SERAM PKPB

SERAM PKPB
Salam hormat kepada semua pembaca. Namaku Syifa. cerita ini adalah pengalaman seramku yang ditempuhi bersama-sama kakakku yang sulung Feha, dan kakakku yang kedua Ecah. Mungkin cerita ini biasa sahaja, tetapi naluri takut itu adalah sifat semua insan terutama kepada aku yang sememangnya penakut.

Sempena PKPB yang lalu, sekolah telah ditutup. Aku berasa agak bosan dan stres dengan kerja-kerja sekolah atas talian yang diberikan oleh guru-guru. Walaupun aku tidak begitu tekun menyiapkan tugasan yang diberikan, suasana pembelajaran di rumah mempengaruhi emosi kemalasanku. Aku mengajak ayah dan ibu untuk bercuti di hotel setelah PKPB ditamatkan di kebanyakan negeri. Hatiku berbunga-bunga keceriaan apabila ayahku bersetuju lalu mencadangkan kami ke sebuah negeri di utara yang sudah lama ditamatkan PKPB. Setelah lama mencari-cari hotel menggunakan aplikasi tempahan hotel, ayahku telah memilih untuk menginap di sebuah hotel di bandar X.

Setelah dua jam menempuh perjalanan, kami akhirnya sampai di hotel tersebut yang menggunakan nama Inggeris. Aku berasa teruja melihat keidahan hotel dari luar, apatah lagi melihat kolam mandi yang terbentang luas di luar hotel tersebut. Setelah selesai urusan daftar masuk, kami masuk ke bilik masing-masing. Aku dan dua orang kakakku menginap di dalam satu bilik , manakala ayah dan ibu serta dua orang adikku Olia dan Luq menginap di dalam bilik yang lain. Jarak di antara bilik kami agak jauh walaupun berada pada aras yang sama.

Suasana di dalam bilik sangat menyenangkan apatah lagi bilik kami betul-betul mengadap kolam mandi yang jelas terlihat melalui tingkap kaca. Aku berasa tidak sabar-sabar lagi untuk mandi di kolam renang. Aku menggunakan telefon hotel untuk mendail nombor ke bilik adik-adiku yang lain. Aku tidak sabar-sabar untuk mengajak mereka mandi di kolam renang. Ayahku berasa marah kerana kami seperti tidak pernah mandi di kolam. Ayahku menyuruh solat Asar dahulu sebelum turun ke kolam renang. Aku begitu teruja untuk mandi di kolam sehingga tidak khusyuk dalam solatku.

Selepas itu, kami berlima turun ke kolam renang di aras bawah. Kami berasa sangat gembira berenang dan bermain-main di kolam renang. Hampir dua jam kami di situ tanpa sedar waktu yang berjalan dan merugikan setiap insan. Kami hanya keluar dari kolam setelah ayahku datang mengarahkan kami naik dan balik ke bilik hotel. Ketika sedang mengeringkan badan, aku terpandang sesuatu yang berwarna putih seolah-olah melambai –lambai di sebalik sepohon pokok dalam pasu yang besar. Sebenarnya kolam mandi tersebut sangat cantik dengan pokok-pokok besar di tanam di dalam pasu. Segera dadaku berkocak pantas dan perasaan takut terus menyelubungi naluriku. Aku tidak berani menoleh lalu terus berlari menuju ke lif. Bayangan putih itu seperti tangan manusia yang melambai-lambai perlahan-lahan. Aku begitu gugup sehingga tidak mampu menceritakan hal itu kepada sesiapa mungkin terlalu takut atau malu ditertawakan.

Pada malam itu kami hanya makan malam di hotel tersebut. Selepas makan malam, bapaku mengajak kami bersiar-siar di tepi kolam mandi. Tiba-tiba aku berasa seram sejuk apabila sampai di situ. Aku teringat kembali peristiwa yang berlaku petang tadi. Aku mengajak kakakku untuk balik ke bilik, tetapi mereka enggan kerana hendak swafoto sampai lebam. Aku hanya mengikut sahaja walaupun berasa takut, takkanlah aku hendak balik ke bilik hotel seorang diri. Secara tiba-tiba cuaca malam yang indah itu bertukar menjadi ribut. Hujan lebat turun tanpa amaran. Kami segera berlari ke dalam hotel.

 Dalam kekalutan itu, aku sekali lagi terlihat lembaga putih di sebalik pasu bunga besar di tepi kolam. Kali ini lebih jelas kerana lembaga itu betul-betul berdiri di bawah lampu tinggi di kolam renang. Aku begitu takut lalu berlari sambil menutup mata. Aku menangis teresak-esak sambil memaut erat tangan kakakku Ecah . Kakakku bertanya mengapa aku menangis. Aku menceritakan apa yang aku nampak sebentar tadi. Ayahku yang mendengar perkara tersebut lantas menyuruh aku diam dan segera balik ke bilik. Malam itu, aku dan kakakku Ecah berasa takut lalu kami hanya tidur di atas katil sambil berselimut sepenuhnya. Kakak sulungku Feha hanya tertawa dan mengejek kami kerana dikatakan hanya mereka-reka cerita. Dia sedikitpun tidak menunjukkan rasa takut malah sedang asyik menonton filem di saluran televisyen HBO.

 Kebetulan cerita yang ditayangkan agak menyeramkan. Tiba-tiba ketukan yang keras bertalu-talu di pintu bilik. Aku berasa agak lega kerana menyangka mungkin ayahku yang datang menjenguk kami bertiga. Tiba-tiba terdetik di fikiranku, mengapakah ayahku mengetuk pintu dengan kasar dan tidak menggunakan loceng sahaja. Tanpa banyak bicara, kakakku Feha segera membuka pintu bilik. Serentak dengan itu satu hembusan angin menerjah masuk ke dalam bilik kami. Tidak ada sesiapa pun berada di luar bilik! Kakakku Feha berasa takut lalu mengajak kami keluar dari bilik untuk pergi ke bilik ibu bapa kami. Serentak dengan itu satu bunyi benda jatuh yang kuat kedengaran dari dalam bilik air. Tanpa semena-mena kakakku Ecah membuka pintu bilik air. Kami dengan jelas dapat melihat kertas tisu tandas begulung-gulung terbang seperti puting beliung.

Tanpa berlengah lagi, kami bertiga berlari keluar dari bilik tersebut dan pergi ke bilik ibu bapa yang terletak di hujung. Perasan takut usah digambarkan lagi. Aku dan Ecah hanya menangis teresak-esak macam budak kecil. Kami mengetuk pintu bilik ibu bapa. Ibuku segera membuka pintu bilik dan kehairanan melihat kelakuan kami. Kakakku Feha menceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi. Ayahku hanya menyuruh kami tidur dia atas sofa. Ayahku lantas mengambil wuduk dan bersolat. Selepas itu dia membaca Yasin. Aku akhirnya tertidur dalam ketakutan.

Keesokan harinya, hanya ayahku yang mengambil barang-barang kami setelah meminta kunci daripada petugas hotel. Ayahku ada menceritakan peristiwa yang kami alami kepada petugas hotel. Petugas hotel hanya mengangguk lemah dan berjanji akan melaporkan kepada pihak pengurusan hotel. Aku pula hanya ingin terus keluar dari hotel itu dengan segera. Sekian………

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nur Syifa Syili

2 thoughts on “SERAM PKPB”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.