Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 3
Lan bangun dan bersedia untuk menyerang. Tinju dinaikkan dan diacah beberapa kali, bagaikan ahli gusti Muhammad Ali. Lan melaung beberapa kali, pasti tujuannya hanya untuk menakut-nakutkan aku.
HAH!
Lan menghadiahkan penerajang dari depan, aku bergilit ke kanan, dan dengan pantas aku kuis kaki kirinya yang masih berdiri, Lan jatuh berdebuk lagi!
Mereka pasti bukan lawanan aku. Sudah dua kali tumbang ke tanah, fikir aku sendiri. Tapi nampaknya Jebat yang sudah bingkas bangun, mempunyai agenda lain. Dia tidak masuk menyerang seperti tadi. Tapi hanya berdiri dan merenung ke wajah aku.
Pandangan aku tertumpu pada Jebat, sambil tangan masih berulir tarian bunga silat. Jebat mula bertutur dalam bahasa yang tak difahami, diulang-ulang seperti membaca mentera. Tangannya dikiam seperti dalam solat, dan kaki kiri diangkat dan ditongkat diatas lutut kanan.
~Ajha muwajha guntur kala sakti gundha~
Entah apa yang dibacanya tak dapat pula aku pasti atau terjemahkan. Secara tiba-tiba kawasan kami diserbu angin yang menderu-deru, habuk dan daun berterbangan. Penglihatan aku mula terganggu.
Angin tiba-tiba berhenti! Mata aku bukakan, dan Jebat yang berdiri dengan tangan dikiam sedari tadi, kini berbayang jelmaan Panglima tangan panjang dibelakang.
Aneh!
Seolah-olah bukan Jebat yang berdiri didepan aku. Bagaikan satu entiti yang berbeza, perasaan yang sukar diterjemahkan. Dia tersengih-sengih dan menjelir-jelirkan lidah, persis kelakuan Panglima dari awal tadi.
Dia mula menurunkan kaki kiri yang digantung ke tanah, dikuis beberapa kali. Kemudian dia menendang pasir didepan. Serentak aku rasa bagai ditampar tangan yang ghaib dari depan! Terlentang ke belakang dengan pukulan ghaib.
Dengan susah payahnya aku cuba bangkit! Jebat masih lagi berdiri dikedudukan tadi, tak berganjak walau sedikit pun. Kali ni tangannya pula dirawang-rawangkan ke udara. Seketika kemudian, dia memberi isyarat seperti menampar angin!
Aku tahan dengan tangan kiri! Tak berjaya! Terlalu kuat untuk ditahan! Sekali lagi aku tersembam! Samar-samar nampak Uda berlari mendapatkan aku.
Bluekkk!!!
Aku mula muntah d***h, berketul-ketul d***h keluar dari rongga kerongkong. Bau hanyir d***h sendiri mula menusuk hidung. Tak sempat menyusun langkah berikutnya, Uda pula nampak tersembam disisi aku. Gigih susunan gigi atas Uda menyodok pasir. Bergelut-gelut suara Uda mengaduh semasa menyodok pasir.
Uda mula duduk dengan kesan koyak sepanjang dua jari dibibir atas.
BLUEEKKKK!!
Suara Uda muntah d***h lebih kuat dari aku. Kami mengerling sesama sendiri. Dari raut wajah Uda, jelas dia menyampaikan mesej ‘mamat yang kita tengah lawan ni, pakai ilmu dalam.. Takkan nak diam je?’
Baiklah!
Kami melenting seperti pacat dan berdiri serentak. Jarak dikuak semasa bergerak antara aku dan Uda, aku menghadap dibahagian kiri Jebat, manakala Uda disebelah kanan.
Aku kenyitkan mata pada Uda, Uda tetap dengan wajah tenang bagai takde apa yang berlaku, mesej yang aku sampaikan ‘kami akan masuk dengan jurus serang pendekar’.
Jurus terakhir dalam mata pelajaran silat, adalah ‘serang pendekar’, bermaksud kami berlawan dengan seseorang yang mempunyai latar belakang silat dalam ‘tingkatan mahir’, bukan kosong. Langkah kami perlu lebih lincah, dan pukulan kami harus tak kurang sedikit pun dari sempurna.
Hihihi..
Jebat mula ketawa sinis melihat kami. Kaki kiri didepan dijingkitkan dan kaki kanan pula ditumpangkan diatas lutut kaki kiri. Aneh jika dilihat cara Jebat berdiri. Bagaikan kaki labah-labah, luar biasa ukuran panjangnya, macam jerangkung dalam posisi berdiri yang tak masuk dek akal.
Pada masa yang sama terdengar deruman motorkar yang datang dari kejauhan, barangkali jalan ini akan dilalui kereta dalam masa kurang dari lima minit.
Kami masih dalam posisi bersedia dan mengulir tari mencari rentak untuk menyerang, bersilang kedudukan dan menunggu masa yang sesuai untuk menyerang.
ZUPPPPPP!!
Sepintas angin yang lalu menerpa dari arah kiri! Tak semena-mena sebatang tombak terpacak, betul-betul dihujung ibu jari kaki Jebat!
HEBAT!
Siapa pun yang bakal datang, pasti seorang penembak tepat! Tombak yang terpacak, bagaikan menghalang Jebat dari melakukan serangan berikutnya. Dan.. benda yang aku sangkakan tombak, rupanya buluh kuning nipis selebar dua jari.
Buluh berwarna kuning kehijauan, sepanjang lima kaki, bergoyang-goyang ditiup angin. Sekali lagi aku berpandangan mata dengan Uda, Uda yang berkerut-kerut kening mengangkat bahu beberapa kali, menandakan yang dia juga tidak tahu.
Kami mara lagi dua kaki menghampiri Jebat.
“BERHENTIIIII!!!” Suara yang dilaung dari jauh, bersama kehadiran sebuah motorkar yang juga berwarna putih. Motorkar keluaran negara matahari terbit, tanpa bonet belakang mula menghampiri kami.
Motorkar masih lagi meluncur saat kami melihat kelibat Abang Fuad sudah berjalan keluar dari motorkar, dan pintu pemandu dibiar dalam keadaan terganga.
“Seperti yang sudahku duga, memang ini kerja kau dari awal lagi.. Jebat!” Tangan kanan dituding kearah Jebat, Jebat hanya tersengih-sengih memandang Abang Fuad.
Dari dalam perut motorkar, turun dua lagi pembantu Abang Fuad. Wajah mereka menyeringai, mungkin mereka jenis yang gagah dan ganas, mungkin juga mereka masih ngeri dek kerana motorkar masih berjalan, dan pemandu sudah meloncat turun. Lucu kalau diingatkan kembali, ekspresi wajah mereka.
“Begitu.. Kenapa kau tolak cabaran aku dalam gelanggang sebelum ni? Hahahaha! Kau takut??” Tutur balas Jebat, langsung aku tak faham apa biji butir pertelingkahan mereka!
“Aku tak pernah gentar dengan mana-mana manusia yang bertuhankan jin dan iblis.. Kalau kau mahu, mari kita selesaikan sekarang!!! Lepaskan budak dua orang ni pergi!!” Abang Fuad menuding jari pada aku dan Uda.
“Baik! Malam ni aku akan tamatkan riwayat kau Fuad!” Jebat berpaling menghadap Abang Fuad, dua orang pembantu Abang Fuad nampak cukup tenang, dengan tangan disilang didada bagaikan menanti arahan seterusnya daripada ketua mereka.
“Arip! Bawak kawan kamu balik! Kamu dah takde urusan disini lagi!” Abang Fuad memberikan aku arahan, dengan pantas aku gamit lengan kiri Uda, capai beg dan angkat basikal untuk mengayuh, meninggalkan mereka. Uda juga tanpa banyak soal hanya menuruti aku dari belakang.
Sepintas lalu, aku ternampak Jebat sudah mengenggam buluh kuning yang tadi terpacak didepan ibu jari kakinya. Buluh kuning ditimang beberapa kali dengan tangan kanan.
“Mari, Da!! Lincah sikit!” Aku gamit Uda untuk mengayuh meninggalkan mereka bertujuh, yang tak tahu apa punca asal pergaduhan mereka.
Kami mula mengayuh dengan sepantas yang mungkin meninggalkan pintu masuk kampung seberang, tiba dipintu masuk kampung sendiri dalam keadaan peluh yang sudah membasahi baju. Dari jauh kelihatan kelibat bapak sudah menunggu dipintu masuk kampung, motorkar yang diparkir dibahu jalan, dan susuk tubuh bapak yang sedang duduk diatas batu buatan dibahu jalan, berhadapan pintu gerbang.
Ah! Ni mesti kena bebel dengan abah! Gumam aku sendiri.
“Assalamualaikum bah!” Aku menghampiri bapak yang sudah pun berdiri dan membersihkan p******g. Salam dihulurkan, dan bapak hanya pandang serius wajah aku.
“Benda apa kau bawak balik ni? Dengan baju berdarah-d***h macam ni?” Uda pandang muka aku semasa berjabat tangan dengan bapak aku.
“Benda apa, bah?” Aku jawab bersahaja, paling besar, makanan yang dikirim dalam beg aku jelah, yang aku bawa.
“Bukan itu… Belakang kau tu!!” Bapak dapat membaca fikiran aku, sepontan aku dan Uda menoleh kebelakang. Panglima berupa beruk sedang berdiri dihujung jalan, dengan ketinggian yang menyamai dua kali ketinggian lelaki dewasa dan kepala ditelengkan ke kanan.
Berdiri tegak dan diam tanpa berbuat apa-apa. Bayangannya ditembusi sinaran lampu jalan.
“Arip… Aa.. Aa.. Aaaku balik dululah!!” Uda panik dan membuang basikal sebelum mula berlari meninggalkan kami, padahal kalau dikira, mengayuh lebih laju daripada berlari. Tingkah laku Uda diperhatikan bapak aku sambil mengeleng-gelengkan kepala.
“Tak betul agaknya kawan kau tu!” Keluh bapak aku. Macam nak tergelak bila aku dengar ayat dari bapak aku.
“Mari, Rip! Benda ni perlu dimusnahkan sebelum mengikut kau balik!” Tegas sungguh nada suara bapak, aku tongkatkan basikal aku, tongkatkan basikal Uda yang tergolek, sebelum mula mengikuti bapak dari belakang. Uda sudah berbalam meninggalkan kami. Maklumlah, raja pecut sekolah!
~Bismillahiladzhi laa yad dhuru~
Bapak berdiri tegak menghadap Panglima beruk, dengan tangan kanan diangkat separas bahu, dan tapak tangan kanan dibuka penuh.
“Aku tak panggil kau datang, dan aku tak mahu kau disini menggangu keturunanku! Pulang!!! Sebelum aku hancurkan kau dengan Kalamullah!!” Suara tegas bapak bertutur pada Panglima beruk.
Panglima beruk ghaib secara tiba-tiba, dan muncul beberapa kaki mendekati kami, perbuatan yang berulang dilakukannya hinggalah jarak Panglima beruk dan bapak, hanya sejauh lima kaki.
Panglima beruk mengangakan mulutnya, menyeringai menampakkan susunan gigi tirus yang runcing.
HARRRR
HARRR
HHHARRRR!!
“Budak yang kau mahu ini, keturunan aku! Dan tidak akan sekali-kali aku serahkan pada kau! Titik! Takkan ada bicara lagi!” Ohhh.. Rupanya dia mahukan aku? Dari percakapan bapak pada Panglima beruk, baru aku faham, kenapa dia mengikut sampai balik ke kampung aku!
HOP!
Tiba-tiba bapak melompat dan melepaskan penendang ke sebelah kanan. Panglima beruk masih menyeringai, dan tak berganjak sedikit pun dari kedudukannya.
“Celaka! Kau nak main kasar dengan aku!! Baik!! Kalau kau jual, aku sedia membeli!!” Bapak turun dengan kuda-kuda kukuh, tangan kiri disisip dipinggang, dan tangan kanan lurus digenggam menjadi penumbuk. Aku mula berundur lima langkah ke belakang, memberi ruang buat bapak melepaskan jurus-jurus aksi sebentar lagi.
~Laqod jaa akum rosullun min anfusikum~
Satu tapak melangkah dan bapak melepaskan penerajang kaki kanan ke depan. Seketika kemudian terdengar raungan yang panjang, cukup kuat hingga bergema kawasan kami.
Turun dengan dua langkah, aku nampak bapak dah berdiri bersemuka bertentang mata dengan Panglima beruk. Dengan sekali sepuhan tangan kanan, bapak beri penampar ke bahagian kiri kepala Panglima beruk!
Nayo ey, kalau dah ditampo bapak aku.. tapak tangan dah ler beso, kalu kono tak koma, ninggal.. ahahaha.. bersambung lagi gais! Best an? An? An?
Hantar kisah anda : http://fiksyenshasha.com/submit
#Pusaka2 #Arifyahya
Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.