Takkan Ada Kali Ke 3?

Assalamualaikum, salam sejahtera pembaca FS.

Jujurnya aku mula-mula tak mahu kongsi kisah ni, sebab banyak sangat kisah tentang rumah atau kawasan sekeliling. Bosan orang membacanya kali. Keduanya, aku kena usik berturut-turut dalam masa yang singkat di kawasan yang sama. Orang mungkin akan kata aku hanya mereka-reka cerita, tapi itulah, mereka tak di tempat aku masa tu.

Kisah ni bukan kisah rumah sewa aku, tapi kawasan sekitarnya. Ia seperti “salam perkenalan” mereka begitulah lebih kurangnya. Rumah sewa aku baik-baik sahaja, tiada gangguan. Dari balkoni rumah, aku boleh nampak KLCC. Tu aku suka dan aku masih lagi tinggal di rumah ni.

Apartment ni terletak di kawasan yang padat penduduknya dan meriah kerana kebanyakan yang tinggal di sini ialah orang Melayu. Banyak apartment dan flat lain di sekelilingnya, kedai makan bertaburan. Sumpah aku cakap tak sangka aku akan tinggal di sini kerana sesak dan agak sibuk siang dan malam. Kedai makan pula buka sampai pukul 3 pagi kerana ada balai polis, balai bomba dan hospital, jadi pelanggan tetap ada sepanjang masa.

Apartment 10 tingkat dan 8 block berdepan tasik. Tempat sampah untuk di hujung sekali, tak jauh dari block aku tinggal. Di tengah setiap block parking motorsikal. Aku pakai kereta jadi jarang sangat lalu kawasan parking motor. Tingkat bawah sekali ada 2 buah rumah pam, di depan parking motor tu. Satu unit bertingkap dan sangat tinggi tingkapnya dan satu lagi tiada. Rumah pam ini lampunya dibuka sepanjang masa dan bila lalu, akan dengar bunyi mesin air menderam. Lif ada 4 berada di tengah-tengah flat. Aku tinggal tingkat paling atas. Di bumbung juga, ada lagi pam air, jadi kami memang tidak terkesan jika ada gangguan bekalan air.

Setiap pagi, cleaner akan menyapu sampah dan salah seorang cleaner ni adalah seorang makcik tua yang putih melepak dan selalu tersenyum. Ada lagi dua tiga orang cleaner lain tapi selalunya makcik ni yang akan menyapu corridor atas. Corridornya panjang dan di depan ada penyidai baju. Kebanyakan penduduk menggunakan tali atau dawai, ada yang tegang dan banyak yang kendur. Aku hanya sempat berbalas senyum dengan makcik tu tak lama kerana masuk minggu ke 2, aku dapat tahu makcik tu telah meninggal dunia.

Masa tu, aku baru berpindah. Masuk minggu ke 3 pindah, rumah aku masih berantakan kerana perabot aku banyak. Adik beradik aku akan tidurdi rumah aku kalau mereka datang berjalan ke KL, tu sebab perabot banyak. Aku memang malas sangat nak susun barang-barang, tapi mujurlah rakan sepejabat ada yang tinggal dekat-dekat. Malam tu, 3 geng opis aku datang menolong aturkan perabot dan upahnya, aku jamu mereka dengan makanan sedap-sedap dan rokok Dunhill.

Kami buat kerja sikit, sambung makan, mengemas sikit, makan lagi. Pizza, kudapan, KFC, mee goreng yang aku beli habis dimakan, banyaklah sampah yang aku kena buang. Bila 4 orang lelaki makan, memang banyaklah sampahnya. Tengah sedap makan minum, minuman dan air batu habis. Mahu tidak mahu, aku terpaksa turun beli dan elok juga aku buang sampah sekali. Masa tu dah pukul 1.30 pagi. Kedai makan di bawah masih rancak, akan dengar je tung tang tung tang tukang masak sedang beraksi. Aku turun bawa sampah ke kereta, malangnya kereta aku kena block, jadi aku terpaksa naik ke rumah dan pinjam motor kawan aku.

Sampai saja aku di rumah dekat dengan lif, tali salah satu penyidai bergoyang dengan kuat, sedangkan tali sebelah2nya semuanya pegun. Makin lama, makin kuat goyangannya. Entah kenapa, aku berhenti dan melihat tali penyidai tu bergoyang, hanya menambah seram. Bodoh sungguh aku. Aku melepasi penyidai tu dan sebelum belok ke lif, tali penyidai tu masih bergoyang, kali ini lebih hebat goyangannya. Hati dah tak sedap, tapi bila memikirkan orang dah sanggup nak menolong, aku kuatkan hati. Banyak pula demand dorang, nak tomyamlah, nasi goreng cinalah, rokoklah, sup mamaklah, roti sardinlah, susu soyalah dan segala bagai. Dalam hati husnuzon. Aku pujuk hati, mungkin angin walau aku tahu angin bukanlah punca tali tu bergoyang seperti digoyang orang.

Aku pergi ke tempat motor. Tong-tong sampah nun berada di hujung dan agak jauh sedikit dari tong-tong sampah bersusun tu, ada guard house kecil. Selalunya tiada pengawal keselamatan kerana pintu belakang akan ditutup bila malam. Guard house ni tiada pintu, kecil sahaja dan bila malam lampu akan dipasang, salah satu clocking point untuk pengawal yang bertugas. Mungkin juga diguna bila hujan atau bila ambulans datang atau untuk lain2 kecemasan.

Start je motor, dari hujung rumah pam, aku nampak susuk seorang makcik yang aku rasa aku sangat kenal berjalan membelakangi aku ke arah tempat buang sampah. Dalam hati, mungkin makcik tu pun nak buang sampah macam aku. Kerana sampah banyak, terkial-kial juga aku bawa motor dan bila dah steady, aku dah tak nampak makcik tu. Husnuzon lagi, takkanlah hantu. Ke mana pula dia hilang? Sudahlah kejadian tali tu sekejap je tadi berlaku, takkan nak kena kacau lagi. Buang aja sampah dalam tong, aku naik motor dan bila nak pusing, aku nampak seseorang masuk ke dalam guard house dan duduk.Serba putih baju dan tudungnya. Bila aku start motor, alangkah terkejutnya aku, yang masuk dalam guard house tu adalah “makcik cleaner” tu. Sebijik rupa arwah dengan putih melepaknya. Dia duduk pegun memandang ke depan, tidak bergerak atau menoleh. Aku apalagi, pulas minyak dan hampir je tak jadi nak ke kedai.

Kerana tak sedap hati aku berhenti di guard house depan yang ada pengawal dan call salah sorang kawan aku suruh teman. Aku bagi tahu, aku macam dah nampak hantu. Bukan dia nak kasihankan aku, malah aku kena bahan dan mereka ketawakan aku berjemaah. Penakutlah, pondanlah, tak jantanlah, hati ada tamanlah, macam-macam aku kena bahan. Siap ugut lagi, tiada makanan, kerja tak siap. Buat sendiri kata mereka sambil ketawa. Hanat punya kawan-kawan.

Mahu tak mahu, aku ke kedai juga. Kerana masing-masing demand lain-lain makanan, aku kena pergi ke beberapa kedai dan kedai 24 jam untuk rokok dan air gas. Lama jugalah dalam hampir 1 jam, barulah aku dapat semua barang dan makanannya. Hati pun sudah tenang, gementar pun dah hilang. Aku cakap pada diri sendiri, 2 kali kena pada masa singkat, tak mungkin ada kali ke 3. Sangkaan aku salah rupanya.

Bila sampai, mujurlah ada satu slot motor kosong. Kerana barang banyak dan aku ni tak berapa reti nak kunci motor, ambil masa sedikit di tempat motor tu. Slot kosong tu berada betul-betul depan rumah pam yang ada tingkap tu. Aku mencangkung untuk kunci motor, dan telinga aku menangkap bunyi kanak-kanak ketawa. Berdengung bunyinya dari dalam rumah pam tu. Aku abaikan saja, mungkin aku salah dengar. Angkat je barang makanan tu dan bila mula melangkah, aku dengar tangki air besi tu macam dilanggar sesuatu. Entah apa sawan aku masa tu, boleh pulak aku pandang ke arah tingkap rumah pam tu. Berderau d***h aku bila aku nampak sepasang mata seperti mata budak memandang tepat pada aku.

Aku lari sekuat hati ke lif. Bermacam ada dalam hati aku, nak naik ke tak. Takkanlah 3 kali kena ganggu, apa salah aku? Aku baru je nak duduk sini, dan takde salah pun dengan siapa2. Kenapa aku yang kena? Apa dia hendak? Macam-macam aku fikir. Nasib aku baik, ada orang naik lif sama dengan aku, sepasang suami isteri baru kawin agaknya, naik ke tingkat 9. Bila sampai tingkat aku, aku terus berlari ke rumah. Mujur pintu masa tu terbuka, entah apalah kawan-kawan aku buat masa tu.

Kawan-kawan aku bersorak sebab makanan sampai. Kena marahlah dengan aku dan aku ceritakan pada mereka. Masih lagi aku kena bahan dengan mereka, aku ni menggoda lah, hantu nak mengoratlah, aku handsome sangatlah sampai ada hantu yang nak lah… hanat kan? Tapi bila aku cerita tentang rumah pam tu, masing-masing senyap. Takkanlah ada budak dalam rumah pam tu pagi2 buta, dan kalaulah budak betul, dia pijak apa untuk naik ke tingkap sebab setahu aku, pam yang ada tu besar dan aku pun tak mampu nak panjat. Kenapa entiti budak, bukan lain-lain yang selalu orang nampak. Sang penakut 3 ekor tu tak jadi balik, tidur rumah aku malam tu. Tau takut…

Wallahualam. Itulah kisah yang terjadi pada aku. Sekarang aku dah biasa dengan rumah pam tu sebab selalu lalu nak ke kedai, ada jalan pintas melalui rumah pam tu. Buang sampah pun siang je. Tali penyidai tu tetap tali penyidai dah tak gerak-gerak walau aku perli dan suruh dia gerak macam dulu. Dan aku masih duduk sini dan harap kejadian tu tak berulang lagi.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

3 thoughts on “Takkan Ada Kali Ke 3?”

  1. Sorry nk tanye ‘berantakan’tu ape eh..Sorry sy betul ii xtahu..

    Apepon bagi sy cite awk best dn serammmm.Semoga kita sentiasa dirahmati dn dilindungi tuhan ye..aaaammmmiinnn

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.