Assalamualaikum warga FS.
Terima kasih andai penulisan aku kali ini di publish. Dah lama rasanya tak menulis di sini. Aku ada beberapa kejadian misteri yang ingin aku ceritakan. Misteri atau tidak itu terpulang kepada pembaca untuk menilainya.
Aku bukanlah tergolong dalam golongan mereka yang terbuka hijabnya. Tapi mengalami perkara-perkara pelik dan sedikit misteri itu bukan juga sesuatu yang luar biasa dalam norma kehidupan seharian aku. Kerana ada banyak kejadian yang berlaku dalam hidup aku yang aku kira sukar untuk dihadam dengan akal waras yang normal. Namun, sedikit sebanyak pengalaman dalam hidup aku memberi aku banyak pelajaran dan pengajaran yang berguna. Malah andai diambil kira kejadian-kejadian yang aku lalui sedikit sebanyak ada kaitan dengan pendamping yang ada padaku. Tapi sejauh mana kebenarannya, wallahualam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Kejadian yang ingin aku ceritakan kali ini ialah apabila aku seringkali terserempak dengan manusia yang berwajah pucat umpama m4yat. Terdapat beberapa kejadian penampakan yang serupa yang masih aku ingat.
Kejadian pertama ialah sewaktu aku masih dalam sesi pengajian di ipta. Aku ialah pengguna tegar bas rapid ketika itu. Aku masih ingat lebih kurang pertengahan tahun 2012 aku menaiki bas rapid menuju ke arah KL untuk pulang ke rumah dengan membuat pertukaran tren di KL Sentral. Ketika itu aku menaiki bas sewaktu peak hours, iaitu ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah dari pejabat masing-masing.
Seperti biasa aku mengambil kedudukan di dalam perut bas, berdiri menyandar di tepi cermin tingkap bas rapid. Memandangkan bas agak padat dan orang ramai, aku lebih selesa berdiri di tepi cermin berhampiran pintu belakang bas. Bas rapid berhenti di setiap perhentian bas dan pergerakan bas agak perlahan memandangkan jalanraya jammed dengan kenderaan. Sehingga tibanya di satu perhentian. Bas berhenti agak lama untuk beberapa minit kerana ramai yang turun dan naik bas.
Aku melontarkan pandanganku ke luar tingkap bas. Dalam ralit memerhatikan gelagat dan ragam manusia aku terpandang seorang kanak-kanak lelaki yang aku agak umurnya lebih kuran 7-8 tahun. Sukar untuk aku alihkan pandangan aku dari melihat rupa paras kanak-kanak yang terlalu comel itu. Persis anak mat saleh yang entah sesat dari mana. Bukan itu yang menyebabkan aku tidak berkerdip memerhati, tetapi wajahnya yang putih pucat umpama may4t. Aku sedikit pelik dengan wajah putih yang ekstrem sebegitu.
Di sebelah nya kelihatan seorang wanita 30-an dan menunduk bermain handphone. Sangkaanku mungkin itu ibunya kerana beberapa ketika wanita itu melangkah menuju ke bawah satu pokok dan kanak-kanak itu mengekorinya dari belakang. Tapi yang anehnya, kehadiran kanak-kanak itu seolah-olah tidak disedari atau lebih tepat seperti tidak diendahkan oleh wanita itu. Aku perhatikan lagi, orang ramai disekelilingnya juga seperti tidak mengendahkan kanak-kanak itu. Adakah aku seorang sahaja yang melihat manusia yang berwajah putih pucat sebegitu dengan pandangan yang pelik?
Bas mulai bergerak setelah semua penumpang naik ke dalam perut bas. Ketika itulah kanak-kanak itu menoleh ke arah ku dan memandang tepat kepadaku dengan renungan kosong dan sayu. Aku agak terkejut namun cepat-cepat aku alihkan pandanganku ke handphone di tangan. Kejadian itu meninggalkan tanda tanya, namun aku berkeputusan untuk mengabaikannya. Tetapi kejadian itu bukan lah yang terakhir kerana masih ada beberapa kejadian lain yang aku lalui.
Kejadian seterusnya juga berlaku di perhentian bas. Aku masih ingat ketika itu jam menunjukkan pukul 6 petang. Cuaca agak suram mungkin kerana baru lepas hujan tambahan pula hari sudah mulai menganjak senja. Aku baru habis kuliah dan merancang untuk ke KL atas beberapa urusan. Kali ini juga seorang diri. Aku duduk di kerusi perhentian menunggu bas yang belum kunjung tiba. Kepala agak serabut memikirkan assignments yang berlambak untuk disubmit minggu tersebut. Aku melayan perasaan bermain handphone di tangan. Untuk beberapa ketika aku terasa sedikit pening, mungkin terlalu lama menunduk menghadap handphone.
Aku simpan handphone ke dalam poket seluar dan memerhati sekeliling. Kelihatan beberapa orang yang duduk di kerusi berhampiran barangkali menunggu bas yang sama sepertiku. Tatkala aku termenung jauh memerhatikan orang lain yang berada di situ, aku terperasan seperti ada orang yang memerhatikan aku. Aku toleh ke arah kanan. Sedikit terkejut apabila seorang lelaki berumur lebih kurang 40-an memandangku tanpa berkerlip matanya. Aku mengerutkan dahi simbolik bahasa badan menunjukkan aku agak pelik dan tidak selesa direnung sebegitu rupa.
Dan yang lebih memeranjatkan aku ialah lelaki itu kelihatan agak tidak sihat. Maksudku, muka nya pucat seperti m4yat. Aku mulai rasa tidak selesa dan gelisah. Mungkin menunggu bas yang begitu lama atau mungkin juga suasana senja selepas hujan yang menghadirkan satu perasaan aneh ketika itu. Entahlah. Tidak beberapa lama kemudian, bas yang ditunggu pun tiba. Aku segera naik ke dalam bas dan memilih untuk duduk di tempat duduk yang menghadap pintu belakang bas.
Kali ini sekali lagi aku terkejut kerana lelaki tadi duduk di tempat duduk belakang dan masih merenungku seperti tadi. Hati menjadi berdebar-debar. Entah siapa atau apa niatnya aku pun tidak pasti. Tapi yang pasti, sepanjang perjalanan itu aku tidak selesa kerana lelaki itu masih disitu dan memerhatikan aku tanpa mengalihkan pandangannya. Aku abaikan memandangkan aku fikir dia tidak mampu mengapa-apakan aku dengan ramai penumpang lain di dalam bas. Sehingga tiba di destinasi, aku turun dan berasa sedikit lega kerana lelaki itu tidak mengekoriku. Pelik. Tapi sebab aku jenis malas nak fikir lama-lama, aku memilih untuk abaikan dan meneruskan urusan yang hendak diselesaikan malam itu.
Aku fikir mungkin setakat itu sahaja aku akan terserempak dengan manusia sebegitu. Tapi sangkaan ku meleset. Beberapa tahun lepas, aku melawat seorang sahabat di hospital. Pulangnya dari hospital, ketika di traffic light yang masih berwarna merah, aku ternampak seorang lelaki yang menunggang motorsikal tanpa menutup visor helmetnya. Saat itulah aku ternampak mukanya yang putih pucat umpama may4t. Aku terkejut dan beristighfar berulang kali. Dan tiba-tiba aku rasakan sangat sayu dan sebak. Traffic light bertukar hijau. Aku berdoa moga dipermudahkan urusannya dan aku sedekahkan al-fatihah demi kesejahteraannya.
Tiga kejadian ini yang paling aku ingat. Tapi masih ada beberapa lagi kejadian yang lain yang serupa. Tapi cukuplah yang ini sahaja aku ceritakan. Siapa mereka? Hantukah? Manusiakah? Aku pun tidak pasti. Adakah ini satu misteri atau sekadar mata yang memanipulasi pemikiran? Aku anggap ini salah satu kejadian dalam hidup yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan pelajaran. Bagaimana? Terpulang kepada diri masing-masing. Allah itu Maha Mengetahui dan Dia sentiasa memberi petunjuk dan petanda buat kita. Terpulang kepada kita untuk menilai dan beramal kepada Nya.
Berkenaan kejadian-kejadian ini aku pernah merujuk kepada yang lebih arif. Katanya barangkali mereka yang aku lihat adalah golongan mereka yang telah sampai jodoh dengan ajal masing-masing. Wallahualam. Cuma Allah izinkan aku melihat mereka dalam keadaan itu. Jadi aku anggap ini juga ujian dan dugaan buatku. Supaya aku sedar bahawa dari Dia kita datang kepada Dia jualah kita akan dikembalikan.
AC
hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
albino kot
Banyak je orang yang muka putih pucat ni/ putih melepak ni. Ntah2 diorang tu semua everyday normal people je. Aku naik train2 hari pun jumpa macam2 jenis rupa dan perangai manusia ni. Putih pucat tu dah biasa jumpa.
Ye ke. Ada yg mcm ni tak pernah nampak? Sebab bagi sy muka mcm ni agak menakutkan kalau tgk hari biasa. Tak reti nak tepek gambar
https://images.app.goo.gl/nQyxXot8PaGyKanE8
Asal muka pucat je ko ck antu eh..baeek punya terbukak hijab ko ni..