Seruan Hitam

Hi geng. Ahmeng muncul kembali. Selamat bersua. This round aku terasa nak share satu mimpi berkenaan dengan satu ‘request’ dari seseorang yang dah tak wujud lagi. So far ini satu-satunya mimpi yang tak berkaitan dengan hutang, wasiat atau pulangkan barang. Cuma yang berbeza kali ni, seruan ni minta aku ‘bersihkan’ kotoran yang dia tinggalkan. Aku tak banyak mimpi berkaitan mistik. Ada dua tiga je dan ini salah satu yang aku rasa aku boleh share. Bagi aku, amalan kotor sebegini kalau boleh tak patut ada dah especially pada zaman moden sekarang. Tapi kita ni cuma manusia biasa yang tak terlepas dari kesilapan. Semoga kita ambik pengajaran atas apa yang berlaku. Okay here we go. Be seated and ready for take off…

Aku dapat mimpi ni dah lama. Sekitar tahun 2018, setahun selepas misi hutang (refer Sumpah Mimpi). Waktu tu aku tertidur kat surau masa menguruskan jenazah dengan team khairat di kejiranan aku. Lepas selesai gali kubur, aku dengan jiran aku berehat kejap kat surau. Kat situ lah aku tak sengaja tertidur dan bermimpi didatangi seorang wanita tua berbaju kurung putih. Mimpi tu simple. Aku cuma nampak dia berdiri kat depan aku dan hanya memandang tepat ke arah aku. Then aku terbangun bila ada orang kejutkan bagitau jenazah dah sampai. Anyway, kes ni takde kena mengena dengan jenazah. Aku cuma nak highlight yang aku sangkakan mimpi ni adalah mainan tidur yang terbawa-bawa dari aktiviti yang aku buat sebelum aku tidur. Tapi mimpi tu tak berakhir kat situ…

Keesokannya, aku mimpi bawak motor pergi ke satu kampung. Dalam perjalanan, aku perasan terdapat beberapa bangunan seperti kedai dan surau dengan senibina yang agak antik. Rumah-rumah kat situ masih menggunakan atap nipah. Jalan rayanya agak berbukit dan dikelilingi dusun durian. Sampai di satu lokasi, aku turun dari motor dan berjalan kaki ke satu pondok yang terdapat di salah satu dusun di situ. Seorang wanita tua kelihatan seperti menunggu kehadiran aku di dalam pondok. Sejurus tiba di depan pondok, tiba-tiba scene mimpi aku bertukar. Sekarang aku berada di dalam satu bilik dan dia berdiri di depan aku. Keadaan bilik ni teruk. Bulu pelepah bersepah serata lantai. Dinding berconteng dengan macam-macam tulisan. Bilik ni takde lampu. Tingkap pon takde. Hanya lilin dan pelita digunakan sebagai sumber cahaya…

Aku pandang semula wanita tua tadi. Kali ni pakaian dia dah koyak-rabak, kotor dan busuk. Dia tunjukkan aku satu per satu barang dalam bilik tu. Masa ni dia berulang kali cakap “Aku panas!!.. Aku panas!!”. Kemudian dia bawak aku ke satu rumah lain. Dalam tu aku nampak ada seorang budak perempuan sedang bermain dengan rantai emas. Lepas tu entah kenapa tiba-tiba budak tu jerut leher dia guna rantai emas tu sampai terbeliak biji mata.

Bangun dari tidur tu aku blurr kejap then cuba recall setiap scene mimpi tadi. Kenapa dua hari ni aku dapat mimpi pelik. Sudahnya aku give up sebab aku tak ingat dengan sempurna mimpi tu waktu tu. Satu perkara yang aku yakin, aku cam wanita ni.

Seminggu kemudian, aku sekali lagi mimpi bertemu wanita tua yang sama. Kali ni aku jumpa dia kat kawasan kebun sayur. Dia duduk melunjur di tepi batas sambil menunjukkan ke satu arah. Dia masih dengan pakaian koyak rabak yang sama. Tapi makin busuk dan wajah dia dah tak serupa orang. Aku tak boleh describe rupa dia masa tu. Mengerikan. Dah macam kena sagat atas jalan tar. Mata dia hampir terjatuh keluar.

Kemudian dia bangun dan menuju ke arah yang dia tunjuk tadi. Kali ni perut dia membesar dah macam mengandung. Setiap kali dia melangkah, dia akan gugurkan gumpalan ulat dari perut dia. Dia berhenti kat satu pokok. Satu helai kain kuning terhampar di atas tanah berhampiran. Menggigil tangan dia buka lipatan kain tu hingga menunjukkan beberapa objek termasuk beberapa helai rambut dan satu buku kecil sebesar ibu jari.

Kemudian dia bawak aku ke satu lokasi yang lain. Muka dia tiba-tiba berubah dari tak rupa orang tadi terus menjadi normal. Dia tunjuk ke satu arah yang lain seraya berkata “Tolong sejukkan aku!”. Aku bangun tidur dalam berpeluh ketakutan. Nak sedapkan hati, aku anggap ni mungkin mimpi aneh pengaruh daripada pandangan halus mata aku.

Satu hujung minggu, aku dengan geng aku pergi mandi air terjun. Dalam perjalanan ke sana aku perasan sesuatu yang familiar. Jalan yang berbukit, disekelilingi dusun dan kebun seakan mengingatkan aku kepada sesuatu. Tapi aku tak jumpa jawapan kepada pemerhatian aku. Sehinggalah secara tak sengaja aku ternampak satu pondok kat dalam dusun. Aku rasa macam aku pernah pergi kat pondok tu. Hati masih ragu-ragu, dalam masa yang sama aku agak yakin. Nak singgah tak boleh sebab aku naik kereta dengan kawan yang lain. Mungkin aku kena datang sini sendiri untuk mendapatkan kepastian. So aku cuba hafal beberapa landmark supaya aku boleh sampai semula ke lokasi pondok tadi.

Aku datang balik ke dusun ni seminggu berikutnya. Masa ni aku takde idea nak buat apa so aku duduk je kat pondok tu sampai idea datang. Puas aku cuba ingat balik kenapa aku rasa aku pernah datang sini. Even masa bawak motor tadi pon aku dah rasa macam aku sedang ulang semula apa yang aku pernah lakukan. Hari dah terik, by the time aku nak gerak balik tiba-tiba aku ditegur seseorang. “Tunggu siapa tu dik?”.. suara kedengaran seakan tak jauh dari aku. Sekali aku toleh ke sisi. Sorang lelaki tua bercangkul berdiri betul-betul di sebelah pondok. Terperanjat aku sampai melompat keluar dari pondok.

Lepas perkenalkan diri, aku borak-borak dengan pakcik ni. Aku cakap kat dia aku tumpang duduk kat pondok ni kejap. Penat bawak motor kononnya. Padahal aku bohong je tu. Then pakcik ni ajak ke rumah dia untuk minum. Aku terima dengan hati terbuka serta dengan tekak yang haus. Kami berjalan kaki menuju ke rumah sambil pakcik ni tunjukkan kebun-kebun bunga dan tanaman buah-buahan yang dia tanam di sekitar situ. Langkah aku terhenti bila aku ternampak satu pokok di hujung kebun. Lama aku tenung pokok ni. Pakcik tu blurr tengok kelakuan aku terus panggil aku untuk ikut dia. Aku toleh balik ke arah pondok tadi. Melihatkan bentuk pondok dari sudut sini terus mengingatkan aku pada mimpi yang aku terima recently. Pondok usang beratap zink berlubang dikelilingi kebun dan dusun.

Secara tak langsung apa yang berlaku ni drag memori aku kepada peristiwa Sumpah Mimpi. Waktu ni segala isi mimpi aku terimbas dalam fikiran yang mana membuatkan aku rasa macam nak cuba uji mimpi ni pulak. Nak tengok jauh mana mimpi ni boleh pergi. Dan bila aku tiba di depan rumah pakcik. Aku cam pulak rumah ni. Gambaran mimpi tu menjadi semakin jelas satu per satu sejak dari pondok tadi sampailah ke rumah pakcik ni. Kitorang sambung borak di ruang tamu sambil isteri pakcik hidangkan air. Macam-macam pakcik sembangkan. Perhatian aku teralih pada satu gambar di atas meja tv. Pakcik kata tu anak perempuan dia. Dah meninggal dengan penyakit yang tak dapat dipastikan. So kat sini aku dah tau kat mana aku nak mulakan.

Dalam serba salah aku luahkan niat asal aku datang sini. Aku cakap ada sesuatu yang perlu aku uruskan tapi sebelum tu aku perlu sahkan beberapa perkara. Aku tanya pakcik sama ada terdapat kebun sayur di sekitar kawasan ni. Pakcik kata ada. Dia bawak aku ke belakang rumah. Seram sejuk bila aku tengok kebun ni exactly sama macam aku mimpikan. Aku bawak pakcik ni ke satu pokok seperti yang ditunjukkan oleh wanita tua dalam mimpi tu which is pokok yang sama aku nampak tadi.

Setibanya kat situ aku minta izin pakcik untuk gali tanah berdekatan pokok tu (tempat yang sama kain kuning dibuka). Pakcik izinkan even dia sendiri tak faham apa aku cuba lakukan. Tanah dicungkil sedikit demi sedikit menggunakan alatan kebun pakcik. Hati aku kuat mengatakan kat sini ada sesuatu. Meremang bulu roma. Betapa terkejutnya bila kami melihat cebisan kain terserlah ketika menggali. Kami berpandangan satu sama lain. Pakcik kata teruskan. Aku sambung menggali. Hasilnya, kain kuning yang dilipat kecik sebesar tiga jari berjaya dikeluarkan. Air muka pakcik menunjukkan reaksi sugul. Dia menjerit panggil isteri dia. Makcik datang dengan tergesa-gesa.

Bila makcik perasan penemuan kain tu, muka dia terus berubah. Aku yang masih tercengang dengan penemuan ni hanya mampu terdiam seribu bahasa. Akhirnya pakcik buka lipatan kain. Di dalamnya terdapat gumpalan rambut, satu buku kecil bertulisan arab serta sekeping gambar yang disahkan oleh pakcik adalah gambar anak perempuan dia. Honestly, fikiran aku kosong masa ni tak tau apa langkah seterusnya. Aku rasa macam tak percaya semua ni terbukti.

Pakcik call sorang ustaz untuk datang ke rumah. Hasil perbincangan antara pakcik dan ustaz ni baru lah aku faham yang anak dia terkena buatan orang. Berkali-kali anak dia yakinkan pakcik ni yang dia berasakan sesuatu tak kena dengan diri dia. Dia selalu nampak kelibat orang berjalan di sekeliling rumah, dia nampak perut dia membesar, dia mimpi didatangi ular. Tapi satu pon pakcik ni tak percayakan anak dia malah anak dia dimarahi hingga anak dia tertekan.

Setiap hari anak dia akan meracau bila menjelang senja. Pakcik sangkakan anak dia cuba memberontak rasa tak puas hati sebab tak dapat apa yang dimahukan. Plus, pakcik tak percayakan kewujudan ilmu hitam dan makhluk halus. Pada pakcik, benda macam ni mengarut semata. Suatu hari, anak pakcik ditemui tidak bernyawa di pondok dusun. Tempat aku duduk lepak tadi tu. Dengar semua ni buat aku seriau fikir macam mana aku nak balik nanti ni. Nak bawak motor sorang pulak tu. Tapi tugas aku masih belum habis.

Dipendekkan cerita, aku tolong ustaz tu kesan orang yang menghantar sihir. Aku ceritakan semua mimpi yang aku terima pada ustaz dan kami berjaya menjejak lokasi rumah berdasarkan arah yang ditunjuk oleh wanita tua (lepas buka kain kuning). Thanks ustaz sebab bagi kerjasama even cerita aku kedengaran mengarut. Bentuk rumah yang tak bertingkap memudahkan lagi pencarian. Rumah lama beratap nipah ni tak jauh dari rumah pakcik tadi. Rumah ni dah lama tak berpenghuni. Aku ikut ustaz masuk ke dalam dan sejurus aku melangkah masuk, segalanya sama. Dinding berconteng, takde lampu, peralatan ritual bersepah sebijik macam apa yang aku mimpi.

Pemilik rumah ni adalah kenalan pakcik. Atas perbincangan bersama keluarga pakcik, aku menjelaskan ‘request’ mimpi tu. Ustaz menyokong dan menasihatkan agar pakcik lupakan kisah lalu dan maafkan si pelaku. Pakcik akur. Rumah sihir ni dibersihkan, dibacakan ruqyah dan dirobohkan demi kebaikan. Aku pon ada waktu rumah ni dirobohkan. The best part, pakcik buat majlis tahlil dan bacaan yaasin untuk arwah anak dia dan arwah pelaku sihir pada hari yang lain. Betapa kuatnya pakcik ni menerima hakikat malah mendoakan kebaikan untuk si pelaku. Sedih rasanya bila aku serahkan rantai emas milik anak pakcik masa bersihkan rumah. Aku considered misi aku selesai.

So geng, orang yang jumpa aku dalam mimpi tu adalah si pelaku sihir. Ada la benda dia tak puas hati sampai sanggup dia buat macam tu. Then budak yang jerut leher dengan rantai tu adalah anak pakcik tu. Rantai tu ada dalam gambar kat meja tv. Dalam mimpi aku, wanita tua ni nampak macam berusia sekitar 50an dan budak tu dalam usia sekolah rendah. Realitinya, yang tua ni berusia 70an dan budak tu berusia awal 20an pada nafas terakhir mereka.

Apapun yang berlaku antara diorang, aku harap kita tak gunakan cara yang sama dalam menyelesaikan masalah. Selagi boleh bincang kita bincang. Tak boleh bincang, ambik tindakan undang-undang. Cara kotor ni sangat susah untuk dibersihkan dan sangat padah kesannya. Kita ada pegangan agama, setiap agama mengajar tentang kebaikan. Teruskan berbuat baik even kita sendiri tak sebaik mana. Jaga akidah, jaga ibadah. Semoga kita tak terpesong dari jalan yang benar.

Last but not least, kalau korang ada kebolehan mimpi macam ni, tolong bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. Reality akan slightly berbeza daripada mimpi. Cakna dengan setiap petunjuk. Kentalkan jiwa, hati mau keras. Kalau kau dah mulakan, sila habiskan. Kena maki, kena pukul tu normal. Siapa je nak percaya melainkan kau buktikan terlebih dahulu. Take note, you’ll sail alone. Do not simply follow the flow, be smart handling the crosswind. Jangan mengalah tapi cuba cari jalan lain untuk sampaikan mesej kepada yang berkenaan. Punyai kebolehan tak semestinya satu kelebihan untuk diri sendiri. Kadang ianya satu sumpahan yang datang dengan tanggungjawab. Sekian, stay safe.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ahmeng

2 thoughts on “Seruan Hitam”

  1. wahh … sy pun pernah mimpi macam abang tapi jalan ceritanya lain…sy ingat benda ni mainan tidur …rupenya satu pentunjuk.

    Reply
  2. Allah, sebijik macam yg aku hadap selama ni. kadang aku tak cerita dekat family nanti mak abah aku pikiaq aku yg tak cukup solat la, apa la zikir la. aku diam jelah. walau banyak yg nk hurai tapi aku diam.

    ya IANYA SUMPAHAN YG DATANG SEKALI TANGGUNGJAWAB. aku akui itu.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.