Tamu Dinihari

Tamu Dinihari

Peristiwa ini berlaku semasa aku berusia awal dua puluhan. Ini kisah benar yang mungkin tidak seseram cerita hantu lain dalam ruangan ini tapi ianya agak misteri.

Aku tidak begitu ingat samada aku sudah mula bekerja atau masih di kolej ketika itu. Yang pasti aku sudah tidak tinggal di rumah mak dan ayah lagi kerana sewaktu peristiwa ini berlaku aku tidur di ruang tamu, tiada lagi ruang dalam bilik buat aku di rumah dua bilik itu.

Adik beradik ramai, rumah kecil… jadi alah beralah dan pandai-pandailah selesakan diri.

Malam itu, sekitar tengah malam, semua sudah lena kecuali aku yang baru baring di tempat tidur. Tempat tidur aku malam itu lebih kurang 4-5 meter setentang dengan pintu masuk ke rumah. Ayah pula sudah pun lena atas katil yang terletak bersebelahan pintu itu. Mak pulak tidur di dalam bilik bersama adik-adik .

Aku hampir terlelap ketika terdengar suara seorang lelaki memberi salam dari luar pintu. Aku tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana mahu menjelaskan kepada pembaca apa yang aku alami tapi ketika itu sebenarnya dua perkara berlaku serentak dalam dimensi yang berbeza. Aku akan cuba jelaskan untuk membawa kalian bersama merasai pengalaman yang pelik ini.

Mendengar suara seorang lelaki memberi salam dengan jelas itu, tanpa bangun dari pembaringan, aku terus membuka mata dan memandang ke pintu. Aku nampak dengan jelas ayah bangun menuju ke pintu sambil menjawab salam walau dalam kesamaran cahaya lampu dari dapur. Aku juga mendengar dengan jelas perbualan mereka.

“Saya nak jumpa ******,” kata lelaki itu dengan jelas menyebut nama penuhku.

“Dia dah tidur,” jawab ayah pula dengan tegas.

Aku tidak tahu siapa yang datang mencari aku dinihari itu, sedangkan aku gadis yang tidak suka keluar rumah, hingga kalau aku pulang bercuti pun tiada jiran kami yang perasan. Aku juga tidak punya ramai kawan. Apatah lagi kawan lelaki.

“Saya nak jumpa ******,” kata lelaki itu lagi, mengulangi permintaannya.

“Tak boleh, dia dah tidur!” Ayah juga mengulangi jawapan yang sama, suaranya agak keras.

Sepi seketika. Tiba-tiba…

“SAYA NAK JUMPA DIA JUGAAAA!” Lelaki itu menjerit sambil menendang pintu hingga terbuka luas.

Ayah yang memegang pintu terlepas pegangannya dan angin kuat yang sangat sejuk menerpa masuk bersama cahaya yang sangat terang. Aku dapat melihat lelaki itu. Kacak, berkulit putih dan berwajah kaukasia (macam orang Barat). Rambut perang separas bahu dan memakai jubah warna krim.

Aku yang memang terbaring setentang dengan pintu menggigil kesejukan dijamah angin yang umpama ribut dan merasakan rumah menjadi sangat terang dengan cahaya yang masuk bersama-sama angin itu.

“Allahuakbar! Allahu akbar! Allahuakbar!” Aku menjerit-jerit ketakutan.

Dalam suasana kelam kabut itu ayah menutup pintu dan berjalan pantas menuju ke arahku. Ayah memegang bahu dan memanggil namaku berulang kali. Merasa lebih selamat, aku terus duduk.

“Kenapa?” Ayah bertanya, risau dan bingung pada masa yang sama.
Aku memandang ke pintu. Pada ketika itu pintu itu sudah tertutup dan suasana kembali samar oleh cahaya lampu dari dapur. Kemudian, aku memandang wajah ayah.

“Ayah, ada orang lelaki di luar,” aku menjawab, masih menggeletar.

“Huh? Ada orang?” Ayah kebingungan memandang ke pintu. “Tak ada pun. Tak ada sesiapa di luar.”

“Ya, ayah, ada orang lelaki nak jumpa saya,” aku cuba meyakinkan ayah.

“Tak ada… tak ada orang dekat luar tu…”

“Habis, kenapa ayah buka pintu tadi?” Aku bertanya kehairanan.

“Ayah nak tengok kenapa anjing menyalak depan rumah kita tadi.”

Aku terdiam. Sambil berbaring semula, aku baru teringat, sejurus sebelum mendengar suara orang memberi salam itu, beberapa ekor anjing galak menyalak betul-betul di hadapan rumah kami.

Pembaca semua boleh faham atau tidak perkara yang aku alami itu? Aku yakin aku tidak bermimpi kerana aku belum tidur ketika itu tapi di hujung sedar, hampir terlena. Tentu ayah ingat aku mengigau sedangkan aku melihat dengan jelas semua yang berlaku.

Setelah beberapa tahun, aku bercerita kepada seorang kawan yang kebetulan ibunya seorang bidan kampung. Beliau ada juga sedikit ilmu tentang perkara ghaib dan mistik ini. Setelah kawan saya menceritakan peristiwa ini kepada ibunya, ini penjelasan atau teori yang diutarakan:

Sebenarnya, perkara itu berlaku dalam dua dimensi. Malam itu, dalam dimensi kita ini, ayah bangun membuka pintu untuk melihat mengapa beberapa ekor anjing menyalak galak di hadapan rumah kami. Sedangkan dalam dimensi satu lagi, malam itu memang ada makhluk yang berminat untuk bertemu dengan aku.

Habis, siapa yang bedialog di pintu ketika itu? Rupanya, dengan izin Allah, semangat ayah yang kuat berjaya menahan makhluk itu dari masuk ke rumah bertemu dengan aku dan kemungkinan juga membawa aku pergi.

Tercengang aku mendengar penjelasan itu. Walaupun hingga ke hari ini aku masih tertanya-tanya siapakah atau apakah makhluk itu, aku sangat bersyukur Allah melindungi kami sekeluarga dengan asbab kekuatan aura allahyarham ayahku..

Anggerik Desa
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

30 comments

  1. Assalamualaikum.
    Terima kasih admin kerana siarkan cerita ini. Gambar latar yang admin pilih itu pun sesuai sangat, membuatkan saya kembali ke malam itu hingga meremang bulu roma.

    Terima kasih juga kepada peminat ruangan ini yang sudi membaca.

    1. Bonda percaya cerita Anggerik Desa. Baca keterangan Carlito Rockers, di dunia kita ada berlapis-lapis dimensi. Kita berada dlm dimensi alam nyata. Jika ada yg xk percaya, abaikan. Kita xk blh paksa mereka berfikiran mcm kita. Mereka xk pernah rasa, mereka xkkan percaya. Dunia kita penuh dgn mistik dn misteri.

  2. Penceritaan yang mudah difahami. Elemen mistik dan misteri itu dapat dirasai pembaca. Tahniah dan teruskan mengarang cerita.

    1. Terima kasih atas komen yang membina. InsyaAĺlah, memang ada pengalaman lain cuma yang ini paling tidak boleh lupa. Saja kongsi di sini kalau-kalau ada penjelasan lain. 😊

    1. Memang betul, cerita ini sukar untuk dipercayai. Saya segan hendak bercerita tentangnya dengan sebarang orang kerana bimbang ditertawakan. Tapi di sini kebanyakan kita pernah mengalami peristiwa begini, malah lebih pelik lagi. Saya ambil peluang kongsi cerita benar ini. Tambahan pula tiada yang kenal. Hehe.

    1. Memang betul, Rafflesia. Saya pun pernah mendengar perkara yang sama. Terutama anak-anak gadis. Cuma, masa itu mungkin saya belum lagi tahu tentang perkara ini. Pernah juga mimpi ular hitam sebesar lengan budak sederhana panjang masuk ikut pintu depan itu dan menyusur dinding terus mematuk pergelangan kaki saya yang tidur di tempat yang sama. Mimpi itu sangat nyata hingga terkejut jaga dalam keadaan yang mencungap.

    1. Betul tu, susah nak explain kan? Tapi sebenarnya perjalanan Rasulullah ketika peristiwa isra’ mi’raj pun berlaku dalam ruang masa yang berbeza. Jadi, tidak mustahil ianya berlaku kerana ‘masa’ itu sendiri adalah hak Allah. 😊

    1. Terima kasih aeshaa. Saya pun tentu akan siasat dulu dan pastikan ia dari orang yang kita kenal sebelum membuka pintu, kan?

  3. Hmm sy selalu dgr org azan.. Tp bila tgok jam.. Belom masuk waktu.. Selalu sgt2.. Dgr. Sayup2 jee.. Hmmm taktau la nak percaya dgn diri sendiri ke salah dgr ke.. Tp mmg real dgr org azan..

    1. Ini teori saya. Ada dunia di dimensi lain yang bila kita malam, di dimensinya adalah siang. Pengalaman-pengalaman melihat atau ternampak entiti lain itu sebenarnya adalah satu pertembungan yang tidak disengajakan. Kalau sengaja pun mungkin aktiviti di pihak satu lagi yang berniat bergurau atau mengusik. Jadi, azan yang cik Bedah dengar itu mungkin masuk waktu solat di dimensi itu. Mungkin saja. Sekadar teori. Hehe….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.