Sewa Rumah Banglo Harga Murah

Assalamualaikum.. Nama aku Sany berasal dari Seremban N.Sembilan. Kisah yang aku nak ceritakan ni terjadi di sebuah kawasan perumahan elit di satu daerah selatan tanahair. Aku masih ingat lagi pada masa tu tahun 2006 isteri aku yang bekerja sebagai Akauntan telah dinaikkan pangkat dan telah diarahkan untuk berpindah ke daerah itu dalam masa satu minggu dari tarikh surat lantikan dikeluarkan.

Aku pulak pada masa itu baru je berhenti kerja bank, dengan keadaan masalah kewangan dan ekonomi yang meruncing, kami sekeluarga dengan berat hati terpaksa juga berpindah. Masalahnya rumah sewa belum dapat lagi. Lalu isteri aku cuba minta tolong kakitangannya di tempat baru untuk carikan kami rumah sewa.

Alhamdulillah, keesokannya harinya isteri aku dapat tahu yang ada rumah kosong yang nak disewa dan harganya agak murah jugaklah. Maka aku dan isteri terus drive untuk berjumpa dengan owner rumah. Tapi owner menolak untuk berjumpa dengan alasan dia tinggal jauh. Dia cuma minta aku dan isteri ambil kunci rumah dekat jiran sebelah. Yang aku suka sangat bila owner cakap aku tak payah bayar deposit, memadai bayar sebulan sewa sahaja. Bila sampai je dekat rumah dia, aku dengan isteri macam tak percaya. Rumah yang kami nak sewa tu sebenarnya rumah banglo. Aku dengan isteri pun tertanya-tanya, kenapa harga dia murah sangat.

Tiba masanya kami sekeluarga berpindah. Oh ya pada masa tu aku ada 2 anak perempuan dan seorang lelaki. Yang tua umur 8 tahun, no.2 7 tahun dan yang kecil sekali Aiman 2 tahun.

Pada minggu pertama kami menetap dirumah tu tiada apa-apa benda pelik yang berlaku. Cuma kadang-kadang anak-anak aku takut bila tidur dalam bilik diorang. Diorang selalu cakap bila malam je dengar macam ada orang cakap-cakap di ruang makan dan dapur. Aku dengan isteri tak ambil pusing sangat pasal kami tahu itu cuma taktik budak-budak ni nak tido satu bilik dengan kami.

Masuk minggu kedua, anak lelaki aku Aiman dah menunjukkan tanda-tanda pelik. Dia selalu masuk dalam bilik yang kosong dan bermain sorang-sorang seperti sedang bercakap dengan seseorang. Bila aku atau isteri tanya Aiman main dengan siapa? dia cakap main-main dengan kawan hantu.

Aku dengan isteri terdiam. Kadang-kadang dia berlari keluar menjerit-jerit, bila tanya kenapa? Dia cakap ada ayah hantu… Ada ayah hantu..! Bila aku check dalam bilik takde sesiapa pun.

Biasanya kami makan malam dalam pukul 8 lepas solat maghrib. Bila si Aiman ni nak makan dia aku letakkan dalam baby chair, tengah sibuk orang nak makan dia boleh main cak-cak dengan Aiman dari dalam bilik. Masa tu kami semua masing-masing berderau darah.

Nak dijadikan cerita, setelah sebulan aku menetap dirumah sewa tu, keluarga aku dari Seremban datang menziarahi kami sekeluarga. Mak aku, kakak-kakak aku, abang aku dengan kakak ipar aku pun ada sekali.

Kejadian aneh yang terjadi pada masa itu, pintu dapur aku kena hempas seperti ada orang main bukak tutup.. bukak tutup.. padahal tak ada angin langsung. Sampai mak aku pun terperanjat dan marah-marah. Dia cakap siapa yang main pintu ni? Bila periksa tengok takde sesiapa pun dekat luar dapur. Setelah kami semua berborak-borak sampai hampir tengah malam, tiba masanya semua masuk tidur. Abang aku dan isteri serta seorang anaknya memilih untuk tidur diruang tamu sebab abang aku tak tahan panas bila tidur dalam bilik. Untuk pengetahuan korang, rumah aku memang sentiasa panas, walaupun aircond terpasang keadaan tetap panas. Sampaikan aku tidur dalam bilik ada aircond pun kena buka baju.

Keesokan paginya lepas solat subuh abang aku cakap dia sekeluarga kena balik segera pasal isteri tiba-tiba sakit dan demam. Keluarga aku yang lain masih lagi tinggal. Aku dengan isteri pun agak terkejut jugak sebab semalam elok je isteri dia borak-borak. Tiba-tiba pagi ni dah sakit.
Seminggu kemudian aku balik rumah mak aku ada kenduri. Lepas usai majlis, kami duduk borak-borak. Tiba-tiba kakak ipar aku bersuara. ” Sany.. aku nak bagaitahu kau sikit.. tapi kau jangan terperanjat yea..! Lalu aku menangguk.

Kakak ipar aku memulakan cerita. Pada masa dia datang kerumah aku minggu lepas, semasa sedang tidur dia terasa nak terkencing. Dia tengok jam menunjukkan pukul 3 pagi. Kemudian dia terdengar ada orang berborak-borak diruang makan. Pada masa itu dia ingatkan ada di kalangan kami belum tidur lagi. Lalu dia pun bangkit dan jalan menuju ke bilik air. Ketika melalui ruang makan dia terkejut apabila melihat ada beberapa orang lelaki dan wanita sedang duduk berborak dan makan-makan di ruang makan.

Yang hairannya seorang pun dia tak kenal. Lalu dia terus berjalan menuju ke bilik air dengan hati yang berdebar. Bila sampai ke dapur dia dapati ada 2 atau 3 orang wanita sedang memasak dan membasuh baju. Dia terus membatalkan hasrat dia dan terus berjalan menuju pada abang aku. Pada ketika itu dia merasa badannya terlalu lemah. Masih kedengaran lagi suara dan gelak tawa di ruang makan.

Dia cuba kejutkan abang aku, namun bila abang aku bangun suara-suara tu terus hilang. “Tu pasal pagi tu aku terus balik” katanya padaku. Kakak ipar aku nasihatkan agar aku pindah keluar dari rumah tu cepat sebelum ada benda tak elok terjadi. Sebab melalui perbualan yang dia dengar, dorang ada menyebut sesuatu tentang keluarga aku. Dia pun tak jelas sangat tentang apa.

Kakak ipar aku sarankan agar aku mengadakan kenduri doa selamat dan bacaan yassin untuk bersihkan rumah aku sekiranya aku masih nak tinggal disitu. Rupanya semua keluarga aku telah mengetahui hal ini, suami adik aku juga mengalami perkara yang pelik semasa tidur di rumah aku. Ketika itu keadaan di dalam bilik dia sangat panas, suami dia mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta sambil memasang aircond. Ketika sedang tidur dia terbangun dan perasan ada seorang lelaki duduk di sebelah dia dan hanya memandang tepat ke mukanya. Dia buat tak tahu dan sambung tidur kembali. Tiba-tiba dia rasakan seperti tak dapat bernafas. Bila dia buka mata, dia dapati lelaki tadi sedang mencekik lehernya. Dengan segala kudrat yang ada dia menolak lelaki tadi dan terus keluar dari kereta. Apabila dia lihat ke dalam semula lelaki tu telah hilang.

Dengan sepantas kilat dia mematikan enjin dan terus masuk rumah.
Pada bulan ke 3 aku pun mengadakan kenduri doa selamat dan bacaan yassin. Aku telah menjemput orang-orang surau di kampung berdekatan dengan kawasan perumahan kami. Semua keluarga aku datang termasuk abang dan kakak ipar aku.

Ketika rombongan orang surau sampai, kakak ipar aku sekali lagi merasakan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. Dia melihat rombangan orang surau lebih kurang 30 orang telah disertai oleh 11 orang lelaki tinggi yang memakai jubah dan serban hijau duduk diantara rombongan orang surau. Kalau nak ikutkan logik, area ruang tamu aku hanya muat untuk 25- 30 orang je. Kakak ipar aku terus mengigil satu badan dan dia hanya terdiam membisu sehingga majlis selesai. Setelah itu dia memceritakan segala yang di nampak sebentar tadi. Entahlah… Betul atau tidak aku pun tak pasti. Pasal semua yang ada tak nampak pun orang pakai jubah dan serban hijau. Tapi menurut abang aku, kakak ipar aku ni mempunyai kelebihan dapat melihat benda-benda ghaib ni. Tapi dia ni memang jenis penakut tahap gaban.

Setelah hampir setahun menetap dan bermacam-macam peristiwa kami sekeluarga lalui, Alhamdulillah tiba masanya isteri aku dapat bertugas semula di Kuala Lumpur. Semasa hendak keluar dari rumah tu, owner datang bersama-sama keluarganya. Aku cuba mengorek kisah sebenar tentang rumah itu.

Pada mulanya dia agak keberatan untuk bercerita. Tetapi setelah aku dan isteri menceritakan tentang perkara yang kami alami barulah dia bersetuju.

Katanya dia baru membeli banglo ini dengan harga yang murah dari seorang cina. Nanum setelah mendiami banglo ini selama sebulan, dia juga merasai apa yang kami sekeluarga lalui. Setelah sebulan menetap, dia sekeluarga tak tahan dan berpindah ke rumah ibu bapanya dalam daerah yang sama. Rumah itu hanya disewakan sahaja.

Namun telah ramai penyewa hanya mampu bertahan paling lama pun 3 bulan. Kami merupakan penyewa yang paling lama menyewa. Menurutnya lagi kawasan itu sebelum.ini merupakan kawasan hutan yang diterokai untuk pembangunan perumahan. Kemungkinan tapak yang didirikan itu adalah kawasan perkampungan bunian. Wallahualam.. hanya tuhan yang maha mengetahui segalanya.

Sekian, terima kasih.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

4 thoughts on “Sewa Rumah Banglo Harga Murah”

  1. Bunian takper lg…jgn ada setan…jin jahat kt umah tu udah lah…rasanya bunian yg beragama islam lah tu…jgn buat benda x senonoh udah lah mmg kn kacau kaw2….

    Reply

Leave a Comment