SERAM DI GENTING HIGHLANDS

SERAM DI GENTING HIGHLANDS
Karya : DeeFen DF

Kisah yang akan diceritakan ini berdasarkan adaptasi kejadian sebenar yang dialami oleh sahabat aku. Aku sekadar menulis kembali apa yang diceritakan olehnya. Kata ganti diri ‘aku’ selepas ini merujuk kepada si pencerita.


Kejadian seram mistik ini berlaku bertahun-tahun yang lepas. Masa ini, aku masih belajar di KDU. Disebabkan aku belajar di kolej swasta, maka ramai ‘coursemate’ aku terdiri daripada berlainan kaum. ‘Course’ aku majoritinya adalah kaum Cina. Disebabkan itu, kawan aku hampir semuanya berbangsa Cina.

Selepas habis kelas terakhir pada tengahari Jumaat, aku bersama 3 lagi rakan aku bernama Jimmy, Teoh dan Lee bercadang nak pergi bercuti. Asyik terperap saja di rumah sewa, mana boleh tahan! Kebetulan pula hari Isnin kelas semuanya batal. Jadinya, kami makin bersemangat nak ber-‘holiday’.

Mulanya kami bercadang nak terus bertolak ke destinasi percutian pada petang Jumaat itu juga. Namun disebabkan Jimmy ada hal dan terpaksa pulang sebentar ke rumah keluarganya di sebuah daerah di Selangor, maka kami menangguh percutian ke hari Sabtu.

Selepas semuanya membuta pada hari Sabtu sampai jam 12 tengahari, dengan muka masing-masing masih terpalit dengan air liur basi, kami pun mula berbincang destinasi tempat percutian. Sejak semalam, masing-masing dah saling berpesan agar pilih tempat percutian untuk dibentangkan hari ini.

Akhirnya setelah 10 minit berbincang dan menjeling dompet masing-masing yang tak berapa tebal, maka kami semua memilih untuk bercuti di pusat peranginan terkenal. Genting Highlands. Tak terlalu jauh dari rumah sewa, cuaca dingin, ada taman tema, boleh ‘usha’ gadis ‘hot’ – ini semua senarai yang terbaik untuk jiwa muda seperti kami.

Selesai mandi dan ‘packing’ baju, dengan senang hatinya kami dah bersedia untuk bercuti. Masing-masing bergelak ketawa dan bersiul riang. ‘Mood’ bercuti sudah mari! Tapi sebelum tu kami singgah untuk makan tengahari dan membeli jajan di 7 Eleven.

Perjalanan dengan Daihatsu Charade sangat santai dan perlahan. Walaupun hakikat yang sebenarnya adalah disebabkan kereta milik Lee ini boleh tahan uzurnya.

Pendakian terasa menyeksakan. Kelajuan mendaki laju sedikit saja daripada kelajuan lori. Sadis. Honda petak pun ‘rilek’ saja potong. Begitu hina sekali rasanya. Lebih mengguriskan hati apabila awek yang membonceng moto tersenyum sinis memandang kami.

Rasa menyesal pula tak naik kereta kabel sahaja. Sampai sekarang aku tak dapat lupakan lagi senyuman penuh sinis awek moto sambil kepala terhangguk-hangguk sebab tertahan menahan ketawa kecil.

Setiap kali kereta dipintas oleh moto kapcai, kami secara berjemaah akan memaki hamun Lee tanpa belas kasihan. Sesekali kepalanya akan diketuk dengan penggaru belakang oleh Jimmy. Perjalanan kami penuh gelak tawa. Gelak tak ingat dunia.

Lebih kurang hampir pukul 5:00 petang, kami tiba di puncak Genting Highlands. Kelihatan sangat ramai manusia. Bila ditanya tentang bilik kosong di First World Hotel, jawapannya – PENUH. Jadah! Rosak ‘plan’ kami! Takkan nak lepak-lepak sekejap lepas tu turun bawah balik rumah.

Rupa-rupanya ada ‘plan’ B. Bebudak Cina ni dah sembang awal lagi tadi. Sembang dalam bahasa cina, mana la aku nak faham.

‘Plan’ B itu adalah menyewa ‘homestay/apartment’ yang terletak di bawah sikit daripada First World Hotel. Jimmy cerita yang keluarga dia pernah hampir menyewa di ‘homestay’ tersebut tapi tak jadi. Mereka sekeluarga akhirnya menyewa bilik di Hotel Seri Malaysia yang terletak lebih jauh ke bawah daripada puncak Genting.

Tanpa melengahkan masa, kami terus bergerak turun menuju ke arah apartment tersebut. Dari puncak Genting mengambil masa lebih kurang 10 minit. Jalan yang agak berliku dan diburukkan lagi dengan cuaca yang agak berkabus tebal akibat hujan awal petang tadi merencatkan sedikit perjalanan kami.

Dalam suasana yang berkabus tebal, kami hanya mengikut ‘signboard’ yang membawa kami ke arah apartment itu. Gelak tawa sakan awal tadi terus lenyap bersama kabus yang dirempuh oleh cermin kereta Lee. Hanya ada sebuah sahaja kereta yang berselisih dengan kami, itu pun pemandunya menjeling tajam.

Kelihatan sebuah bangunan yang terletak di sebelah kiri. Kami terpaksa mendongak sedikit kerana kedudukan bangunan itu terletak lebih atas daripada aras jalan yang dilalui. Tinggi. Mungkin 30 tingkat. Berwarna putih. Terdapat 2 buah menara/bangunan yang bersambung di bahagian aras tanah. Bangunan itu adalah apartment yang ingin dituju.

Sebaik keluar daripada kereta yang diparkir di hadapan apartment, aku mengitar pandangan aku ke seluruh sudut. Usang. Bangunan itu kelihatan sangat menyeramkan kerana cat putihnya terdapat kesan lelasan serta lumut yang berwarna merah. Seperti terpercik darah. Mungkin cuaca yang sentiasa sejuk dan lembab menjadikan catnya sebegitu.

Aku langsung tak melihat seorang pun manusia di sekeliling kami. Dihitung terdapat kira-kira 10 buah kenderaan turut sama parkir di situ. Jauh beza dengan keriuhan di First World Hotel. Suasana sangat sunyi. Sesekali boleh terdengar sayup-sayup bunyi siulan angin.

“Weh Jimmy, tempat apa kau bawa kami ni?” Soal aku memecah keheningan setelah hampir seminit kami semua terdiam. Masing-masing melayan perasaan seram.

“Tempat apa lu tanya? Itu ada signboard. Sendiri baca maaa…” Jawab Jimmy acuh tak acuh.

“Memang la aku baca. Tapi tempat ni…”

“Eh dahla. Jom kita tanya ada homestay kosong atau tidak.” Ajak Lee sambil dia sudah mula melangkah laju menuju ke arah lobi apartment. Di antara kami, dia yang paling berhati kering. “Haa lu semua tunggu apa lagi? Cepat laaaa!”

Aku, Jimmy dan Teoh hanya memandang sesama sendiri sambil menelan liur.

Di lobi apartment yang agak luas, langsung tiada perabot. Hanya ada meja kaunter kecil. Kesuraman sangat terasa bila berdiri di sini. Di sebalik kaunter itu, ada seorang apek dan nyonya tua.

Lee dan Jimmy terus menuju ke arah kaunter. Manakala aku dan Teoh terus berdiri di tengah ruangan lobi. Memandang keadaan sekeliling. Di hujung lobi, kelihatan dua orang sedang menyapu lantai. Aku mengagak itu pastinya pekerja pembersihan di apartment ini.

“Wei! Satu malam RM120. Kalau dua malam RM240 lo. Mau?” Lee menoleh dan bertanya ke arah aku dan Teoh. “Memang within kita punya bajet la.”

Aku berpaling ke arah Teoh dan kami sama-sama mengangkat bahu dan membuat isyarat tangan tak kisah dengan harga tersebut. Walaupun yang sebenarnya aku berasa tak sedap hati nak bermalam di apartment ini. Aku langsung tak dapat rasa ‘positive vibe’.

Semasa tengah mengangkut beg di kereta, Lee berkata bahawa banyak lagi ‘homestay’ kosong di sini. Tadi siap dia boleh pilih nak ‘homestay’ di tingkat berapa. Lee memilih tingkat 8 kerana ada ‘ong’ sikit katanya.

Lif untuk ke tingkat 8 juga kelihatan usang dan kurang terjaga. Risau juga kalau tiba-tiba rosak. Jenuh ‘mampos’ terperangkap dalam lif. Dahlah tempat ni macam kurang sangat manusia.

TING!!

Lif tiba di tingkat 8. Sebaik terbuka pintu, nampak laluan koridor yang sedikit berkabus. Kami semua teragak-agak nak melangkah keluar daripada pintu lif. Terasa seperti ada aura-aura tak baik di sekeliling kami.

Ketika berjalan melalui koridor untuk ke ‘homestay’ kami, aku melihat hampir kesemua rumah dimangga pada pintu masuk. Mudah kata, rumah tersebut kosong tidak berpenghuni.

Ketika menunggu untuk membuka pintu ‘homestay’, aku sempat menjeling ke arah rumah bersebelahan kami – kedua-duanya turut dimangga rapi. Aku dah mula meneka yang hanya kami sahaja yang berada di tingkat ini.

‘Homestay’ yang kami sewa agak selesa. Boleh dikatakan ‘fully furnished’. Segala perabot asas seperti sofa, katil dan dapur telah disediakan. Selepas berehat dan berbual kosong seketika, kami pun keluar semula untuk naik ke puncak Genting.

Di puncak, kami lepak dan makan malam sambil meronda di dalam ‘indoor theme park’. Lebih kurang pukul 10 kami bertolak balik semula ke ‘homestay’.

Keadaan sekitar semakin berkabus tebal menjadikan perjalanan kami lebih perlahan kerana Lee terpaksa lebih berhati-hati ketika memandu. Mata aku berkali-kali menjeling ke kiri dan ke kanan. Dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad begini menjadikan deria penglihatan kita lebih aktif untuk ‘scan’ keadaan persekitaran.

Tapi kami masih boleh bergelak ketawa bergurau. Masing-masing mengusik dengan aksi-aksi seram yang menyebabkan kami sakit perut gelak terbahak-bahak.

Dari kejauhan kelihatan apartment tu sangat kabur. Semakin menghampiri bangunan apartment, barulah jelas rupabentuknya yang usang. Perasaan seram kembali mencuit hati aku. Rasa macam dah masuk ke alam lain. Dalam kepala dah terbayang game-game seram yang pernah dimainkan di komputer.

Aku rasa tempat ini dah layak dibuat sebagai set penggambaran filem. Mungkin bertajuk Hantu Kak Limah Pergi Genting.

Bila kami berempat berdiri di kawasan parkir dan melihat seluruh bangunan apartment ini, boleh dikira dengan jari hanya beberapa buah rumah sahaja yang ada lampu bernyala. Itu menandakan tak ramai penghuni yang tinggal di sini.

Di tingkat kami menyewa, hanya rumah kami sahaja yang bernyala lampu. Tingkat di atas kami semuanya gelap. Dan bermula dari dua tingkat ke bawah kami barulah ada rumah-rumah yang bercahaya.

Kami yang mula-mula tadi bergelak sakan, kini masing-masing terkedu. Bangunan apartment sebegini besar dan tinggi, hanya ada beberapa buah sahaja yang dihuni. Tapi tak sampai beberapa saat lepas tu, semua sambung gelak semula bila masing-masing dok mengusik bergurau. Apa nak heran kan? Jiwa muda.

Malam itu kami berjaga sehingga hampir jam 1 pagi. Layan TV, kemudian main daun terup. Selalunya kalau malam minggu kami semua akan berjaga sehingga pagi buta. Tapi kali ini semuanya mengantuk awal.

Sepanjang kami berjaga sehingga 1 pagi itu, sesekali terdengar seperti bunyi air sinki di buka deras di dapur. Kemudian di sinki di bilik air. Bila kami ‘check’, langsung tiada pili yang terbuka. Bunyi ini berulang tiga atau empat kali. Akhirnya kami malas nak hiraukan dan membuat kesimpulan bahawa bunyi itu datang dari rumah jiran.

Masa aku sedang cuba untuk tidur, aku terdengar bunyi selipar berjalan di luar koridor. Bunyi selipar yang berjalan menyeret. Lebih kurang empat kali bunyi itu berjalan ulang-alik di luar. Bila aku tengok Lee dah berdengkur, aku pun malas nak layan. Mungkin itu pekerja apartment atau pak guard yang meronda. Akhirnya aku pun tertidur.

Aku yang terjaga paling awal keesokan harinya. Benda yang pelik yang aku nampak adalah kasut dan selipar kami semuanya bertukar pasangan. Contoh: kasut sebelah kiri aku dipasangkan dengan kasut kanan Jimmy. Selipar aku pula dipasangkan dengan selipar Teoh.

Aku susun semula bagi betul dan terus melupakan hal itu sampailah ke hari ini. Aku pun tak pasti sama ada itu hanya ‘prank’ daripada kawan-kawan aku atau sebenarnya momok yang cuba bergurau-senda dengan kami. OK seram.

Pada siang hari kedua, aktiviti dipenuhi dengan bercanda di ‘outdoor theme park’ bermula dari waktu tengahari sampailah waktu hampir senja. Puas.

Bila kami pulang ke apartment, seperti hari sebelumnya tetap tak banyak kereta yang diparkir. Malahan semakin berkurangan. Mungkin ada yang dah ‘check-out’. Suasana lobi tetap suram dan tiada manusia kelihatan.

Malam kedua ini terlalu banyak gangguan yang membuatkan aku bertahun-tahun agak fobia bila nak bermalam di mana-mana hotel atau ‘homestay’.

Bermula jam 9 malam, bunyi air sinki dibuka mula kedengaran. Bunyi air dibuka laju selama hampir 1 minit. Kemudian ditutup. Tak beberapa lama kemudian, air sinki dibuka lagi. Mula-mula kami rasa ‘annoying’ juga, tapi lama-lama dah jadi biasa dan macam dah tak perasan sangat bunyi tu.

Aku, Lee dan Jimmy tengah melayan TV. Ada ‘movie’ menarik yang ditayangkan. Manakala Teoh tengah bergayut dengan awek di luar balkoni. Sudahlah cuaca sejuk berangin di luar, dia boleh selamba saja bergayut dengan berbaju singlet dan berseluar tidur pendek. Memang tahan sejuk betul mamat tu.

Kemudian Teoh masuk secara tiba-tiba dengan muka terkejut, kelat dan pucat.

Dia terus bercakap-cakap dengan Lee dan Jimmy dalam bahasa Cina. Aku sepatah haram tak paham. Tapi dari riak muka, nampak macam serius sangat masalah dia. Awek dia minta putus ka? Aku membuat telahan awal.

“Weh cakap bahasa Malaysia la. Aku nak tau jugak apa masalahnya ni.” Laung aku daripada tempat pembaringan di atas sofa.

“Teoh ni kata tadi dia nampak… hmmm… Lee, lu cerita la sama dia,” arah Jimmy kepada Lee. Jimmy kelihatan teragak-agak untuk bercerita. Mereka semua mula duduk berkerumun di sofa. Aku pula sudah mengubah ke posisi duduk. Sesekali aku terperasan yang mereka menjeling ke arah balkoni yang pintunya masih terbuka luas.

Lee memulakan bicara. “Tadi Teoh nampak itu ghost.” Perlahan sahaja Lee berbisik ke telinga aku ketika dia menyebut perkataan ‘ghost’.

“Kau biar betul Teoh! Kau salah tengok kot. Trick mata je tu.” Aku cuba menyangkal. Mungkin sekadar penyedap hati aku yang dah mula berdebar.

“Betul maaa.. Tadi masa I tengah cakap phone. I nampak ada shadow melintas agak laju depan mata. Shadow itu bentuk macam human body. Then I rasa macam ada kain sapu di muka I. Seperti rambut pun maybe juga. Then terus I lari masuk dalam.” Terang Teoh panjang lebar. Kelat dan pucat masih kelihatan jelas di wajahnya.

Di saat itu, aku merasakan muka aku pula yang kelat. Memang seram.

Lepas tutup pintu balkoni, kami ramai-ramai terus sambung tengok TV saja. Si Teoh sesekali dok tekan-tekan skrin ‘handphone’ dia. Mesti dok ber-SMS saja dengan awek dia. Takutlah tu nak bergayut sorang-sorang.

Bunyi air paip terus-menerus terdengar. Banyak duit ‘dia’ nak bayar bil air.

Ketika jam menghampiri pukul 12 tengah malam, kedengaran bunyi orang berjalan memakai kasut bertapak keras di sekeliling rumah. Sekejap bunyi tu dari arah atas rumah. Kemudian dari bawah. Seterusnya dari kiri, kanan dan juga depan koridor rumah.

Disebabkan ‘movie’ tengah dok klimaks, kami semua buat tak layan. Layan ‘movie’ lagi best.

Sebaik saja ‘movie’ tamat, kami perlahankan ‘volume’ TV. Kedengaran suara budak-budak bercakap dari luar rumah iaitu di koridor. Suara itu jelas kedengaran seperti ada dua orang budak tengah bersembang rancak. Tapi butir kata tak dapat ditangkap oleh kami.

Kami beramai-ramai menghampiri pintu depan dan memasang telinga cuba memahami apa yang disembangkan. Namun kami tetap tak dapat menangkap apa yang disembangkan.

Kami semua bersetuju nak buka pintu untuk ‘check’. Bila tombol pintu dipegang, bunyi bercakap itu terus diam. Sebaik pintu dibuka, langsung tiada siapa di luar. Bila dijenguk keluar, hanya kabus sahaja yang kelihatan di sepanjang koridor. Sunyi sepi. Kami pun masuk semula dan lepak di sofa sambil melakukan aktiviti masing-masing.

Tak sampai 5 minit, suara budak bersembang kembali kedengaran. Kali ini siap dengan bergelak ketawa. Seronok betul ye budak-budak tu.

Kali ini kami nak buat ‘surprise’ buka pintu laju-laju. Mesti tak sempat budak-budak tu nak lari. Bila kami berdiri di belakang pintu, sangat jelas bunyi gelak ketawa sepertinya budak-budak tu ada di sebalik pintu ‘homestay’ kami saja.

Tanpa berlengah, Lee terus cepat-cepat membuka pintu…

Tapi langsung tiada siapa di luar. Suara budak-budak terus terhenti. Hanya hembusan lembut angin yang menerpa ke muka kami. Kami semua terus keluar untuk menyiasat. Aku dan Lee ke arah kiri koridor, manakala Jimmy dan Teoh ke arah kanan koridor.

Namun tiada sebarang budak yang kelihatan. Rumah-rumah berjiran semuanya dimangga dari arah luar. Tak logik ada budak-budak kecil yang bermain di tingkat yang langsung tidak berpenghuni.

Kami semua masuk kembali ke dalam rumah dengan terdiam seribu bahasa. Masing-masing faham apa yang sedang kami alami. Cuma tak mahu tegur dan bersembang tentang perkara itu.

Jam dah menunjukkan pukul 1 pagi lebih. Perut masing-masing terasa lapar. Aku dan Teoh ‘volunteer’ untuk masak mee segera di ruangan dapur, manakala Jimmy dan Lee terus bermain daun terup di hadapan TV.

Aku mengangkat dan menghidangkan mee segera di meja hadapan TV. Ketika aku berpatah balik ke arah ruangan dapur untuk mengambil air minuman, aku ternampak Teoh keras membatu sambil memandang ke arah bilik tidur. Matanya sedikit terbeliak dan tangannya menggeletar.

Bilik tidur itu tidak dibuka lampu, jadinya ruangan dalam bilik kelihatan samar-samar hasil daripada cahaya ruangan dapur dan ruang tamu yang memancar masuk.

“Teoh! Oiii!” Aku menjerit kerana berasa pelik melihatnya membatu sebegitu. “Kau apahal?”

Tiba-tiba dia terus menunduk dan menekup mukanya pada kedua-dua tapak tangannya. Nafasnya kedengaran laju. Dada pantas turun naik.

“Weh kau apahal ni?!!” Aku mengulang lagi soalan setelah Teoh langsung tidak bertindak-balas.

Aku dapat merasakan mesti Teoh terlihat sesuatu yang tak sepatutnya dia lihat. Jimmy dan Lee juga sudah datang untuk membantu menenangkan Teoh.

“Kau nampak apa Teoh?”

“I see… I nampak… nampak perempuan rambut sangat panjang tutup muka. Berdiri dalam bilik,” ujar Teoh tergagap-gagap.

“Shittttt… %$^$%^^&$!””£$&£$%&**$” Lancar Lee mencarut dalam bahasa Cina.

Lee bergerak sedikit ke hadapan untuk memandang ke arah dalam bilik tersebut. Kepalanya bergerak ke kiri dan kanan cuba menghendap ke seluruh ruangan bilik. Lee kemudiannya menarik lengan aku untuk sama-sama menjengok ke arah bilik. Aku rasa macam nak pengsan kena paksa macam tu. Tapi aku langsung tak nampak sebarang benda pelik.

“Teoh… Cuba lu tengok ada lagi tak?” Lee mengarah. Teoh teragak-agak untuk melihat. Melalui celahan jari sahaja dia melihat.

Tiba-tiba suara Teoh kedengaran merengek sambil mengangguk-angguk kepala. Tandanya ‘perempuan’ itu masih ada di situ. Dia segera memusingkan badan kerana takut untuk melihat.

Aku dengan Lee terus segera menarik Teoh ke arah sofa di ruangan TV. Semua duduk agak rapat-rapat.

“Jom teman wa buka semua lampu,” Lee mengajak aku. Memang selalunya macam tu. Apa-apa hal yang mencabar minda dan badan mesti Lee ajak aku. Aku layankan saja la hati kering dia tu.

Hampir sepanjang malam kami diganggu dengan bunyi-bunyi mistik. Berselang-seli. Lepas bunyi orang berjalan, bunyi budak bercakap pula, kemudian bunyi air sinki, lepas tu bunyi orang berjalan selipar diseret.

Lepas pukul 3 pagi bermula bunyi bising orang membuka dan menutup pintu di sekeliling apartment. Bunyinya macam ramai sangat ‘orang’ duduk di apartment ni. Mungkin ‘orang’ baru balik dari kasino agaknya.

Kami semua berjanji untuk langsung tak mahu tidur sepanjang malam. Bukan tak ada cadangan untuk kami terus ‘check-out’ sekarang sahaja. Tapi bila memikirkan nak kena melalui koridor yang angker dan turun melalui lif yang usang. Kami batalkan sahaja cadangan nak ‘check-out’ awal.

Hanya TV dan daun terup menemani kami sepanjang malam. Kadang-kadang kami cuba membuat lawak bodoh untuk menghilangkan gelisah hati. Nasib baik jiwa raga Teoh agak kental walaupun sudah dua kali dia diganggu ‘benda’ tu.

Lebih kurang pukul 4 pagi, bunyi baru pula yang kedengaran iaitu bunyi kad ‘shuffle’ dari arah bilik yang Teoh nampak lembaga itu. ‘Dia’ meniru apa yang kami sedang lakukan. Kadang-kadang aku rasa geram juga. Nak saja aku ajak ‘dia’ main sekali.

Tapi penyudah yang paling menyeramkan adalah pada pukul 5 pagi Jimmy tak tahan sakit perut nak membuang. Selepas makan mee segera awal tadi, dia sudah berpeluh-peluh menahan perut yang memulas. Akhirnya tepat jam 5 pagi, dia tertewas dalam perjuangan untuk menahan bontotnya daripada melangsaikan hajat.

Maka kami bertiga terpaksa turut sama mencangkung dan tercongok di depan pintu tandas yang tidak ditutup untuk menemani Jimmy agar dia dapat menunaikan kewajipan perutnya. Pelbagai bunyi dan bau yang sangat sangat sangat menyeramkan terpaksa kami hadapi.

Akhirnya pada pukul 7 pagi kami sebulat suara setuju untuk biarkan Lee dan Teoh tidur sebagai ‘re-charge’ semula tenaga untuk memandu pulang nanti. Aku dan Jimmy terus berjaga walaupun kepala dah mula sakit-sakit.

Lebih kurang pukul 10:30 pagi dan dengan langsung tidak mandi, kami terus ‘check-out’

Semasa kami ‘check-out’, apek dan nyonya yang berada di kaunter langsung tidak berkata apa-apa. Mereka seperti langsung tiada perasaan. Kami juga tidak berminat untuk menceritakan segala apa yang terjadi semalam. Mungkin mereka juga dah lali dengan gangguan yang terjadi di apartment ini.

Semasa di parkir, hanya tinggal beberapa buah sahaja kenderaan. Langsung tidak menggambarkan suasana meriah awal pagi tadi seperti ramai penghuni keluar masuk rumah. Kami pun pulang dengan seribu satu pengalaman yang tak mampu kami lupakan.

Khabarnya sekarang iaitu pada tahun 2019, apartment itu dihuni oleh ramai pendatang asing. Melalui carian di laman web tempahan hotel, masih terdapat lagi ‘homestay’ yang boleh disewa. Ada yang teringin nak menyewa? Anda tahu apartment yang mana satu? Atau anda sendiri ada pengalaman menyewa di apartment ini?

A ku datang bercuti berempat,
M enumpang berbayar bukan merempat,
B ukan angker yang dicari,
E ngkau jangan menjelma walau sekali,
R uas mu di seberang sana, ruas ku di dimensi ini.

C antik paras mu sila simpan sendiri,
O rang tak mahu melihat kau bermanifestasi,
U ntung jiwa teguh, tetap tegap berdiri,
R apuh lemah jiwa, badan tersakiti,
T etaplah di alammu, jangan mari ke alam kami.

-TAMAT-

Dijemput untuk ‘follow’ Facebook penulis untuk membaca kemaskini kisah seram terbaru. Sila tekan ‘link’ berikut :-

https://www.facebook.com/deefen.df

Kredit kepada sahabat ku sebagai penyumbang cerita ini.

#DeeFen
SERAM DI GENTING HIGHLANDS
9.4 (93.71%) 70 votes

8 comments

  1. smlm bace cerita ni,tup2 mlm td terjaga pkol 2pg terbyng budak2 main pulok dlm bilik,teros bkk lampu,nyesal bace,tp hari ni nyinggah lg,,hihihi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.