Siapa Pak Cik Tu?

Hai semua..

Cerita yang aku ingin sampaikan di sini berlaku 2 tahun lepas atau lebih tepat lagi pada 13/03/2019 (Khamis). Kisah ini mungkin pernah berlaku pada sesiapa sahaja yang pernah melalui Lebuhraya Pantai Timur berhampiran R&R Gambang Arah Timur.

Aku merupakan seorang penolong juruaudit yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Port Dickson. Sebagai seorang penolong juruaudit, kadang-kadang kerja yang diarahkan oleh majikanku tidak mengira tempat dan masa. Pernah satu hari tu, seharian aku tidak dapat melelapkan mata kerana perlu menyiapkan tugas yang diarahkan. Sebelum aku terlupa, kerja aku ni melibatkan pembekalan minyak dari lori ke kapal. Antara pelabuhan yang aku kena pergi untuk menyiapkan tugasan ini adalah seperti Pelabuhan Johor, Melaka dan Kuantan.

Seperti yang semua sedia maklum, apabila sebut sahaja Lebuhraya Pantai Timur, mesti pelbagai cerita misteri yang pernah berlaku di lebuhraya tersebut. Peristiwa yang berlaku kepada aku adalah ketika aku dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan.

Aku mendapat arahan daripada majikanku pada hari rabu untuk ke Pelabuhan Kuantan dan aku dkehendaki untuk berada di pelabuhan tersebut pada hari khamis pukul 10 pagi bagi menguruskan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk kemasukan lori ke pelabuhan. Aku sudah banyak kali menguruskan hal-hal seperti ini berseorangan kerana lagi seorang rakan sekerjaku perlu menguruskan pembekalan minyak di Port Dickson. Jadi aku mengambil keputusan untuk balik ke Kuala Lumpur kerana jarak antara Kuala Lumpur ke Pelabuhan Kuantan agak dekat dari Melaka ke Kuantan.

Untuk makluman semua, aku sebenarnya berulang-alik setiap hari dari Melaka ke Port Dickson kerana rumah keluargaku di sana. Aku ke Kuala Lumpur sebulan sekali kerana isteriku bekerja di sana dan menetap bersama keluarganya. Jadi aku dan isteriku cuma berjumpa sebulan sekali sahaja itupun jika aku ada tugasan yang perlu dilakukan di Kuantan. Isteriku memahami tugasanku yang tidak mengira tempat dan waktu. Jadi setelah selesai kerja pada hari rabu, aku terus bergerak pulang ke Kuala Lumpur.

Pada keesokan harinya, aku bergerak dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan pada pukul 4 pagi dan aku bercadang untuk berhenti solat subuh di R&R Gambang. Jadi aku bangun tidur pada pukul 3 pagi dan terus bersiap kerana aku risau sekiranya aku tiba agak lewat di Pelabuhan Kuantan. Aku bercadang untuk tiba di Pelabuhan Kuantan pada pukul 9 pagi supaya aku dapat merehatkan diri sekejap menunggu ketibaan lori dari Port Dickson. Selalunya pemandu lori akan bergerak dari Port Dickson setelah mereka selesai mengisi minyak di tangki. Lori tidak dapat masuk ke kawasan pelabuhan selagi tidak menerima arahan daripada ejen.

Ramai yang sedia maklum kesunyian Lebuhraya Pantai Timur pada pukul 4 pagi. Walaupun aku sudah banyak kali melalui jalan tersebut pada awal pagi tetapi pada kali ini, aku rasa tidak sedap hati. Aku tidak menceritakan hal ini kepada isteriku sebelum bergerak pergi kerana tidak mahu dia berasa susah hati. Perjalananku pada pagi itu tidaklah ada apa-apa terjadi sehinggalah ketika azan subuh sedang berkumandang di radio keretaku. Dari kejauhan aku ternampak ada seorang pak cik yang sedang berjalan kaki. Pada mulanya aku tidak mengesyaki apa-apa kerana aku berfikir bahawa pak cik itu hendak menunaikan solat subuh di surau yang mungkin berhampiran dengan kawasan lebuhraya tetapi apabila aku menyedari di kiri dan kananku hanyalah hutan belantara, baru aku sedar bahawa tiada surau atau masjid yang berada berdekatan dengan situ kerana R&R Gambang yang aku bercadang hendak berhenti berada kira-kira 10km lagi.

Semakin lama kereta yang aku pandu menghampiri pak cik itu dan cahaya lampu jalan yang menyinari kawasan itu membuatkan aku dapat melihat wajahnya dengan jelas. Pak cik itu berkopiah putih, berselipar, memakai kain pelikat dan berbaju melayu berwarna putih. Pak cik tersebut berjalan berlawanan arah dengan keretaku dan memandang ke arahku sambil tersenyum. Aku yang tergamam pada ketika itu hanya memandang sahaja pak cik itu yang berada betul-betul di sebelah keretaku. Aku meneruskan pemanduanku dan apabila aku melihat pak cik itu melalui cermin keretaku, aku dapati pak cik tersebut masih berada di situ dan masih menoleh sambil tersenyum.

Aku tidak pasti sama ada pak cik itu merupakan manusia biasa atau bukan kerana persoalan yang bermain di fikiranku ketika itu:

Kemana pak cik itu hendak pergi?
Kenapa pak cik itu berada di lebuhraya yang sunyi pada awal pagi?

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Ayie

3 thoughts on “Siapa Pak Cik Tu?”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.