Siapakah Dia?

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Ini kali pertama aku menulis dan berkongsi kisah di sini. Terima kasih kepada admin jika kisah ini disiarkan. Kisah ini bukanlah berkaitan hantu, jembalang, iblis atau yang seangkatan dengannya. Hehehe

Kisah benar ini bukanlah dilalui oleh diri aku sendiri. Tetapi, kisah yang telah berlaku lebih kurang 10 tahun yang lalu ini diceritakan oleh ayah aku yang mengalaminya. Mari kita mula.

Ayah aku amat menggemari sukan badminton. Sudah menjadi kebiasaan di malam minggu, ayah aku beriadah bermain badminton bersama rakan sekerjanya di sebuah dewan yang terletak kira-kira 20KM dari rumah kami. Namun, ini cerita dahulu kala kerana kini ayah aku tidak lagi aktif bermain badminton disebabkan faktor usia dan kecederaan.

Pada malam itu, seperti biasa ayah aku bertolak ke dewan badminton dengan menaiki motosikal seorang diri. Terdapat dua pilihan jalan untuk menuju ke dewan badminton tersebut. Aku namakan jalan A dan jalan B. Jalan A merupakan jalan yang sering kali menjadi laluan pengguna jalan raya yang lain manakala jalan B jarang dilalui kerana terdapat landasan kereta api. Ayah aku lebih gemar untuk menggunakan jalan B kerana jarak dan masa yang lebih singkat serta jarang digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain.

Seperti biasa, ayah aku melalui jalan itu dan melintasi landasan kereta api untuk ke seberang jalan. Namun entah macam mana pada malam itu, malang menimpa nasib ayah aku apabila tayar motosikalnya tersangkut di celah-celah rel kereta api. Ayah aku mencuba sedaya upaya menolak motosikal untuk mengeluarkannya namun tidak berjaya. Lebih memburukkan keadaan, dalam masa yang sama sebuah kereta api membawa barang sedang menghala ke arah ayah aku. Dari jauh, kereta api tersebut beberapa kali memberi lampu amaran dan membunyikan hon sebagai tanda menyuruh ayah aku untuk segera beredar.

Ayah aku menjadi buntu dan m**i akal untuk mengeluarkan tayar motosikal daripada rel kereta api. Dalam fikiran ayah aku pada malam itu, jika ditinggalkan motosikal ini berkemungkinan menyebabkan kemalangan kepada kereta api tersebut. Dibimbangi pelanggaran akan menyebabkan kereta api tergelincir daripada landasannya yang memungkinkan malapetaka yang lebih besar akan berlaku. Ayah aku terus bergelut untuk cuba menolak motosikal tetapi gagal. Kereta api terus menghampiri dengan bunyi hon kecemasan memecah kesunyian malam.

Dalam situasi getir pada malam itu, entah dari mana secara tiba-tiba muncul seorang lelaki memberi salam kepada ayah aku. Ayah aku menoleh ke belakang dan menjawab salam, seorang lelaki berpagoda putih dan berkain pelikat berada betul-betul di belakang motosikal ayah aku. Rambutnya ke paras bahu tetapi ayah aku tidak dapat mengecam wajahnya disebabkan kegelapan malam. Tanpa banyak soal, lelaki tadi mengarahkan ayah aku untuk berada di atas motosikal dan dia menawarkan diri untuk menolak. Akhirnya, motosikal ayah aku lolos dan berjaya ke seberang jalan hasil bantuan lelaki tadi. Kini, ayah aku dan lelaki tadi dipisahkan dengan kereta api yang meluncur laju di atas landasan.

Ayah aku menunggu kereta api selesai melalui landasannya kerana berhasrat untuk mengucapkan terima kasih kepada lelaki tadi atas pertolongannya. Setelah selesai kereta api melalui landasannya, ayah aku meninjau untuk mencari lelaki tadi, namun dalam suasana yang gelap gelita dan sunyi sepi itu, ayah aku tidak melihat seorang manusia pun yang berada di situ. Lelaki tadi ghaib di sebalik kepekatan malam. Ayah aku cuba melihat di sekitar kawasan itu kalau-kalau lelaki tadi berjalan pergi tetapi hampa. Persoalannya, siapa lelaki itu?, mengapa dia terus menghilangkan diri?.

Sehingga kini, ianya masih menjadi tanda tanya di benak fikiran ayah aku, siapakah gerangan lelaki pada malam itu?. Setiap kali melalui jalan itu, kisah yang mendebarkan itu sentiasa segar di fikiran ayah aku. Jikalau tidak kerana pertolongan ‘lelaki misteri’ itu, sudah tentu kecelakaan yang besar akan berlaku. Hanya Allah saja yang mengetahui segala-galanya. Siapa tahu, mungkin saja Allah yang menghantar ‘lelaki misteri’ itu sebagai pertolongan ataupun maunah kepada hamba-Nya yang berada dalam kesulitan. Mungkin para pembaca juga mempunyai pengalaman tersendiri dikurniakan pertolongan yang tidak disangka-sangka dalam situasi yang mendebarkan. Sekian sahaja daripada saya. Semoga kita bersua kembali. Assalamualaikum

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Min

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.