Surat Cinta Dari Seberang

Aku merenung jauh ke arah sekumpulan anak kecil yang sedang leka bermain. Menggamit satu rasa rindu pada kampung halaman yang telah lama aku tinggalkan. Hampir tiga tahun aku di negara Gajah Putih ini, berkelana dan bermusafir demi tugas yang aku pikul. Tiada siapa menduga di tanah inilah aku kerap menerima surat tanpa gerangan. Surat tulisan tangan, kemas dan rapi acap kali tersisip di buku notaku.

Terkadang ku hairan, empunya siapakah utusannya, atau mungkin tersilap gerangan. Namun surat itu tiada pernah berhenti di situ. Saban masa dan waktu sepanjang tiga tahun aku disini hampir sebanyak itulah juga surat yang ku terima. Tiada nama mahupun alamat, hanya surat dengan sampul berwarna biru kehijauan dan kadangkala diselangi dengan bauan harum sundal malam.

Surat itu kunjung lagi, kali ini aku membalasnya. Tulisan Siam kemas dan rapi, tersusun perkataan demi perkataan. Kali ini, puisi kehidupan ditulisnya. Aku pantas mencapai pen dan kertas, nekad aku untuk membalas surat ini. Laju mata penku bergerak diatas helaian kertas kosong. Puisi itu aku balas dengan sekadar bertanya khabar dan keinginanku untuk mengetahui empunya gerangan.

Selesai menulis, surat itu aku lipat dan masukkan kedalaman sampul berwarna jingga. Jangan ditanya mengapa warna jingga, sebab hanya sampul itu yang ada di bilikku sekarang. Surat itu aku letakkan sahaja di meja belajarku. Perutku mula minta untuk diisi, pantas aku segera keluar dengan hanya membawa dompet untuk mencari kudapan malam.

Bauan harum sundal malam mulai menerjah hidungku. Entah mengapa aku rasakan, bauan itu terlalu kuat menusuk setiap rongga bauku. Segera aku percepatkan langkahku, melalui jalan jalan yang sunyi dan hanya sesekali diterangi lampu jalan. Dari kejauhan aku melihat gerai menjual pelbagai makanan. Aroma Tom Yum Kung berselang seli dengan kari hijau. Aku segera membuat pesanan dan menunggu ianya disediakan.

Sambil menunggu aku berjalan ke gerai yang menjual kuih pelbagai warna pelbagai rupa, menggamit mata dan rasa. Khao Neeo Mamung, Luk Chup, Khanom Krak, Chor Muang, dan menjadi kegemaranku, Leum Kleun. Sempat aku membeli sedikit Leum Kleun dan Khanom Krak. Pesanan tadi telah pun siap, segera aku membayar dan meninggalkan gerai.

Setibanya di rumah, sewaktu aku leka memulas tombol pintu, tersisip sehelai kertas di bawah pintu. Hairan, rasanya tadi sebelum keluar, tiada pula aku nampak kertas tersebut. Kertas itu aku ambil, makanan yang dibeli aku letakkan sahaja di meja makan. Aku masuk ke bilik untuk menukar pakaian, dan mataku terpandang pada meja belajarku. Surat yang tadi aku tinggalkan hilang dari pandangan.

Aku pantas menyelongkar setiap meja dan ruangan di bilik, tiada pun aku melihat surat yang telah aku tulis dalam sampul berwarna jingga. Serta merta aku diterjah perasaan yang sukar untuk digambarkan, takut, gelisah, hairan dan gementar semua sekali bercantum menghambat segala rasa dalam mindaku. Tiba tiba aku teringat dengan kertas yang diselit di bawah pintu rumahku. Segera aku mencari kertas tersebut.

“ Suratmu telah aku terima, puisiku telah engkau baca, dan kali ini engkau membalasnya, bertanya siapakah diriku yang setia mengutus surat buatmu” Sudah, surat yang baru aku tulis kurang dari sejam telah dibalas, sedangkan surat tersebut hanya aku tinggakan di mejaku. Menggeletar seluruh badanku, otakku mula mencerna pelbagai kemungkinan.

Telefon tiba tiba berdering dan segera aku angkat, hanya dengusan nafas yang aku dengar, pemanggilnya tidak bersuara. Aku cuba menenangkan diriku. Telefon masih ditelinga, dan si pemanggil masih tidak berkata apa apa. Sayup, aku terdengar, suara halus pemanggil, membaca puisi dari kiriman surat yang aku baca. Semakin lama semakin kuat, semakin mendekat seolah olah pemanggil itu hanya sejengkal di alam nyata. Tanganku menggeletar, kakiku bagai terpacak di lantai. Telefon di tanganku terlepas, terhempas ke lantai. Aku terduduk, berfikir, adakah ianya mimpi, atau adakah ianya nyata.

Sejak dari malam itu, makin kerap aku diganggu, diganggu oleh surat bersampul biru kehijauan diselang seli haruman sundal malam kadangkala Kemboja dan melati. Semakin aku cuba tidak menghiraukan, semakin kerap surat itu bertandang. Jika dulu disisipkan di buku nota, tapi kini kadangkala di selit di kotak surat rumahku. Jika aku tidak membalasnya, panggilan telefon tanpa suara akan aku terima, jika aku membalasnya pula, semakin kerap surat itu bertandang menghambat rasa.

Ayat puitis itu kadangkala melekat di minda dan benakku. Kerjaku semakin merosot. Aku tidak cukup tidur, setiap malam aku ketakutan malah kadangkala aku hanya mampu melelapkan mata namun tidak aku lena. Aku mula menyumpah diri sendiri, kalaulah aku tidak gatal tangan membalas suratnya sebelum ini, tentu aku takkan diganggu begini.

Keadaanku mula disedari teman pejabatku. Mulanya, aku hanya berdiam diri, malu untuk membuka cerita namun akhirnya aku bercerita. Aku ceritakan pada teman pejabatku, tentang bagaimana aku mula menerima surat tanpa nama, tanpa alamat mahupun siapa pengirimnya tidak aku ketahui. Dia meminta aku untuk membawa semua surat tersebut. Temanku membawa aku berjumpa dengan orang tuanya di Selatan Negara Gajah Putih.

Setibanya kami di rumah temanku, segera bapanya meminta aku meletakkan kotak berisi surat tersebut di luar rumah. Dalam kehairanan, aku pelik, masakan bapa kawanku tahu tentang surat itu, sedangkan tidak pula dia maklumkan pada bapanya. Aku akur, kotak berisi surat itu aku tinggalkan sahaja di luar rumah. Bapanya memandangku dengan pasangan yang tajam, dan serentak itu bauan harum sundal malam menjelma menerjah seluruh ruangan di rumah itu. Lengan rakanku, kejap kemas aku pegang, ibunya segera memeluk kami berdua. Bapanya mengambil kain lalu dilibas ke udara. Tiada pula aku nampak apa apa, seolah dilibas kosong sahaja.

Bacaan ayat ayat suci Al Quran dibaca kuat dan serta merta azan dilaungkan. Serentak itu juga, angin bertiup kencang, lolongan anjing saling bersahutan. Kami bertiga ketakutan dihambat rasa tidak keruan. Bapanya terus melaungkan azan dan berzikir. Langsir yang bergantung di jendela seolah olah bergoyang sedangkan jendela tidak dibuka. Dan jeritan panjang, mengejutkan kami bersama hilaian , serta cakaran di bumbung rumah seolah olah bumbung itu dicakar dengan kuku yang sangat panjang.

Hampir sejam, akhirnya segalanya kembali tenang. Entah mengapa, kakiku longlai tidak mampu berdiri. Aku dipapah rakanku dan ibunya. Didudukinya aku di sofa diruang tamu, dan diberikan air oleh bapanya. Aku meneguk rakus air putih tersebut, kehausan. Setelah aku mula tenang, bapa rakanku mula bercerita. Semasa aku tiba, bapanya terlihat bayangan yang mengekori aku dari belakang sambil memegang kotak surat yang aku bawa. Bayangan itu hitam legam, tidak berwajah tetapi berbau hanyir. Bayangan itulah yang selama ini menemaniku saban hari semenjak surat bersampul biru kehijauan itu aku balas. Baru beberapa kali aku membalasnya, bayangan itu mendampingiku seolah olah tidak mahu lari dari aku, terang bapa rakan aku.

Bapa rakanku keluar ke halaman rumah dan segera membakar kotak yang mengandungi puluhan surat bersampul biru kehijauan. Serta merta api menjulang marak, dan dapat kami lihat seolah olah bayangan wajah di api yang marak. Aku masih kehairanan, benakku ligat menghadam segala yang berlaku. Namun tetap tiada jawapan.

Seminggu aku berehat menenangkan fikiran di rumah rakanku. Alhamdulillah, aku mulai tenang, tidak lagi ketakutan dan tiada lagi kiriman surat biru kehijauan. Sebelum kami berangkat pulang, bapa kawanku berpesan, jangan dibaca surat sebarangan, kadangkala kita tidak tahu siapakah gerangan, mungkin ianya gurauan atau mungkin ianya bayangan yang menghambat ketakutan.

Aku selamat tiba di rumah. Tiada lagi surat biru kehijauan di kotak suratku. Malah begku diselongkar, tiada juga surat tersebut. Aku menghela nafas lega, seolah olah segala bebanku kini tiada. Malam itu, aku leka , menaip tugasanku yang agak lama terbengkalai. Ditemani dengan lagu yang sengaja aku pasang untuk menghalau rasa kesunyian. Dan tiba tiba, lampu bilikku terpadam membuatkan aku tersentak, tanganku segera menyalakan lampu di telefon bimbitku. Bilikku hanya diterangi oleh lampu dari telefon bimbit, aku segera keluar dari bilik menuju ke ruang tamu.

Di sebalik langsir nipis di jendela ruang tamu, ada kelibat berdiri di luar rumah. Kelibat itu hanya berdiri dan mataku dan matanya saling memerhati. Serentak itu, juga aku mendengar, bisikan halus di telingaku. “ Aku tidak akan lagi menganggumu, kerana engkau nyata bukan milikku”. Serantau itu juga lampu kembali bernyala. Aku terkesima dihambat rasa kaku. Jelas di telingaku bisikan halus itu.

Sudah hampir 6 tahun peristiwa itu berlaku, bumi Gajah Putih juga telah aku tinggalkan dan kembali ke kampung halamanku yang tercinta. Walaupun ianya telah lama berlaku, namun ianya kadangkala masih menganggu benakku. Sehingga ke hari ini aku tidak mendapat jawapan atas apa yang berlaku, mengapakah surat itu ditujukan buatku, dan siapakah gerangan pengirimnya juga tidak aku ketahui. Ianya terus menjadi teka teki yang tiada penghujungnya. Mungkin ianya hanyalah kebetulan atau sebenarnya ianya adalah utusan tanpa diundang. Walah jalan

DISCLAIMER
Ianya adalah kisah benar penulis.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pengembara Jalanan
Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.