti biasa dan Betty pula outing seperti yang disarankan Shida untuk pergi ke klinik. Usai solat Zuhur berjemaah, semua pelajar Tingkatan Enam batch aku buat perjumpaan di bilik study. Selaku Ketua Aspuri bagi batch Lower Six, Shida menceritakan apa yang telah jadi subuh tadi dan mencadangkan kami untuk buat bacaan Yasin di semua bilik aras 4 iaitu aras bilik aku. Sejujurnya, aku tak bersetuju dengan cadangan Shida itu tapi apakan daya sebab aku tiada jawatan dalam asrama ini dan aku cukup malas untuk layan apa-apa drama.
Maghrib menjelang tiba, mereka semua masih tak habis bercerita tentang kejadian pagi tadi walaupun tak semua yang nampak apa jadi sebenarnya. Betty pula masih belum pulang, mungkin dia fly harini sebab perkara tu sebenarnya biasa bagi kami pelajar asrama asalkan tak kantoi dengan warden. Shida resah mundar-mandir melihat handphone di tangannya.
“Ishhh…Betty ni okey ke tak apa yang susah sangat nak angkat call aku.” bebel Shida.
“Jane, cuba kau beritahu aku apa kau nampak pagi tadi, kenapa kau rasa tak sedap hati? Kau rasa Betty okey tak?” soal Shida.
“Rileks Shida. Aku cuma cakap tak sedap hati je mana ada nampak apa-apa dan aku actually tak berapa setuju kau nak buat bacaan malam ni. Boleh mengundang tahu tak.”
“Niat aku untuk berjaga-jaga je Jane bukan niat aku nak mengundang bende tak baik. Allah akan tolong permudahkan urusan kita malam ni, no worries. Lagipun aku minta tolong Upper Six untuk tolong bacaan kita malam ni.” aku cuma diam malas berkata apa. Aku tak pasti perkara buruk apa yang mungkin jadi, tapi yang pastinya aku menentang sekeras-kerasnya idea untuk bacaan tu dan aku rasa satu perasaan pelik dan tidak sedap hati. Tapi aku tak dapat nak jelaskan secara terperinci.
Malam itu selepas solat Isyak berjemaah, semua pelajar asrama dilarang untuk naik ke bilik dan gril tangga dikunci oleh pengawal keselamatan. Semua pelajar tekun menelaah ilmu dan menyiapkan semua tugasan yang diberi guru masing-masing. Sedang aku khusyuk mengulang kaji, sekali lagi angin kuat menerpa muka aku. Aku angkat kepala dan meneliti setiap reaksi muka kawan-kawan aku yang lain. Tiada reaksi. Mereka ada yang seperti aku khusyuk ulang kaji pelajaran, ada yang berborak santai, ada menyiapkan tugasan seni dan separuh lagi berada di dalam bilik komputer. Aku melihat ke tingkap di mana bilik ini betul-betul berada di sebelah kawasan ampaian.
Pocong.
Aku tak pasti siapa yang ‘dia’ tenungkan kerana postur badannya membelakangi tingkap bilik study. Kain kafan kuning dan kotor, ada kesan tompokan darah di beberapa tempat. Lalu, aku endahkan saje dan aku tak mahu pun melihat ‘si dia’, hanya akan melemahkan semangat aku saja nanti. Seketika, entiti itu hilang entah ke mana.
Tepat jam 10 malam, semua pelajar diminta berkumpul di dalam surau pelajar asrama perempuan di aras 2 untuk bacaan Al-Mulk sebelum masuk ke bilik masing-masing. Semuanya seperti biasa dan bermula lah aktiviti bacaan Yasin di mana semua pelajar Tingkatan Enam Atas dan Enam Bawah memenuhi semua bilik di aras 4. Kami semua duduk di atas lantai dalam kedudukan bulatan.
Bacaan dimulakan dengan surah Al-Fatihah, ketika aku hendak memulakan bacaan Yasin ada suara bisikan di telinga kanan yang menyuruh aku untuk hentikan bacaan. Aku sungguh kenal dengan suara ini, yang aku tak pasti ia membinasakan atau apa. Tapi hairan mengapa dia suruh aku hentikan bacaan sedangkan ustaz yang pernah merawat aku dulu pernah memaklumkan yang Suri adalah golongan jin Islam. Aku biarkan dan teruskan bacaan walaupun aku sedar yang aku sukar untuk lafazkan kalimah suci itu. Terasa berat sekali mulut untuk aku buka dan seperti susah betul untuk aku baca surah tersebut walaupun itu adalah bacaan surah lazim aku setiap Khamis malam.
Separuh bacaan Yasin, kedengaran bunyi pekikan minta tolong di koridor aras kami. Aku dan beberapa orang senior Upper Six menjengah keluar bilik dan kami tergamam melihat kawan aku, Heffa cuba untuk melompat dari palang koridor. Kawan-kawan aku yang lain cuba untuk menarik badan Heffa dari terjunam jatuh. Keadaan bertukar menjadi huru-hara apabila Heffa bertindak sedemikian dan menjerit dengan suara garau kepada pelajar lain di aras bawah, “Semua masuk bilik!”
Mata Heffa kemerahan, suaranya bertukar agak garau serta bersikap agresif. Ketika itu, aku nampak kelibat hitam di dalam bilik yang Heffa dan kawan-kawan aku diami. Kelibat itu hanya berdiri tegak di hadapan pintu bilik, memerhati ke arah kami semua. Aku tak dapat melihat jelas rupa dan wajah kelibat itu, memang hitam dan gelap seperti lohong hitam. Fizikalnya besar tiga kali ganda dari saiz manusia normal dan tidak juga pejal, seolah-olah tiada jisim tapi aku masih dapat melihat figuranya. Aku tak pasti siapa kelibat itu dan dari mana datangnya dia, mungkin juga rasa ‘terpanggil’ dengan bacaan Yasin kami pada malam itu. Senior kami mengarahkan untuk bawa Heffa masuk ke dalam bilik kami dan teruskan bacaan. Bagi aku mustahil untuk kami habiskan bacaan dalam keadaan begitu, pelajar asrama yang lain di aras bawah mulai kacau bilau menjerit dan sebagainya. Kawan-kawan aku yang lain juga mulai lemah semangat dan ada yang pengsan. Hingga akhirnya, Shida memutuskan untuk bawa mereka yang lemah semangat ini keluar dari kawasan asrama dan tempatkan mereka di dalam surau utama di luar Aspuri (Asrama Perempuan) dan lapan orang lagi yang berani untuk teruskan bacaan di bilik kami.
Bacaan kami serentak dengan bacaan Senior yang menyambung bacaan menggunakan pembesar suara dari Bilik Pengumuman Aspuri. Para pelajar yang lain semua diarahkan ke surau utama, hanya tinggal kami berlapan di dalam kawasan Aspuri yang kini semakin huru-hara dengan permainan syaitan. Tiada hujan, tiada guruh tetapi angin kuat menerpa di segenap sudut kawasan itu. Pintu-pintu bilik di Aspuri berbalah sesama sendiri ditiup angin menghasilkan bunyi dentuman kuat tanpa henti. Aku tahu itu semua perbuatan ‘mereka’ tanda protes.
Sedang aku bertarung dengan diri sendiri yang masih sukar untuk sebutkan kalimah suci Allah, aku rasa nak tergelak, nak ketawa besar. Aku perhatikan semua yang berada di dalam bilik itu, semuanya menunduk baca Yasin kecuali aku, dan seorang senior aku.
“Lawan Jane, lawan. Aku ada, kau kuat Jane.” bisik suara itu perlahan seolah-olah mendorong aku untuk cuba menahan ketawa. Entah di mana lawaknya, aku sendiri tak tahu kenapa aku rasa geli hati tiba-tiba. Dalam kepala aku, kalau aku ketawa aku mungkin akan kerasukan juga dan mereka semua yang ada pasti akan lebih ketakutan. Aku ternampak senior yang berada di hadapan aku tertunduk menggigil. Aku cuba mendekatinya dia untuk pastikan yang dia okay namun dia terpelak, “Jangan! Aku takut! Aku takut dengan pendamping kau!”
Pergerakan aku terhenti. Dia nampak Suri? Aku toleh ke belakang, aku nampak Suri sedang bertarung dengan suatu makhluk bengis bertaring, mungkin makhluk itu ingin menerkam aku? Aku tergamam melihat apa disaksikan mata aku ketika ini, apa yang sedang berlaku? Jadi, memang betullah Suri pendamping aku yang datang dari keturunan jin Islam? Tapi kenapa aku?
“Jane! Syami! Tutup semua pintu bilik basahan dekat aras ni. Kita tak boleh teruskan bacaan, kita semua kene turun dan keluar dari sini!” tempik Shida. Aku bingkas bangun dengan Syami dan pergi tutup semua pintu. Sampai ke pintu terakhir aku terkaku, aku melihat Suri duduk di atas pangkin singki bilik basahan mendayu tangisannya seperti menahan kesakitan.
“Pergi Jane. Bantu mereka yang lain, di sini tak selamat untuk kau.” kata Suri. Belum sempat aku tutup pintu, Syami datang menghempas pintu tersebut dan menarik tangan aku untuk turun tangga.
Di kawasan tapak roll call berhadapan dengan surau, pelajar-pelajar Aspuri dihimpunkan di situ, sesetengah daripada mereka ada di dalam surau utama, ada yang sedang diruqyah kan oleh para ustaz dibantu pelajar Aspura. Beberapa orang guru serta warden ada di situ untuk memantau semua pelajar yang selamat. Pintu-pintu bilik asrama masih bergegaran dalam kawasan Aspuri walaupun tiada angin kencang pada malam itu. Salah seorang kawan aku, Serina tiba-tiba rebah di pangkuan Naz. Kami dengan pantas memapah dia untuk bawa masuk ke dalam surau.
Aneh, tubuh badan Serina genit dan kecil sahaja, tapi kami terpaksa memapah dia seramai enam orang dan perjalanan ke surau mengambil masa dek kerana terlalu berat seperti mengangkat orang berbadan besar. Seraya kami baringkan Serina ke lantai, dia mulai meracau dan menjerit terlolong dalam bahasa Siam. Keadaan Heffa lagi parah, seramai lima orang lelaki terpaksa pegang ketika ustaz merawatnya dek kerana dia menendang, mencakar dan melompat di situ. Ini kali pertama aku melihat orang kerasukan, namun aku tak pula dapat melihat entiti yang merasuk tubuh mereka. Aku cuma beranggapan hijab aku tak sepenuhnya terbuka dan aku bersyukur dengan fakta itu kerana kalau tidak, mungkin di setiap sudut kehidupan aku hari ini disajikan dengan rupa-rupa jijik makhluk hina ini.
Ketika itu juga, kawan aku Medina meraung kesakitan di sebelah aku.
“Tolong aku Jane, tangan aku sakit lepas angkat Serina tadi. Sakit sangat ni.” aku cuba untuk mencari punca sakit namun tangan aku ditepis Medina.
“Tangan kau panas Jane panas macam api. Tolong jangan sentuh aku.” warden yang kebetulan berada di situ bantu Medina bawa masuk ke dalam surau. Aku melihat kedua tapak tangan aku, tiada yang aneh. Apa maksud dia tangan aku panas? Suri. Di mana dia? Adakah dia masih bertarung dengan makhluk di dalam asrama? Siapa sebenarnya Suri?
Keadaan huru-hara pada malam itu berlangsung hingga 4 pagi. Kami yang menghuni bilik-bilik di aras 4 dilarang tidur di atas dan bermalam di dalam surau asrama perempuan. Alhamdulillah keadaan itu dapat dikawal dengan bantuan ustaz-ustaz dari sekolah agama, bersebelahan dengan sekolah kami. Kawan-kawan dan senior aku yang terkesan semuanya kembali normal cuma masih dalam pemantauan kami.
“Ustaz tadi kata ada yang ‘buka’ pintu tempat ‘benda-benda’ tu dikurung. Ada yang menyeru untuk ganggu kita.”
“Korang…semalam kan aku tidur bilik bawah. Sebenarnya malam semalam Fad ajak kitorang main Spirit of the Coins. Aku takut ni yang mengundang bala harini.” ujar Minisa. Shida yang mendengar pengakuan tersebut terus bangun dengan muka bengis.
“Korang ni kan. Nasib sekarang aku tengah mengantuk and penat, dalam surau pula tu. Tunggu esok aku maki korang semua yang involved dengan benda bodoh ni.”
-bersambung-