Soundgarden – Superunknown

Pada sekitar tahun 2000, aku dan rakan-rakan selesai menduduki peperiksaan yang akan menentukan samada kami akan berjaya meneruskan tahun ke tiga B.Ed(Tesl) di kolej terpilih di U.K, atau tidak. Aku dan beberapa orang rakan akan ditempatkan di sebuah kolej di Plymouth, manakala rakan-rakan lain ada yang ditempatkan di kolej-kolej di Bogner, London dan Scotland. Wow! Tak tau periksa lepas ke tidak, tapi nama dah ada kat kolej seberang laut! Namun aku antara beberapa kerat bebudak Tesl(Teaching English as Second Language)tahun itu yang tak teruja pun pasal nak ke seberang laut.

Hati aku cuma berfikir, berkira-kira ke mana, atau apa aku nak buat selepas keputusan keluar kelak; aku yakin, gagal, “dismissed and withdrawn”. Walaubagaimanapun, dengan semangat yang masih ada, aku cuba pandang dan kekalkan rasa positif – aku akan cuba ‘enjoy’ selagi boleh seiring masa yang masih ada bersama rakan-rakan seperjuangan, terutamanya yang satu kapal gila jamming dan, pada hujung era 90-an tu ‘grunge rock’ menjadi udara yang masuk ke jantung, paru-paru, urat darah, otak, pankreas dan menjadi denyut nadi serta angin yang melayar bahtera remaja yang kesiangan (huh?!).

Sham, teman serumah aku yang juga minat genre sama(grunge, post-grunge, nu-rock), telah merancang import pemain drum dari kampung beliau yang katanya mampu membelasah drum mana-mana lagu dari yang tak berirama sehinggalah ke rentak si mamat band Brazil, Igor Cavalera dari band Sepultura. Kalau dengar lagu-lagu Nirvana, Butterfingers, Green Day, bunyinya memang tak kompleks atau kronik bak chronic-mass, tapi bahagian drum tu selalu kami tak ada kaki yang mampu menghidupkan rasa ke’grunge’an yang tip-top, jadinya tak pasal lagu sesedap ‘smells like teen spirit’ jadi macam lagu pop kenduri kahwin, malahan yang tidak pula diketahui umum.

Senang-senang boleh tewas dengan geng kompang, tanpa was-was. Walaupun aku kusut memikirkan arah tuju aku, berita tersebut menjadi satu berita yang sungguh menggembirakan hatiku, yang ikhlasnya sekian hari semakin mendakap erti lara, dan sunyi. “Sham, bila kawan ngko tu nak datang?”, tak sabarnya aku.
Pada suatu petang yang agak berbaur hening (walaupun sedang melepak di stall mamak 24jam yang tak lekang dek orang, dengan nasi lemak bungkus atas meja dah habis kami pulun), keberangkatan drummer impot yang dinantikan pun tiba.

Aku bagi nama Edan. Sham jemput si Edan ni stesen LRT Maluri dengan menapak berjalan kaki je, tak jauh dari apartment sewa kami dan stall mamak ‘Jack’ tu pun dekat-dekat situ saja.
Aku tersenyum bukan main, sambil salam ku hulur tertib kita mahkluk bernama manusia (jauh sekali nak cium-cium buntut macam makhluk ciptaan lain), kerusi ditarik ke meja tadi dan nasi lemak setalam ada 4 bungkus dari meja sebelah, berpindah ke meja kami. Aku masih ingat Sham yang banyak bercakap, dengan mulut berisi nasi lemak.

Aku pula mulut penuh asap rokok(kalau tak Marlboro merah, komfem L.M merah) dengan kopi ais kaw berselang-seli. Edan ni tak banyak bercakap. Bersembur-sembur si Sham ni bercerita pasal status Edan sebagai antara drummer tersohor di sekitar arena muzik bawah tanah Kuantan, termasuklah ‘hardcore-loncat’ dan sebagainya, si Edan ni lebih banyak mengangguk-angguk, kadang berbalas dengan sebutir dua perkataan, tersengih dan, sempat pula dia mengelamun sekejap-kejap.

Sambil aku lap muka aku dengan tisu meja bahana tempias nasik lemak Sham, aku cadangkan kami naik lepak rumah sewa, hari pun sudah menjelang sore. Aku andaikan fizikal dan mental Edan masih cuba mengatasi kesan ‘jet-lag’ dari bas loncat Kuantan-Kuala Lumpur.

Sampai di rumah sewa, aku banyak bertanya pendapat Edan pasal skil-skil drum band-band tertentu yang aku rasa payah nak dibawa jamming. Jawab Edan,”…Kena dengar betul-betul,… pastu try, lama-lama boleh la”. “0Hmm.., ok”, jawab aku. Selepas diam sebentar, di otak aku terlintas sebuah lagu dari kumpulan Soundgarden.
Soundgarden ni kugiran dari tempat yang sama dengan Nirvana, Seattle, juga dilabel sebagai kugiran grunge rock, tetapi bila dibanding duk sebelah-sebelah, memang jelas ni lain ‘parents’, namun berkongsi perspektif yang hampir sama – pelbagai sudut alam nyata penuh gelap dengan cas-cas negatif.

Ringkas cerita pula, aku sebenarnya satu haram lagu Soundgarden aku tak tahu main, “Black Hole Sun” yang boleh kata paling senang tu pun aku tak tahu ‘chording’ dia. Kord gitar boleh cari, tapi siapa yang nak vokal suara vokalis dia tu(Chris Cornell-r.i.p)? Aku memang tak pernah pun nak jamming mana-mana lagu Soundgarden. Namun, aku suka dengar, masih kategori unik – antara melodi vokal mantap selalunya diiring riff ringkas dengan tempo agak payah aku nak ‘maintain’.

Ada sebuah lagu Soundgarden ni aku rasa bahagian drum dia sangat menarik, “hook and catch” lagu tu terletak pada ‘que’ drumnya yang menyentap, sentap penuh mantap. Aku pun beriya-iya bagi Edan dengar sebuah lagu ni. Respon Edan, angguk-angguk, “hmm..kalau dengar kerap sikit, boleh ni….Nak jam ke lagu ni?”, “..Eyh, aku tak tahu pun nak main lagu ni, saja bagi dengar sebab part drum dia bunyi macam lain sikit”. Tiba-tiba dengar suara si Sham ” Woi cepatlah siap, jamming aku dah booking pukul 10 ni, esok Edan dah nak balik!”. Wokeh, bangun mandi-mandi ‘buffallo’, touch-up lebih kurang, ‘tiang’ ke laut, tau-tau dah sampai studio.

Pada malam itu, kamilah manifestasi gelombang ujudnya ‘grunge’. Kamilah Nirvana, Butterfingers, Oasis, fender mustang, kuda laut, pedal beskal, tapak sulaiman… Pendek cerita, ia sesi jamming satu jam yang rasa tak cukup dengan satu jam. Nak ‘up’ lagi satu jam, tapi malangnya dah ada kugiran lain sedang menunggu giliran. Masa tu aku suka tengok Edan, walaupun dia pakai topi ‘cap’ dan tengah tunduk sambil berjalan nak keluar studio, aku nampak dia tersenyum. Rasa girang gembira aku dengan sesi tu seperti bersambut dan aku percaya ia sempurna untuk semua. Kata Edan,” Tak apelah, nanti ..ada masa free-free, aku boleh mari, kita jamming lagi. Kuantan – K.l bukannye jauh sangat pun”. Aku dan Sham, walaupun agak terkedu pasal tak dapat lanjut waktu jamming tu, memujuk senyum dan dengan hati yang sedang kegirangan.

Aku sebenarnya juga berharap waktu itu lebih panjang lagi.
Esoknya aku dan Sham meneman Edan ke Puduraya. “Jumpa lagi?”, “Insyallah..senang-senang nanti, inipun sebab doh janji ngan kawan nak pegi camping”. Aku benar-benar berharap masih sempat berjumpa dengan Edan sebelum Sham dan lain-lain sibuk berangkat ke seberang.

Hampir 2 minggu berlalu.. .
Aku pada tengahari itu sedang duduk membuat rutin kegemaran aku, mengadap midi hi-fi melayan lagu, alih-alih aku dengar suara Sham yang baru sampai rumah, ” Stone?..woi! stone….. ingat Edan? … drummer kita haritu?”, aku terus bingkas bangun mendekati Sham yang tengah duduk kat meja makan dan aku yakin muka aku seperti budak yang mendapat khabar nak dapat basikal baru,”Eyh,… Edan, mane tak ingatnye.., dia nak datang sini ke? bila?….. bila dia nak datang?” Soalan aku dibiar tergantung sejenak untuk beberapa detik singkat, tapi cukup untuk memberi satu ruang yang tepat dengan apa yang akan aku dengar, “Edan dah takde Stone,… dia mati lemas kat jeram, area air terjun, kaki dia tersepit camane ntah.. kawan-kawan dia tak perasan, …sedar-sedar dah.., lama sangat.. . Kan dia cakap nak gi camping hari tu..”. Aku terkedu, dan terdiam sepanjang hari, hingga ke malam. “Innalillah…….”.

Malam tu dengan lagu yang aku pasang perlahan, aku terbaring dengan mata memandang siling. Tempat yang sama aku dan arwah pernah duduk tempohari. Setiap detik ketika mula arwah sampai pada petang tu tersusun menerawang di fikiran. Kronologi ingatan aku terhenti ketika mengingati waktu aku berkongsi dengar dengan arwah satu-satunya lagu pada lewat senja hari itu. Aku dapat rasa dahi aku mula berkerut, dengan mata melilau dari siling, ke dinding bilik, kiri, kanan, kipas dinding, pintu almari, ke tingkap, pintu bilik, sejurus kemudian aku bangun dalam keadaan duduk dengan kaki berlunjur. Aku tarik nafas dalam-dalam, dan aku hembus perlahan-lahan.

*Soundgarden, album – Superunknown, lagu yang aku bagi dengar tu – Let Me Drown.
“heal my wound without a trace,…seal my tomb without my face, I’m going to a lonely place.”
– Let Me Drown. Soundgarden-Superunknown.

stoneLemon.

stone
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

14 comments

    1. Terima kasih cannibal corpse.. itula, hero2 aku ramai yg dah mati, nirvana, alice in chains,…soundgarden.

      1. kau jgn gatal2 nak nyanyi lagu black hole sun pulak lepas ni.
        nanti tak pasal lubang ‘sun’ jadi hitam.
        sun yg dimaksudkan adalah sunshower.

        aku rasa chriss cornel mati penangan lagu dia sendiri ‘love like suicide’.
        sbl dia mati lagu tu dah berhantu.

        1. Hmm … Bak kate kurt cobain dalam lagu ‘serve the servants’,”…teenage angst has paid off well, now i’m bored and old”. Diorang macam ada satu tema sama,” concentrating on dying” -layne staley (alice in chains). Soungarden – ‘fell on black days’, .. ‘the day i tried to live’

  1. Wow, meremang baca bait-baik lirik di akhir penulisan. Sesetengah lagu memang tercipta dengan adanya ‘sesuatu’ didalamnya. Alfatihah untuk Edan. Cerita yang sangat menarik. Penulis arif dengan dan sangat meminati lagu rock barat.
    8/10

  2. Terime kasih, memang minat..rasa harmoni je … Misterius kan, lebih-lebih lagi kalau difikirkan dalam hidup ini, kita ini makhluk terlalu daif serta naif akan hal yang mendatang, mengertikannya sebagai kebetulan. Al-fatihah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.